Apabila menyebut perkataan
idola, terbayang di fikiran ramai ia diertikan sebagai seseorang individu yang
diangkat dan dijadikan sebagai contoh dan pujaan bagi seseorang. Menurut
definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, idola itu membawa maksud orang yang sangat
diminati atau dikagumi secara keterlaluan seolah-olah memuja-muja. Antara lain
idola merupakan simbol pujaan atau kekaguman seseorang kepada sesuatu sama ada
daripada perkara yang nyata atau sebaliknya sama ada seseorang individu,
sesebuah kumpulan, mungkin berbentuk bukan manusia seperti haiwan dan kebendaan
dan sebagainya.
Dalam kalangan
masyarakat, idola yang dikagumi biasanya terdiri daripada kalangan individu
lain yang dianggap hebat untuk dipuja. Selalunya juga idola ini dikagumi atas
pelbagai faktor antaranya kerana minat terhadap karektor, bakat, penampilan,
kebolehan, paras rupa atau apa sahaja daripada individu atau golongan yang
dikaguminya. Selain itu faktor kepada kekaguman seseorang terhadap individu
lain adalah disebabkan kejayaan hidup, kesungguhan, kekayaan, pangkat dan
sebagainya selain sifat dan sikap tertentu yang dimiliki.
Sebagai contoh,
kebanyakan remaja masa kini terlalu obsess dengan golongan tertentu yang
menarik hati mereka. Biasanya mereka menyimpan minat dan kekaguman kepada
golongan artis dan selebiriti terkenal. Tidak keterlaluan ada yang bercita-cita
untuk menjadi seperti idolanya dengan melakukan pelbagai cara bagi memastikan
cita-cita itu dicapai.
Idola
yang dikagumi dianggap bagus dan hebat itu akan dijadikan contoh ikutan dan
tauladan dengan tujuan untuk menjadi inspirasinya dalam mencapai apa yang
dimatlamatkan seperti mana yang diinginkan. Biasanya apa yang dibuat dan
berlaku terhadap idola itu akan ditiru oleh peminatnya. Dengan kata lain
individu yang dikagumi itu akan dianggap sebagai model dalam menuju impian yang
sama seperti idolanya miliki.
Namun
sejauhmanakah keperluan untuk seseorang itu mempunyai idola? Apakah hukumnya
sesuatu idola itu dikagumi di sisi syariat? Apakah tujuan yang diharuskan untuk
memuliki idola? Siapakah individu yang layak dijadikan idola dalam jutaan umat
manusia dimuka bumi ini?
Hakikatnya
tiada syarat dalam kehidupan manusia untuk memiliki dan mempunyai idola.
Terpulang kepada individu kerana dalam Islam tidak ada larangan khusus untuk
seseorang itu memiliki idola apatah lagi meniru apa yang bersangkut-paut dengan
idola tersebut. Memiliki idola juga menunjukkan ada sesuatu yang menjadi daya tarikan
untuk seseorang itu mencontohi idolanya.
Namun
dalam perbuatan meniru dan mencontohi sesuatu golongan sama ada individu atau
kumpulan, ia bergantung kepada apa yang telah Islam gariskan. Selagi mana ia
tidak bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam ia diharuskan untuk
dicontohi. Ini seperti mana yang telah Rasulullah sabdakan yang bermaksud: “Sesiapa saja yang menyerupai
suatu kaum, ia termasuk golongan mereka.”
Walaubagaimana
pun tidak salah untuk mengambil sesiapa pun sebagai idola. Diakui kadang kala
idola boleh menjadi inspirasi untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia juga dapat
menjadi alat yang boleh mengukur dan membanding beza antara diri sendiri dengan
orang yang dikaguminya. Jika orang yang dikaguminya dari kalangan individu yang
baik dan berakhlak mulia maka ia sangat di galakkan untuk dicontohi.
Secara jelas
Allah s.w.t melarang untuk manusia memuja-muji seseorang itu secara
melampau-lampau lantaran manusia itu juga adalah makhluknya. Lebih-lebih lagi
seandainya apa yang ditiru dan dicontohi daripada idolanya itu merupakan
sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai seorang yang beriman
sifat memuja-muji selain daripada Allah secara berlebihan boleh menyebabkan
dirinya jatuh syirik.
Oleh sebab
hukum asalnya adalah harus untuk menjadikan seseorang itu idola, maka tidak
seharunya pula seseorang itu sesuka hati meniru apa saja pada idolanya. Dalam Islam
meniru tidak salah kalau yang ditiru itu benda-benda atau perkara yang baik.
Mencontohi juga tidak salah kalau yang dicontohi itu adalah sesuatu yang
bermanfaat. Meneladani sesuatu yang berguna tentu saja menjadikan seseorang itu
memperolehi manfaat yang baik. Mengagumi sesuatu yang hebat dan cemerlang pula
digalakkan kerana ia boleh membimbing diri dalam meningkatkan kualiti diri
selain berusaha untuk berusaha mendapatkannya.
Sementara itu,
perkara-perkara yang menyumbang kepada kerosakan akidah dan kerosakan akhlak
dalam diri ia hendaklah dijauhi oleh setiap orang Islam. Ini bertepatan dengan sabda
Rasulullah yang melarang umatnya mencontohi golongan lain yang tidak selari
dengan Islam seperti mana maksudnya: “Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golonganku.”
Oleh yang
demikian, dalam kalangan seluruh manusia, siapakah individu yang boleh dijadikan
idola dan ikutan? Terpulang pada individu itu sendiri. Kebenaran jelas
terbentang. Akal yang sihat tentu saja boleh memikirkan dan memilih siapakah
individu yang layak diambil sebagai idolanya.
Sebagai
muhasabah, idola yang terbaik dan teragung harus diteladani oleh seluruh umat Islam
tidak lain dan tidak bukan adalah Muhammad bin Abdullah. Tiada siapa yang dapat
meragui akan kehebatan diri baginda. Penampilannya yang hebat sentiasa menarik
perhatian masyarakatnya terutaman pada akhlak mulia yang baginda miliki. Ia
adalah seperti yang Allah firmankan dalam surah al-Qalam, ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu (Muhammad) mempunyai akhlak
yang agung.”
Kemuliaan hati
dan budinya sentiasa dikagumi kawan dan lawan. Baginda boleh saja dicontohi
dari pelbagai aspek sama ada dari sudut kepimpinan, kekeluargaan, persahabatan,
pejuang, pendakwah dan sebagainya. Sememangnya baginda orang yang layak diberi
penghormatan itu lantaran Allah s.w.t telah menciptakan baginda sebaik-baik
manusia.
Memilih
Rasulullah sebagai idola hidup merupakan pilihan yang wajar demi kebahagiaan
hidup di dunia dan di akhirat. Buktinya
Allah telah menyebutkannya di dalam al-Quran di dalam surah al-Ahzab, ayat 21
yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri)
Rasulullah itu ‘uswah hasanah’ (suri teladan yang baik) bagimu (iaitu) bagi
orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan orang yang
banyak mengingati Allah.”
Apapun
juga alasan dan tujuan untuk memiliki idola pastikan ia tidak melangkaui
sempadan syariat yang jelas hak dan batilnya untuk digenggami oleh individu
muslim khususnya. Jika ada yang baik untuk dicontohi pada diri seseorang atau
sesuatu golongan maka ambillah, jika sebaliknya pastinya akal yang waras dan
bijak boleh memandu ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.
________________________________________________________
Artikel ini merupakan olahan semula untuk dihantar bagi menyertai pertandingan menulis tazkirah daripada artikel dahulu, Idola: Keperluan & Tujuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan