Memandangkan saya berada dalam Zon Merah, saya memang malas nak cari pasal keluar mengingkari arahan PKP pada semua fasa yang telah dilalui. Kebetulan saya sendiri adalah family man bersekali dengan introvert person kononnya yang menyebabkan saya lebih selesa berada dalam rumah berbanding ramai orang yang bak cacing kepanasan mengharapkan selepas 28/4 mereka bebas berada di luar.
Lantaran itu, segala barang keperluan saya dapatkan khidmat runner daripada unit amal dalam kejiranan yang membawa misi berkhidmat sambil beramal. Ya, berkhidmat sebagai runner membelikan keperluan dapur dan beramal dengan memberikan sumbangan keperluan dapur kepada kejiranan yang hilang punca pendapatan. Ironinya, runner ini juga boleh jadi dalam kalangan mereka yang terjejas pendapatannya berdasarkan maklumannya hari ini seramai 8 pelanggan dia raikan. Namun katanya, hari ini juga dia kepenatan mengedarkan sumbangan kepada belasan unit kejiranan. Mungkin ada juga upah buatnya sebagai urus setia dan sukarelawan dalam unitnya.
Benar, sedikit sumbangan daripada khidmat mereka diperuntukkan untuk beramal membuatkan saya sendiri insaf dan terkesan betapa peranan ini merupakan satu sunnah kerana membantu orang dan jariah dengan sedekah. Ikutkan hati mahu sahaja saya menyertai mereka. Namun, kekangan WFH membuatkan saya sekadar mampu membantu dengan cara mendapatkan khidmat mereka secara mingguan dengan deretan item dalam senarai pembelian melalui kos perkhidmatan mereka yang 'seikhlas hati'. Err, abaikan sebarang persepsi tentang setinggi mana upahnya yang setaraf tahap ikhlasnya.
Saya tidak sedikit pun marah apatah lagi mendesak agar barangan dipesan saya segera sampai ke rumah. Biarlah dia mengambil masa. Seriau bila membayangkan andai kata barangan dipesan bertaburan di atas jalan berikutan ramai runner akhir2 ini terlibat dalam kecelakaan kecil akibat desakan trip dan masa. Bertimbang rasa demi kemaslahatan bersama tidaklah payah. Hanya hati yang perlu dididik dengan kesabaran yang jitu.
Berkaitan isu individu yang tular menyumbang ke sana dan ke sini dengan paparan di media sosialnya, saya berpendirian itu adalah salah satu daripada methodologi dakwahnya ke arah mengajak masyarakat berbuat kebaikan. Sungguh, dakwahnya itu tetap membekas ke hati netizen yang mempamerkan akhlak mulia sebagai seorang pendakwah. Begitu pun, sebagai netizen yang berfikiran rasional, saya juga memahami situasi yang dialami oleh pihak berwajib dalam menguruskan kebajikan masyarakat. Dapat saya umpamakan, mereka sebenarnya memberikan mata kail sebagai jalan untuk memancing kehidupan yang sejahtera kepada masyarakat yang dibantu.
Apa jua pun, #kitajagakita, #Stayathome dan #staysafe demi menyahut seruan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 seperti yang dipesan-pesankan saban petang oleh Datuk Dr. Noor Hisyam yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-57 hari ini. Semoga Allah menilai segala usaha kita sebagai amal yang baik di sisi-Nya. Allahumma aamiiinnn