Carian Daripada Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label EKONOMI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label EKONOMI. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 30, 2013

Dilema Mengelak Berhutang

Sedang berkira-kira ... 
hendak tak hendak saja ... 
persoal keperluannya ... 
walau mampu berbelanja ... 
berhemah perlu utama ... 
bimbang tak terdaya ... 
hutang hantui jiwa ... 
biarlah begini saja ... 
bersyukur apa yang ada ...




Gurindam 9 kerat di atas itu menggambarkan dilema yang menyerabutkan kepala saya. Saya sebenarnya dalam pertimbangan untuk membeli sebuah kereta atau dengan kata lain menukar kereta baharu menggantikan kereta yang saya gunakan sedia ada. Sebenarnya saya bukanlah jenis orang yang mudah terpengaruh dengan persekitaran. Tatkala orang bercerita tentang sesebuah kereta, saya lebih banyak mendengar dari berkata. Di kala ramai yang bertukar kereta, saya tidak akan berganjak dengan prinsip yang ada. Saya telah terdidik untuk lebih berjimat cermat walaupun pernah rakan sekuliah saya semasa degree menuduh saya seorang yang kedekut. Saya menafi sekeras-kerasnya tuduhan itu lantaran situasi kami berbeza. Mereka dibiayai oleh PTPTN yang beribuan ringgit setiap semester, sedangkan saya pula dibiayai sepenuhnya oleh ibu bapa. Perbelanjaan mereka tidak perlu mendapat keizinan atau pengetahuan keluarga mereka sedangkan bajet saya dipantau oleh keluarga saya. Bukan saya tidak mendapatkab pembiayaan seperti mereka, tetapi amaun yang diterima saya adalah kecil lantaran pemberiannya adalah bergantung kepada tahap ekonomi dan pendapatan keluarga pelajar. Jadi, memang haruslah saya lebih berjimat-cermat kala itu dan keadaan itu telah menyebabkan saya masih seorang yang kurang boros sehingga hari ini. Mujur juga sekarang saya telah bebas daripada segala hutang terutamanya hutan PTPTN tu.

Bagaimana pun, tatkala orang lain sudah ada rumah sendiri dengan pinjaman dan pembiayaan bank, saya masih tidak ada keinginan untuk sama seperti mereka. Cuma adalah tempoh hari saya mendaftar untuk PR1MA. Nampak sangat saya cuba mencari peluang untuk meminimakan perbelanjaan yang banyak. Memang rumah tu penting, tapi saya tak tahu kenapa saya rasa tidak ada semangat untuk memilikinya. Ya, satu faktor sebab saya masih duduk dengan keluarga membuatkan saya rasa selesa dan beranggapan saya akan selama-lamanya di sini lantara tempat kerja saya pun di sekitar ini. Tapi saya pasti, dengan anjakan umur yang saya alami beberapa hari lalu, ia makin membuatkan saya terus berfikir mengenainya. Tetapi di mana lokasinya masih menjadi tanda soal buat diri saya lagi-lagi saat ini rumah yang dijual sangat-sangat tinggi harganya. Terasa mati hidup semula pun tak dapat nak bayar melainkan dengan pinjaman.

Ya, dengan pinjaman atau dengan kata lain berhutang dengan institusi perbankan umumnya adalah satu pilihan yang menjadi kebiasaan masyarakat. Bilamana terikat dengan hutang, automatiknya ia berkait rapat dengan faedah atau interest yang juga dilihat sebagai riba. Saya sering berdoa dan berharap agar saya tak terbelenggu dengan perkara-perkara yang berkaitan riba. Mungkin tanpa sedar saya telah terkait dengannya dalam sebarang urusan dan muamalah dalam perbelanjaan saya sehari-harian. Namun, saya akan cuba elakkannya dengan menjauhi hutang. Ya, seperti kata orang, saya tidak lagi terbeban dengan pembiayaan rumah dan kereta, maka slip gaji saya bersiih. Bagi kebanyakan orang itu adalah sesuatu yang baik. Tapi saya ta pasti pula sama ada ia sesuatu yang positif atau negatif. Apapun saya berharap sangat-sangat agar saya mati dalam iman, terus ke syurga tanpa hisab dan bebas dari belenggu hutang yang menyebabkan saya terawang-awangan di dimensi akhirat kelak.

Jadi, bagaimana sekarang ini? Hidup adalah jambatan ke akhirat. Saya juga perlu fikirkan keduniaan dengan kadar yang perlu. Pertimbangan untuk membeli kereta harus dimuktamadkan supaya mudah segala urusan kerjaya saya dunia dan akhirat. Sebenarnya, sejak 5 tahun bekerja, dua buah kereta telah saya gunakan. Tetapi kedua-duanya adalah second hand pemilikan warisan keluarga. Ikutkan hati saya tak kisah hendak terus menggunakan kereta yang ada, tetapi dengan pelbagai masalah yang dialami oleh kereta itu membuatkan saya didesak oleh beberapa ahli keluarga untuk membeli saja yang baru, bukan second hand macam yang sebelumnya. Bagaimana pun, kereta yang sebelum ini tidak di trade in, malah digunakan oleh adik beradik saya juga hingga membuatkan halaman rumah penuh dengan kereta yang tersusun di garaj. 

Baiklah, dalam banyak-banyak kereta yang ada sekarang ni, ada beberapa model yang menjadi pilihan. Tapi setelh diteliti dan dibandinb bezakan hampir semuanya saya cancel:

Vios: Macam dugong, lagi-lagi bila panel meter berada di tengah-tengah. Hampeh.
City: Design tak berapa lawa, tapi nampak smart juga di atas jalanan. Tapi orang kata model ni berat sampaikan pecutan hanya dirasa bawa laju. Ish, kurang selamat.
Caldina: Design cantik giler, memang nak sangat. tapi rupa-rupanya dia dipasarkan secara gelap dan tiada dalam tawaran yang diiklankan oleh Toyota Malaysia melalui websitenya.
Wish: Lawa giler. Tapi mahal sangat sampaikan saya rasa macam membazir kalau pakai. Lagi pun statusnya sebagai recond membuatkan saya rasa memang tidak berbaloi memilikinya. nanti problem sana sini siapa susah? saya juga.

Yang di atas tu semua cancel. Tapi tiba-tiba saya terasa nak pilih Preve pula. Smart n bergaya. Harga pun okay. Tapi, tiba-tiba lagi dapat berita Vios baru tahun 2013 dah keluar, tapi belum sampai di Malaysia. Tengok foto-fotonya, memang lawa sikit daripada versi dugongnya sebelum ini. Terutamanya, panet meter model ni dah beralih ke atas stereg sebelah kanan macam biasa. Namun harganya tak diketahui lagi kerana bila wujudnya di Malaysia pun tak diketahui lagi. Jadi sekarang, saya dalam dilema antara dua model, Preve atau Vios? Saya membuat kelutusan, jika sehingga Mei model Vios yang baharu tu tak ada di pasaran Malaysia, saya akan bertukar ke Preve automatik. Dalam masa yang sama saya harap Wira saya sekarang ni masih boleh berkhidmat dengan saya sebaik-baiknya. Tolonglah ...


Apapun Ya Allah, moga-moga ku sentiasa dalam kalangan hambaMu yang bersyukur dan tidak kufur nikmat. Berkatilah rezekiku dan permudahkanlah segala urusanku.




Selasa, Mei 01, 2012

HANYA KERANA BAUCER BUKU...



Lega rasanya akhirnya baucer 2 helai yang tak sempat di joli sebelum ini dapat ditebus di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Mengenangkan 30 April merupakan hari terakhir baucer berkenaan sah, maka selepas pulang dari kerja saya bergegas ke PWTC semata-mata walaupun terasa penat dan letih. Kalau tidak kerana itu besar kemungkinan saya akan menapak ke sana pada 1 Mei bersempena dengan Hari Pekerja. Tapi tak mengapalah, sebab matlamat utama telah tercapai dengan jayanya.

Tatkala tiba di pintu masuk PWTC tu, saya lihat keadaan tidak begitu menyesakkan. walaupun ramai pengunjung namun tidaklah terlalu padat. Nak berjalan dengan selesa tu kira bolehlah. keadaan terkawal dan nak membuat pilihan atau berhenti di satu-satu gerai dalam jangka masa lama sedikit tidak menjadi masalah, malah peniaga-peniaga booth pula yang memanggil-manggil pengunjung untuk singgah di booth mereka. Terasa macam pasar malam pula. 

Dengan bermatlamatkan untuk menebus baucer RM100, maka saya merancang untuk memilih buku-buku yang sama nilainya di satu booth sahaja. Langkahan kaki saya halakan ke satu dewan sebelum hampir ke ruang legar tingkat bawah. Di pintu masuk tertera Galeri Ilmu, tapi bila masuk PTS menguasai kawasan kerana ia berada di tengah-tengah dewan. Beberapa booth, syarikat atau penerbit lain turut ada. Tanpa membuang masa di PTS tu saya angkut satu persatu buku yang menarik perhatian. Kebanyakkannya tebak-tebal. 

Dalam pada mengambil buku-buku tu saya juga menimbang tara dalam hati sama ada buku-buku yang saya pilih ni akan saya baca atau setakat tangkat muat untuk menghabiskan baucer. Tapi saya percaya, pilihan saya bukan sesuatu yang sia-sia. Setelah mencongak-congak, dengan 6 buah buku di tangan saya bawakan ke kaunter pembayaran. 

Tatkala menghulurkan baucer, saya ditanya sama ada membawa kad pelajar atau tidak, kerana di sana ada diskaun untuk pelajar. Maka saya pun keluarkannyalah. Tiba-tiba saya teringatkan satu sms yang saya terima dari pihak PTS yang meminta saya menunjukkan sms itu kepada kaunter untuk mendapatkan diskaun lagi, maka saya pun tunjukkanlah. Tapi, jurujual tu menyebutkan diskaun untuk pelajar lebih tinggi berbanding yang itu, maka dia cadangkan saya buat belian dan gunakan sms itu untuk hari yang lain. Dan, sebelum saya membayar, mereka kata pengunjung yang berpakaian biru akan mendapat diskaun istimewa. Waah, berganda-ganda diskaun saya dapat hari ini hanya dari PTS. Seronok betul. Namun bila mana nak membayar, sehelai baucer saya dipulangkan semula dan meminta saya menggunakan duit kerana congakan melebih 100 yang saya kira pada buku-buku yang diambil sebenarnya terlebih. Bayaran keseluruhan sekitar Rm75. Syukur. Namun kerana di tangan saya ada berbaki sehelai baucer maka saya terpaksalah melangkah ke gerai lain untuk menghabiskannya. 

Jam di tangan hampir ke pukul 6 petang sedangkan Asar belum saya tunaikan dan kaki juga sudah penat dan sengal. Masih tak keluar daripada dewan berkenaan, saya tuju pula ke gerai Galeri Ilmu. Kerana malas nak fikir panjang, maka saya hanya memilih tiga buah majalah Q&A yang baru di pasaran bagi syarikat itu. Isinya menarik. Sempat juga saya menyambar sebuah novel dan sebuah buku motivasi untuk mencukupkan nilai baucer. 

Akhirnya dengan pembelian itu secara rasminya baucer saya sudah digunakan sebaik-baiknya. Sempat penjual di Galeri Ilmu bertanyakan kepada saya, 'kenapa lambat gunakan baucer ni, orang lain dah tak guna lagi dah,'..hehe...'saje je lambat-lambat, nak tunggu pesta buku ni la..' jawab saya sambil digelakkan spontan oleh mereka. hahaha... Agaknya saya orang terakhir di pesta buku tu yang menggunakan baucer sebelum ia tidak sah lagi digunakan untuk keesokan harinya.

Berhenti solat beberapa ketika selepas singgah di Telaga Biru dengan belian tunai, saya teruskan pula langkahan kaki ke ruang legar tingkat bawah. Tatkala disapa oleh Besta, saya pun terus sahaja duduk. Saja ambil peluang merehatkan diri. Jam menunjukkan 6.15 petang. Diketahui jam 7 pesta buku ini akan ditangguhkan. 

Di Besta saya ditunjukkan satu model kamus eletronik yang baharu. Rntah apa modelnya, tapi menarik. Memang tak terniat langsung nak beli. Sungguh! Sebab saya sendiri memang dah miliki satu model lain yang dibeli masa zaman belajar dulu dan masih baik untuk digunakan sehingga sekarang. Tapi saya dengarkan juga, saja nak ambil hati jurujual tu. Sudahlah duduk free, takkan tak mahu dengar pula. Saya siap test-test lagi serta membuat pengujian sendiri. 

Tiba-tiba, ada pengumuman dari Besta mengenai 'happy hour' pada setengah jam sebelum jam 7. Semua petugas Besta semacam kalut dan mula memanggil-manggil pelanggan untuk singgah di gerai mereka. Dan, jurujual yang incharge saya ni pula tiba-tiba juga mengeluarkan satu model lain menggantikan yang sebelum ini. Terus dia jelaskan bahawa model yang baru ditunjukkan kepada saya ini berharga lebih mahal sedikit daripada yang tadi. Katanya dengan tempoh 'happy hour' ni harga produk yang ini dijual dengan kadar setengah harga daripada harga asal RM1200. 

Tapi, saya tak mudah terpengaruh. Saya katakan jika ia lebih mahal, tentu ia lebih canggih dan fungsinya lebih bagus. Maka saya pun minta untuk mengujinya dan ternyata, kalau tak lebih baik pun, sekurang-kurangnya lebih kurang sama kecanggihan dan fungsinya daripada produk awal yang ditunjukkan berharga RM1100. Kerana meyakini akan kebagusannya, masa saya ambil juga peluang tu untuk memilikinya. 

Namun tunai di wallet saya tidak mengizinkan saya membelinya masa itu, maka saya minta untuk membayar deposit sebanyak RM50 sahaja dan mereka bersetuju. Tapi dalam masa yang sama saya masih menimbangkan akan keperluannya. Kamus eletronik yang lama ni pun saya tak habis explore, apatahlagi yang baharu ni. Bimbang wujud pembaziran pula. Entahlah.  

Apapun, meneroka pesta buku berkenaan, rasanya macam berbeza daripada yang sebelum ini. Antara kelainan yang saya dapati, banyak booth dan gerai jualan yang di buka di bilik-bilik atau dewan-dewan kecil yang selama ini tidak digunakan. Tatkala melangkah ke ruang legar di tingkat bawah serta dewan utama di tingkat atasnya, masih banyak gerai jualan lain. Dapat saya rasakan ruangan yg digunakan saban tahun di kedua-dua tempat ini agak lapang dan selesa kerana ruang antara gerai-gerai yang ada diperbesarkan selain laluan atau lorong untuk pengunjung bergerak dari gerai ke gerai luas sedikit. 

Mungkin dengan wujudnya susunan gerai dan penggunaan dewan dan bilik kecil di tingkat bawah dijadikan alternatif untuk mengelakkan kesesakan selain untuk memberi pilihan kepada pengunjung untuk memperbataskan kunjungan. Maksud saya, jika ada pengunjung yang memang ada senarai gerai, penerbit atau syarikat buku yang di cari, maka tidak perlukah mereka mencari-cari di satu tempat yang besar dan bersesah-sesak dengan pengunjung lain. Dengan adanya gerai, penerbit atau syarikat buku yang berada di bilik atau dewan kecil maka mereka dilihat lebih privasi dan bebas untuk melakukan sebarang aktiviti dan program membabitkan pengunjung dengan 'aman'.

Kesimpulannya, saya harapkan agar semua lapisan masyarakat dapat memanfaatkan program ini. Banyak kelebihan daripada pembelian buku dalam tempoh pesta ini berlangsung. Secara peribadi, saban tahun sekurang-kurangnya sebanyak dua kali saya jejak. Sekali untuk meneroka buku dan harga yang menjadi pilihan, yang kedua kalinya, saya datang untuk pembelian dengan membawa duit tunai yang mencukupi. Harapan saya juga semua bahan bacaan yangs aya borong kali ini tidak akan jadi sesuatu yang membazirkan. Masakan tidak, pembelian melebihi RM500 pada program tahun lepas pun ada buku yang tidak saya sentuh lagi. Rak buku pula telah penuh dan padat. Erm... Insya Allah, hujung tahun ni saya tetapkan semuanya telah saya baca sebaiknya. Insya Allah.





Sabtu, Disember 10, 2011

DI SEBALIK KEPRIHATINAN & INSENTIF



Hujung tahun ini kelihatan rezeki rakyat Malaysia secara umumnya sedikit bernasib baik. Dalam tempoh sebulan dua kebelakangan kerajaan seolah-olah mengambil berat n meluah keprihatinan dengan memberikan pelbagai insentif bagi meringankan beban rakyat. Bagus, barulah nampak moto yang sering segembar-gemburkan, rakyat didahukukan, pencapaian diutamakan.

        Bermula dengan pemberian wang RM100 kepada semua murid sekolah, nampaknya semua ibu bapa murid memberi respon positif menerimanya dengan senang hati. Tidak ada pula laporan yang menyebutkan ada kalangan ibu bapa yang tidak mahukan hadiah daripada kerajaan yang bermatlamatkan untuk persediaan persekolahan bagi tahun hadapan. Namun begitu,terdapat beberapa insiden yang berlaku yang dihadapi oleh beberapa sekolah di seluruh negara apabila ibu bapa melahirkan rasa tidak puas hati duit yang diterimanya dipotong untuk membayar yuran tertunggak. Dapat dilihat, kerana duit semuanya sanggup bertegang urat meminta hak, tetapi masih juga buat-buat lupa dengan hutang yang tertunggak. Di sini, kerajaan mendapat nama, tetapi pihak sekolah pula dicela, sedangkan agihan itu tidak harus diberikan kepada pihak sekolah.

         Kemudian, sekarang ini rata-rata masyarakat maklum dengan permohonan pemberian RM500. Permohonan dibuka kepada golongan masyarakat yang berpendapatan kurang daripada RM3000 yang mengetuai keluarga. Bermaksud ia berdasarkan pendapatan ketua keluarga dengan tidak merangkumi jumlah keseluruhan pendapatan seisi rumah. Lalu dilihat ia memberi peluang kepada ramai individu untuk membuat permohonan kerana jika tidak dicampur dengan jumlah pendapatan isi rumah yang lain tentu sahaja ramai yang layak untuk menerimanya. Sekali lagi masyarakat memberi respon positif dengan tidak ada pula laporan yang menyebutkan keenganan mana-mana pihak untuk tidak mengambil peluang itu.

      Terkini juga, dilaporkan semua pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah, sama ada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang berada di bawah KPM dan KPT, mereka diberi juga insentif berupa baucer sebanyak RM50 untuk pembelian buku dan bahan-bahan pembelajaran di premis-premis yang terpilih. Sekali lagi golongan sasaran ini memberi reaksi positif untuk menerimanya. Malah peluang ini terbuka kepada semua yang bergelar pelajar di mana-mana institusi dalam negara dipelbagai peringkat pengajian hatta PHD. Dilaporkan semua pelajar boleh menghubungi pihak institusi masing-masing untuk mendapatkan baucer berkenaan.

    Daripada kesemua keadaan ini kelihatan ia memberi kebaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat walaupun jumlah yang diberikan tidaklah begitu besar.  Namun begitu, penghargaan kepada pihak kerajaan tidak harus dinafikan.

       Namun tidak sekadar itu pula rasa keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya. Terbaru kerajaan telah mengumumkan sebuah sistem yang baru yang dinamakan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam untuk semua kakitangan awam di negara ini. Sekali lagi kerajaan dilihat berjaya menarik perhatian umum dengan berita yang dianggap dinanti-nantikan oleh golongan sasaran. Namun disebaliknya, wujud polemik daripada pengumuman itu. Sama ada kerana kurang maklumat, tidak memahami maklumat ataupun tidak tahu menahu tentang sistem ini membuatkan sebahagian kakitangan awam curiga dengan sistem baru ini.

       Isunya mungkin berikutan pengumuman itu dibuat dengan pekeliling yang dikeluarkan meminta kakitangan awam menerima untuk memilih umur persaraan pada umur 60 tahun. Ia bukan sesuatu yang menyeronokkan apabila umur persaraan disentuh. Sebelum ini majoriti kakitangan awam menolak dan membantah idea persaraan pada usia emas lantara memikirkan implikasi terhadap kesihatan diri, tahap motivasi dan juga keupayaan minda untuk berkhidmat dalam usia yang sudah boleh dianggap waktu berehat di rumah. Namun keadaan ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh pihak atasan. Lalu bantatah itu sekadar bantahan dan tiba-tiba pengumuman ini seiring pula dengan wujudnya SBPA yang dilihat sebagai taktik untuk memujuk kakitangan menambah tempoh perkhidmatan mereka di sektor awam.

       Tidak selesai dengan khabar usia persaraan 60 tahun, sebulan lalu isu arahan guru bertugas 9 jam sehari menjadi polemik hebat. Namun idea ini ditarik balik dalam tempoh beberapa hari lantaran wujudnya banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kalangan yang bukan guru berbanding menerima idea itu. Keadaan ini seoalah-olah satu provokasi dari pihak kerajaan untuk membangkitkan emosi guru-guru, namun dalam pada itu masih wujud masyarakat yang prihatin dan maklum dengan tugasan guru yang bukan terhad pada tempoh 9 jam, malah menjangkau masa 7 hari seminggu dan 24 jam sehari.

       Apapun, bukan mudah pihak kerajaan untuk memuaskan hati rakyatnya. Bukan hanya kerana masyarakatnya berbilang bangsa, agama dan keturunan, tetapi juga berbeza latarbelakang dan ideologi. Dengan pemberian pelbagai insenitf kepada semua lapisan masyarakat ia seolah-olah satu pelaburan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat masih bersamanya. Masyakat rata-rata melihat pemberian insentif ini sememangnya ada 'sesuatu' disebaliknya. Jika hendak disebut sebagai politik wang, mungkin tidak berapa tepat dan jelas. Tetapi metod yang digunakan ini seolah-olah satu mainan pujuk-pujukan dan dalam beberapa situasi dilihat seoalah-olah bermain tarik tali. Memberi dengan mengharap balasan yang terasa semacam satu paksaan. Terpulang kepada penerimaan dan persepsi individu untuk menganalisis situasi yang berlaku.


Isnin, Oktober 10, 2011

KAKITANGAN AWAM & KERJA SAMPINGAN: Satu Keperluan?



Setiap orang mengimpikan kedudukan kewangan yang kukuh dan stabil. Bagi merealisasikan hasrat tersebut ramai orang berlumba-lumba mencari sumber bagi menjana pendapatan tambahan. Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Keadaan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing yang berlaku dalam situasi masyarakat malaysia pada hari ini.
Situasi ekonomi yang berlaku ini telah menyebabkan kebanyakan masyarakat terasa dengan beban inflasi kenaikan harga barang. Lebih-lebih lagi terdapat kira-kira 45 peratus daripada 1.2 kakitangan awam yang kebanyakannya bekerja di bandar tertekan dengan kos sara hidup tinggi sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan (Sazarina 2009).   
Merujuk kepada isu yang berbangkit pada tahun 2008, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta supaya membuat keputusan segera bagi membenarkan pekerja kumpulan sokongan melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata ia sebagai penyelesaian tetap atau jangka panjang dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang (Bernama 2008).  
Dalam keadaan ekonomi yang agak kurang memberangsangkan dan ditambah dengan harga barang yang tinggi dan meningkat sentiasa, rakyat malaysia terutamanya kakitangan awam melibatkan diri dengan kerja sambilan. Dari segi undang-undang tidak salah untuk kakitangan awam bekerja sambilan tetapi dengan syarat tidak mengganggu kerja utama bagi kakitangan awam tersebut (Woon 2008).
Ramai yang berfikiran bekerja sebagai kakitangan kerajaan menjanjikan gaji yang baik walaupun ramai yang menyedari bekerja dengan sektor swasta menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, seperti bonus bulanan dan keistimewaan lain. Ini disebabkan ada anggapan bahawa bekerja di sektor kerajaan sememangnya stabil kerana tiada pemberhentian kerja di waktu-waktu yang kritikal berbanding mereka yang bekerja di sektor swasta di mana kakitangan kerajaan tidak perlu runsing bila berlakunya kegawatan ekonomi (Zulkiple Ibrahim 2007).
Namun demikian apa yang sebenarnya berlaku ramai daripada kalangan kakitangan awam dikategorikan miskin walaupun tinggal di bandar. Contohnya Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Tengku Adnan mendapati hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan (Haika 2011).
Oleh yang demikian sebagai jalan keluar kebanyakan golongan seperti ini telah mengambil alternatif untuk menambahkan pendapatan mereka melalui kerja sambilan dengan harapan pendapatan yang diperolehi itu dapat menampung kos kehidupan mereka. 
Tetapi dengan adanya pengumuman YAB PM mengenai pelbagai intensif yang diberikan kepada kakitagan awam  pada pembentangan bajet yang lepas, adakah perlu lagi kakitangan awam untuk mencari punca rezeki sampingan untuk memberi keselesaan kepada kehidupan mereka...?


Selasa, Mei 31, 2011

Surat Terbuka Kepada KWSP



Mohd Suhaimi bin Mohd Nizam
Sepang, Selangor
...
Rujukan Tuan : 15/2/2-0635-1

Tarikh : 27hb. Mei, 2011

Pengarah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Bangunan KWSP, Jalan Gasing
46598 Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

Dengan Nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Tuan,

PER : ARAHAN MEMBERHENTIKAN CARUMAN KWSP DAN PENUTUPAN AKAUN KWSP
NO. AHLI KWSP : 18852733

Merujuk perkara di atas serta surat pihak tuan kepada Persatuan Pengguna-Pengguna Islam yang bertarikh 12hb. Mac 2007 dirujuk.

1. Saya dengan rendah diri ingin mengajak diri saya dan tuan supaya dapat bertaqwa kepada Allah dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya; ingatlah segala perbuatan kita di dunia ini pasti akan disoal oleh Allah SWT di Yaumil Hisab kelak.

2. Sudah sampai ke pengetahuan saya berkenaan dengan keadaan pengurusan wang simpanan saya yang tidak mematuhi syari'ah dimana ia sekarang bertambah dari sumber yang haram dan dimurkai Allah SWT;

3. Wang simpanan saya yang pihak tuan uruskan itu akan saya gunakan untuk tujuan menampung belanja meneruskan kehidupan di hari tua jika panjang umur insyaAllah; pada waktu dimana saya akan habiskan masa dengan amal ibadah sudah tentu sangat penting wang yang saya akan gunakan untuk makan-minum itu tidak dicemari oleh sumber yang haram dan dimurkai Allah SWT;3) Memang benar ada cadangan yang mengatakan wang itu boleh di"bersih"kan dengan kaedah menginfakkan bahagian faedah terkumpul wang simpanan tersebut setelah wang itu layak dikeluarkan, saya setuju dengan cadangan ini;

4. Namun kebimbangan saya lebihnya dalam keadaan dimana wang itu tidak sempat saya keluarkan, dimana saya akan meninggal dunia dalam keadaan ada dalam harta saya sumber yang haram dan dimurkai Allah SWT; tiada jaminan pula yang keluarga saya akan membersihkannya mengikut cadangan di atas, saya akan mati dalam keadaan tersiksa dan merana selama-lamanya;

5. Di dalam kubur, saya akan berbaring seorang diri setelah keluarga dan rakan-rakan tinggalkan saya dalam liang lahad yang meruap, gelita dan sempit, saya diberitahu lubang kubur yang sempit itu boleh jadi luas, jadi taman-taman syurga tempat peraduan saya menunggu Yamil Mahsyar; atau ia juga boleh jadi lebih sempit, menghimpit rusuk saya, saya tak dibenarkan tidur menunggu Yaumil Mahsyar, malah saya akan disiksa sampai hari kiamat - lubang kubur saya akan bertukar jadi lubang neraka Naudzubillah!

6. Saya mahu ingatkan tuan supaya dapat segera melaksanakan arahan saya ini, jika tuan gagal berbuat demikian maka tuan sebagai pengurus wang haram ini akan saya pertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak dan dengan rasa takut pada Allah saya mahu ingatkan tuan bahawa azab Allah itu sangat pedih dan sangat berpanjangan Naudzubillah!

7. Dan sekiranya arahan ini bersalahan dengan Akta KWSP yang sedia ada, saya mohon dan merayu daripada pihak tuan agar dapat menukarkan simpanan saya dan majikan saya di dalam simpanan emas atau perak dan tuan boleh menyimpannya sehingga saya dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan saya tersebut pada usia yang telah dibenarkan oleh pihak KWSP. Saya tidak akan membuat apa-apa tuntutan dividen daripada pihak tuan.

Wallahu'alam, saya sudahi surat ini dengan ucapan ribuan terima kasih, Jazaakallahu khairan.

Saya yang amat berharap,

_______________________________
MOHD SUHAIMI BIN MOHD NIZAM
No. Kad Pengenalan : 8X0X2X-71-5XX5

s.k. 1. Pejabat KWSP Cawangan Bangi
2. Persatuan Pengguna-pengguna Islam Malaysia

Selasa, November 30, 2010

RAWATAN & PERKHIDMATAN DI HOSPITAL SWASTA: SEBAB & ALASAN

Gara-gara caj hospital swasta yang tinggi, ia secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pemegang kad kredit yang berhutang sehingga melepasi had kemampuan diri sendiri. Jika sebelum ini punca yang dilihat adalah disebabkan gaya hidup boros dalam berbelanja, tapi kini ia tidak lagi berada di kedudukan tertinggi. Perbelanjaan perkhidmatan di hospital sememangnya dilihat satu keperluan asas bagi manusia namun soalnya bagaimana dan ke mana perbelanjaan hospital itu digunakan.

Dengan pendedahan itu kemudiannya telah membuka mata sesetengah pihak sehingga akhirnya terbongkar beberapa insiden yang membabitkan pembayaran oleh pelanggan hospital swasta di mana caj yang dikenakan terlalu tinggi. Ada sesetengah keadaan kos sebenar itu kelihatan jauh berbeza daripada jumlah yang dikenakan. Daripada situasi itu dapat disimpulkan hospital swasta memang mengenakan jumlah kos rawatan dan perkhidmatannya yang tinggi kepada pelanggannya selama ini.

Dari perkaitan antara perbelanjaan kos rawatan di hospital swasta dan caj yang dikenakannya kepada pelanggan sehingga menyebabkan bebanan belanjawan kepada pemegang kad kredit dapat dilihat daripada beberapa aspek. Antaranya adalah dari segi sebab dan alasan mengapa pelanggan mendapatkan rawatan di hospital swasta walaupun menyedari hakikat kos yang terpaksa ditanggung agak tinggi.

Rata-rata mengandaikan perkhidmatan yang terdapat di hospital swasta sungguh hebat hingga ada yang mengiktirafnya bertaraf 3, 4, 5 bintang dan sebagainya. Ia termasuklah kecanggihan peralatan yang digunakan selain prosuder khidmat profesyenal daripada doctor yang merawat. Antara lain layanan kakitangan hospital terutamanya jururawat di wad contohnya turut diambil kira dalam caj perkhidmatan. Pada yang inginkan keselesaan serba-serbi, inilah tempatnya.

Ada juga yang menganggap mendapatkan khidmat kesihatan di hospital swasta seolah-olah menunjukkan status social seseorang. Dalam pada masyarakat yang sebahagian besarnya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, ada juga segelintirnya sanggup berhabis semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta walaupun menyedari perkhidmatan yang sama turut boleh didapati di hospital kerajaan. Walaupun tidak dapat dilihat sejauhmana andaian ini benar-benar berlaku, tetapi ia dapat dilihat apabila terdapat golongan yang berpendapatan sederhana mendapatkan rawatan sedangkan untuk jangka masa panjang sebenarnya belum tentu mereka terus-menerus berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di sana.

Pada yang menjadi kakitangan dalam mana-mana syarikat, biasanya kos rawatan untuk pekerja ditanggung oleh syarikat di mana adanya klinik dan hospital swasta yang menjadi panel kepada syarikat itu. Oleh sebab itu sebagai kakitangan mereka berhak mendapatkan perkhidmatan apabila memerlukan rawatan.  Ini merupakan bonus kepada mereka walaupun terdapat di kalangan pekerja tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di sana. Apatahlagi terdapat sesetengah syarikat yang besar dan kukuh turut menanggung kos ramatan untuk seisi keluarga. ini memberi faedah yang besar kepada kakitangan selain menunjukkan keperihatinan pihak majikan terhadap anak buah yang telah berkhidmat di bawahnya. Dengan adanya keistimewaan Ini menyebabkan ramai orang yang berminat untuk bekerja di syarikat berkenaan.

Ada juga disesetengah keadaan pesakit dirujuk kepada pakar yang tidak berkhidmat di hospital kerajaan. Ini menyebabkan pesakit berkenaan harus mendapatkan rawatan di hospital swasta di mana doktor pakar yang dicadangkan itu berada. Bagi situasi ini biasanya pesakit memang mempercayai perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan, namun terpaksa dirujuk ke hospital swasta bagi memastikan mereka dapat dirawat sehingga pulih.

Daripada sebab dan alasan yang disenaraikan mungkin terdapat lagi sebab yang menyebabkan seseorang itu mendapatkan rawatan di hospital swasta. Tiada sesiapa pun sebenarnya boleh menegah seseorang untuk menerima rawatannya di sana asalkan mereka punya kemapuan dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan dan perkhidmatan di hospital swasta.

Jangan pula nanti ada rungutan dan ketidakpuasan hati terhadap kos yang ditanggung sedangkan sebenarnya mereka telah menyedarti caj yang dikenakan semamangnya tinggi jika dibandingkan dengan perkhidmatan di hospital kerajaan yang sudah setaraf dari sudut perkhidmatan serta jauh lebih murah seperti mana yang diketahui masyarakat.

Jadi, berbaloikah berhutang demi sebuah keselesaan dalam mendapatkan rawatan dihopital swasta? Tepuk dada, seluk poket seluar.

Sabtu, Oktober 31, 2009

:: TIDAK BAHAYAKAH RIBA? ::


SATU LAGI SOALAN yang DITANYA OLEH RAKAN SAYA, KENAPAKAH RIBA TIDAK DITEKANKAN BETAPA IANYA HARAM DAN HARUS DIJAUHI, TIDAK SEPERTI MANA HARAMNYA ARAK? SEHINGGAKAN PULA 10 GOLONGAN YANG ADA PERKAIATAN DENGAN ARAK JUGA DITEKANKAN, TIDAK PULA ADANYA GOLONGAN2 YANG ADA KAITAN DENGAN RIBA DINYATAKAN. INI MEMBUATKAN MASYARAKAT BERANGGAPAN TIDAK MENGAPA WALAUPUN ADA TERLIBAT SIKIT DENGAN PERKARA RIBA WALAUPUN TELAH ADANYA SISTEM yang BERSIFAT ISLAMIC.

___________________________________________________________________________
Berkenaan persoalan yang dilontarkan oleh Syemarly, mengapa keharaman riba' tidak ditekankan sangat seperti arak, kita harus melihatnya dari 2 sudut.

1) Asas bagi ideologi kapitalisme, adalah pemisahan antara agama dan politik (sekularisme). Mereka tidak menolak agama, tetapi agama tidak ada peranan dalam undang-undang, pemerintahan, ekonomi dan aspek politik yang lain.


Riba' adalah bahagian dalam ekonomi kepitalisme. Sedangkan ekonomi dianggap sebagai perkara politik yang mesti diatur melalui peraturan yang dibuat manusia sendiri.

Manakala, arak pula adalah berkaitan makan minum(math'umat) yang dianggap bahagian dari agama. Maka keharaman arak ditekan sedangkan keharaman riba' kurang ditekankan. Sebab itu, sampai sekarang belum ada hukuman mahkamah syariah, pemakan atau pemberi riba' dikenakan hukuman.

Sayang ringkaskan pemahaman yang terjadi hasil dari sekularisme:

Riba--> ekonomi---> Aspek politik --> kurang ditekankan keharamannya

Arak ---> makanan --> aspek agama --> ditekankan keharamannya


2) Riba' adalah asas kepada kitaran ekonomi ideologi kapitalisme

Seluruh aspek politik dan ekonomi dunia hari ini, diatur dengan menggunakan ideologi kapitalisme. Dalam ekonomi kapitalisme, faedah atau lebih tepatnya riba', adalah merupakan asas bagi ekonomi. Bagaimana ia terjadi?

Dunia masih mewarisi kesan ekonomi Islam walaupun secara nadir hinggalah Persidangan Bretton Woods pada 1948. US mahu merompak secara keseluruhan sistem ekonomi dengan menghapuskan sama sekali emas dan perak sebagai bahan tukaran (matawang).

Pada tahun 1973, US menghapuskan samasa sekali sistem mawatang bersandarkan emas dan perak, dan menggantikannya dengan sistem matawang bersandarkan hutan (Debt Based Monetary System). Agak kompleks untuk saya terangkan disini. Tanpa riba' ekonomi ini tidak mampu bergerak dan akan hancur.


لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّباَ وَمُوْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ, وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ
“Rasulullah saw melaknat orang memakan riba, yang memberi makan riba, penulisnya, dan dua orang saksinya. Belia bersabda; Mereka semua sama”. (hari Muslim)


Orang ramai sudah mula sedar tentang keharaman riba'. Kita berterima kasih kepada para pendakwah yang berani menyuarakannya kepada ummat. Ini kerana bukan ramai pendakwah yang berani bercakap tentang riba'. Malah ramai pendakwah dan malah ustaz-ustaz yang bergelumang dengan riba'. Maka mereka berani menyuarakan hukum2 lain, tetapi berdolak-dalik soal riba atau tidak mahu menyentuhnya.

Satu lagi isu berkaitan dengan riba' dan aqad muamalah yang perlu kita jelaskan kepada ummat, adalah berkenaan Islamic Banking. Jika kita kaji praktik, Islamik Banking yang ada di Malaysia hari ini, ia masih transaksi yang bathil dan masih ada riba'. Konsep kepemilikan dalam BBA jelas bathil sedangkan qardhul hasan terang benderang adalah riba'.

Ye, memang ramai ustaz di Malaysia ini, dilatih dan mengkaji untuk mendatang pelbagai dalil dan hujah untuk menghalalkannya. Tetapi, bagi kita sendiri perlu bersikap jujur dalam menilainya, kerana ia pasti dihisab di Yaumil Mahsyar kelak.


Antara pandangan ulama' berkenaan besarnya dosa riba' .

Imam Syaukani dalam Sail al Jiraar, Imam Syarbini dalam al-Iqna' dan Imam Dimyathi dalam i'anat atThaalibin mengemukan pandangan yang senada bahawa....

Riba bukan sekadar dosa besar, tetapi sebesar-besar dosa besar (min akbar alkabaair). Dalam kitab An Nihayah dijelaskan bahwasa dosa riba itu lebih besar dibandingkan dosa zina, mencuri, dan minum khamar.

Rasulullah saw bersabda

“Riba itu mempunyai 73 pintu, yang paling ringan seperti seorang lelaki yang menzinai ibunya, dan sejahat-jahatnya riba adalah mengganggu kehormatan seorang muslim”. (Hadith Riwayat Ibn Majah).

Kenapa hari ini riba' tidak diberi penekanan keharamannya? Jawapannya, kerana riba' menjadi asas bagi sistem ekonomi hari ini, iaitu sistem kapitalisme. Riba' menjadi asas bagi semua mekanisme ekonomi, tanpa riba' ekonomi kapitalisme ini akan hancur. Maka, pemerintah mesti memastikan rakyat menerima riba' sebagai sebahagian dari cara hidup mereka. Untuk memastikan perkara ini berjaya, maka sekali lagi golongan agama, baik ulama, pendakwah dan ustaz dipantau kerajaan melalui Jabatan2 berkaitan agama, agar tidak menekankan masalah riba'. Cuma akhir-akhir ini dengan adanya 'perbankan Islam' , maka masalah riba' mula diketengahkan tetapi dengan cara yang sangat sempit. Apatah lagi ramai golongan agama sendiri yang terlibat dengan riba'. Mereka mahu memilik rumah, kereta Honda dan lain-lain yang hanya mampu dimiliki dengan mudah melalui pinjaman riba'. Apabila kita sudah bergelumang dengan riba', apakah kita tergamak nak mendakwah riba' haram, dosanya sangat besar?

Kita boleh perhatikan, tidak ramai yang berminat mahu membahaskan isu ini. Malah saya sendiri ada bertemu orang yang tak mahu berbincang tentang hukum riba', kerana jika banyak dah tahu nanti serba salah nak terlibat, susahlah nak beli Vios, kondo dsbnya. saya sendiri akui, hanya setelah mengikuti halaqah Hizbut Tahrir, baru saya diajar hukum riba' secara jelas tanpa ada dolak dalik. Sebelum ini, saya diajar riba' memanglah haram, tetapi keadaan hari ini ia diharuskan atau guna 'perbankan Islam'. Saya rasa, itulah yang banyak diajar oleh ustaz dan pendakwah kepada ummat hari ini tentang riba'.

Sekian. wallhu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.