Sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah amat penting di mana ketika ini guru berperanan sebagai penyalur maklumat dan informasi kepada murid-muridnya. Di sini akan terwujudlah proses komunikasi antara guru dan murid. Namun terdapat juga halangan-halangan komunikasi yang salah satunya adalah berpunca daripada pendengar yang kurang baik. Berikut merupakan tanda-tanda pendengar yang kurang baik yang boleh menghalang keberkesanan komunikasi dalam bilik darjah.
1- Tertidur;
Pendengar yang tertidur menunjukkan bahawa seseorang murid itu tidak berupaya mendengar dengan baik. Ia sekaligus menunjukkan halangan sesuatu mesej untuk yang disampaikan oleh guru tidak sampai kepada murid yang tertidur itu. Sebaliknya murid dari kalangan pendengar yang aktif memerlukan tidur dan rehat yang cukup sebelumnya. Inilah suatu kenyataan yang sering dikebelakangkan oleh pendengar yang kurang baik. Mengantuk seterusnya tertidur disebabkan keletihan juga akan mengakibatkan murid kurang memberi penumpuan terhadap pengajaran di kelasnya.
2- Beranggapan perkara yang dibincangkan tidak penting;
Anggapan daripada murid mengatakan bahawa perkara yang sedang dibincangkan itu tidak menarik adalah merupakan penghalang yang besar kepada pendengar yang berkesan. Ini membuatkan mereka akan melakukan kerja-kerja yang lain semasa pengajaran guru serta mengambil sikap tidak mengendahkannya. Ini merupakan tindakan yang kurang bijak di mana apa yang sepatutnya dilakukan adalah mengambil perhatian yang sewajarnya tanpa bersikap prejudis terhadap apa yang di sampaikan guru.
3- Mengkritik penyampaian penceramah/ guru;
Seringkali juga didapati segelintir daripada murid suka mengkritik penceramah atau guru samada dari aspek penyampaian dan bahan serta sumber sesuatu pengajaran. Kritikan adakalanya juga menyentuh sensitiviti selain mewujudkan ketegangan antara dua pihak berkenaan. Walau apapun, setiap daripada kritikan daripada murid menunjukkan mereka adalah pendengar yang kurang baik seterusnya menghalang kepada proses komunikasi antara dua pihak.
4- Mendengar secara memilih;
Ada di antara pendengar mendengar secara memilih sesuatu topik atau tajuk perbincangan yang diminati sahaja. Pendengar menapis maklumat-maklumat yang disampaikan oleh penceramah atau guru. Ini bermakna tidak semua maklumat dapat disampaikan dengan berkesan. Ini merupakan satu tindakan yang kurang bijak kerana dalam proses pembelajaran di kelas tentunya segala apa yang disampaikan guru atau penceramah mempunyai input-input yang berguna kepada pendengar.
5- Mencelah;
Pendengar yang kerap mencelah menunjukkan bahawa ia adalah seorang pendengar yang kurang baik. Keadaan ini berlaku kerana pada hakikatnya kita boleh berfikir lebih pantas daripada berfikir. Ia disebabkan adanya pendengar yang cuba membuat andaian ketika sesi penyampaian maklumat dijalankan. Maka sikap suka mencelah itu akan menyebabkan halangan dalam komunikasi disebabkan mesej yang disampaikan tidak dapat diterima sepenuhnya oleh pendengar.
6- Gangguan luar;
Kadang-kala proses komunikasi boleh terhalang akibat daripada gangguan luaran. Antara faktor-faktornya adalah seperti pendengar menggunakan kerusi yang tidak selesa, persekitaran yang bising, panas atau sejuk yang keterlaluan. Namun bagi pendengar yang baik, mereka akan cuba mengabaikan gangguan-gangguan tersebut dan akan cuba fokus dan menumpukan apa yang disampaikan guru. Sebaliknya, seorang pendengar yang kurang baik akan membiarkan gangguan ini menguasainya dan tidak memusatkan pendengarannya kepada perbincangan atau ceramah.
7- Mengelakkan perkara yang susah dan teknikal;
Halangan komunikasi juga boleh berlaku apabila seseorang itu cuba mengelak untuk memahami perkara-perkara yang susah dan teknikal. Ini menunjukkan bahawa murid berkenaan adalah seorang pendengar yang kurang baik di mana mereka dengan sengaja untuk tidak cuba berfikir dan berusaha memahaminya. Ternyata tentu sahaja apa yang disampaikan gurunya itu tidak dapat diterimanya akibat daripada sikap negatifnya itu. Contohnyai dalam pembelajaran matematik ada yang menganggap ianya pelajaran yang susah bagi sesetengah pelajar disebabkan adanya pelbagai rumus dan formula yang perlu diingati.
Kesimpulannya, tanda-tanda pendengar yang kurang baik itu memperlihatkan betapa adanya halangan komunikasi antara dua pihak. Ini tentu sahaja merugikan pihak yang mendengar atau menerima mesej itu sehingga menyebabkan adanya kesukaran pada masa depan. Namun keadaan ini tidak boleh ditujukan kepada pihak pendengar sahaja iatu dari kalangan murid, bahkan sebagai seorang guru seseorang itu perlu mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh pendengar atau pelajarnya sebelum mula untuk menyampaikan sesuatu ceramah atau maklumat. Setelah masalah diketahui dan cuba ditangani oleh guru, maka mudahlah bagi guru mengambil tindakan yang sesuai sebelum menyampaikan sesuatu dengan berkesan.
__________________________________________________________________________
Tulisan ini merupakan tugasan individu yang penullis sediakan sebagai syarat pemarkahan Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia sesi Julai 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan