Carian Daripada Blog Ini

Selasa, Jun 29, 2010

KERANA DIRI SENDIRI: Salah 1 Faktor Mangsa Dibuli

Baru-baru ini sekali lagi akhbar di Malaysia menyiarkan kes kematian seorang pelajar Maktab Tentera yang dibuli oleh rakannya di asrama. Ia bukan satu isu baru, malah saban tahun ada saja kes sebegini dilaporkan media. Belum lagi mencongak kes-kes yang didiamkan oleh pihak seklah mahupun berlegar di kalangan pelajar sendiri tanpa pengetahuan warden. Kes seperti ini seolah-olah menjadi tradisi zaman berzaman lebih-lebih lagi hampir kesemuanya berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Kebiasaannya juga kes buli-membuli ini melibatkan pelajar yang tinggal di asrama memandangkan pelajar-pelajar ini tinggal bersama di kawasan sekolah. Tidak saja semua pelajar di tahap umur yang sama memandangkan mereka juga terkategori antara pelajar senior dan junior selain peringkat umur mereka juga berbeza. Jadi tidak hairanlah kes begini boleh terjadi bila mana adanya 2 golongan berbeza yang tentunya salah satu dari antara mereka dari kumpulan yang berkuasa dan kuat. Tidak kurang juga pengaruh yang besar membuatkan mereka kelihatan lebih hebat lantas mengambil peluang menindas golongan atau kumpulan yang lemah.

Berdasarkan pengalaman antara sebab mangsa dibuli adalah kerana faktor dirinya sendiri. Boleh jadi kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi asrama maka ia menjadi point untuk mereka di permainkan orang. Pernah terjadi kes kematian akibat buli disebabkan hanya sebuah cerek air eletrik. Pelajar itu dilaporkan tidak mahu meminjamkan cerek berkenaan kepada rakannya lantas ia menjadi punca kepada pergaduhan seterusnya menyebabkan mangsa dibelasah teruk. 

Kisah lain yang penah dilihat, seseorang itu menjadi mangsa buli kerana sikapnya yang tidak menghormati orang lain. Boleh jadi kerana diri terasa hebat, pelajar itu bersikap sombong dan bongkak. Mungkin dirinya ada kelebihan dari segi wang ringgit, kepandaian, anak orang kaya dan seumpamanya, ia mengundang rasa dengki rakannya. Selalunya pelajar itu dibuli kerana menunjukkan lagak kepada rakan-rakannya sehingga membatkan rasa tidak puas hati orang lain terhadap dirinya.

Antara lain terdapat kes di mana seorang pelajar dibuli kerana bermulut celupar. mungkin ada kata-kata yang diucapkan membuatkan ada rakan lain merasa tidak senang dengannya. Maka itu juga menjadi sebab mengapa pelajar itu sendiri dibuli oleh rakan-rakannya. Biasanya ia berpunca daripada ejek-mengejek dan seumpanya yang membuatkan orang lain rasa tercabar lantas pelajar itu dibuli bagi melepaskan rasa amarahnya.

Tidak kurang juga punca penyebab buli adalah disebabkan situasi pelajar yang menjadi murid kesayangan guru mahupun warden. Di sini biasanya kelihatan pelajar ini menjadi mata-mata kepada warden sebagai satu cara mengawal disiplin pelajar. Jika seharusnya pelajar ini tidak didedahkan identitinya, kadang kala ada dikalangan rakan-rakannya dapat menghidu peranan pelajar itu yang melaporkan aktiviti-aktiviti yang melangkaui garis peraturan sekolah. Boleh jadi kerana dendam, pelajar itu dibuli sebagai tanda amaran untuk tidak lagi menjadi tali barut gurunya.

Melihat kepada kesemua punca daripada faktor mangsa sendiri memang dapat kita simpulkan bahawa apabila seseorang itu berada dalam komuniti yang ramai seperti di asrama dan sekolah, pelajar itu hendaklah membiasakan dirinya dengan situasi berkenaan. Perlu diingat suasana di asrama tidak sama ketika berada di rumah. Jika keluarga sendiri memahami dirinya ia tidak sama dengan keadaan di asrama. Oleh kerana mereka datang dari latar belakang keluarga yang berbeza maka setiap pelajar harus saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

Kenyataan yang penulis keluarkan ini bukanlah ingin menyalahkan mangsa 100%. Tapi ini adalah salah satu realiti yang berlaku selain faktor luaran seperti sikap pembuli itu sendiri. Apa yang diharapkan agar mereka ini dapat menyesuaikan diri mereka agar kehidupan mereka di asrama yang bermatlamatkan untuk belajar akan sentiasa harmoni dan saling berteloransi antara satu sama lain.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.