Carian Daripada Blog Ini

Memaparkan catatan dengan label FAMILY. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FAMILY. Papar semua catatan

Sabtu, April 25, 2020

Runner Unit Amal

Memandangkan saya berada dalam Zon Merah, saya memang malas nak cari pasal keluar mengingkari arahan PKP pada semua fasa yang telah dilalui. Kebetulan saya sendiri adalah family man bersekali dengan introvert person kononnya yang menyebabkan saya lebih selesa berada dalam rumah berbanding ramai orang yang bak cacing kepanasan mengharapkan selepas 28/4 mereka bebas berada di luar.
Lantaran itu, segala barang keperluan saya dapatkan khidmat runner daripada unit amal dalam kejiranan yang membawa misi berkhidmat sambil beramal. Ya, berkhidmat sebagai runner membelikan keperluan dapur dan beramal dengan memberikan sumbangan keperluan dapur kepada kejiranan yang hilang punca pendapatan. Ironinya, runner ini juga boleh jadi dalam kalangan mereka yang terjejas pendapatannya berdasarkan maklumannya hari ini seramai 8 pelanggan dia raikan. Namun katanya, hari ini juga dia kepenatan mengedarkan sumbangan kepada belasan unit kejiranan. Mungkin ada juga upah buatnya sebagai urus setia dan sukarelawan dalam unitnya.
Benar, sedikit sumbangan daripada khidmat mereka diperuntukkan untuk beramal membuatkan saya sendiri insaf dan terkesan betapa peranan ini merupakan satu sunnah kerana membantu orang dan jariah dengan sedekah. Ikutkan hati mahu sahaja saya menyertai mereka. Namun, kekangan WFH membuatkan saya sekadar mampu membantu dengan cara mendapatkan khidmat mereka secara mingguan dengan deretan item dalam senarai pembelian melalui kos perkhidmatan mereka yang 'seikhlas hati'. Err, abaikan sebarang persepsi tentang setinggi mana upahnya yang setaraf tahap ikhlasnya.
Saya tidak sedikit pun marah apatah lagi mendesak agar barangan dipesan saya segera sampai ke rumah. Biarlah dia mengambil masa. Seriau bila membayangkan andai kata barangan dipesan bertaburan di atas jalan berikutan ramai runner akhir2 ini terlibat dalam kecelakaan kecil akibat desakan trip dan masa. Bertimbang rasa demi kemaslahatan bersama tidaklah payah. Hanya hati yang perlu dididik dengan kesabaran yang jitu.
Berkaitan isu individu yang tular menyumbang ke sana dan ke sini dengan paparan di media sosialnya, saya berpendirian itu adalah salah satu daripada methodologi dakwahnya ke arah mengajak masyarakat berbuat kebaikan. Sungguh, dakwahnya itu tetap membekas ke hati netizen yang mempamerkan akhlak mulia sebagai seorang pendakwah. Begitu pun, sebagai netizen yang berfikiran rasional, saya juga memahami situasi yang dialami oleh pihak berwajib dalam menguruskan kebajikan masyarakat. Dapat saya umpamakan, mereka sebenarnya memberikan mata kail sebagai jalan untuk memancing kehidupan yang sejahtera kepada masyarakat yang dibantu.
Apa jua pun, #kitajagakita#Stayathome dan #staysafe demi menyahut seruan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 seperti yang dipesan-pesankan saban petang oleh Datuk Dr. Noor Hisyam yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-57 hari ini. Semoga Allah menilai segala usaha kita sebagai amal yang baik di sisi-Nya. Allahumma aamiiinnn 

Ahad, Jun 14, 2015

MACAM-MACAM PROPOSAL

Cuti sekolah selama dua minggu ni umumnya telah aku manfaatkan sebaik-baiknya. Daripada menguruskan urusan peribadi yang belum pasti selesai sehinggalah kepada membantu uruskan urusan orang yang tidaklah seberapa. Tapi memang, macam-macam perkara aku telah buat. Memandangkan esok dah mula bersekolah, maka aku catatkan semua yang penting telah aku dan sedang aku usahakan agar aku sendiri tak lupa. Biasalah, bila sesi persekolahan bermula, macam-macam hal lain yang aku kena fikirkan pula. Semua keinginan tu aku sebutkan ianya sebagai 'proposal' sebab ia asalnya adalah sekadar angan-angan serta impian dan ia belum sepenuhnya terealisasi.

1) Proposal Penerbitan Buku.

Aku ni nak kata terdesak nak terbit buku, tidaklah sangat. setakat ini ada beberapa buku yang patut publish sebelum PBAKL15 hari tu, belum sempat dicetak. Tak apalah. Aku yakin sebelum hujung tahun ni mesti dah ada. Tapi yang aku terdesak sangat adalah, aku cuba nak meloloskan diri mendapat tempat di syarikat-syarikat penerbitan yang terkenal dengan cara usaha sendiri. Sebelum ni, bersiri-siri program anjuran MBKM aku ikuti dan beruntung sebab semua karyaku diterima oleh syarikat-syarikat yang bolehla kata ada nama menerbitkan buku aku. Tapi hari tu, aku sendiri propose pada Karangkraf, dua tajuk, Siri Sahabat Bagaikan Bintang di Langit dan Mahmudah vs Mazmumah. Kena reject lah pula dengan alasan style penulisan aku tak sesuai untuk house style mereka. Baik. Tiada rezeki aku di sini, maka akan aku usahakan propose kedua2 judul ini ke syarikat yang lain pula. 

2) Proposal Sambung Belajar.

Ikut hati, sekarang juga aku mahu sambung. Aku dah malas nak menunggu memandangkan dulu pernah berangan-angan mahu berhPhD pad usia 30 tahun. Tapi yang berlaku, masters aku tamat pada usia yang itu. Apakan daya, itulah situasinya bagi aku yang memang ada kerjaya yang perlu diberi perhatian. So, sekarang, aku nak sambung Phd dengan HLP atau CBBPTB supaya dapat cuti, kalau tak dapat biasiswa pun tak apalah, janji aku dapat buat research aku dengan tenang tanpa gangguan dan komitmen besar yang lain. Sekarang ni aku usahakan sebuah proposal yang aku sendiri tak pasti dan cukup kuat ke tak. Pada aku proposal tu tak la sukar sebab aku sendiri ada pengalaman buat reseacrh, tapi bidang dan skop kajian tu aku tak pasti sama ada selari tak dengan misi KPM. Orang kata proposal kena dipastikan dalam lecel critical field sedangkan yang bermain-main dalam fikirkan aku, senarai-senarai bidang yang ada dalam iklan tu tak dianggap sebagai critical field ke?

3) Proposal Tukar Tempat Bertugas.
Ni satu lagi angan-angan. Kadang-kadang aku muhasabah diri aku, adalah self esteem aku tercapai menerusi kerjaya aku sebagai guru sekolah rendah ni? Jujur, dalam tugasan mengajar, aku sangat tidak ada masalah. Yang jadi penat dan letih adalah tugasan di luar pengajaran. Macam-macam portfolio aku pegang. Aku jadi cacamarba. Meski pun aku pernah diberi APC pada tahun 2012 (setelah 4 tahun aku posting), aku tak rasa ia memberi kepuasan terhadap tugas pengajaran aku. Pada aku, untuk seseorang tu puas da tak ralat dengan tugas-tugasnya, ia perlulah tidak terbeban dengan komitmen-komitmen besar yang lain pada satu waktu yang sama. Sudahlah kelas-kelas perlu diutamakan, tetapi dalam masa sama macam-macam tugas yang diberikan perlu juga diselesaikan. Kadang-kadang terpaksa pejam mata masa mengajar agar tugasan yang banyaknya berkaitan pengurusan dan pengkeranian dapat diselesaikan dengan baik. Jadi, dari sini aku fikir, apalah salahnya aku apply ke mana-mana bahagian di KPM agar aku dapat fokus dengan satu bidang kerja sahaja. Tapi dalam masa aku juga risau, adakah nanti ia semuadah seperti yang disangka. Adakah aku tidak akan merindui sekolah selepas itu? Adakah aku mampu travel sana sini sedangkan aku ni bukan jenis kaki travel? Adakah cuti-cuti yang banyak bagi orang pejabat mungkin tak mudah diluluskan berbanding di sekolah asal cuti sekolah je aku boleh buat macam-macam kerja? Entahlah. Tapi, resume telah aku siapkan sebenarnya, tinggal nak hantar je. Tapi tak yakin.

4) Proposal Hiasan Dalaman Rumah.
Aku dah propose pada mak, dan tentunya ka setuju, tapi yang kena buat kerja adalah aku. Oh... Aku ni dari awal tahun dah fikir-fikir kat kepada untuk ubah dan tukar perabut dan kedudukannya dalam rumah, dari atas sampai ke bawah, dari depan sampai ke belakang, malah dari luar sampai ke dalam. Namun tak sempat-sempat. Ini mungkin disebabkan tiada orang yang dapat membantu sepenuhnya. Dah aku seorang je ada cuti banyak dan panjang, adik-beradik lain cuti hujung minggu je. Tu pun banyak hal juga semua. Jadi dalam cuti aku try la buat skit-sikit, tapi sampai dah nak habis cuti masih banyak yang belum direalisasikan. Bukanlah didorong oleh kehadiran Ramadhan minggu depan ni, tapi lebih kepada nak ubah cita rasa dan pandangan mata yang rasa bosan dengan kedudukan sedia ada. Tapi akan aku usahakan agar beberapa tempat yang penting sangat-sangat aku usahakan dulu, kalau tak dapat banyak, sikit pun jadilah. Nanti raya adalah nampak kelainan sikit.

5)   Proposal Hati ke Hati.
Untuk yang ini, tersangat-sangat aku tak pasti. Terus terang, bila ramai yang bertanya aku ada calon ke tidak, aku memang akan jawab 'no komen, wallahu 'alam, entahlah' dan lain-lain seumpamanya yang tdiak ke arah jawapan jelas, ya atau tidak. Sebenarnya, jawapannya tidak biarpun aku ada kawan perempuan yang mungkin ada potensi untuk aku proposenya. Namun, aku pula yang tak dapat cari masa dan situasi sesuai bila nak propose sedangkan kadang-kadang mesej dan keluar bersama-sama sering berlaku. Memang aku penakut...hohoho...terus terang tu. Aku takut kene reject sebab aku tak pasti apakah anggapan dia terhadap aku, sekadar kawan biasa-biasa atau pun lebih daripada biasa? Selain sebab aku ni takut kena reject, aku juga takut jika selepas ini banyak perkara perlu aku rombak dalam hidup. Ia adalah berdasarkan geografi dan demografi dia dan aku. Tempat bertugas, tempat tinggal, latarbelakang keluarga dan macam-macam yang lain aku fikirkan. Nampak benar aku sangat berhati-hati, namun sampai bila?

Ya Allah... Aku dah pernah bertarget-target dalam semua proposal di atas. Hanya aku harapkan adalah bantuan dan pertolongan daripada Mu sahajalah yang dapat melancarkan semua urusan berkaitan perkara-perkara di atas.

Ahad, Mac 30, 2014

ALAHAI ATOK

Atokku kuat dan lincah, garang dan tegas, mesra dan penyayang kini terbaring dan menyendiri. Dulu rajin ke sana-sini dengan kereta menjalar Dengkil-Banting, sarapan pagi di kedai, ke masjid hampir saban waktu, kini hanya di rumah. Langsung tidak mahu ke mana-mana. Puas aku dan yang lain-lain ajak berjalan-jalan, meronda ke luar kawasan rumah dan berziarah saudara-mara hanya digelengkan kepala. Alahai atok, aku rasa macam tak kena lah dengan karektor atok yang jenis tak lekat di rumah. Kalau tak mahu dengan aku, Akmal ada juga, pun tak mahu. Allah...

Menyorot kembali saat-saat wan melalui penyakitnya dengan sabar, aku lihat atok masih dengan rutinnya ke sana-sini. Bukan atok kaki lepak atau keluar tanpa tujuan, tapi memang ada sebab dan alasan atok keluar. Hatta kalau nak beli sebunkus kelapa parut pon atok jenis rela keluar ke kedai. Berbanding aku, kalau setakat 1 2 benda nak beli, aku hold dulu cek kat dapur apa lagi nak beli. Pendek kata, atok memang jenis tak betah nak duduk di rumah. Kalau tak keluar berjalan pun, atok akan bersama pokok-pokok tanamannya iaitu sawit, pisang, ubi, nenas, durian dan lain-lain yang sebenarnya aku pun tak begitu arif pasal pokok-pokok buah, sayur mahu pun tanam-tanaman lain di keliling rumah ni. 

Tetapi sekarang, atok seolah-olah menyesali sikapnya yang tidak begitu menghiraukan wan di saat-saat wan perlukan perhatian dan penjagaan. Kenyataan ni aku dimaklumkan Ilmi yang ku lihat, atok lebih suka mengadu kepada cucunya yang seorang itu. Sedangkan aku dan 3 lagi cucu serumahnya tidak pula dikongsi cerita. Tak mengapalah, masing-masing ada aura tersendiri untuk menarik perhatian atok. Jadi, bila Ilmi cerita aku rasa tidak sepatutnya atok berperasaan begitu. Ikutkan sepanjang wan di hospital dan juga di rumah, wan dijaga sebaik-baiknya. Si Kina aku boleh kata macam leaderlah. Mana taknya, di hospital dia antara individu awal menjaga wan, sampaikan hal ehwal stoma care wan pun dia lebih expert daripada yang lain. Aku ni memang tak berapa nak faham. Malah nak tengok usus wan di perut pon rasa macam nak pengsan. Kalau tak Kina ada pun, Anis yang masih di rumah menunggu dipanggil kerja pun berkemahiran seperti Kina. Ucu pula lebih-lebih lagi mengambil perhatian pada wan. Mak Ngah pun juga saban petang datang membantu mana yang patut. Pendek kata, atok tak perlulah rasakan kekesalan tak jaga wan betul-betul. Bukan atok tak nampak, wan okay je sepanjang berada di rumah selepas pulang dari hospital. Sesekali ada jururawat klinik datang buat pemeriksaan ke atas wan. Hanya kerana penyakitnya, wan semakin tak bermaya dari semasa ke semasa. Itu bukan salah sesiapa. Dan bukan sahaja atok, kami semua yang lain tak perlu rasa ralat dengan keadaan itu.

Semenjak wan pergi, atok seolah-olah hilang semangat. Ikutkan pada pagi Ahad semasa pengurusan jenazah wan, atok kelihatan tenang walaupun sugul menunduk ke lantai. Saudara-mara datang berziarah atok sambut seperti majlis kenduri. Memang aku lihat atok seolah-olah boleh menerima hakikat biarpun sebenarnya pada masa itu bukan sekadar aku, malah kerabat-kerabat aku yang lain turut sama menahan rasa. Yang di dalam bilik, yang memandikan, yang mengkafankan, yang beryaasin dan bertahlil, yang di ruang tengah, yang di beranda, yang di luar dan semua hadirin yang ada turut sama khususnya sanak saudara aku lihat kesayuan di wajah masing-masing. Mungkin ada yang sedia maklum dengan keadaan wan kebelakangan itu membisikkan ke hati masing-masing akan kemujuran mereka mengetahuinya terlebih dahulu lalu menyempatkan diri berziarah wan di hospital mahu pun di rumah. Tidak kurang juga ada yang terkejut dengan berita yang diperolehi. Apapun responnya, semuanya merelakan wan pergi lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang tidak melalui derita penyakit yang berlanjutan. 

Memang, lebih kurang sebulan sahaja sejak wan di kesan penyakitnya, Allah memberikan tanda-tanda untuk menjemput wan ke sisinya sebagai persediaan kerabat-kerabat wan untuk menerima qada' dan ketentuan. Tidak terlalu cepat seolah-olahnya dalam keadaan tiba-tiba, mahupun terlalu lama seolah-olahnya menjadi satu penderitaan luar biasa. Berdasarkan pengalaman, pemberitahuan dan pembacaan mengenai tanda-tanda pemergian seseorang, aku rasa semua dah maklum dan mungkin bersedia. Tapi, aku saja yang buat-buat tak endah. Aku dari dulu selalu sebut 'wan muda lagi' bila wan kata wan dah tua. Contoh; 'Lutut wan sakit ni, picit skit. Biasalah, orang tua', 'ko bila nak menikah ni, entah sempat entah tak aku nak tengok ko,' atau 'wan malulah nak berjalan akai tongkat ni, macam dah tua je,'. Paling tak aku sebut, 'tengok Tun Mahathir dan Dato' Nik Aziz atau Agung tu, lagi tua dari wan, tau.". Tetapi hakikatnya, wan dah tak muda lagi. Aku sengaja nak menyedapkan hati. Tetapi, sekarang tak lagi. Biarpun wan dah pergi, kesemua individu yang aku sebutkan tadi masih sihat dan kuat menjalankan tugas masing-masing. Aku doakan mereka berlanjutan lagi kemudaan mereka. Nak doa untuk wan, wan dah tiada. Jadi, berbalik kepada yang tadi, tidak sepatutnya kami semua rasa terkejut dan kekesalan yang amat. Bak kata Pak Uda pada atok, tak perlu lagi mengenang-ngenangkan yang tiada, tak perlu lagi rasa bersalah kalau tak sempat tunaikan permintaan wan jika ada.

Aku dan juga kerabat-kerabat aku yang lain sejak hari pertama dah dinasihatkan saudara-mara supaya jangan biarkan atok bersendirian. Antara yang direct pada aku, Pak Usu Karim dan Pak Usu Mat Isa. Eh, apa pasal semua pak usu ya? Entahlah. Pointnya sama saja. Mungkin pada yang lain-lain pun mendapat mesej yang sama daripada sanak saudara yang lain. Dan alhamdulillah, sehingga kini kami saban masa bersama atok, pagi petang siang malam hatta masa tidur ada yang sama atok. Nak kata atok sunyi, tak lah. Hanya atok yang lebih senang nak tidur daripada berborak dengan kami. Tapi, bila cicit-cicitnya datang masuk ke bilik, memang bikin kecoh jugalah, atok siap kata dia suka dan tertawa sendiri dengan keletah mereka. Iqbal pun kalau datang atok suka biarpun cucunya yang itu jenis tak duduk diam. Bila mereka semua tu datang, memamg aku suruh picit kaki dan tangan atok. Jadi, atok pun rasa okaylah kot. Pak Ngah siap pesan juga pada aku supaya bagi nasihat-nasihat pada atok ala-ala motivatorlah. Ishk, atok ni bukanlah nak nasihat apa pun, aok ni lebih hebat dari aku. 'atok, bersabarlah. Sudah taqdir ke atas wan. Redhalah...', ayat macam itulah agaknya lebih kurang. Tapi, ayat ni macam formal benar, aku kalau cakap macam ni macam berdrama pula. Last-last nanti kalau atok menangis, aku terus terdiam pula, macam mana? Lagi-lagilah atok kenali aku bukan seorang yang ala-ala romantik. Cara aku cakap pun agak selamba. Sopannya agak kurang, tapi bukan bernada tinggi atau tegang, hanya tidak menggunakan laras bahasa yang 'skema' gara-gara hubungan aku dengan atok ni macam anak dengan bapa sebab dah tinggal sama atok sejak kecik-kecik. So, apa yang boleh aku cakap kat atok adalah, 'relaxlah tok, wan dah selamat kat sana dah, semua dah okay' dan seumpamanya. Ikutkan juga aku tak pernah nampak atok menangis sekalipun kesan mata berair. Tapi, mereka yang lain kata ada nampak. Jadi, tak ada situasilah yang nak aku memujuk dan melayan perasaan atok yang rindukan wan jika benarlah kerana itu. Mana taknya, 64 tahun bersama walaupun bertukar berek dan rumah, mana boleh atok lupakan wan dalam tempoh ini. Aku sangat-sangat berharap agar atok kuat hati dan tabah sepertimana Tok Cik Usop, Tok Itam dan Pok Long Madon yang melalui pengalaman teman hidup masing-masing yang diuji dengan penyakit dan pergi menemui Tuhan akhirnya. Please, tok.

Mengundur pada petang Sabtu selepas kenduri hari ke 7 wan, atok mengadu sakit perut dan rasa tak lalu nak makan. Lalu di bawalah cucu-cucunya beramai-ramai ke klinik. hasil pemeriksaan, tiada apa-apa komplikasi penyakit atok kecuali sakit perut kerana makan sesuatu yang pedas. Mana taknya, semalamnya, atok menyudu sambal belacan begitu saja. Memanglah perut jadi sakit. Atok ni kan... Bila balik tu masa aku picit-picit kepala watok, atok ada cakap, 'memang padan lah dengan atok, hari tu atok marah-marah wan sebab wan tak lalu nak makan, sekarang atok pulak yang rasa sendiri'. Atok oh atok. Atok ni cari penyakit. Wan tu pulak memang sakit yang masa tu tak dikesan lagi apa penyakitnya. Kemudian sejak dari hari tu atok sering tak lalu nak makan. Makan pun sikit-sikit je. Ada juga hati aku terdetik, 'atok ni macam saja-saja nak ambil feel tak makan macam wan, konon nak rasa juga apa yang wan rasa bila tak makan'. Entahlah. Bila dah tak makan, atok asyik rasa pening. Kadang-kadang atok rasa mual dan beberapa kali juga muntah. Itu pun gara-gara perut atok banyak angin, kosong. Setakat ni atok tak adalah nak minta makan apa-apa, apa yang dihidangkan di pagi petang siang dan malam itulah atok makan sekadar syarat kami tak bising dan paksa atok makan. Setakat ni juga atok suka makan buah-buahan seperti tembikai dan anggur. Tapi atok makan skit je, yang banyak tu, kamilah yang harus menghabiskannya. Senang cerita, atok jadi tak lalu makan ni sejak seminggu selepas wan tiada, dan sebelum itu atok okay dan agak sibuk bersama anakanaknya menguruskan tinggalan-tinggalan wan sama ada harta bermanfaat dan sebaliknya. Kenduri hari pertama, kedua, ketiga dan kelima pun atuk okay dan bersemangat. 

Allahu Rabbi... Aku harap, atok tidak berterusan begini. Pada aku dan kebanyakan kami, kalau atok makan semakan-makannya macam biasa, Insya Allah atok ada tenaga dan menjalani rutin macam biasa. Sepanjang seminggu ni aku bersedia nak bawa atok ke mana-mana, kalau sebelum-sebelum ni cuti aku diisi dengan kuliah, tugasan kuliah, kerja sekolah, tulis artikel dan manuskrip untuk buku termasuk keluar berjalan, tapi untuk cuti seminggu ni tidak lagi. Tapi, dah atok asyik terbaring, apa aku nak buat. Kata Pok Long, paksa aja atok bangun, tarik atok masuk kereta kemudian jalanlah pusing kampung. Alahai Pok Long, nak ajak makan pun kene diajak berkali-kali dan dipimpin, apatahlagi nak berjalan keluar. Tapi tak apa, idea tu nanti aku usul pada yang lain-lain. Esok dah mula bertugas seperti biasa. Bukan aku je, semuanya menjalani rutin dan tugas seperti sedia kala, berkerja dan berkuliah. Jadi, atok macam mana? 

Apapun macam biasa, atok bukan seorang, kerabatnya ramai, yang tinggal serumah, yang sebelah-sebelah rumah. Insya-Allah boleh jadi penghibur atok. Tapi, itulah. Kerana komitmen kerja, kuliah dan keluarga masing-masing, kadang-kadang bimbang juga kami terlupa kat atok. Tapi mujurlah ramai anak cucu atok bersekitarnya sahaja. Pada yang jauh aku sangat-sangatlah mengharapkan balik menjenguk atok. Atok ni sebenarnya, rindu pada yang jarang dijumpanya. Kalau berjauhan, telefon kan ada, atok tu pun, siap ada handfon sendiri. Bangga aku, atok aku ni ada handfon sendiri tu, persis orang muda gayanya. Kalau kerabat-kerabat aku nak bertanya pasal atok, patut aku usulkan telefon sendiri atok. Mana tahu, sekali dengar suara mereka, atok terus dapat power! Insya-Allah. Kalau mati akal tak tahu nak borak apa, sekadar tanya khabar, makan minum, sakit pening dan sewaktu dengannya. Setakat ni aku tabik kat Syidah, ada sekali dia telefon atok, aku tengok atok macam happy je. Bukanlah sebab itu cucu kesayangan dan sebagainya, tetapi lebih kepada nak dengar suara orang yang jarang dia jumpa. Kalau aku ni, tak payah pandang muka, bercakap dengan aku pun matanya dipejamkan. Atok..atok..

Pada penilaian aku, Pok Long dan Uda adalah individu yang atok nak bersama. Mungkin kalau boleh kesemua anaknya berada di hadapan mata. Kalangan cucu-cucunya, pastinya si Kemal yang aku tak boleh nak sanggah kemanjaan atok kepadanya diikuti Kak Miza, Azam, Nadiah dan tentunya Amin serta selainnya adalah Ilmi yang walaupun dekat, tapi dah duduk asrama. Siap atok cakap dengan dia, 'jangan tingggalkan atok'. Situasi ni membuatkan Si Ilmi mula berbelah bahagi. Sudahlah dia ni 3 minggu di sekolah tahfiz tu, dia dah rasa kurang seronok. Ditambah lagi dengan pesan si atok tu membuatkan dia nampak peluang cerah untuk keluar asrama. Tapi, kalau nak kena marah dengan bapaknya, buatlah perangai. Ingat senang ke nak masuk sekolah macam tu. Apapun, ia hanyalah pada penilaian mata aku. Kami cucu-cucunya yang lain tidak seharusnya merasa dibeza-bezakan. Sebenarnya atok sayang semua. Contoh mudah, masa mak abah kami semua pergi haji, atok dan wan jugalah yang menjaga kami semua sampai sanggup menetap di rumah masing-masing sebab kami semua sekolah. Kecuali akulah, masa tu memang aku sorang je yang sudah bersekolah, Si Amin dan yang lain-lain tak bersekolah lagi. 

Ya Allah. Ampunkanlah dosa kami, stabilkanlah kesihatan atok, kembalikan semangatnya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, permudahkanlah urusan atok, tidak lupa juga eratkan persefahaman sesama anak cucu cicit atok, berikanlah kami kelapangan untuk berada di sisi atok serta cucuri rahmat ke atas wan di sana. Amiin...







Posted via Blogaway

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.