Rabu, Februari 22, 2012

Teks Cerita Dalam al-Quran: Kesabaran Nabi Ayub a.s

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang dihormati, Tuan Pengerusi Majlis, Barisan Panel Hakim Yang Arif tunggak keadilan, hadirin-hadirat, seterusnya rakan-rakan seperjuangan sekelian.

(Nasyid):
Marilah mari kita dengarkan
Kisah sejarah yang dirakamkan
Dalam al-Quran kisah ketabahan
Nabi Ayub yang di uji Tuhan

            Nabi Ayub adalah putera kepada Mawsh bin Razakh bin Aish bin Ishak bin Ibrahim al-Khalil alaihissalam. Ibundanya merupakan anak perempuan kepada Nabi Luth alaihissalam. Baginda lahir di daerah Hauran. Serta mempunyai isteri yang bernama Rahmah binti Afraathim.

            Nabi Ayub adalah seorang yang hartawan. Diceritakan baginda dilimpahi dengan harta kekayaan yang melimpah-ruah, tanaman yang subur, hasil ternakan dan pertanian yang banyak dan ahli keluarga yang ramai. Namun baginda memiliki jiwa seorang hamba yang sangat suka beribadah serta dermawan. Baginda tidak pula merasa sombong dengan apa yang dimilikinya. Malah seringkali baginda memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Ini membuatkan orang ramai menyenangi sikap baginda ini.

            Waahh.. mulianya hati baginda kan kawan-kawan? Kita juga mesti mencontohi sifat terpuji ini. Tentu masyarakat akan menyanyangi kita.

Dek kerana sifat taqwa yang menebal dalam hatinya, Allah melantik baginda menjadi seorang Nabi. Lihatlah kawan-kawan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sememangnya boleh memupuk keperibadian unggul dalam diri kita. Sifat taqwa kepada Allah bisa melatih jiwa menjadi lebih kuat dan sabar dalam menempuh segala mehnah dari-Nya. Bukti kekuatan iman kita dapat dilihat daripada tahap kesabaran kita dalam menghadapi ujian Allah.

Namun, sedar atau tidak, bukan semua orang akan senang dengan apa yang kita lakukan. Di kala diri dipimpin iman, iblis durjana turut memainkan peranannya. Hanya kerana dengki dengan apa yang baginda miliki, iblis merencanakan satu muslihat bagi memperdayakan Nabi Ayub. Matlamatnya hanya satu, tidak lain hanyalah untuk memesongkan aqidah dan keimanan baginda.

Lantas tanpa segan silu iblis menghadap Allah menyampaikan hasratnya itu. Dia ingin sekali melihat Nabi Ayub akan tunduk kepada tipu dayanya, “lihatlah nanti, akan aku pastikan Ayub berpaling arah dari-Mu, Wahai Tuhan,” azam iblis bersemangat. Allah dengan mudah memberi keizinan kepada iblis merealisasikan rancangannya itu. Namun sempat juga Allah mengingatkan bahawasanya Nabi Ayub tidak mungkin akan terpedaya dengan tipuan iblis itu.

Begitulah yang terjadi kepada Nabi Ayub. Kekayaan, kemewahan dan kesenangan yang dimilikinya sedikit demi sedikit beransur musnah. Bermula daripada kerosakan tanaman dan kematian binatang ternakan, wang dan harta yang dimilikinya semakin menyusut. Dalam sekelip mata baginda menjadi papa kedana.

Melihat situasi itu, iblis bersorak keriangan. Wah.. gembira benar iblis tu, kawan-kawan. Pastikan jangan ada sifat dengki mendengki dalam diri kita. Ternyata sifat mazmumah itu merupakan perangai syaitan yang sedari dulu berazam ingin menyesatkan zuriat Nabi Adam alaihissalam.

Tahu tak kawan-kawan, orang Yahudi dan Nasrani tidak sesekali akan meredhai umat Islam sehinggalah kita mengikuti jejak mereka. Ini terbukti bilamana, Zionis laknatullah saban hari menyeksa umat Islam di bumi Palestin. Sifat keji itu sekian lama telah membarah dalam diri mereka lantaran tidak senang dengan kesejahteraan yang dimilki oleh umat Islam.

Berbalik kepada kegembiraan iblis. Sangkanya, Nabi Ayub akan menangisi kemusnahan yang dihadapinya. Namun tidak disangka, iman dan taqwa baginda kepada Tuhannya semakin menebal dalam jiwa. Baginda tidak berasa gusar dengan peristiwa yang terjadi pada dirinya.

Melihat kepada keadaan itu, iblis semakin berang. Ternyata muslihatnya tidak menjadi. Lantas iblis membuat rancangan lain dengan harapan keimanan Nabi Ayub akan tergugat dengan musibah yang menimpanya.

Nabi Ayub diuji lagi. Seorang demi seorang putera dan puteri yang menjadi penyeri hidupnya pergi menghadap Ilahi berikutan tragedi runtuhan rumahnya. Namun baginda masih lagi bersabar dan pasrah atas taqdir yang menimpanya. Baginda benar-benar meyakini segala apa yang dimilikinya selama ini semuanya adalah milik Allah semata-mata.

Ini bertepatan dengan dalil Allah melalui surah al-Baqarah ayat 156:

 tûïÏ%©!$# !#sŒÎ) Nßg÷Fu;»|¹r& ×pt7ŠÅÁB (#þqä9$s% $¯RÎ) ¬! !$¯RÎ)ur Ïmøs9Î) tbqãèÅ_ºu ÇÊÎÏÈ  
(demi sesungguhnya, kami akan mengji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan. Iaitu apabila mereka ditimpa kesusahan mereka berkata, “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allahlah kami kembali)

Begitulah kawan-kawan, betapa kuatnya iman Nabi Ayub yang diuji dengan pelbagai ujian. Namun baginda tetap redha. Malah ibadahnya semakin hari semakin bertambah. Begitu juga dengan kita. Tatkala ditimpa sebarang musibah seperti tanah runtuh dan banjir kilat yang berlaku di negara kita, seharusnya kita bersabar dan menyerahkan takdir kepada yang Esa.

Reaksi iblis? Ah, tentu sahaja amarahnya semakin menggila. Sangkanya kepahitan yang baginda lalui bakal menggoyah keimanannya kepada Allah. Namun apa yang berlaku adalah diluar dari jangkaannya. Iblis benar-benar marah dengan keadaan itu.

Maka, dengan saki baki semangat yang ada iblis mencari jalan lain. Tiba-tiba iblis mendapat satu idea. Dengan yakin iblis menghembuskan penyakit kulit kepada Nabi Ayub. Maka sekali lagi ujian diterima baginda. Tubuhnya yang dulu sihat dan segak kini semakin susut. Kulitnya semakin hari semakin menggelupas.

Kini baginda tidak lagi keluar bersiar-siar di perkampuganya. Jiran tetangganya semakin ramai menjauhinya. Masakan tidak, penyakit kulit yang dihidapi oleh Nabi Ayub itu sebenarnya menjadi wabak jangkit berjangkit, sehinggakan tiada lagi orang yang mahu melihatnya lagi. Sudahlah berbau, wajahnya nampak buruk pula. Namun masih ada lagi insan yang sudi bersamanya kala susah dan senang, iaitu ratu hatinya, Siti Rahmah.

Sang iblis dari jauh semakin mengharap mudah-mudahan tipudayanya berhasil. Ternyata, kesabaran Nabi Ayub amat luar biasa sekali. Walaupun hebat deritanya itu, sesungguhnya keadaan itu tidak mampu ditanggung oleh manusia biasa sekalipun.

Lihatlah kawan-kawan, betapa hinanya apabila orang lain benci pada sesuatu yang buruk. Jadi, ingin saya menyeru kepada rakan-rakan supaya kita sentiasa menjaga kebersihan badan. Lebih-lebih lagi pada musim wabak demam Chikungunya ini. Ini kerana Nabi pernah menyebut, al-aqlus saliim fil jismis saliim. Maksudnya akal yang sihat lahir dari badan yang sihat.

Langit tidak selalu cerah. Begitulah nasib yang menimpa Nabi Ayub. Dek kerana tidak lagi tertahan menanggung derita, ditambah pula cacian hebat diterima dari masyarakat, membuatkan isterinya mula bersuara, “wahai suamiku, bukankah engkau hamba Allah yang paling taat beribadah? Apalah kiranya jika engkau memohon kesembuhan daripada-Nya, moga-moga beban yang ditanggung ini berkurangan”.

Berderau darah Nabi Ayub. Tidak di sangka begitu nipis tawakkal isterinya kepada Tuhan.  Lalu dengan emosinya baginda bersumpah, isterinya itu bakal disebatnya 100 kali apabila dirinya pulih kelak.

Sedih dengan kata-kata suaminya, Rahmah keluar membawa diri. Dikatakan, derita berpenyakit ini dihidapinya selama 7 tahun. Dalam tempoh itu hatinya tetap pasrah. Lidahnya saban hari tidak putus-putus mengalunkan zikir kepada Allah.

يا الله يا الله، يا الله يا الله
يا الله يا الله، يا الله يا الله      
“Ya, Allah. Segala apa yang ada di muka bumi ini adalah milik-Mu. Kurniaan yang Engkau berikan kepadaku, Engkaulah jua yang berhak mengambilnya kembali. Aku redha dan pasrah dengan apa yang menjadi ketentuanku. Moga-moga aku termasuk di kalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur”.

Kawan-kawan, betapa kuatnya iman baginda. Di kala diri diuji hebat, hatinya tetap tabah menghadapinya. Begitulah yang terjadi pada individu kurang upaya (OKU), walau dalam kepayahan, mereka tetap berusaha dan tekun belajar sehingga berjaya berada di menara gading. Kita yang sihat dan sempurna ini patut malu dengan diri sendiri.

Pada suatu hari, setelah lama diuji dengan pelbagai dugaan, Allah berkenan untuk memberikan penyembuhan kepada baginda. dengan satu hentakan kakinya ke tanah, terpancar mata air yang menjadi penawar penyakitnya.

Kini, baginda kembali pulih seperti sediakala. Tatkala isterinya kembali ke rumah, beliau terkejut dengan penampilan baru suaminya. Hatinya cukup gembira. Namun demi sumpah yang pernah terlafaz suaminya, beliau redha dihukum dengan sebatan seberkas jerami oleh suaminya sebagai tamsilan kepada pukulan sebanyak 100 kali. Untuk hari-hari seterusnya, kehidupan mereka kembali ceria.

            (syair):
Begitulah kisah…hamba beriman..
Sentiasa tabah…diberikan ujian…
Hatinya pasrah…kuat keimanan…
Amal ibadah…makin digandakan…

Tentu sekali iblis durjana itu kecewa dengan apa yang berlaku. Ternyata, sangkaannya meleset sama sekali.

Kawan-kawan, nampaknya masa amat mencemburui. Sampai di sini saja cerita saya. Izinkan saya mengundur diri.

(Pantun):
Akhir pesanan saya berikan
Moga bersama jadi ingatan
Mana yang jernih buat tauladan
Mana yang keruh jadikan sempadan.

وبا الله توفيق و الهدايه والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Teks Cerita Dalam al-Quran: Ashabul Kahfi

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang dihormati, Tuan Pengerusi Majlis, Barisan Panel Hakim Yang Arif tunggak keadilan, hadirin-hadirat, seterusnya rakan-rakan seperjuangan sekelian.

(Pantun):
Ahlan wasahlan ucapan diberi
Tenangkan diri berikan tumpuan
              Dengarkan pula cerita ini              
Kisah ashabul kahfi pemuda beriman

            Pada zaman dahulu, di bumi Urdhun, ada seorang Raja yang zalim bernama Daqyanus. Baginda menganut agama berhala serta mendustakan ajaran Nabi Musa alaihis salam. Baginda turut memerintahkan rakyat jelata menyembah berhala. Jika ada yang ingkar, hukuman berat pasti dikenakan.

            Pada masa yang sama, di negeri itu terdapat sekumpulan pemuda yang masih kuat berpegang dengan ajaran tauhid. Mereka sama sekali menafikan betapa patung yang di sembah itu tidak bisa memberikan sebarang mudarat dan manfaat. Sedikit pun tidak gentar di hati mereka dengan ancaman raja yang kejam itu. Malah, iman mereka semakin kukuh. Untung nasib dan harapan mereka hanya diserahkan kepada Allah semata-mata.

(Pantun):
Ashaabul kahfi pemuda beriman
Demi aqidah nyawa di pertaruhkan
Ayuhlah kawan ambillah teladan
Itulah contoh mukmin pilihan

           Kisah keimanan mereka kepada Allah akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Daqyanus. Dengan murka baginda bertitah, “tangkap dan penjarakan mereka”. Tanpa banyak bicara masa para pembesar istana melancarkan operasi memburu para pemuda beriman itu.

            Lihatlah rakan, betapa seseorang yang ingin membuat kebaikan, mendapat ancaman bilamana hidup di bawah naungan pemimpin yang tidak mengenali Tuhan. Kita sepatutnya bersyukur kerana hidup dalam suasana negara yang bebas merdeka. Segala kurniaan yang Allah berikan dapat kita nikmati. Untuk melakukan kebaikan tiada siapa yang melarang. Namun untuk membuat kejahatan, pastinya ada hukuman yang menanti

Tatkala perintah Raja Daqyanus itu tersebar ke seluruh negeri, para pemuda beriman itu lantas mengadakan perbincangan sulit. Matlamatnya hanya satu, tidak lain adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk melepaskan diri daripada ancaman sang Raja yang zalim itu. Pelbagai cadangan dikemukakan, namun tiada satu pun yang disepakati bersama. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bersuara, “bagaimana kalau kita keluar meninggalkan negeri ini?”, mereka berpandangan sesama sendiri.

(Syair):
Tujuh pemuda………mengambil keputusan…….
Melarikan diri……….mencari perlindungan…….
Tawakkal dan doa..…menjadi bekalan….
Demi Tuhan…aqidah dipertahankan….

            Kawan-kawan, tindakan yang diambil oleh pemuda-pemuda itu sebenarnya amat tepat pada masanya. Demi Tuhan yang Esa, mereka sanggup meninggalkan tanah air, keluarga dan harta yang dimiliki. Bagi mereka, biarlah menempuh kepayahan dahulu sebelum beroleh kesenangan abadi di akhirat kelak.

Kawan-kawan, ini bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w yang menggalakkan agar umatnya mengingati 5 perkara sebelum 5 perkara:

(Nasyid):
Ingat 5 perkara
Sebelum 5 perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati
  
Ayuhlah bangsaku, sedarlah dari lenamu. Janganlah lalai dan leka dengan kesenangan duniawi. Ingat dan takutlah kepada Allah. Lihatlah, dikala kita bersenang lenang di sini, tidakkah kita ingat pada saudara kita di Palestin yang hidup derita??? Renungkanlah.

            Begitulah dengan 7 orang hamba Allah yang beriman ini. Demi taqwa dan keimanan, hidup matinya diserahkan kepada Tuhan. Kaki yang melangkah membelah malam seolah-olah tiada hala tujunya. Kedinginan dalam kepekatan malam tidak terasa. Hati mereka benar-benar menyakini sinar iman pastinya menjadi petunjuk kepada mereka.

            Apabila tiba di kawasan berbukit bukau, tiba-tiba salah seorang daripada mereka berkata, “sahabat, mari kita ke bukit sana ,”.

            “Bukit apakah itu?”, tanya seorang rakannya.
            “Wallahu a’lam, saya pun tidak tahu”, jawab seorang yang lain pula.
            “Demi Allah, itu adalah tempat yang selamat buat kita sementara ini”, ujar salah seorang daripada mereka.
“Ayuh, mari”. Kesemua mereka berjalan menuju ke arah bukit yang dimaksudkan.

            Tanpa mereka sedari, ada langkah yang menjejaki mereka. Seketika itu salah seorang daripada mereka mula menyedarinya, “sahabat, nampaknya ada seekor anjing mengekori kita..”, katanya dengan nada terkejut.

            “Eh, usir saja anjing itu”, sahut seorang yang lain.
            “ Syoh..! syoh..! syoh..!”.
 Pelik, sedikit pun anjing itu tidak berganjak bahkan tetap mengekori langkah mereka.

Ha… kawan-kawan nak tahu tak? Anjing yang mengekori mereka itu bernama ar-Raqeem. Kisahnya turut tercatat dalam al-Quran bersama-sama kisah pemuda ini. Lama-kelamaan mereka membiarkan saja anjing itu bersama-sama mereka. Tidak lama kemudian, mereka tiba ke destinasinya.

Ternyata, lokasi itu benar-benar selamat untuk didiami. Siang, malam, pagi dan petang, tidak putus-putus mereka beribadah kepada Allah. Ketaatan mereka itu boleh digambarkan bilamana doa yang senantiasa mereka panjatkan turut dirakamkan dalam al-Quran melalui surah al-Kahfi ayat 10:

  !$uZ­/u $uZÏ?#uä `ÏB y7Rà$©! ZptHôqy ø×Ähydur $oYs9 ô`ÏB $tR̍øBr& #Yx©u ÇÊÉÈ  
"Wahai Tuhan kami! kurniakanlah Kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada Kami untuk keselamatan agama kami".

Keasyikan mereka dalam beribadah membuatkan mereka semakin lupa dengan masalah yang menimpa. Lama-kelamaan seorang demi seorang tersandar keletihan lalu terlelap. Dengan niat untuk berehat seketika akhirnya dengan kuasa Allah, mereka tertidur selama 309 tahun. Keadaan ini turut dirakamkan menerusi surah al-Kahfi pada ayat 11. 

Rententan daripada itu sejarah mencatatkan kumpulan pemuda beriman ini telah digelar sebagai ‘Ashaabul Kahfi’ bersempena dengan keadaan mereka yang beribadah dan ditidurkan selama 309 tahun. Malah anjing yang menjadi peneman mereka itu turut sama tertidur. Jika para pemuda beriman itu berada di perut gua, anjing itu pula berada di pintu gua seolah-olah menjadi pengawal kepada mereka.

Bagaimana, tidak? Dunia moden hari ini turut menggunakan khidmat pasukan anjing sebagai pengawal. Bahkan dalam banyak keadaan anjing itu juga dilatih untuk membantu mengesan pelbagai bentuk jenayah seperti dadah dan pembunuhan.

Masa berlalu silih berganti. Dari hari membawa ke bulan. Dari bulan membawa ke tahun sehingga mencecah beberapa kurun. Akhirnya dengan izin Allah para pemuda beriman itu terjaga dari tidur mereka. Mereka memandang antara satu sama lain sambil menghitung tempoh mereka berada di gua itu.

(Nasyid): 
Di sangka tidur hanya sehari
Rupanya 309 tahun
Zaman bertukar beberapa kurun
Di bumi bersejarah Urdhun.

Kawan-kawan tentu hairan bagaimana ianya boleh berlaku, bukan? Haa... sebenarnya tiada apa yang mustahil bagi Allah. Cuba kita ingat semula peristiwa bencana Tsunami yang berlaku di Acheh beberapa tahun lalu. Di katakan semua bangunan dan harta benda musnah. Namun yang ajaibnya, masjid dan mashaf al-Quran yang ada di sana terselamat daripada kemusnahan, sedangkan kawasan di sekitarnya pula rosak binasa. Subhanallah...

Berlalu tempoh 309 tahun memperlihatkan bumi Urdhun bebas dari kejahilan. Mereka kini bebas beribadah kepada Tuhan. Raja yang menaungi mereka juga turut beriman dengan ke-Esa-an Allah.

Sementara itu, 7 orang penghuni gua itu merasa tersangat lapar. Lalu salah seorang daripada mereka keluar menuju ke pasar untuk membeli makanan. Sepanjang perjalanan, dia merasa hairan dengan apa yang dilihatnya. Terdetik di hatinya, “eh, semalam baru saja aku keluar dari pekan ini, bagaimana pula hari ini segalanya berubah?”

Tiba di sebuah gerai, dia terus memilih makanan. Semasa hendak membuat bayaran, tiba-tiba jurujual kedai itu merasa pelik, “eh, wang apakah ini?” serentak itu pelanggan lain juga menoleh.

“Bukankah itu matawang lama, zaman Raja Daqyanus?”, ujar seseorang.
Pemuda itu amat terkejut dengan apa yang di dengarnya. Namun tanpa disangka-sangka, dirinya telah dibawa menghadap ke pangkuan Raja.

(Syair):
Bertemu sudah...Raja di istana
Diceritanya kisah...penyembunyian rahsia
Maka kagumlah...semua yang mendengarnya
Tanda kekuasaan.... Tuhan yang maha Esa

“Aneh, Raja Daqyanus telah mangkat lebih 300 tahun yang lalu. Ini bermakna, mereka telah tidur selama tempoh itu jugalah,” titah Raja Zulqarnain.

Lantas, demi melihat kebenaran, baginda bersiap sedia berangkat untuk melihat keadaan para penghuni gua yang beriman itu. Pemuda itu tanpa keraguan membawa mereka ke lokasi ibadah mereka. Setelah berpuas hati baginda pun meninggalkan Ashaabul Kahfi. Beberapa ketika, mereka berehat kembali dan pada ketika inilah Allah mematikan mereka.

Sampai ke pengetahuan Raja Zulqarnain, baginda menitahkan supaya didirikan sebuah masjid sebagai tanda ingatan kepada sejarah ajaib ini. Waaaahhh.. sungguh mulia baginda Raja, bukan? Kawan-kawan, itulah dia salah satu sifat kepimpinan yang terpuji. Pemimpin yang prihatin akan sentiasa disenangi rakyatnya.

Nampaknya masa amat mencemburui. Sampai di sini saja cerita saya. Izinkan saya mengundur diri.

(Pantun):
Akhir pesanan saya berikan
Moga bersama jadi ingatan
Mana yang jernih buat tauladan
Mana yang keruh jadikan sempadan.

وبا الله توفيق و الهدايه والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.