Sejak akhir-akhir ini iklim negara makin hangat. Bukan kerana panas sepanjang masa tanpa hujan. Tetapi panas dengan perang bendera yang mula dipasang di sepanjang jalan. Banyak tempat-tempat yang dianggap strategik telah dipacakkan tiang bendera. Sepanduk juga tidak terkecuali. Namun sepanas mana pun masa ini ia masih menjadi tanda tanya kepada ramai orang apakah dengan fenomena ini yang mungkin sama berlaku di seluruh negara menjadi pilihanraya umum bakal berlaku dalam masa terdekat? Di media seperti akhbar dan kaca tv tidak pula disebut-sebutkan. Jika ada pun di akhbar hanya beberapa laporan secara tidak langsung diberitakan. Tuduh-menuduh serta fitnah memfitnah menjadi kisah wajib untuk disiarkan media. Tidak kira dari pihak mana semuanya dua kali lima.
Masyarakat hari ini kebanyakan makin meluat dan penat dengan gimik dan lakonan orang-orang politik. Macam-macam hal disogokkan demi mendapatkan pengaruh dan kepercayaan. Umumnya keadaan itu tidaklah seserius mana jika dibandingkan dalam pada masa memburukkan pihak lain pula. Memburuk-burukkan pihak lain tidak sama ertinya mendedahkan kerosakan atau sebarang salah laku orang lain dari aspek kerjaya dan peranannya dalam politik tetapi kebanyakannya lebih kepada merendahkan martabat pihak lawan dan mengkritik peribadi orang lain. Kadang-kadang masing-masing harus sedar diri, hal ehwal kehidupan orang yang tiada kena mengena dengan kerjaya politik tidaklah harus digembar-gemburkan. Jika salah lakunya boleh memberi kesan kepada rakyat dan masyarakat boleh jadi ia memang perlu 'diselesaikan'.
Apapun sebagai rakyat tidak ada harapan menggunung diletakkan kepada peneraju negara dari pelbagai peringkat. Apa yang diperlukan keamanan dan kesejahteraan dalam meneruskan kehidupan di dalam negara ini. Hanya dengan kehidupan aman dalam sesebuah negara sahajalah menjadi penyelamat untuk rakyatnya mengamalkan agama serta meneruskan amalan dan budaya masing-masing. Tidak ada makna wujud negara yang aman makmur namun aspek agama ditinggalkan. Bahkan dalam memperjuangkan agama pastikan juga kebebasan dan kedaulatan negara menjadi keutamaan seiring bagi mendapatkan kedua-duanya sekaligus. Banyak contoh dapat dilihat di luar, tatkala negara tergadai, amalan beragama belum tentu dapat bertahan sepenuhnya. Begitu juga andai agama diberi perhatian lebih hingga melupakan aspek kenegaraan ia belum meyakinkan untuk memastikan sesebuah agama (Islam yang menjadi keutamaan) dapat berlangsung dengan selamat untuk diamalkan. Belajarlah dari sejarah dan jangan pula mencipta sejarah jika tiada kepastian untuk mengekalkan atau menambah baik keadaan yang sedia ada.
Namun mungkinkah dalam suasana ini lebih-lebih lagi dunia sudah berada di akhir zaman kedaulatan negara dan Islam dapat dikekalkan? Masihkan kepercayaan penuh boleh diletakkan kepada mereka yang ada pada hari ini? Semuanya terpulang pada penilaian masing-masing. Pada yang putus harapan, masih ada alternatif lain untuk memastikan negara dan agama kita berada dalam keadaan selamat sejahtera seperti mana maksud bagi istilah Islam itu sendiri. Apakah caranya? Berdoalah sebanyak-banyaknya untuk meminta penyelamat umat akhir zaman hadir merubah segala kepalsuan dan kerosakan yang berlaku di merat-rata. Selicik mana aturan politik dan strategi untuk menawan hati manusia serta memonopoli negara, ia tidak dapat menyanggah apa yang telah Tuhan tentukan buat manusia tatkala ramai manusia telah nipis imannya, huru-hara berlaku di mana sahaja termasuklah juga kerosakan, penindasan dan kemungkaran yang berlaku saban hari tiada henti. janji Allah adalah pasti terjadi, hanya masa dan waktu sahaja yang menentukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan