Bila menyebut perkataan idola terbayang di fikiran ramai diertikan sebagai seseorang individu yang diangkat dan dijadikan sebagai seorang contoh dan pujaan bagi seseorang. Secara tepatnya idola adalah simbol pujaan atau kekaguman seseorang kepada sesuatu sama ada daripada perkara yang nyata atau sebaliknya sama ada seseorang individu, sesebuah kumpulan, mungkin berbentuk bukan manusia seperti haiwan dan kebendaan dan selainnya.
Dalam kalangan masyarakat idola yang dikagumi biasanya adalah dari kalangan individu lain yang dianggap hebat untuk dipuja. Selalunya juga idola ini dikagumi atas pelbagai factor antaranya kerana minat terhadap karektor, bakat, penampilan, kebolehan, paras rupa atau sebagainya daripada individu yang dikaguminya. Antara lain factor kepada kekaguman seseorang terhadap individu lain adalah disebabkan kejayaan hidup, kesungguhan, kekayaan, pangkat dan sebagainya.
Seterusnya juga idola yang dianggap bagus dan hebat itu akan dijadikan contoh ikutan dan tauladan dengan tujuan untuk menjadi inspirasinya dalam mencapai apa yang dimatlamatkan seperti mana yang diinginkan. Dengan kata lain individu yang dikagumi itu akan dianggap sebagai model dalam menuju impian yang sama seperti idolanya miliki.
Namun sejauhmanakah keperluan untuk seseorang itu mempunyai idola? Apakah hukumnya sesuatu idola itu dikagumi di sisi syariat? Apakah tujuan yang diharuskan untuk memuliki idola? Siapakah individu yang layak dijadikan idola dalam jutaan umat manusia dimuka bumi ini?
Hakikatnya tiada syarat dalam kehidupan manusia untuk memiliki dan mempunyai idola masing-masing. Terpulang pada individu sama ada mahu atau tidak lantaran bila mana dikatakan idola bermakna ada sesuatu yang menjadi tarikan untuk seseorang mencontohi apa yang berlaku dan diperolehi oleh idolanya. Boleh jadi siapa yang ada impian dan matlamat maka tentu ada idola yang menjadi inspirasinya. Meniru gaya seseorang yang lain boleh juga dianggap sebagai idolanya yang mungkin saja secara sedar atau tidak betapa seseorang itu sebenarnya mengkagumi orang lain apabila meniru sesuatu daripadanya.
Secara jelas dapat dikatakan tidak salah malah harus untuk mengambil sesiapa pun sebagai idola. Diakui kadang kala idola selain menjadi inspirasi untuk mencapai sesuatu matlamat ia juga menjadi satu alat yang boleh mengukur diri serta membanding beza antara diri sendiri dengan orang yang dikaguminya. Namun hukum yang harus itu sebenarnya boleh berubah-ubah mengikut situasi dan objek yang diidolakan. Secara jelas Allah s.w.t melarang untuk manusia memuja-muji seseorang itu secara melampau-lampau lantaran manusia itu juga adalah makhluknya. Apatahlagi seandainya apa yang ditiru dan dicontohi daripada idolanya itu merupakan sesuatu yang bertentangan dengan syariat, maka status harus itu menjadi haram. Bagaimana seseorang yang mengaku beriman mencontohi sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Tuhannya, sedangkan jelas ia sebenarnya berada dalam situasi yang boleh menjejaskan akidahnya.
Oleh sebab hukum asalnya adalah harus untuk menjadikan seseorang itu idola, maka tidak seharunya pula seseorang itu sesuka hati meniru apa saja pada idolanya. Dalam Islam meniru tidak salah kalau yang ditiru itu benda-benda atau perkara yang baik. Mencontohi juga tidak salah kalau yang dicontohi itu adalah sesuatu yang bermanfaat. Meneladani sesuatu yang berguna tentu saja menjadikan seseorang itu memperolehi manfaat yang baik. Mengagumi sesuatu yang hebat dan cemerlang pula digalakkan kerana ia boleh membimbing diri dalam meningkatkan kualiti diri selain berusaha untuk berusaha mendapatkannya. Pada perkara-perkara yang menyumbang kepada kerosakan akidah dan kebejatan akhlak dalam diri seboleh-bolehnya perlu dielakkan.
Siapakah pula dalam ramai-ramai umat manusia boleh dijadikan idola lebih-lebih lagi apabila melibatkan gaya hidup seseorang? Terpulang pada individu itu sendiri. Kebenaran jelas terbentang. Akal yang sihat tentu saja boleh memikirkan dan memilih siapakah individu yang layak diambil sebagai idolanya. Sebagai muhasabah, idola yang terbaik dan teragung harus diteladani oleh seluruh umat manusia tidak lain dan tidak bukan adalah Muhammad bin Abdullah. Tiada siapa yang di bumi ini meragui kehebatan diri baginda luar dan dalam. Penampilannya yang hebat sentiasa memukau sanubari khalayak. Kemuliaan hati dan budinya sentiasa dikagumi kawan dan lawan. Baginda boleh saja dicontohi dari pelbagai aspek sama ada dari sudut kepimpinan, kekeluargaan, persahabatan, pejuang, pendakwah dan sebagainya. Sememangnya baginda orang yang layak diberi penghormatan itu lantaran Allah s.w.t telah menciptakan baginda sebaik-baik manusia. Menjadikan baginda sebagai idola hidup merupakan pihan yang wajar dilakukan demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Apapun juga alasan dan tujuan untuk memiliki idola pastikan ia tidak melangkaui sempadan syariat yang jelas hak dan batilnya untuk digenggami oleh individu muslim khususnya. Jika ada yang baik untuk dicontohi pada diri seseorang maka ambillah, jika sebaliknya pastinya akal yang waras punya jawapannya. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan