Carian Daripada Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label PENDIDIKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENDIDIKAN. Papar semua catatan

Isnin, Februari 01, 2016

AKU PUN BEKAS GURU PELATIH



Sementara tengah ada mood ni, aku cubalah catat apa-apa yang patut mengenai tugas baharu yang pertama kali aku peroleh. Langsung tidak aku menyangka menjadi guru pembimbing kepada pelatih perguruan amat memeningkan. Ah, mungkin pelatih-pelatih itu yang buat aku pening tapi aku fikir ia bukanlah sebuah masalah pun.

Untuk dua minggu pertama ini, aku tidaklah begitu serius memantau pengajaran mereka di bilik darjah. Masakan tidak, aku sendiri ada kelas yang perlu diberi perhatian. Jika pembimbing lain selama ini kelasnya diganti oleh pelatih mereka, tapi aku tidak sepenuhnya begitu lantaran jumlah masa aku mengajar Tahun 4 itu adalah minima berbanding Tahun 1 yang aku ditugaskan pada tahun ini. Tatkala diajukan pada pentadbir, mereka menyangka aku lebih banyak masa di Tahun 4, namun sebaliknya. Jadi, memang terasa ralatlah aku tak dapat nak pantau mereka hampir kesemua kelas yang telah aku susunkan buat mereka bagi subjek major. Kalau aku dapat masuk pun, maka akan habislah waktu free aku sedangkan tugas2 lain aku perlu hadapi. Sebelum ini sudahlah balik lewat, malah kini, menyambung kerja di rumah. 

Allahu Rabbi. Tiada siapa yang salah. Tidaklah aku menuding jari pada sesiapa melainkan aku rasakan sengaja Allah buka peluang kepadaku untuk melatih meerka berdua tu. Oh, aku bukanlah guru terbaik. Kalau mereka tahu aku ni masih belum berjiwa guru sepenuhnya, alamatnya kredibilitiku boleh dipertikaikanlah. Sungguh sampai ke hari masih bermujahadah menerapkan jiwa murabbi dalam hati. Bukan aku tidak betah menjalankan PdP, namun feel tu kurang sebab aku sendiri ada kelemahannya.

Tadi, dua orang pensyarah mereka mewakili IPGM-KPI hadir membuat lawatan sosial. Rupa-rupanya kedua-duanya adalah pensyarahku dahulu di institut yang sama. Malah, Puan Jamilah juga adalah supervisorku dahulu. Ah, bila bertemu, maka macam-macam ceritalah beliau singkap. Terharu pula aku bilamana beliau masih ingatkan aku sampai berkirim salam menerusi Apai. Aku segan sebenarnya. Lebih-lebih lagi tatkala beliau bercerita cara-caranya membimbing aku beberapa tahun lalu. Hahaha, ya, memang usia perkhidmatanku masih setahun jagung. Tapi harapan guru aku yang itu sangatlah tingi sampai buatkan aku rasa nak demam. 

Mengimbau ketika aku sebagai pelatih guru, Puan Jamilah memang strict yang amat orangnya. Awal-awal lagi beliau dah sebut 'saya nak bagi awak cemerlang'. Aduh, masa tu memang aku kecut perut jugalah. Tapi mujur aku ada guru pembimbing yang hebat, Encik Azami. Memang banyak perkara yang beliau ajarkan. Cuma satu je perkara aku rasa gagal untuk kuasai, tidak lain dan tidak bukan adalah seni khat...hehehe. Tangan saya keras untuk itu. Nasiblah. 

Berbalik kepada supervisorku tadi, bila beliau dah kata begitu, aku pun sahutlah cabaran. Mana boleh tolak-tolak, mampuslah aku kalau berani sangat mengelak. Sudahlah beliau selalu main sergah-sergah. Pernah beliau warning aku gara-gara terlampau melayan budak-budak sampaikan aku belai budak-budak tu time memuji kepandaian mereka atau semasa nak memujuk mereka buat kerja. Katanya, tak payah la baik sangat nak belai-belai sekali pun murid lelaki. Kalau guru perempuan belai murid laki tak mengapa, tapi kalau guru laki, memang perlu elakkan belai-belai mana-mana murid sekali pun murid lelaki kecil. Ah, itu bukan isu besar. Aku terima sahaja teguran itu. Maka, tidak sewenang-wenangnya aku usap kepala bahkan lebih kepada menggunakan seni komunikasi berkesan agar mereka dapat menyerap pengajaran dan arahan aku semasa PdP berlangsung. Tapi kalau mereka kurang mendengar kata, tarik telinga itu biasa juga aku lakukan... hehehe.

Aduh, tak rajin pula aku nak tulis panjang-panjang. Pendek kata, selepas 10 minggu masa tu, aku telah selamat diselia oleh supervisor sekolah dan juga institut. Seperti yang ditekadkan oleh supervisor yang seorang itu, aku diberikan status cemerlang. Tidak selesai di situ, aku menjadi calon rentas cemerlang pula. Aku memang tidak berapa rajin lagi masa tu sebab walau pun berstatus pelatih, aku telah ditaklifkan dengan beberapa tugas lain di sekolah gara-gara aku adalah pelatih KPLI j-QAF yang bakal diserap terus ke sekolah itu. Namun, aku dipujuk beliau untuk sentiasa bersedia. Seperti biasa, dalam pada tiada mood itu pun, aku tetap bersedia sebenarnya.

Pada hari yang berkenaan, entah pensyarah mana aku pun lupa nama datang memantau. Ada dua perkara yang kantoi berlaku. Pertamanya sewaktu PdP aku menggunakan bahan ICT, laptop aku tiba-tiba terpadam gara-gara suis di plug tidak di hidupkan. Aduh. Tapi aku profesional...mana taknya, PdP aku kali ini dirakam oleh pensyarah tu...hehe..entah bagaimana aku cover aku pun tak ingat. Perkara kedua yang berlaku adalah, video camera yang pensyarah tu guna tu kehabisan bateri. Hahaha... kantoi. Masa tu dia suruh aku stop dan carikan bateri baharu. Allah, menggagau aku cari di seluruh makmal komputer tu, namun tiada. Last-last aku teruskan jugalah PdP tu dengan jayanya. Aku tidak berangan-anagan menjadi pelatih paling cemerlang. Cukuplah aku nak buktikan, pelatih lelaki pun boleh direntas cemerlang juga. Malah, aku juga cabar diri aku yang dari awal mengelak nak  masuk maktab di hari pendaftaran bahawasanya, minat yang rendah terhadap kerjaya ini tidak mempunyai hubungan yang signifikan dengan kemahiran pengajaranku. Minat memang boleh dipupuk, tapi dalam kondisi aku ni, bukan saja memupuk, bahkan aku memaksa diri. Ah, padan muka dengan aku. Manakala kemahiran mengajarku pula bolehlah nak dikatakan bagaikan kuah tumpah ke nasi.

Begitu pun, masih terngiang-ngiang jenaka aku dan kawan-kawan sekelas, tatkala memasuki pintu pagar maktab tu, terasa di pintu gerbang tu tertulis 'babul su'bah'...hahaha...hampeh. Su'bah kerana terasa terikat dengan pelbagai peraturan maktab sedangkan semasa zaman di universiti kami memang bebas-sebebas-bebasnya. Kalau di maktab, banyak sungguh peraturannya kena ikut. Siap ada Cikgu Disiplin lagi lah pulak. AJK-AJK asrama (ahli perwakilan pelajar kot) pun ada yang kerek-kerek. Mentang-mentanglah aku pun ada sebaya mereka masa tu, boleh la berlagak...kikiki. Alah,  su'bah-su'bah pun, aku dan kawan-kawan berjaya melaluinya setahun setengah sebagai pelatih KDC. Alhamdulillah...

Aku sambung sikit di hari konvokesyen teruslah. Aku dengar-dengar daripada kawan-kawan, sebanyak 20 orang daripada hampir 300 pelatih batch aku telah direntas cemerlang. Wah, Ramai juga tu. memang tak ada chance la aku jadi dapat pelatih cemerlang prektikum tu. Tapi entah bagaimana, aku terkejut pula bilamana diumum sebagai pelatih cemerlang kokurikulum pula. Ishk, biar betul. Haha... Tak apalah, sudah itu rezeki aku. Aku bukannya aktif di padang. Time PJ pula selalu culas nak ke padang, hehehe. Tapi aku rasa-rasalah, penglibatan aku dalam tugas luar bilik darjah tu yang melayakkan aku dapat anugerah itu. Kokurikulum itu sendiri luas bidangnya. Jadi, kesibukanku di sekolah dengan pelbagai tugas sekali pun semasa berstatus pelatih tu gayanya telah memberikan sesuatu yang bermakna buatku. Apa pun, terima kasihlah buat guru-guruku, tanpa kalian aku tidaklah berada di tahap ini,

Allah... Kemas-kemas aku simpan memori itu, akhirnya Puan Jamilah muncul. Aku bukan sesiapa pun, cikgu biasa seperti yang lain-lain. Namun, pesanan kedua-dua pensyarah itu tadi membuatkan aku perlu berbuat sesuatu. Aku sebenarnya berniat untuk tidak terlalu mengikat mereka berdua. Biarlah mereka meneroka sendiri suasana di sekolah. Aku sendiri banyak kerja nak buat. Kalau aku cerita banyak-banyak karang Puan Jamilah tu tak pasal-pasal sergah aku lagi. Terasa aku ni pun sama-sama kena observe dek beliau....hahaha.

Oklah. Apai, Sopi. Bermula esok kalian tak boleh lari. Ustazah kalian dah bagi warning kat aku agar memastikan apa yang aku alami dan perlolehi semasa menjadi pelatihnya itu juga yang bakal korang dapat. Hehehe... aku tak syadid, aku tak skema, tapi aku dicabar okay. So far, aku masih ada semangat lepas balik ni, tapi entah esok lusa kalau luput semangat tu tak tahulah. Bukankah hati ini Allah yang jaga. Dialah juga yang membolak-balikkan hati kita. Kalau kalian nak cemerlang bagai yang diharapkan pensyarah kalian, doa-doalah aku diberi kelapangan. 

Ya Allah. Semua yang baik datangnya daripadaMu, yang kurang baiknya dah tentu daripada hambaMu yang lalai ini. Wallahu a'lam.












Jumaat, Mei 15, 2015

HARI GURU PADA PERSPEKTIF AKU

16 Mei kembali. Buat tahun ke 6 secara rasminya aku meraikannya. Ops, seharusnya aku diraikannya, namun kerjaya guru ini ajaiblah sangat, Rata-rata di kebanyakan sekolah, sendiri punya perayaan, sendiri yang sambut. Syok sendiri kata orang. Namun, itu tidak menghalang daripada guru-guru di Malaysia mengenepikan 'kesengsaraan' menanggung beban tugasnya selama ini. Biar pun hanya sehari, bila menyanyikan lagu rasmi 'Kami Guru Malaysia', semangat seoalah-olah naik segar dan bugar. Ikrar yang dilafazkan pula seolah-olah mengubat jiwa lara di sebalik rasa sakit jiwa dengan pelbagai karenah murid dan desakan pelbagai arahan atasan. Jelas, Hari Guru sememangnya menjadi penawar kepada guru-guru.

Aku pula tidak merasakan perayaan itu memberi kesan yang besar dalam jiwa aku. Ops, harap tiada yang menganggap aku tidak berjiwa guru mahu pun tidak ada semangat keguruan. Bukan itu maksud aku. Aku ada sebab kenapa begini. Aku akui, hari guru memang wajar diadakan. Namun, dalam masa yang sama ia tidak mengubah apa-apa yang menjadikan aku penat dengan karenah dunia pendidikan. Meraikannya hanya sehari, esoknya kepala kusut kembali. 

Jadi, apa makna Hari Guru kepada aku? Mungkin, meletakkan kembali guru kepada tugas hakikinya adalah sesuatu yang sangat memberi makna pada aku dan kebanyakan malah semua guru. Apalah gunanya meraikannya sehari, dilimpahi dengan pujian dihargai, hadiah pun banyak yang diperolehi, namun dalam masa sama penat pada semalam dan esok hari tetapi berterusan lagi. Namun, terpaksa aku sedari, dunia hari ini sangat mencabar wibawa dan kredibiliti guru-guru. Peranan guru hari ini tidak lagi sama dengan guru suatu masa lalu tidak lagi boleh dibeza-bezakan. Memang jauh bagai langit dengan bumi. Hakikat ini bukan sahaja guru perlu menerimanya, bahkan keluarga, ibu bapa dan seluruh masyarakat perlu mengakuinya. 

Percayalah, zaman berubah, skop kerjaya pon berubah sama. Kepercayaan bahawa kerjaya guru tersangatlah mudah dna senang, guru balik awal dan kerja setengah hari, guru banyak cuti dan tugas guru hanya mengajar sahaja di dalam kelas hanyalah mitos semata-mata. Tidak perlu ditanya 'sebenarnya apa yang susahnya jadi seorang guru?', cukuplah sekadar menghargai pengorbanan guru yang peranannya sangat besar dalam masayarakat. Mana tidaknya, guru adalah ejen kepada perubahan masyarakat. Lebih-lebih lagi guru adalah golongan yang diberi kepercayaan sebagai duta kepada kerajaan dalam melaksanakan pelbagai matlamat dan kehendak kerajaan yang mahu dicorakkan dalam masyarakat. Antaranya, melalui penggubalan kurikulum, penganjuran kempen-kempen dan sebagainya yang memerlukan peranan guru dalam menyebarkannya kepada generasi semasa. 

Apapun, aku sendiri berbangga menjadi seorang guru biarpun tidak aku terjemahkannya melalui kata-kata. Ia lahir dari perasaan yang aku sendiri dapat rasakan serta perlakuanku yang agak sibuk dengan tugas-tugas persekolahan. Syukur juga aku berada di tahap ini. Bersempena dengan Hari Guru kali ini, aku kongsikan beberapa episod asam garam pahit manisku sepanjang tenpoh bergelar seorang guru.

1. Aku tidak ada mimpi untuk menjadi seorang guru biar pun peratus komposisi kerjaya bagi keluarga nukleus aku di sebelah mak agak besar berbanding kerjaya lain yang pelbagai dari atok, mak, pakcik dan makcik serta sepupu sepapat aku juga. Dalam kalangan keluarga yang lebih berkembang lagi, di peringkat dua pupu ke tiga pupuku pun ramai yang jadi cikgu. Jadi, aku dah nampak ke'susaha'an tugas guru tu sebelum aku menjadi seperti mereka kini.

2. Tatkala di tahun akhir pengajian degree, rakan-rakan satu fakulti kebanyakannya mula sibuk mencari kerja sama ada untuk sementara mahu pun tetap apabila sudah bergraduasi nanti. Dalam pada tu, mereka juga sibuk mengisi borang on-line KPLI dan aku pun kerana sekadar mahu mengikut tanpa ada niat, turut sama mengisinya, Aduh, akhirnya dapat pada percubaan kali pertama!

3. Semasa sesi temuduga, aku ditanya kesediaan untuk dihantar ke Malaysia Timur, spontan aku jawab tak mahu dengan memberi alasan yang aku kira munasabah biarpun klise. Nasiblah. Cukuplah dalam kawasan Malaysia Barat di negeri Pantai Barat sahaja. Tapi, yang tak disangkanya dapat tempat di Bangi sahaja. Sudahlah aku graduan dari UKM Bangi, maktab pula IPGM KPI Bangi. Tidak cukup dengan itu, selepas 2 minggu orientasi, ada sesi tukar penempatan suka sama suka, ada yang mahu mengambil sekolah aku dan aku pula ditawarkan sekolah di Sepang, yang tentunya lebih dekat dengan rumah aku. Lalu, apa lagi alasan aku untuk tidak menerimanya?

4. Pada hari pertama Pendaftaran, abah berprejudis terhadap aku sampaikan abah memfolow kereta aku dari jauh semata-mata mahu pastikan aku menuju ke destinasi. Takut-takut aku menyimpang ke tempat lain dan terlepas daripada pendaftaran masuk maktab. Urrghh... sampai begitu sekali. Dah tamat taklimat awal, abah call cakap dia berada di dl luar dewan!

5. Hari pertama melapor diri, aku tidak menyangka Guru Besar sekolah aku ni adalah bekas guru aku di waktu aku bersekolah rendah. Malah, ada seorang lagi bekas guru aku di sekolah yang sama di mana kedua-duanya jga adalah rakan setugas mak sebelum itu. Tidak kurang juga, beberapa orang guru lain adalah orang sekampun denganku. Aduh, segan sungguh bila bekas cikgu sendiri sekarang jadi rakan setugas. Keadaan ini membuatkan aku merasa selesa dan rasa dalam perlindungan. Entah kerana apa, hanya hati aku yang merasakannya.

6. Sejak bertahun-tahun aku posting, aku sangat suka mengajar Tahun Satu secara dominan. Tiap-tiap tahun aku tawar diri ajar mereka biar sedangkan rakan-rakan lain mengelak-ngelak daripadanya. Namun tahun ini aku cuba buat anjakan paradigma untuk mengajar murid Tahun 4 secara dominan. Rupa-rupanya, memang lebih bahagia kalau ajar murid besar sedikit berbanding murid-murid kecil. Aduh, kalau tahu, dari dulu aku minta. Tapi jujunya, kepuasan lebih diperolehi apabila mengajar Tahun 1. Sebab apa? Carilah jawapan sendiri.

7. Aku seorang guru yang baik. Baik di sini adalah mengikut definisi budak-budaklah. Kononnya aku tak mudah marah macam cikgu lain. Tapi sebenarnya, mereka tulah yang tak makan saman bila aku marah-marah. Ada pula yang semakin aku marah, makin galak dia nak buat salah. Bukan tak pernah aku lempang, cubit, rotan tapi mereka dikir aku olok-olok aje. Lagi sakit jiwa ada yang masih tersengih sumbing bila aku denda mereka. Memang segaja nak buat hati aku sakit kot tapi aku sabarkan aje. Memang aku maraj, tapi agaknya muka aku nampak macam tak marah. Apa nak buat. Itu bukan anugerah yang diberikan Allah kepadaku. Tatkala kawan-kawan aku dari jauh menapak murid-murid dah gerun mendengarnya, aku pula bair pun dah masuk kelas masih ada yang bising dan bermaon-main. Nak angin satu badan kadang-kadang tak menjadi. Agak-agak ada tak kursus yang boleh buat aku di'takuti' oleh murid-murid? Bila keadaan macam ni aku rasa tak direspect oleh mereka. Mentang-mentang aku jenis melayan mereka, mereka boleh negotiate macam-macam dengan aku. Ramai juga yang datang pinjam seringgit dua kat aku kalau tak bawa duit belanja atau duit hilang. Selamba sungguh. Tapi tak apa, dalam pada ada yang garang, biarlah aku jadi yang tak garang. Balance sikit..hihi.

8. Aku sangat tak heran dengan sambutan hari guru lebih-lebih lagi kalau pasal hadiah. Apa yang diberi aku terima dengan senang hati. Jujurnya, saham aku dari tahun ke tahun merosot sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun. Kalau di 2 3 tahun pertama beberapa helai plastik oren yang besar tu penuh hadiah ku jinjit masuk ke kereta. Tapi semakin lama semakin kurang pula biarpun tidaklah ketara jumlahnya dari masa ke masa. Tak apa, rodakan sentiasa berpusing, redha je lah. Lagi pun, itu bukan matlamat aku dan kebanyakan guru yang lain juga. Yang penting, ucapan penghargaan yang perlu diutamakan.

9. Biarpun masih di kira setahun jagung (sebenarnya dah banyak jagung pun) jadi seorang guru, macanm-macam tugas telah aku galas. Dan, aku suka untuk bertukar-tukar tugas dan jawatan atas dasar ingin belajar sesuatu yang baharu malah yang berminat dengan jiwa raga ku. Ada yang aku tak minta kerana tiada kemahiran, memang aku elak seboleh-bolehnya. Mana yang aku rasa boleh buat, memang aku terima dan buat sehabis baik. Yelah, nobody is perfect, tapi bila dapat tugas, memang kenalah buat yang terbaik.

10. Antara perkara yang best sepanjang perkhidmatan yang masih pendek ni, aku berjaya membawa nama sekolah ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan kantin bersih anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku juga berbangga dengan pencapaian murid-murid yang aku latih khususnya dalam acara nasyid, dikir barat dan catur. AKu bukanlah jurulatih yang baik, tapi aku sedaya upaya buat yang terbaik dengan kerjasama kawan-kawan lain yang tentunya kejayaan yang dicapai adalah hasil usahasama bersama-sama.

11. Antara perkara yang kurang best adalah apabila ada tugasan yang aku buat tidak menyerlah dan kurang berjaya sekaligus mungkin tidak dapat menaikkan nama sekolah. Antara lain aku sangat bimbang bila berada dalam situasi tegang dalam perhubungan interpersonal sesama rakan setugas. Sungguh, tak mudah berurusan dengan mereka yang sukar untuk dibawa runding selain tidak menunjukkan minat untuk bersama-sama menyelesaikan sesuatu isu. Namun, aku beroptimis, mendung kan berarak pergi, sinat mentari kan kembali terangi.

12. Aku tidak percaya, dalam tempoh beberapa tahun berkhidmat, aku mendapat APC yang sepatutnya aku hargai dengan gembira, tapi bilamana kelayakanku dipertikaikan, aku jadi sangat kesal dan ralat untuk menerimanya. Memang aku muda dan baru lagi untuk diberikan penghargaan itu, aku akui. Jadi, tatkala orang lain gembira tersenyum bangga menerimanya, aku pula di sebaliknya. Sebab itu aku rasakan, aku perlu sentiasa buktikan peranan aku di sekolah benar-benar memberi impak yang tersendiri. Bukan biasa-biasa. Insya ALLAH, dalam mengejar matlamat dunia, harap-harap ia seiring dengan kehendak akhirat. Apa gunanya dikenal oleh manusia, sedangkan di sisi Allah aku bukanlah sesiapa. Jadi, niatku perlu sentiasa lurus dan tidak ada simpang siurnya.

13. Aku patut bersyukur kerana dengan kerjaya aku ni, aku dapat belajar macam-macam perkara. Malah, ada perkara yang dulunya aku tak mampu, tak terdaya malah tak terpandai atau tak berpeluang melakukannya, kini aku memperolehinya. Contohnya, aku obses dengan catur dan nasyid, dulu peluangku terhad, kini aku berkecimpung secara tidak langsung dengannya dengan menjadi juruletih. Letih kerana aku sendiri tak pakar namun kerana amanah dan tugas, aku usahakannya. Aku minta dengan penulisan dan pengurusan, akhirnya kini aku berpeluang besar dalam dunia penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah buku di pasaran. Dalam pengurusan, biarpun dulu bercuta-cita mahu bekerja di ofis, namun di sekolah, aku ni juga dah memang macam officer. Nasiblah.

14. Dulu aku nak sambung belajar selepas berdegree, abah tak bagi atas alasan tiada gunanya master PhD kalau tidak berada di aliran pendidikan. Memang niat aku waktu tu nak mengatasi pencapaian abah dalam akademik. Tapi bila dah berada di aliran ini, tanpa banyak soal, abah benarkan aku sambung juga. Kini, aku terfikir-fikir untuk menyambung lagi ke peringat seterusnya, namun abah macam tak bagi lah pula. Mana taknya, sekolah punya kerja pun tak habis-habis sampaikan balik pun dah tak berwaktu, tidur pun tak menentu ada hati pula dan menambah beban belajar lagi. Allahu rabbi... permudahkanlah urusan aku.

15. Memandangkan aku suka kepada sesuatu yang baharu, maka aku memang sedia untuk mengikuti sebarang kursus, bengkel dan latihan yang berkaitan yang tentunya aku berminat dengannya. Antara ilmu yang aku dapati adalah melalui kursus penulisan buku, skrip drama, pembikinan video pendidikan, pembentang seminar pendidikan, VLE Frog, team ujirentas KSSR/KSSM sebagai penganalisis data, bengkes ilustrasi dan bermacam-macam lagi. Namun malangnya, tidak semua dapat aku aplikasikannya disebabkan aku sedari betapa tugasan pengajaran adalah lebih hakiki untuk aku fokuskan. Dalam pada tu ada beberapa perkara lain yang aku minat namun masih tak diberi ruang dan peluang untk mengikutinya. Tak apalah, apa yang ada pun tidak mampu ku laksanakan lagi.

Fuhh... banyak juga aku punya kisah ni. Ingatkan sikit je. Nampak sangat 6 tahun tu merupakan tempoh yang boleh dianggap sebagai senior. Jadi, aku perlu pastikan 6 tahun itu adalah masa aku menambah pengalaman, bukan aku mengulang pengalaman di tahun pertama untuk tahun-tahun selepasnya. Memang lain ertinya tu. Jadi, dengan tema Hari Guru 2015 ini, Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak, aku berharap aku benar-benar dapat menjadi murabbi, mudarris, muaddib, muallim dan lain-lain gelaran mulia pada pandangan masyarakat untuk terus berkhidmta dan berbakti. Sungguh, pada saat ini pun, aku masih merasakan aku bukanlah guru yang baik apatahlagi terbaik. Banyak kelemahan yang aku perlu tampal dan perbaiki. Tiap-tiap hari aku berdoa agar murid-muridku memahami dan mengaplikasikan ilmu yang ku beri dalam kehidupan mereka. Pada guru-guruku, rakan-rakan guru dan sesiapa yang pernah mengajarku walau satu ilmu, aku ucapkan, SELAMAT HARI GURU. Wallahu a'lam.

Ahad, Disember 08, 2013

ASATIZ & ASATIZAH @ BENGKEL PENULISAN BUKU BERGAMBAR BERUNSUR ISLAM BPI-PKB

Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Bahagian Pendidikan Islam telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kota Buku untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia penulisan buku bergambar kanak-kanak berunsur Islam. Melalui penyertaan daripada guru-guru Pendidikan Islam & Bahasa Arab seramai 30 orang, kumpulan ini telah didedahkan dengan latarbelakang dunia buku bergambar dan asas-asas dalam menyediakan ilustrator di bawah bimbingan Puan Hjh. Naemah dan Pak Usop Gajah. Program ini berlangsung selama tiga bulan dengan pertemuan sebanyak tiga kali di tiga tempat berbeza sekitar Lembah Klang. Biar pun pada awalnya kebayakan daripada peserta meragui kemampuan masing-masing, namun di akhir program setiap perserta berjaya menghasilkan karya masing-masing dalam pelbagai tajuk dan tema. Program ini benar-benar bermanfaat di mana selain dapat memberi peluang kepada para guru berkarya, ia juga sebagai satu jihad dan dakwah para guru melalui mata pena hingga tidak keterlaluan untuk kumpulan ini digelar sebagai Da'ie Pena merentasi dunia tanpa sempadan dengan penerbitan utamanya adalah dalam bentuk e-book. 



Hujan, Nyamuk dan Semut. 
Err... dah lupa tajuk apa ni. 
Lupa siapa punya ni. 
Teka sendirilah. X ingat. 
Ni saya kenal siapa punya. 
Tak tahu tajuk apa. 
Hasil sendiri dengan penat lelah n susah payah :P 
Nampak Cik Mon lebih menyerlah dalam kelompok ini :D 
Mana squirellnya ya?  
Cantik dan kreatif.  
Buntal dan Lebah 
Semua lukisan sama sebab dari company yang sama :D  
Persediaan untuk pameran.
Cenderahati daripada Kak Nalia daripada SMK Seri Puteri, Cyberjaya.
Encik Haziq dan Encik Irween selaku penyelaras program yang komited dalam menjalankan tugas.
Kumpulan Anak-Anak Encik Supeni yang diam-diam ubi berisi :D
Kak Zarina dengan karya madu lebahnya.
Tuan Ruzain dengan karya 5 Jari. Rupa-rupanya dia pun buat jugak :) 
Kak Sarah dengan biji sawinya yang xkelihatan di mana sawinya :D 
Masa di awal program ni, saya rasa macam nak lari je bilamana di suruh lukis sendiri :))
Puan Naemah men'touch-up'kan ilustrasi saya yang tak berapa lawa.
Tertarik dengan buku bergambar yang ini. Lukisan pakai thumbprint, buruk tapi lawa, boleh je terjual :D
Pak Usop Gajah memberi panduan dan idea bagaimana menghasilkan ilustrasi untuk buku kanak-kanak.
Puan Yati yang menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kami. Bila beliau melihat hasilnya, beliau sendiri yang terkejut :P
Tuan Ruzain yang tak jemu-jemu memberi semangat kepada kami.  
Masing-masing tekun melukis, last-last ramai yang upah orang :D
Khafizan termenung sebelum squirellnya muncul di kepala :P

Cik Ma berilustrasi. Last-last upah orang seberang lukis :))
Punyalah saya percaya Abg Azman ni lukis sendiri, tapi rupa-rupanya... :)
Puan Hjh. Naemah menunjukkan contoh karya Kumpulan Art Genting kepada peserta.
Kesungguhan pada hasil karya Makanan Sunnah Kak Mimi berhasil akhirnya.
Dr. Shamsu kreatif dengan kerajinannya menghasilkan Buntalnya. Saya tak rajin :D 
Encik Haziq tak ketinggalan membuat ilustrasi. Namun, x nampak pula mana hasilnya di akhir program :P
Touch-up di saat-saat akhir sebelum pameran diadakan.
Siapa antara kita yang akak ke Bologna dengan karyanya? :D

Setelah saya mencongak-congak, 5 karya terbaik secara peribadi berdasarkan teks dan ilustrasi adalah....

- Waktu solat - Kak Azimah
- Buntal - Dr. Shamsu
- Cik Mon - Ustaz Wan
- Lebah - Kak Zarina
- Puasa - Abg. Azman

Semoga ukhwah kita berterusan walau pun program ni sudah berakhir :P




Sabtu, Oktober 26, 2013

Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru di Le Grandeur

Hotel Le Grandeur menyaksikan lebih 300 guru-guru dan kakitangan akademik berhimpun selama 3 hari bermula 22 Oktober 2013 dalam Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2013. Dengan tema Membudayakan Kecemerlangan Guru Melalui Amalan Terbaik, program ini sangat memberi manfaat kepada semua peserta dan hadirin yang datang dari seluruh negara. Majlis pembukaan yang telah dirasmikan oleh YB Tuan P. Kamalanathan selaku Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Dalam program ini, semua jabatan pelajaran negeri telah mempamerkan inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru di negeri masing-masing di mana Jabatan Pendidikan Selangor telah menjadi johan dalam pertandingan inovasi bagi tahun ini di peringkat kebangsaan. Sementara itu, melalui konvensyen ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia telah diberi peluang untuk menyertai program ini di mana lebih 30 judul buku kanak-kanak yang telah dihasilkan oleh guru-guru di sekuruh negara telah dipamerkan dan dijual. Program ini dilihat sebagai medium untuk memperkenalkan penulis-penulis dalam kalangan guru yang kebanyakannya baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan.  

Melihat lebih dekat gimik perasmian oleh perasmi.

Di pentas utama selepas tamat majlis perasmian.

Majlis makan malam.

Salah seorang perserta membentangkan tajuk.
Booth Pengkarya Guru 2013.

Pengkarya dalam kalangan guru teruja dengan karya masing-masing.

Kumpulan Pelangi Novel bersama editor merangkap mentor.

Bos Besar Pelangi yang terlebih exited datang dari Kuala Lumpur bersama pegawai MBKM dan penulis-penulis.

Buku saya, Memori Istana Lama yang dipamerkan. Ramai meneka ia istana di negeri Perak, tetapi bukan! hehe...

Sijil bernilai RM5.00??? Argh, saya tertipu :D

Tak sangka, terjumpa guru saya semasa tingkatan 1 di SAMTTAR. Beliau pun tak menyangka anak muridnya dah besar panjang! Beliau merupakan urusetia dalam kalangan pegawai di BPG.

Orang kuat Program Pengkarya Guru 2013. Tahniah atas usaha. Tanpa anda, boleh jadi sampai sekarang buku saya tak terbit.

Khamis, September 12, 2013

Salah Laku Murid dan CCTV Di Dalam Tandas

CCTV dalam tandas sekolah? Kedengarannya sesuatu yang menarik untuk diaplikasikan. Jika selalunya ia dijumpai di pusat membeli belah, pejabat mahupun di lebuhraya, kini ia dipasang meluas hingga ke dalam rumah dan premis sekolah. Ia tercetus apabila beberapa kes buruk berlaku yang mengakibatkan maslahah nyawa dan keselamatan seseorang hingga memerlukan tinjauan melalui alat berkenaan dilakukan. Malah masalah-masalah lain berkaitan tingkahlaku dan sikap buruk yang dilakukan tanpa diketahui pihak lain hingga menimbulkan kerugian dan penyelewengan dilihat dapat di atasi dengan cara ini.

Jika pemasangan di rumah kebelakangan ini adalah rentetan daripada beberapa kes penderaan pembantu rumah terhadap anak majikan di negara ini, di sekolah juga ada kesnya yang seumpamanya berlaku hingga meresahkan banyak pihak. Malah, pemantauan terhadap pembantu rumah melalui CCTV dilihat dapat mengekang sikap curi tulang, kecurian dan seumpamanya. Begitu juga di sekolah, ia juga dapat mengekang kelakuan negaif murid secara langsung seperti merokok, vandalisme dan seumpamanya. Oleh yang demikian, jika pemasangan di rumah tidak menjadi isu kepada masyarakat, malah bersetuju cara itu dapat mencapai matlamatnya yang tersendiri, namun kenapa tidak di premis sekolah?

Tatkala sekolah diyakini sebagai tempat untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak mulia, kes-kes disiplin seperti merokok, membuli, mengugut, mencuri, ponteng kelas dan seumpamanya tidak langsung hilang daripada kedengaran di mana-mana sekolah. Sama ada di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah isu sebegini kerap berlaku. Begitu juga sama ada di sekolah berasrama atau sekolah harian, situasinya tetap sama. Bahkan tidak ada lagi beza murid lelaki dan murid perempuan bilamana kes sebegitu juga berlaku kepada kedua-dua kelompok jantina itu. Malah tidak kurang juga ianya berlaku sama ada di luar atau di dalam kawasan sekolah. Dengan kata lain, isu ini seolah-olah sukar dibendung dan tetap berleluasa hingga memberikan perspektif negatif terhadap sekolah dan guru secara amnya oleh ibu bapa dan masyarakat luar.

Soalnya, benarkah hanya sekolah yang dianggap sebagai pusat membina akhlak dan peribadi mulia terhadap diri seorang murid? Adakah peranan guru lebih besar dan utama berbanding ibu bapa untuk memastikan akhlak dan peribadi mulia mereka diamalkan di luar sekolah? Atau salah pihak berwajib yang tidak menjalankan pemantauan terhadap salah laku dan kebejatan sosial seperti itu di luar dan tempat awam? Salah rakan sebayakah atau salah media massa yang memaparkan adegan negatif dan aksi buruk di media cetak dan kaca tv? Atau salah diri murid sendiri kerana mudah terpengaruh dengan situasi semasa walaupun telah dinasihati dan diterap dengan nilai-nilai murni oleh ibu bapa di rumah dan guru di sekolah?

Ramai ibu bapa mengadu betapa sukarnya mengawal anak-anak bilamana mereka tidak ada di hadapan mata. Mungkin kerana sibuk bekerja dan mencari wang demi kelangsungan hidup, tiada siapa boleh menafikannya. Boleh jadi juga kerana diri tidak mampu hendak membendung sikap anak-anak yang makin liar dan tidak terkawal. Lalu kepada guru-gurulah tempat untuk diluahkan perasaan. Mujur masih diakui sikap dan tingkahlaku anak-anak yang membesar di depan mata. Bagi yang ego tinggi, langsung menafikan sikap dan tingkahlaku yang bermasalah daripada anak-anak hingga tatkala laporan daripada sekolah mengenai salah laku disiplin di sampaikan, tidak langsung diterima gara-gara anak yang berada di sisi bermanis muka dan lembut lidah bagai memijak semut pun tak mati. Apa yang berlaku, guru di sekolah merasa terbeban dengan situasi sebegini kerana bukan mudah untuk menguruskan manusia yang berbeza latar belakang, masalah dan sikap. Harapan guru-guru adalah kerjasama daripada pihak lain terutamanya ibu bapa diperlukan bagi membanterasnya dari semasa ke semasa. Namun, seringkali kerjasama seperti itu tidak wujud atau jika wujud ia tidak memberi kesan yang besar.

Oleh yang demikian, sebagai cara membuktikan salah laku murid di sekolah, pemasangan CCTV dilihat satu inovasi yang sesuai di zaman teknologi ini. Mungkin yang menjadi isunya adalah kerana ianya dipasang di tandas. Namun jika diperhalusi sebenarnya sebenarnya ia sesuatu yang memberi faedah yang tersendiri memandangkan rata-rata sekolah mendapati tandas murid menjadi tempat popular kepada murid-murid untuk melakukan perkara yang negatif. Tidak terhad kepada masalah buli, kes-kes lain seperti merokok hatta menconteng dinding tandas pun boleh dibanteras melalui alat ini.  Bahkan tugas guru terutamanya guru disiplin akan semakin mudah tanpa perlu memantau dan menyiasat dalam masa yang lama untuk 'menangkap' murid yang terlibat, malah tatkala aduan dan laporan di bawa kepada ibu bapa, ia boleh menjadi bukti yang tuntas tanpa boleh dielak dan dinafikan lagi oleh murid terbabit.

Bagaimana pun, pemasangan CCTV ini perlulah diperhalusi lagi agar tidak timbul sebarang isu berkaitan di kemudian hari. Antaranya isu pemasangan di tandas murid perempuan yang jelas melanggar hak privasi, atau masalah penyelenggaraan berkaitan kos akibat daripada kerosakan atau dirosakkan dikemudian hari. Apapun, perbincangan lanjut antara pihak sekolah dan ibu bapa harus ada demi mencapai kata sepakat berdasarkan isu utamanya iaitu membanteras salah laku murid di dalam kawasan sekolah. Malah, isu pemasangan CCTV tentunya menjadi polemik yang hebat dalam kalangan masyarakat walaupun tujuan asalnya adalah baik dan rasional pada perkiraan pihak sekolah.







Ahad, Mei 26, 2013

CADANGAN PENYELESAIAN ISU DALAM PENDIDIKAN



Sejak akhir-akhir ini, banyak isu berkaitan guru dan pendidikan timbul. Ia ketara sejak sebelum PRU13 bermula di mana keluh-kesah guru yang selama ini dipandang sepi oleh pihak kementerian dan kerajaan persekutuan mula diambil perhatian. Gara-gara janji untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang dihadapi guru-guru selama ini membuatkan semangat guru seolah-olah bangkit semula. walaupun ramai mengetahui mungkin ia adalah salah satu retorik persis janji-janji manis terdahulu, ia masih mampu menarik kepercayaan mereka untuk terus menyokong kerajaan. Namun, tatkala jalan penyelesaian itu dijanjikan berlaku selepas pilihanraya, ramai yang memberi persepsi berbeza-beza. Pokoknya keadaan ini dilihat seolah-olah isu ini dipermain-mainkan sekaligus menunjukkan sikap tidak ikhlas untuk mencari formula sesuai untuk meningkatkan keupayaan sistem pendidikan negara termasuk hal-hal yang bersangkut-paut dengannya. Seharusnya ia seharusnya diselesaikan sesegara mungkin, bukan menarik tali memperjudikannya kerana di akhirnya nanti yang rugi adalah negara dan masyarakat juga. 

Kini, selepas tamatnya PRU13, masih tidak nampak apakah jalan penyelesaian untuk merungkai semua isu yang timbul. Apa yang terpapar di media adalah beberapa istilah yang selama ni telah digunapakai ditukar kepada istilah lain yang turut telah digunapakai sebelumnya seperti 'pelajaran kepada pendidikan' untuk penjenamaan semula KPM, 'Malaysia kepada Melayu' untuk pemantapan Bahasa Kebangsaan dan 'putra kepada pertanian' untuk nama UPM. Apa yang kelihatan, sebarang nama dan istulah yang diberikan pun, ia tidak memberi impak yang besar kepada sistem pendidikan negara malah ada sebahagaian pihak menganggap ia sekadar membazirkan wang rakyat untuk penjemaan semula perkara-perkara di atas sedangkan apa yang penting adalah peranannya.

Oleh yang demikian,  melalui sebuah artikel yang ditulis oleh wakil guru di sini, terdapat beberapa cadangan kepada pihak berkenaan sebagai jalan keluar kepada kemelut yang wujud. Barangkali pihak berkenaan dalam kebuntuan hingga tidak nampak jalan yang sesuai untuk mengatasi masalah pendidikan dan keguruan.


1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1 Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada setiap hari di sebelah petang.
Saya tidak pasti sama ada cadangan ini sesuai dilaksanakan atau tidak. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menginginkan potensi murid-murid merangkumi aspek JERIS, maka ia tidak harus menjurus kepada satu-satu cabang kokurikulum sahaja. Adalah tidak wajar jika seorang murid mendalami sukan tanpa mempelajari kebudayaan dan sebaliknya. Tetapi dari cadangan ini juga boleh dicadangkan, guru-guru hanya terlibat dalam salah satu cabang kokurikulum sahaja dan perlu pakar dan mahir dalam bidang berkenaan sama ada sukan, kebudayaan dan seumpamanya bagi memastikan kepakaran mereka tidak disia-siakan  dan dimanfaatkan sebaiknya.
2. Begitu juga dengan majlis rasmi di sekolah, Kementerian Pelajaran boleh menetapkan beberapa acara rasmi sahaja untuk dijalankan setiap tahun dan diselaraskan untuk semua sekolah.
Cadangan ini sesuatu yang harus diteliti semula. Sebenarnya jika disedari, program-program yang dijalankan di sekolah amat banyak. Daripada program panitia, hal ehwal murid dan kokurikulum, ia dilihat seolah-olah dalam setahun waktu PdP banyak mengalami pengurangan. Ya, semua program yang dianjurkan ada manfaatnya, tetapi jika proses PdP banyak dikorbankan, yang rugi murid juga. Jika diteliti, selain program-program kokurikulum, program anjuran Panitia Pendidikan Islam juga sangat banyak. Ini berikutan panitia ini dilihat sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan hari-hari kebsaran Islam seperti israk mikraj, awal muharam, ihya ramadhan dan seumpamanya selain aktiviti koakademik yang bermacam-macam. Jadi, cadangan mengehadkan aktiviti di sekolah seharusnya diterima dengan membuat perancangan awal dan diamsukkan di dalam takwim. Apa yang selalunya terjadi, banyak pula program lain yang tidak dimasukkan di dalam takwim dijalankan secara ad-hock.
3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.
Pada saya, pihak atasan dalam kalangan pegawai di kementerian, jabatan dan pejabat pelajaran harus seia sekata dalam memberikan arahan. Realiti yang berlaku guru-guru di sekolah terpaksa menerima tekanan yang diterima daripada pihak-pihak atasan yang berlagak pandai dan serba tahu. Seharusnya guru-guru tidak harus tertekan dengan tugsan sampingan dalam menguruskan fail kerana bidang dan kepakaranannya adalah mengajar dan bukan menguruskan fail. Tidak salah untuk guru diberikan tangungjawab itu, tetapi ia seharusnya tidak ada percanggahan arahan dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak atasan.
4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja mengisi data.
Saya tidak merasakan cadangan ini harus diterima bulat-bulat. Tetapi apa yang harus dilakukan adalah, mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya dengan memastikan sistem ini dapat digunakan sebaiknya. Tidak sedikit laporan yang didengar mengenai kelemahan sistem atas talian yang diperkenalkan untuk tugasan-tugasan pengkeranian termasuk mengisi markah dan prestasi murid, tetapi penambahbaikannya tidak begitu mesra pengguna hingga menyebabkan banyak masa guru terbuang di depan skrin komputer biarpun ketika itu guru berada di rumah. Tatkala kakitangan di jabatan lain pulang ke rumah tanpa membawa kerja mereka, kalangan guru adalah sebaliknya. Dalam tempoh tidak mengajar beberapa waktu di sekolah, ia tidak mencukupi untuk guru menyelesaikan semua kerja dan tugasnya sekaligus dalam masa yang tepat.
5. Saya mewakili guru-guru dan saya juga sebagai ibubapa menasihatkan Kementerian Pelajaran untuk menghentikan PBS serta merta demi masa depan anak-anak kami. Jangan bazirkan waktu mereka di sekolah dengan PBS lagi.
Ramai yang melihat PBS ni satu sistem yang baru diperkenalkan ini baik untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi bilamana pendidikan berasaskan peperiksaan semata-mata membuatkan murid sekadar cemerlang di atas kertas tetapi penghayatan ilmunya tiada. Namun dalam masa yang sama ia tidak sesuai dilaksanakan apabila mengambil kira keadaan dan situasi sekolah dan guru di Malaysia. Dengan jumlah murid yang ramai dalam sesebuah kelas dan lambakan tugas sampingan guru yang lain, adalah mustahil untuk PBS ini dilaksanakn dengan sebaiknya. Pihak kementerian seharusnya meneliti semula dengan mengambil kira aspek lain untuk memastikan kekeberkesanan sistem ini dilaksanakan pada beberapa tahun akan datang.

6. Jika pihak Kementerian Pelajaran malu untuk mengakui kesilapan mereka dan takut ego mereka tercalar, jalankanlah PBS tetapi bukan dengan cara penyediaan beratus ‘evidence’ yang perlu ditanda, difailkan dan kemudian diisi pula dalam SPPBS kerana ianya membebankan guru-guru dan langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelajar

Cadangan di atas ini mungkin kelihatan kelakar. Tetapi tidak salah untuk pihak-pihak berkaitan mempertimbangkannya demi kemaslahan semua pihak terlibat. Secara peribadi diakui tugasan ini sangat berkaitan dengan tugasan seorang guru, namun ia harus disemak semula bagaimana untuk dilaksanakan dengan sempurna. Cukuplah selama ini guru sebagai radas yang menjadikan murid sebagai tikus makmal dalam proses ujikaji yang dijalankan oleh pihak kementerian sebagai saintis yang hebat sedangkan telah banyak contoh dilihat yang mengakami kegagalan dan tida, berkesan gara-gara ia dijalankan atas dasar kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Apapun cadangan yang diberikan, guru-guru masih meyakini pihak atasan mempunyai formulanya yang tersendiri untuk mengatasi segala masalah yang dikemukakan. Cuma bilakan jalan penyelesaian itu hendak dikemukakan, ia masih menjadi tanda tanya. Biarpun pelbagai pengalaman pahit yang diterima darpada isu dalam menyelsaikan masalah berbangkit berkaitan pendidikan dan keguruan, guru-guru masih komited menjalankan tugas mereka. Biarlah orang kata mereka tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana merungut dan mengadu itu ini, tetapi ia bukan untuk kepentingan mereka. Selaku ejen perubahan masyarakat, mereka berhak menyuarakan cadangan agar sistem pendidikan berjalan dengan baik dan kemas lantaran mereka adalah kelompok yang berada dalam landasan pendidikan secara langsung sebagai pelaksana yang tentunya mengetahui salah, silap dan kepincangan yang ada dari masa ke masa.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.