Sabtu, Disember 18, 2010

MADAH BUAT PEJUANG


MEMANG ADAT BERJUANG ADA KALAH MENANG,
NAMUN UNTUK MENANG BUKAN LAH SENANG,
JANGAN DI ANGGAP SENANG NAK MENANG,
KALAU TIADA ILMU DAN SEMANGAT JUANG,
TAK PAYAH LAH MIMPI MAHU MENANG,
ANDAI MAZMUMAH MASIH BERSARANG,
DALAM HATI SEORANG PEJUANG

Rabu, Disember 15, 2010

NASIB BANGSAKU

Oh alangkah sayunya hatiku
Bila aku melihatkan bangsaku
Kasih sayangnya sudah musnah
Perpaduan sudah punah ranah

Bahkan berlaku di dalam bangsaku
Pergaduhan dan tipu menipu
Kasih sayang sudah tidak lagi dipeduli

Masing-masing hidup cara sendiri
Oh alangkah malang bangsaku
Cuba bersatu tapi tidak mampu
Malah makin menjauhkan antara satu sama lain

Kerna kita hanya tahu menggunakan akal semata
Tuhan tidak dibawa bersama
Tuhan tidak diambil kira

Sebenarnya kunci segalanya
Bila kita mencintai Tuhan
Cintakan Tuhan, perpaduan dan kasih sayang
Pasti Tuhan segera mewujudkan

Oh marilah kita semua menyintai Tuhan kita
Agar bangsa dan juga negara
bersatu dan berpadu semula

Ampunan Tuhan menaungi
Bumi Tuhan dirahmati
Kasih sayang berbunga semula
Semua insan hidup berharmoni

Wahai Tuhan datangkan segera
Penyelamat bagi kami semua
Menyatukan bangsa dan juga negara
Semoga hidup aman bahagia


Selasa, Disember 14, 2010

HATI MATI LEBIH KETAWA

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.


Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, maka syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam.

Menyingkap sirah Rasulullah ketika Baginda hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama-sama Rasulullah di medan peperangan, tetapi membatalkan janji dan persetujuan mereka pada saat-saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin


Quraisy dalam Perang Uhud. Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud : Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak. (Surah at-Taubah, Ayat 82). Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik yang selalunya suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan. Justeru, jika begitulah sikap mereka, maka sebagai umat Islam, kita harus segera membuang sikap sedemikian.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap menghadkannya untuk mengelaknya berlaku dalam keadaan melampau. Lantaran itulah, walaupun berada dalam apa juga keadaan hidup yang akhirnya menuntut diri seseorang secara spontan berada dalam keadaan yang sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai, Islam menyediakan pilihan lain yang boleh diguna pakai bagi mengelak daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi). Jika dihayati maksud hadis ini, sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara untuk menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati. Hati adalah ejen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang. Justeru, jika hati sudah tidak lagi berfungsi dalam erti kata menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara hidup ini, maka sudah tentu tidak ada sedikit pun manfaat dan ganjaran yang diperoleh kerana pergerakan fizikal tidak lagi berpandukan arahan hati yang murni.

Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Jika baik dan bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahir seseorang dalam melakukan apa juga tindakan dalam hidup seharian. Sebaliknya, jika buruk dan rosak sebuku hati itu, maka akan rosaklah segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan tindakan tertentu dalam hidup ini. Apabila hati sudah mati, maka akan mudahlah syaitan hakiki dan syaitan nafsu merajai diri dan akhirnya akan membawa diri ke lembah hina dan menyeleweng daripada landasan kebenaran. Begitu juga, akan terbentuklah kelompok manusia yang alpa dengan fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi Allah.

Sesungguhnya, hati berperanan besar menjadi penghubung kepada jiwa dan perasaan manusia untuk mentazkiah (menyucikan) diri melalui bisikan zikir dan doa, yang mana dengan cara itulah, manusia boleh mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta dan menyemai rasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan suruhan agama. Jika hati sudah mati, maka akan runtuhlah keperibadian manusia secara keseluruhannya. Hal ini kerana, pada ketika itu, keunggulan ciri-ciri manusia sejati yang lahir dengan kedudukan dan tanggungjawab di alam fana ini akan terabai.

Perlu juga disedari, bahawa pada ketika hati itu sudah rosak, maka sesuatu yang akan binasa ialah maruah diri. Individu itu tidak mampu lagi memandu dan membela maruah hidupnya iaitu kehormatan diri kerana proses untuk memantap dan menghidupkan darjat diri sudah tidak berfungsi lagi. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Suatu ketika, Rasulullah berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa. (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah). Dalam hadis lain, Rasulullah mengingatkan kita jangan banyak ketawa dengan sabda Baginda yang bermaksud: Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita. Ketawa yang sudah sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif daripada yang positif.

Orang banyak ketawa akan lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang, banyak ketawa boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri. Apabila lupa kepada mati, manusia akan lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara. Orang banyak ketawa akan banyak membawa kepada kelalaian memikirkan tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah, ketua, ayah dan pemimpin dalam dunia.

Abdullah bin Abi Yu'lah pernah berkata: Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudah pun dikeluarkan dari istana Allah. Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik dilakukan sepanjang masa agar tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Ini kerana, ia adalah suatu dugaan daripada Allah kepada hambaNya beriman. Di samping itu, kita digesa supaya menilai keperibadian sendiri pada setiap waktu agar dapat mengenal pasti setiap kelemahan dan kesalahan sama ada sengaja atau tidak. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri, dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Benarlah ada kata-kata yang menyebut bahawa orang yang banyak ketawa akan banyak menangis kemudian. Hal ini kerana, manusia celaka di dunia yang banyak ketawa bukan saja tidak akan mampu ketawa dalam azab Allah, bahkan tidak akan mempunyai masa untuk mengukir senyum. Sebaliknya, akan dihiasi dengan jeritan dan tangisan yang menghibakan. Abdullah Ibn Abbas pernah berkata; sesiapa melakukan perbuatan dosa dan kemudian ketawa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka dengan tangisan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Hal ini kerana, kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta. Semoga kita akan sama-sama berusaha mengawal diri daripada menyebabkan hati mati kerana apabila ia berlaku, maka akan hilanglah kenikmatan hidup untuk menjadi mukmin yang beriman kepada Allah.

Ahad, Disember 12, 2010

IDOLA: Keperluan & Tujuan


Bila menyebut perkataan idola terbayang di fikiran ramai diertikan sebagai seseorang individu yang diangkat dan dijadikan sebagai seorang contoh dan pujaan bagi seseorang. Secara tepatnya  idola adalah simbol pujaan atau kekaguman seseorang kepada sesuatu sama ada daripada perkara yang nyata atau sebaliknya sama ada seseorang individu, sesebuah kumpulan, mungkin berbentuk bukan manusia seperti haiwan dan kebendaan dan selainnya.

Dalam kalangan masyarakat idola yang dikagumi biasanya adalah dari kalangan individu lain yang dianggap hebat untuk dipuja. Selalunya juga idola ini dikagumi atas pelbagai factor antaranya kerana minat terhadap karektor, bakat, penampilan, kebolehan, paras rupa atau sebagainya daripada individu yang dikaguminya. Antara lain factor kepada kekaguman seseorang terhadap individu lain adalah disebabkan kejayaan hidup, kesungguhan, kekayaan, pangkat dan sebagainya.

Seterusnya juga idola yang dianggap bagus dan hebat itu akan dijadikan contoh ikutan dan tauladan dengan tujuan untuk menjadi inspirasinya dalam mencapai apa yang dimatlamatkan seperti mana yang diinginkan. Dengan kata lain individu yang dikagumi itu akan dianggap sebagai model dalam menuju impian yang sama seperti idolanya miliki.

Namun sejauhmanakah keperluan untuk seseorang itu mempunyai idola? Apakah hukumnya sesuatu idola itu dikagumi di sisi syariat? Apakah tujuan yang diharuskan untuk memuliki idola? Siapakah individu yang layak dijadikan idola dalam jutaan umat manusia dimuka bumi ini?

Hakikatnya tiada syarat dalam kehidupan manusia untuk memiliki dan mempunyai idola masing-masing. Terpulang pada individu sama ada mahu atau tidak lantaran bila mana dikatakan idola bermakna ada sesuatu yang menjadi tarikan untuk seseorang mencontohi apa yang berlaku dan diperolehi oleh idolanya. Boleh jadi siapa yang ada impian dan matlamat maka tentu ada idola yang menjadi inspirasinya. Meniru gaya seseorang yang lain boleh juga dianggap sebagai idolanya yang mungkin saja secara sedar atau tidak betapa seseorang itu sebenarnya mengkagumi orang lain apabila meniru sesuatu daripadanya.

Secara jelas dapat dikatakan tidak salah malah harus untuk mengambil sesiapa pun sebagai idola. Diakui kadang kala idola selain menjadi inspirasi untuk mencapai sesuatu matlamat ia juga menjadi satu alat yang boleh mengukur diri serta membanding beza antara diri sendiri dengan orang yang dikaguminya. Namun hukum yang harus itu sebenarnya boleh berubah-ubah mengikut situasi dan objek yang diidolakan. Secara jelas Allah s.w.t melarang untuk manusia memuja-muji seseorang itu secara melampau-lampau lantaran manusia itu juga adalah makhluknya. Apatahlagi seandainya apa yang ditiru dan dicontohi daripada idolanya itu merupakan sesuatu yang bertentangan dengan syariat, maka status harus itu menjadi haram. Bagaimana seseorang yang mengaku beriman mencontohi sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Tuhannya, sedangkan jelas ia sebenarnya berada dalam situasi yang boleh menjejaskan akidahnya.

Oleh sebab hukum asalnya adalah harus untuk menjadikan seseorang itu idola, maka tidak seharunya pula seseorang itu sesuka hati meniru apa saja pada idolanya. Dalam Islam meniru tidak salah kalau yang ditiru itu benda-benda atau perkara yang baik. Mencontohi juga tidak salah kalau yang dicontohi itu adalah sesuatu yang bermanfaat. Meneladani sesuatu yang berguna tentu saja menjadikan seseorang itu memperolehi manfaat yang baik. Mengagumi sesuatu yang hebat dan cemerlang pula digalakkan kerana ia boleh membimbing diri dalam meningkatkan kualiti diri selain berusaha untuk berusaha mendapatkannya. Pada perkara-perkara yang menyumbang kepada kerosakan akidah dan kebejatan akhlak dalam diri seboleh-bolehnya perlu dielakkan.

Siapakah pula dalam ramai-ramai umat manusia boleh dijadikan idola lebih-lebih lagi apabila melibatkan gaya hidup seseorang? Terpulang pada individu itu sendiri. Kebenaran jelas terbentang. Akal yang sihat tentu saja boleh memikirkan dan memilih siapakah individu yang layak diambil sebagai idolanya. Sebagai muhasabah, idola yang terbaik dan teragung harus diteladani oleh seluruh umat manusia tidak lain dan tidak bukan adalah Muhammad bin Abdullah. Tiada siapa yang di bumi ini meragui kehebatan diri baginda luar dan dalam. Penampilannya yang hebat sentiasa memukau sanubari khalayak. Kemuliaan hati dan budinya sentiasa dikagumi kawan dan lawan. Baginda boleh saja dicontohi dari pelbagai aspek sama ada dari sudut kepimpinan, kekeluargaan, persahabatan, pejuang, pendakwah dan sebagainya. Sememangnya baginda orang yang layak diberi penghormatan itu lantaran Allah s.w.t telah menciptakan baginda sebaik-baik manusia. Menjadikan baginda sebagai idola hidup merupakan pihan yang wajar dilakukan demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Apapun juga alasan dan tujuan untuk memiliki idola pastikan ia tidak melangkaui sempadan syariat yang jelas hak dan batilnya untuk digenggami oleh individu muslim khususnya. Jika ada yang baik untuk dicontohi pada diri seseorang maka ambillah, jika sebaliknya pastinya akal yang waras punya jawapannya. Buang yang keruh, ambil yang jernih.


Selasa, Disember 07, 2010

LOGIK SAINS BUKTI KEINDAHAN ISLAM

Doktor memulakan syarahannya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan hadith yang maknanya sedikit sebanyak "Dalam diri-diri kamu ada kebesaran Tuhan". Doktor menyuruh kita melihat kedua tapak tangan dan perhatikan garis-garis di tapak tangan kita. Garisan-garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 + 18 = 99 iaitu bilangan nama Allah.


Berikut adalah antara intipati syarahannya secara ringkas:-

1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s. a. w, beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya(yg last tu), lalu Rasullah saw akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya.

Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 jenis enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.

Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, di hospital-hospital , the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM.
 Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.

2. Cara Rasulullah mengunyah - Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.

3. Membaca BismillahirrahmaNirrahim. Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.

Cara Rasulullah minum. Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic. Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas.
 Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.

Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati org yang sudah berkahwin yang berzina? Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yg dapat melawan penyakit. Dan sel-sel ini terdapat di kawasan tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri. Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah disebat 100 kali. Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yang dapat melawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu. Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin, walaupun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibodi sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapatmerebakkan virus HIV itu.

Itulah sedikit sebanyak inti syarahan yg disampaikan oleh Dr Jamnul Azhar. Harap ia akan memberi manfaat pada anda sekalian, dan sedikit informasi yang diberikan oleh Mudarisana, Mudaris Iskandar mengenai Ka'bah.

Mengapa ia terletak di Mekah al- Mukarramah dan mengapa ia BERBENTUK EMPAT SEGI(cube)?Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati, tempat terletaknya Ka'bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi.

Mengapa Makkah berbentuk empat persegi???Ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, equality and unity, tidak seperti bentuk pyramid, dimana ia diumpamakan, seperti hanya seorang pemenang yg berada diatas setelah ia memijak-mijak yang lain. Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi'i, melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut...

Isnin, Disember 06, 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432


Maal Hijrah menyingkap sejarah
Kisah perpindahan Nabi Muhammad
Dari Kota Makkah menuju ke Kota Madinah
Untuk menyelamatkan Islam dari ditindas

Di tengah malam Rasul berjalan
Bersama Abu Bakar menjadi teman
Di dalam Gua Tsur mereka bersembunyi
Musuh mencarinya tiada berjumpa

Tiba di Madinah disambut dengan meriah
Seluruh mukmin bersyukur dan gembira
Selamatlah islam dari kekejaman
Terus berkembang membina sebuah empayar

Hijrah rasul suatu hikmah
Dunia yang kelam bertukar cerah
Segala kekejaman kini lenyaplah sudah
Tanda agama islam peroleh kemenangan

Hijrah rasul mari renungkan
Ambillah ia menjadi panduan
Agar hidup kita tidak dalam kesesatan
Dalam kita menempuh ranjau kehidupan

Salam maal hijrah 1432
‘1 malaysia, 1 ummah’

Ahad, Disember 05, 2010

SUNNAH SALAM

Sesungguhnya salam itu merupakan sunnah terdahulu sejak zaman Nabi Adam ‘alaihi salam sehingga ke hari kiamat, dan salam merupakan ucapan para penghuni syurga, Dan ucapan mereka di dalamnya adalah salam. Salam merupakan sunnah para Nabi, tabiat orang-orang yang bertakwa dan semboyan orang-orang yang suci. Namun, dewasa ini, benar-benar telah terjadi kekejian yang nyata dan perpecahan yang terang di tengah-tengah kaum muslimin! Jikalau engkau melihat mereka, ada saudara semuslim yang melintasi mereka, mereka tidak mengucapkan salam kepadanya. Sebahagian lagi hanya mengucapkan salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja, bahkan mereka merasa aneh ketika ada orang yang tidak dikenalinya memberi salam kepadanya, mereka mengingkarinya dengan menyatakan “Apakah anda mengenali saya?”.
Sedangkan yang sedemikian itu merupakan penyelisihan terhadap perintah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, sehingga menyebabkan semakin menjauhnya hati-hati mereka, semakin merebaknya perangai-perangai kasar dan semakin bertambahnya perpecahan. Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam: “Tidaklah kalian akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan tidaklah kalian dikatakan beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan kepada sesuatu yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai, iaitu tebarkan salam di antara kalian.” (HR Muslim).
Di dalam hadits Muttafaq ‘alaihi, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, “Islam bagaimanakah yang baik?” Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahupun yang tidak engkau kenali.” (Muttafaq ‘alaihi).
Maka yang demikian ini merupakan suatu anjuran untuk menyebarkan salam di tengah-tengah kaum muslimin, dan bahawasanya salam itu tidaklah terbatas kepada orang yang engkau kenali dan sahabat-sahabatmu sahaja, namun untuk keseluruhan kaum muslimin.
Adalah Abdullah Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu pergi ke pasar pada pagi hari dan berkata : “Sesungguhnya kami pergi bertolak pada pagi hari adalah untuk menyebarkan salam, maka kami mengucapkan salam kepada siapa saja yang kami jumpai.
Salam itu menunjukkan ketawadhu’an seorang muslim, ia juga menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain. Salam menggambarkan akan kebersihan hatinya daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang rendah kepada orang lain. Salam merupakan hak kaum muslimin antara satu dengan lainnya, ia merupakan sebab tercapainya rasa saling mengenali, bertautnya hati dan bertambahnya rasa kasih sayang serta kecintaan. Ia juga merupakan sebab diperolehnya kebaikan dan sebab untuk seseorang masuk syurga. Menyebarkan salam adalah salah satu bentuk menghidupkan sunnah Mustofa Shalallahu ‘alaihi wa sallam.
Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam: “Lima perkara yang wajib bagi seorang muslim ke atas saudaranya, menjawab salam, mendo’akan orang yang bersin, memenuhi undangan, menjenguk orang sakit dan menghantarkan jenazah.” (HR Muslim).
Wajib bagi sesiapa yang diberi salam menjawab dengan jawapan yang serupa sebagai bentuk ittiba’ terhadap perintah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam. Dari Abi Sa’id Al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Jauhilah oleh duduk-duduk di pinggir jalan!” mereka berkata, “Ya Rasulallah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap di dalamnya.” Maka Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Jika engkau enggan meninggalkannya, maka berilah haknya jalan.” Mereka berkata, “Apakah haknya jalan itu wahai Rasulullah?” menjawab Rasulullah, “Mennundukkan pandangan, menyingkirkan gangguan, menjawab salam serta amar ma’ruf nahi munkar.” (Muttafaq ‘alaihi).
Imam Nawawi Rahimahullah berkata : “Ketahuilah, sesungguhnya memulai salam itu adalah sunnah, dan membalasnya adalah wajib. Jika si pemberi salam itu jumlahnya ramai, maka yang demikian ini merupakan sunnah kifayah ke atas mereka, maksudnya jika sebahagian telah mengucapkan salam bererti mereka telah melaksanakan sunnah salam atas hak keseluruhan mereka. Jika yang diberi salam seorang diri, maka wajib ke atasnya menjawabnya. Jika yang diberi salam ramai, maka menjawabnya adalah fardhu kifayah atas hak mereka, maksudnya jika salah seorang daripada mereka telah menjawabnya maka gugurlah kewajipan bagi yang lainnya. Namun, yang lebih utama adalah memulai memberi salam secara bersama-sama dan menjawabnya dengan bersamaan pula.”
SIFAT SALAM
Berkata Imam Nawawi, “Ucapan salam minima dengan perkataan ‘assalamu’alaikum’, jika yang diberi salam seorang diri, maka minima dia mengucapkan ‘assalamu’alaika’, namun adalah lebih utama jika dia mengucapkannya dengan ‘assalamu’alaikum’, kerana kalimat ini mencakupi do’a bagi dirinya dan yang bersamanya (malaikat, pent.). Dan alangkah sempurna lagi dia menambahkan ‘warohmatullahi’ dan ‘wabarokatuh’, walaupun sebenarnya kalimat ‘assalamu’alaikum’ telah mencukupi.”
MENJAWAB SALAM
Imam Nawawi berkata, “Adapun cara membalas salam, lebih utama dan lebih sempurna jika mengucapkan ‘wa’alaikum as-Salam wa rohmatullahi wa barokatuh’, dengan menambahkan huruf ‘waw’ (yang mendahului kata ‘alaikum) ataupun tidak menggunakannya (membuangnya), hal ini diperbolehkan namun meninggalkan keutamaan. Adapun meringkaskannya menjadi ‘wa’alaikumus salam’ atau ‘alaikumus salam’ sahaja sudah mencukupi. Sedangkan meringkaskannya menjadi ‘alaikum’ sahaja, menurut kesepakatan ulama’ tidaklah mencukupi, demikian pula dengan ‘wa’alaikum’ sahaja yang diawali dengan huruf ‘waw’.
TINGKATAN SALAM
Salam memiliki 3 tingkatan, tingkatan yang paling tinggi, paling sempurna dan paling utama adalah ‘Assalamu’alaikum warohmatullahi wabarokatuh’, kemudian yang lebih rendah daripadanya ucapan ‘assalamu’alaikum warohmatullah’ dan terakhir yang paling rendah adalah ‘assalamu’alaikum’. Seseorang yang mengucapkan salam (Musallim), boleh jadi mendapatkan ganjaran yang sempurna dan boleh jadi mendapatkan ganjaran di bawahnya, sesuai dengan salam yang dia ucapkan.” Hal ini sesuai dengan kisah tentang seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid dan saat itu Rasulullah dan para sahabat-sahabatnya sedang duduk-duduk, berkata lelaki tadi, “Assalamu’alaikum”, maka Nabi menjawab, “wa’alaikumus salam, sepuluh atasmu”, kemudian masuk lelaki lain dan berkata, “Assalamu’alaikum warohmatullah”, Rasulullah menjawab, “Wa’alaikumus Salam warohmatullah, dua puluh atasmu”. Tidak lama kemudian datang lagi seorang lelaki sambil mengucapkan “Assalamu’alaikum warohmaatullahi wabarokatuh”, maka jawab Rasulullah, “Wa’alaikumus Salam warohmatullahi wabarokatuh, tiga puluh atasmu”. (HR Abu Dawud dan Turmudzi), yang dimaksudkan adalah sepuluh, dua puluh dan tiga puluh kebaikan.
ADAB-ADAB SALAM
1. Disunnahkan tatkala bertemu dua jenis orang di jalan, iaitu orang yang berkenderaan supaya memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang sedikit kepada yang ramai dan yang muda kepada yang tua. Bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Hendaklah salam bagi yang berkenderaan kepada pejalan kaki, yang berjalan kaki kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang ramai.” (HR. Muslim).
2. Sayogiyanya orang yang hendak memberikan salam kepada kaum muslimin dengan mengucapkan salam dan bukan dengan ucapan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat datang’ ataupun ‘hello’, hendak dia memulainya dengan salam kemudian baru dia boleh menyambutnya dengan sapaan yang diperbolehkan di dalam Islam.
3. Disukai bagi seorang muslim yang akan masuk ke rumahnya, mengucapkan salam terlebih dahulu, kerana sesungguhnya berkah itu turun beserta salam, bersabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Jika engkau hendak masuk ke rumahmu, hendaklah engkau salam, nescaya berkah akan turun kepadamu dan keluargamu.” (HR Turmudzi). “Dan jika tidak ada seorangpun di dalamnya, maka ucapkan, Assalamu’alainaa ‘ibaadillahish shaalihin.” (HR Muslim).
4. Sayogiyanya mengucapkan salam itu dengan suara yang dapat didengar namun tidak mengganggu orang yang mendengar dan membangunkan orang yang tidur. Dari Miqdad Radhiallahu ‘anhu berkata : “Kami mengangkat untuk Nabi bahagiannya daripada susu, dan beliau tiba saat malam, mengucapkan salam dengan suara yang tidak membangunkan orang yang tidur dan dapat didengar oleh orang yang jaga.” (HR Muslim).
5. Dianjurkan untuk memberikan salam dan mengulanginya lagi jika terpisah daripada saudaranya, walaupun hanya dipisahkan oleh tembok. Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda, “Jika seseorang di antara kalian bertemu dengan saudaranya, hendaklah dia memberinya salam, dan jika terpisah antara keduanya oleh pohon, tembok ataupun batu besar lalu bertemu kembali, hendakla kalian mengucapkan salam lagi kepadanya.” (HR Abu Dawud).
6. Ramai ulama’ memperbolehkan seorang lelaki mengucapkan salam kepada seorang wanita, dan sebaliknya, selama aman daripada fitnah, sebagaimana seorang wanita mengucapkan salam kepada mahramnya, maka wajib juga atasnya untuk menjawab salam daripada mereka. Demikian halnya seorang laki-laki kepada mahramnya wajib atasnya menjawab salam dari mereka. Jika dia seorang ajnabiyah (wanita bukan mahram), maka tidaklah mengapa mengucapkan salam kepadanya ataupun membalas salamnya jika wanita tersebut yang mengucapkan salam, selama aman daripada fitnah, dengan syarat tanpa bersentuhan tangan/jabat tangan dan mendayu-dayukan suara.
7. Daripada hal-hal yang tersebar di kalangan manusia adalah menjadikan salam itu berbentuk isyarat atau memberi tanda dengan tangan. Jika seseorang yang mengucapkan salam itu jauh, maka mengucapkan salam sambil memberikan isyarat tidaklah mengapa, selama dia tidak dapat mendengarmu, kerana isyarat ketika itu menjadi penunjuk salam dan tidak ada pengganti selainnya, juga demikian dalam membalasnya.
8. Dianjurkan bagi orang yang duduk mengucapkan salam ketika dia hendak berdiri di dalam majlisnya. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam, “Jika kalian mendatangi suatu majlis hendaklah memberi salam, dan jika hendak berdiri seyogiyanya juga memberi salam, dan tidaklah yang pertama itu lebih berhak daripada yang terakhir”. (HR. Abu Dawud)
9. Disunnahkan berjabat tangan ketika memberi salam dan memberikan tangannya kepada saudaranya. Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tidaklah bertemu dua orang muslim kemudian berjabat tangan kecuali Allah akan mengampuni dosanya sebelum berpisah”. (HR. Abu Dawud dan Turmudzi).
10. Menunjukkan wajah yang ceria, bermanis muka dan tersenyum ketika salam. Sebagaimana sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Senyummu kepada saudaramu itu sedekah”, dan sabdanya pula “Janganlah engkau remehkan suatu kebajikan sedikitpun, walaupun hanya bermanis muka terhadap saudaramu”. (HR. Muslim)
11. Disunnahkan memberi salam kepada anak-anak sebagaimana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam sentiasa melakukannya, dan yang demikian ini adalah suatu hal yang menggembirakan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan menumbuhkan semangat menuntut ilmu di dalam hati mereka.
12. Tidak diperbolehkan memulai salam kepada orang kafir sebagaimana di dalam sabda Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Janganlah mendahului Yahudi dan Nasrani dengan ucapan salam, jika engkau menemui salah seorang daripada mereka di jalan, desaklah hingga mereka menepi dari jalan”. (HR. Muslim) dan bersabda pula Nabi Shalallahu ‘alaihi wa sallam : “Jika ahli kitab memberi salam kepadamu maka jawablah dengan wa’alaikum” (mutafaq alaihi).
Maka hidupkanlah, wahai hamba Allah sunnah yang agung ini di tengah-tengah kaum muslimin agar lebih mempereratkan hati-hati kalian dan menyatukan jiwa-jiwa kalian serta untuk meraih ganjaran dan pahala di sisi Allah. Semoga salam dan shalawat senantiasa tercurahkan atas Nabi, keluarga baginda dan shahabat-shahabat baginda seluruhnya. Amin..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.