Carian Daripada Blog Ini

Selasa, Januari 11, 2011

SALAH TANGGAPAN PERANAN USTAZ DI TELEVISYEN



Kebelakangan ini timbul isu yang dipaparkan dalam sebuah akhbar perdana melalui ruangan surat pembaca berkenaan dengan penyalahgunaan peranan dan watak ustaz atau ahli agama di dalam drama-drama televisyen. Ia berikutan seolah-olah ada yang tidak kena dengan peranan yang ditonjolkan melalui lakonan sebagai ustaz dengan tidak lebih sekadar sebagai tempelan dalam sesebuah cerita. Apa yang ditampilkan watak ustaz dirujuk sebagai orang yang mampu memulihkan pesakit yang menderita akibat daripada gangguan makhluk halus. 

Situasi ini digambarkan betapa ustaz sememangnya berperanan besar dalam hal ehwal berkaitan mistik seperti hysteria, kerasukan, santau, saka dan seumpamanya. Lebih daripada itu kelihatan ada yang kurang untuk dipertonjolkan sedangkan peranan ustaz tidak sekadar berdepan dengan jin dan syaitan semata-mata. Lebih lucu peranan yang dibawa ustaz itu kelihatan terbatas dalam lingkungan kelompok penduduk tempatan, lebih-lebih lagi pelakon yang membawa watak ustaz itu adalah muda dan kebiasaannya tentu belum cukup sesuai tatkala aspek-aspek kebatinan ini dikendalikan oleh watak seperti itu (lelaki muda). 

Untuk menampakkan logic watak ustaz selalunya melekat di masjid dan surau sedangkan realitinya ustaz dalam dunia moden ini khususnya Malaysia ramai yang berada di luar itu kini tidak lagi bersifat jumud dengan meninggalkan hal ehwal dunia. Ustaz dikalangan warga muda seharusnya digambarkan sebagai seorang individu yang berkaliber dan aktif sesuai dengan ketinggian ilmunya untuk memanafaatkannya tidak sekadar mengendalikan perkara yang berkaitan tahyul dan khurafat.

Memfokus pada watak ustaz dalam sesebuah cerita berunsur tahyul dan khurafat ini seharusnya peranannya lebih lagi dipertonjolkan selain ritual mengendalikan pesakit kebatinan. Apa yang boleh diselitkan adalah kata-kata nasihat kepada pesakit supaya lebih mendekatkan diri kepada Allah atau dengan kata lain menyebutkan tatacara untuk mengelakkan daripada gangguan jin dan syaitan seperti menunaikan solat, membaca al-quran atau berzikir. Lebih baik lagi jika ustaz itu menasihati pesakit untuk meninggalkan sebarang amalan tahyul da khurafat. Mungkin ada dioalog-dialog sebegini dipaparkan namun penekanan agak lemah sehingga meninggalkan kefahaman di kalangan penonton bahawa situasi mistik ini adalah perkara biasa serta ustaz yang mengubati tidak berhak memberi nasihat seumpama itu sebagai panduan kepada orang datang meminta pertolongannya.

Perlu disedari peranan golongan agama tidak terhad untuk mengendalikan kes mistik seperti itu kerana kebolehan itu tidak semestinya dimiliki oleh golongan ustaz bahkan ada juga dikalangan individu biasa turut berkebolehan untuyk mengendalikannya. Kesan daripada pemaparan yang sebegitu akan memberikan tafsiran yang salah di minda penonton betapa jika ada kes-kes sebegitu orang yang harus dirujuk adalah ustaz sedangkan untuk bergelar ustaz ia bukan syarat bahkan apa yang utama adalah bertindak sebagai agen perubahan dalam masyarakat dengan membawa misi tauhid. 

Cuba bayangkan, andai ada dalam kalangan ustaz ini tiba-tiba dirujuk untuk mengendalikan kes-kes berkaitan makhluk halus ini sedangkan dirinya tidak ahli dalam bidang itu? Lalu jika gagal dirinya akan ditohmah dan diperkecilkan. Sungguh mengharukan…. Ia tentunya gara-gara tanggapan masyarakat daripada tayangan drama-drama yang seumpama itu.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

klu seseorg ustad tu blh buat dlm ape yg ade drama or filem sprt dinyatakan diatas lagi bagus ape... xde lah org pg jmpe bomoh kapir tuk berubat..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.