Carian Daripada Blog Ini

Selasa, Jun 15, 2010

FENOMENA IMAM MUDA





Saluran televisyen berbayar, Astro mengorak langkah lagi dengan menerbitkan sebuah program realiti yang begitu unik dalam sejarah rancangan realiti sedunia, Imam Muda. Bersiaran ditengah-tengah musim piala dunia ia telah mencetuskan fenomena tersendiri apabila ianya berjaya mengumpulkan sejumlah ramai penonton tanpa mengira peringkat usia. Sebelum ini penonton sememangnya seolah-olah tercari-cari sebuah program realiti yang boleh mencabah minda dan menyuburkan ilmu. Namun realitinya ianya masih kurang berbanding puluhan malah ratusan rancangan reality berbentuk hiburan yang melalaikan. Kelihatan program ini benar-benar telah menarik perhatian masyarakat walaupun hakikatnya di luar sana demam bola sedang melanda sepanjang Jun dan Julai ini.


Memfokuskan kepada calon-calon Imam Muda, kesemua mereka dilihat cukup mantap dan hebat dari segi penampilan dan ketrampilan luarannya. Tidak cukup dengan itu, mereka juga punya kekuatan dari segi ilmu yang kesemuanya berlatarbelakangkan Pengajian Islam sedari peringkat sekolah sehingga ke Institut Pengajian Tinggi sama ada di dalam mahu pun di luar. Calon termuda IM Syakir kelihatan meyakinkan setara dengan calon senior IM Taufek dan IM Hizbur. Latarbelakang kerjaya mereka juga agak berbeza antara satu sama lain. Menariknya ada di kalangan IM yang tidak sekadar menjadi guru dan imam di luar, malah ada yang menjadi penternak, usahawan, perunding motivasi dan kakitangan bank. Hebat bukan! Begitulah seharusnya ciri-ciri yang ada pada seorang bakal pemimpin masyarakat. Tidak kurang juga golongan seperti mereka ini boleh dijadikan sebagai model menggantikan ikon-ikon yang tidak begitu layak untuk dicotohi. Bak kata Wardina, artis-artis Malaysia (dunia pun) tak sesuai dijadikan roll-model. Jadi, sebagai alternative, jadikanlah golongan ini sebagai model untuk masyarakat menjadi lebih baik.

Berbalik kepada program ini, setakat 3 minggu siarannya, pengisiannya sangat-sangat bermanfaat. Jika selama ini mereka lebih arif melalui teori, maka di sana mereka telah menunjukkan bakat mereka secara prektikel melalui tugasan-tugasan yang diberikan seperti pengurusan jenazah dan berkhutbah dihari Jumaat. Bagi penonton yang mengikutinya, ini merupakan penambahan ilmu di mana selama ini pendedahan ini jarang diperolehi. Dengan adanya program ini penonton sedikit sebanyak dapat mengambil maklumat dan pengajaran daripada pengisian program. Soalan-soalan yang dipaparkan di setiap episod juga membolehkan penonton membuka minda dan mengingati semula apa yang pernah diketahui selama ini. Lihat, dengan program ini tidak saja peserta memperolehi ilmu, bahkan penonton turut sama mengambil manfaatnya.

Apa yang menarik lagi, program ini tidak sama seperti rancangan program reality yang lain. Tiada penyingkiran akan dilakukan sepertimana yang dicadangkan oleh penonton. Menurut mudir program berkenaan, penyingkiran akan dilakukan apabila calon IM tidak menunjukkan pencapaiannya secara konsisten. Jadi, diharapkan agar ke semua mereka dapat mempelajari segala ilmu yang diperolehi dengan baik dan penuh komitmen. Jangan mudahh mengalah dan lemah semangat. Mereka adalah golongan yang bertuah untuk menimba ilmu secara langsung melalui program itu. Apa yang pasti ramai lagi individu yang berminat malah berkebolehan untuk menyertainya.

Secara keseluruhannya program ini benar-benar sesuai dijadikan medium dalam berdakwah selain bermanfaat untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Walau ada suara kritikan yang datang dari pihak luar, jangan cepat melatah. Mungkin ada benarnya daripada kata-kata mereka yang berbaur negatif pada respon yang diberikan. Didoakan moga-moga melalui program ini ia dapat merubah minda masyarakat yang lebih berfikrah islamik tanpa memprejudiskan fitrah manusia yang sukakan hiburan. Sedangkan sikap hedonism yang merantai fikiran masyarakat terutamanya golongan muda menjadi punca kepada keruntuhan moral masyarakat hari ini. Ayuh bangsaku, sedarlah anda dari lenamu.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.