Carian Daripada Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label PESTA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PESTA. Papar semua catatan

Ahad, Mei 08, 2016

Apabila PBAKL16 di MAEPS...


Berita Harian: 10 Mei 2016 (Selasa) dalam ruangan Forum Pembaca.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 hari ni berada pada hari ke 10. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan pelbagai matlamat dan tujuan. Tentunya ia lebih mengkhusus ke arah perkara berkaitan dengan buku. Perbezaan ketara pada kali ini, ia julung2 kalinya dibuat di luar Kuala Lumpur hingga mencetuskan polemik tersendiri atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS, Serdang.

                Pada awal cadangan ini diwar-warkan kepada umum, ramai yang menyuarakan bantahan. Bukan sahaja masyarakat umum bahkan para pempamer turut bersuara menolak PBAKL16 berlangsung di MAEPS. Alasan yang sering diberikan, MAEPS jauh daripada lokasi asal sekali gus mempersoalkan signifikan nama Pesta Buku Antrabangsa Kuala Lumpur yang tidak lagi berada di Kuala Lumpur. Terfikir pula, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak di Sepang, Selangor tidak pula menjadi isu selama ini, jadi tidak ada salahnya lokasi PBAKL16 pada tahun ini adalah di Serdang, Selangor.

Dalam aspek akses ke MAEPS, ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang efisyen. Sekali pun MAEPS dilihat tidak terasing di tengah-tengah jalinan lebuh raya persekutuan dan negeri serta berdekatan dengan kawasan perindustrian Bangi dan pusat pemerintahan kerajaan persekutuan Putrajaya, isu pengangkutan awam sememangnya menjadi masalah. Kebimbangan ini wujud berdasarkan pengalaman masyarakat yang merujuk kepada penganjuran MAHA pada setiap tahun di lokasi yang sama. Bagi yang berkenderaan, ia sangat mudah lebih-lebih lagi kawasan itu kurang terdedah dengan masalah kesesakan lalu lintas jika dibandingkan dengan di PWTC di tengah-tengah kota raya. Bagi masyarakat lain seperti pelajar, ia diakui sangat sukar. Berbanding di PWTC, akses pengangkutan awam jelas sangat membantu semua lapisan masyarakat untuk sampai ke lokasi.

Selain isu pengangkutan, masyarakat melihat kawasan MAEPS sendiri kurang mesra pengunjung. Pada hari-hari pertama penganjurannya tempoh hari, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati atas ketiadaan lokasi solat Jumaat terdekat jika dibandingkan dengan PWTC yang mendapat tauliah / kebenaran menjalankan solat Jumaat di premis itu. Selain itu, kawasan tersebut jauh daripada mana-mana lokasi penginapan berbanding di PWTC yang banyak penginapan di sekitarnya.  Bahkan, kemudahan mesin ATM  yang hanya sebuah turut menjadi isu.

Soalnya, adakah MBKM selaku penganjur sengaja mencari masalah dengan menukarkan lokasi PBAKL16 yang memang pada asalnya di PWTC seperti tahun-tahun sebelumnya ke MAEPS? Berkali-kali pihak penganjur telah menjelaskan keperluan penukaran lokasi itu. Ia terpaksa dilakukan atas beberapa alasan yang munasabah memandangkan PBAKL ini adalah program mega dan melibatkan banyak pihak. Pihak penganjur sendiri merasa berat hati untuk menukar lokasi memandangkan PBAKL  ini sememangnya telah sinonim dengan PWTC. Namun, mereka optimis. Di mana jua pun lokasinya, PBAKL16 tetap akan dilangsungkan dengan jayanya.

Apa jua penolakan dan kebimbangan awal yang disuarakan atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, adalah tidak adil untuk menutup sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur. Sejak awal pengumuman PBAKL16 di MAEPS, pihak penganjur telah mengambil pelbagai inisatif bagi memastikan kelancaran program yang berlangsung selama 10 hari. Hasilnya dapat kita lihat pada waktu ini. Antaranya mengenai pengangkutan awam. Sekali pun ia masih kurang efisyen menerusi perkhidmatan ‘shuttle bus’ yang disediakan sekurang-kurangnya ia memudahkan pengunjung yang datang dengan menaiki kenderaan awam khususnya di stesyen-stesyen keretapi di sekitar Serdang, Bangi dan Putrajaya. Selain itu, kawasan parking yang banyak dan luas menjadi kelegaan sekali pun ada yang mempersoal lokasi parking yang jauh daripada dewan. Namun, mereka harus sedar, masih ada kawasan parking yang lebih hampir dengan dewan dengan kadar bayaran serendah RM3.00 berbanding di PWTC yang lebih mahal kadar bayaran parkingnya.

Selain itu, medan selera di aras bawah Dewan D dilihat berjaya menarik perhatian pengunjung. Bukan kerana tujuan ke sana untuk menikmati makanan, namun sedikit sebanyak ia memberi alternatif kepada pengunjung untuk mendapatkan makanan pada harga yang murah berbanding di PWTC yang mahal. Tandas dan surau tidak menjadi persoalan lagi. Malah, di luar dewan turut disediakan pelbagai aktiviti pentas serta gerai-gerai kecil yang menawarkan jualan cenderamata kepada pengunjung. Krew-krew yang bertugas di setiap dewan dan di luarnya turut mesra pelanggan dan sedia menjelaskan sebarang kemusykilan yang diajukan pengunjung dari semasa ke semasa.

Berdasarkan komentar daripada beberapa pengunjung, lokasi PBAKL16 ini mesra warga OKU dan warga emas. Sekali pun perlu mendaki atau memijak anak tangga di luar dewan, ia kelihatan selesa bagi mereka apabila bergerak daripada satu dewan ke dewan-dewan yang lain. Namun, bagi rombongan sekolah, ada dua situasi berbeza. Ada yang menyuarakan mereka sukar untuk mengawasi murid memandangkan banyak dewan yang ada untuk diterokai dan ia tidak berfokus. Manakala ada satu pihak lain merasakan, pengurusan rombongan mereka lebih mudah memandangkan tiada apa-apa tarikan lain di luar lokasi seperti mana di PWTC yang menempatkan premis-premis lain yang lebih menarik perhatian pelajar untuk ‘lesap’ daripada lokasi.

Tidak kurang juga respon yang diterima daripada beberapa pempamer. Mereka mengandaikan penganjuran PBAKL16 di MAEPS kurang mendapat sambutan apabila melihat keadaan di dalam dewan yang lengang terutamanya pada hari-hari bekerja.. Bagi penerbit buku gergasi, mereka melahirkan rasa kesal kerana tidak mendapat posisi eksklusif seperti mana di PWTC.  Bahkan ruang umum untuk beraktiviti bersama-sama pengunjung dilihat tidak begitu sesuai iaitu di Dewan D yang turut menempatkan penerbit-penerbit luar dan universiti gara-gara kurangnya kehadiran pengunjung di dewan itu. Namun, terdapat alternatif lain untuk beraktiviti iaitu ada di pentas yang disediakan di luar dewan A sekali pun kecil tetapi ia dilihat strategik untuk menarik perhatian pengunjung yang lalu lalang.

Daripada pelbagai isu yang diutarakan, adakah PBAKL16 ini masih mendapat sambutan ramai berbanding ketika di PWTC sebelum ini? Berdasarkan kepada anggaran kasar yang diperolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, perbandingan terhadap kehadiran pengunjung pada tahun ini dan dua tahun kebelakangannya menunjukkan pola kehadiran yang tidak konsisten. Merujuk kepada kehadiran pengunjung pada enam hari pertama penganjurannya (mengambil kira pada hari Jumaat hingga Rabu) pada tiga tahun ini, kehadiran pengunjung dicatatkan tertinggi bagi tahun 2014 adalah pada hari kelima sahaja dengan jumlah sekitar 150k. Manakala bagi tahun 2015, ia mencatatkan kehadiran tertinggi pada hari pertama (sekitar 70k) dan kedua (sekitar 280k). Namun kehadiran pengunjung tertinggi bagi penganjuran 2016 adalah pada hari ketiga (sekitar 330k), keempat dan keenam (kedua-duanya sekitar 300k).  Jelas menunjukkan dalam pelbagai isu yang wujud terhadap penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, ia tidak memberi kesan secara langsung terhadap kehadiran pengunjung.  Untuk catatan kehadiran pengujung pada hari-hari yang lain, ada kemungkinan ia akan berterusan mencatatkan angka yang tinggi berdasarkan kepada pola kehadiran pengunjung pada enam hari pertama penganjurannya.

Sekali imbas, kekuatan penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini dlihat pada keluasan kawasannya. Dengan empat buah dewan besar, para pempamer mendapat ruang yang mencukupi untuk mempamerkan buku-buku dan bahan jualan mereka. Dapat dilihat, keluasan setiap reruai memberikan keselasaan kepada para pempamer untuk menjalankan aktiviti kecil mereka. Malah ruang-ruang laluan pengunjung juga luas tanpa perlu bersesak-sesak dan berlaga bahu seperti mana di PWTC.

Dalam pada itu, masih ada kelemahan yang perlu diambil perhatian oleh pihak penganjur jika ada cadangan untuk meneruskan PBAKL ini di MAEPS. Respon daripada para pempamer dan pengunjung sangat diperlukan bagi menambah-baik apa-apa keperluan yang berkaitan. Di sebalik itu, isu-isu berkaitan intergriti dan moral pempamer yang mempamerkan bahan bacaan yang kurang sesuai sangat perlu diambil berat. Malah, penjual makanan di sekitar dewan-dewan dan parking kereta perlu dipantau daripada aspek harga jualan yang disifatkan sebagai cekik darah.

Untuk akhirnya, tahniah diucapkan kepada pihak penganjur atas kelancaran PBAKL16 ini. Dalam kemelut mengatasi pelbagai isu dan permasalahan berkaitan penganjuran PBAKL16 ini, ia tetap diuruskan dengan penuh komited. Untuk PBAKL17, ramai yang mahukan ia kembali ke PWTC, namun jika ada cadangan dilakukan di MAEPS, diharapkan ia lebih baik daripada penganjuran kali ini. Ironinya, bukan mudah membuat sesuatu dalam skala yang besar dengan penuh sempurna pada kali pertama penganjurannya. Begitu pun, pihak MAEPS sendiri menyifatkan penganjuran PBAKL16 di sini sangat memberi impak kepada mereka memandangkan ia adalah program kedua terbesar selepas MAHA. Jika MAHA boleh mendapat sambutan yang menggalakkan pada setiap tahun, kenapa tidak PBAKL? 


_____________________________________________________________________________________
Penulis tidak ada sebarang kepentingan di atas penganjuran PBAKL16 ini. Penulis juga adalah pengunjung yang saban tahun hadir membeli-belah buku di PBAKL. Penulis tidak kisah di mana pun lokasi PBAKL17 nanti sama ada di PWTC atau MAEPS. Sekian.

Ahad, November 22, 2015

TINJAUAN PENGANJURAN YES DI MAEPS

Saya baru pulang daripada Year-End-Sale Book Fair anjuran MAPOBA yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Program ini dijadualkan selama 3 hari yang berakhir pada esok hari. Jujurnya, saya hadir ke sana bukanlah untuk berbelanja buku sangat. Saya lebih kepada hendak melihat suasana YES ni yang saya kira penganjurannya mencetuskan polemik dalam kalangan peminat buku dan pengunjung pesta buku di laman sosial khususnya facebook (klik di sini). Ia berikutan pengumuman penganjur bahawa PBAKL16 akan berlangsung di sini pada tahun hadapan. 

Menerusi maklumat yang diterima, antara matlamat penganjuran YES ini adalah untuk dijadikan kayu ukur kepada penerimaan masyarakat atas keputusan pihak penganjur PBAKL16 yang telah memutuskan acara bertaraf antarabangsa itu bakal dilangsungkan di MAEPS sekitar April tahun hadapan. Polemik yang timbul sebenarnya tidak menjejaskan pihak penganjur bahkan ia dijadikan sandaran untuk menyediakan pelbagai keperluan dalam mengatasi masalah yang bakal dihadapi hasil daripada tinjauan awal dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pembaca, penerbit, penulis dan sebagainya.

Untuk itu, dalam kesempatan beberapa jam saya di sana, saya dapat simpulkannya suasananya secara peribadi menerusi catatan ini;

1. Saya beranggapan parking kereta akan penuh sampai ke pintu gerbang. Namun, kelihatan lengang dan saya sendiri berjaya memakirkan kereta saya bersebelahan dewan A. Bukan kereta tak banyak tetapi kawasan MAEPS ni saya lihat banyak tapak parkir kereta. Jadi, kerisauan saya kerana hadir pada jam 11.00 pagi tidaklah dikira lewat.

2. YES bookfair ni berlangsung dalam Dewan C. Tatkala kaki melangkah masuk, kedudukan gerai tak ubah seperti di PWTC. Namun, kelihatan luas pada setiap lorong. Jadi, ia memudahkan 'aliran trafik dua hala' pengunjung tanpa bimbang berlaku himpit menghimpit dalam kesesakan ramai.

3. Penyertaan penerbit buku saya tidak pasti berapa banyak, tetapi kelihatan banyak ruang kosong di dalam dewan tersebut hingga mampu menyediakan ruang selesa di depan pentas acara dengan susunan kerusi yang banyak. Namun, saya dapat mengenal pasti beberapa penerbit popular yang tidak ada gerainya di dalam dewan tersebut. Saya tidak kecewa, kerana saya dari awal hadir bukanlah untuk membeli belah buku. 

4. Buku-buku yang dipamer dan dijual di setiap gerai semuanya menawarkan potongan harga berlipat kali ganda. Memandangkan ianya adalah Year-End-Sale (jualan akhir tahun), maka tidak hairanlah banyak buku yang saya lihat pada PBAKL15 di PWTC beberapa bulan lalu kini telah diberi tawaran harga yang menarik. Alangkah untungnya bagi sesiapa yang mendapatkannya.pada hari ini berbanding saya yang telah membeli beberapa buah buku (banyak sebenarnya) pada PBAKL15 yang lalu.

5. Acara pentas berlangsung mengikut jadual satu persatu pada setiap hari ia berlangsung. Ruangannya pun berdekatan dengan gerai pameran dan jualan. Pengunjung boleh memilih sama ada mahu meneruskan pencarian dan pemburuan buku atau pun duduk berehat sambil melihat sebarang acara yang sedang berlangsung di atas pentas. Kerusi yang disediakannya amat banyak. Itu pun dewan tersebut masih luas baki ruangnya. 

6. Sejujurnya, Dewan C tidaklah padat dipenuhi pengunjung. Bukan kerana pempamer yang menyertai YES kali ini tidak banyak. Banyak sebenarnya, cuma dewan tu besar sangat agaknya. Tapi kalau semua penerbit dalam Malaysia menyertai tanpa mengira apa genre sekali pun, saya pasti satu dewan yang luas itu pun tidak akan mencukupi. Tapi bukan itu saya nak kata. Apa yang dapat dilihat, sebahagian daripada keseluruhan pengunjung ke MAEPS itu hadir untuk memasuki Dewan B yang menempatkan pertunjukkan Upin & Ipin. 

9. Pertunjukkan Upin & Ipin telah menarik ramai kanak-kanak untuk menyaksikannya sehingga memaksa ibu bapa mereka melihat sama pertunjukkan itu. Tiket sebanyak RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa tidak menghalang pengunjung-pengunjung untuk memasuki dewan itu sekali pun harus beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Jelas, Upin & Ipin merupakan penarik kepada kehadiran pengunjung ke YES sekali pun Upin & Ipin merupakan matlamat utama mereka. Dewan A, B, C mahu pun D kesemuanya berada berdekatan antara satu sama lain.

10. Selain pameran dan jualan buku serta pertunjukkan Upin & Ipin, terdapat foodcourt dan gerai-gerai jualan makanan di luar dewan. Bahkan, gerai-gerai jualan permainan turut ada. Turut dikhabarkan terdapat ruang kanak-kanak bermain, tapi saya tidak pasti di mana kedudukan. Pendek kata, macam-macam ada sepanjang tiga hari YES berlangsung.

Rasanya, ini sahaja review yang mampu saya catatkan dalam kesempatan beberapa jam saya di sana. Pendek kata, sebagai pengunjung pesta buku terutamanya PBAKL yang dah berbelas tahun saya ikuti, adalah wajar untuk kita terima apa jua keputusan penganjur. Soal lokasi yang jauh, masalah pengangkutan awam, parkir kereta dan lain-lain yang dianggap satu masalah kepada pengunjung sebenarnya boleh dicari jalan penyelesaiannya. Ya, memang benar ada perbezaan keadaannya antara di MAEPS dan PWTC, tetapi penganjur dilihat komited dalam memastikan semua pihak yang terlibat dalam acara besar itu hadir dengan perasaan puas. Tidak salah untuk kita beri peluang kepada penganjur untuk membuat perubahan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.