Ahad, Mei 08, 2016

Apabila PBAKL16 di MAEPS...


Berita Harian: 10 Mei 2016 (Selasa) dalam ruangan Forum Pembaca.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 hari ni berada pada hari ke 10. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan pelbagai matlamat dan tujuan. Tentunya ia lebih mengkhusus ke arah perkara berkaitan dengan buku. Perbezaan ketara pada kali ini, ia julung2 kalinya dibuat di luar Kuala Lumpur hingga mencetuskan polemik tersendiri atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS, Serdang.

                Pada awal cadangan ini diwar-warkan kepada umum, ramai yang menyuarakan bantahan. Bukan sahaja masyarakat umum bahkan para pempamer turut bersuara menolak PBAKL16 berlangsung di MAEPS. Alasan yang sering diberikan, MAEPS jauh daripada lokasi asal sekali gus mempersoalkan signifikan nama Pesta Buku Antrabangsa Kuala Lumpur yang tidak lagi berada di Kuala Lumpur. Terfikir pula, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak di Sepang, Selangor tidak pula menjadi isu selama ini, jadi tidak ada salahnya lokasi PBAKL16 pada tahun ini adalah di Serdang, Selangor.

Dalam aspek akses ke MAEPS, ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang efisyen. Sekali pun MAEPS dilihat tidak terasing di tengah-tengah jalinan lebuh raya persekutuan dan negeri serta berdekatan dengan kawasan perindustrian Bangi dan pusat pemerintahan kerajaan persekutuan Putrajaya, isu pengangkutan awam sememangnya menjadi masalah. Kebimbangan ini wujud berdasarkan pengalaman masyarakat yang merujuk kepada penganjuran MAHA pada setiap tahun di lokasi yang sama. Bagi yang berkenderaan, ia sangat mudah lebih-lebih lagi kawasan itu kurang terdedah dengan masalah kesesakan lalu lintas jika dibandingkan dengan di PWTC di tengah-tengah kota raya. Bagi masyarakat lain seperti pelajar, ia diakui sangat sukar. Berbanding di PWTC, akses pengangkutan awam jelas sangat membantu semua lapisan masyarakat untuk sampai ke lokasi.

Selain isu pengangkutan, masyarakat melihat kawasan MAEPS sendiri kurang mesra pengunjung. Pada hari-hari pertama penganjurannya tempoh hari, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati atas ketiadaan lokasi solat Jumaat terdekat jika dibandingkan dengan PWTC yang mendapat tauliah / kebenaran menjalankan solat Jumaat di premis itu. Selain itu, kawasan tersebut jauh daripada mana-mana lokasi penginapan berbanding di PWTC yang banyak penginapan di sekitarnya.  Bahkan, kemudahan mesin ATM  yang hanya sebuah turut menjadi isu.

Soalnya, adakah MBKM selaku penganjur sengaja mencari masalah dengan menukarkan lokasi PBAKL16 yang memang pada asalnya di PWTC seperti tahun-tahun sebelumnya ke MAEPS? Berkali-kali pihak penganjur telah menjelaskan keperluan penukaran lokasi itu. Ia terpaksa dilakukan atas beberapa alasan yang munasabah memandangkan PBAKL ini adalah program mega dan melibatkan banyak pihak. Pihak penganjur sendiri merasa berat hati untuk menukar lokasi memandangkan PBAKL  ini sememangnya telah sinonim dengan PWTC. Namun, mereka optimis. Di mana jua pun lokasinya, PBAKL16 tetap akan dilangsungkan dengan jayanya.

Apa jua penolakan dan kebimbangan awal yang disuarakan atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, adalah tidak adil untuk menutup sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur. Sejak awal pengumuman PBAKL16 di MAEPS, pihak penganjur telah mengambil pelbagai inisatif bagi memastikan kelancaran program yang berlangsung selama 10 hari. Hasilnya dapat kita lihat pada waktu ini. Antaranya mengenai pengangkutan awam. Sekali pun ia masih kurang efisyen menerusi perkhidmatan ‘shuttle bus’ yang disediakan sekurang-kurangnya ia memudahkan pengunjung yang datang dengan menaiki kenderaan awam khususnya di stesyen-stesyen keretapi di sekitar Serdang, Bangi dan Putrajaya. Selain itu, kawasan parking yang banyak dan luas menjadi kelegaan sekali pun ada yang mempersoal lokasi parking yang jauh daripada dewan. Namun, mereka harus sedar, masih ada kawasan parking yang lebih hampir dengan dewan dengan kadar bayaran serendah RM3.00 berbanding di PWTC yang lebih mahal kadar bayaran parkingnya.

Selain itu, medan selera di aras bawah Dewan D dilihat berjaya menarik perhatian pengunjung. Bukan kerana tujuan ke sana untuk menikmati makanan, namun sedikit sebanyak ia memberi alternatif kepada pengunjung untuk mendapatkan makanan pada harga yang murah berbanding di PWTC yang mahal. Tandas dan surau tidak menjadi persoalan lagi. Malah, di luar dewan turut disediakan pelbagai aktiviti pentas serta gerai-gerai kecil yang menawarkan jualan cenderamata kepada pengunjung. Krew-krew yang bertugas di setiap dewan dan di luarnya turut mesra pelanggan dan sedia menjelaskan sebarang kemusykilan yang diajukan pengunjung dari semasa ke semasa.

Berdasarkan komentar daripada beberapa pengunjung, lokasi PBAKL16 ini mesra warga OKU dan warga emas. Sekali pun perlu mendaki atau memijak anak tangga di luar dewan, ia kelihatan selesa bagi mereka apabila bergerak daripada satu dewan ke dewan-dewan yang lain. Namun, bagi rombongan sekolah, ada dua situasi berbeza. Ada yang menyuarakan mereka sukar untuk mengawasi murid memandangkan banyak dewan yang ada untuk diterokai dan ia tidak berfokus. Manakala ada satu pihak lain merasakan, pengurusan rombongan mereka lebih mudah memandangkan tiada apa-apa tarikan lain di luar lokasi seperti mana di PWTC yang menempatkan premis-premis lain yang lebih menarik perhatian pelajar untuk ‘lesap’ daripada lokasi.

Tidak kurang juga respon yang diterima daripada beberapa pempamer. Mereka mengandaikan penganjuran PBAKL16 di MAEPS kurang mendapat sambutan apabila melihat keadaan di dalam dewan yang lengang terutamanya pada hari-hari bekerja.. Bagi penerbit buku gergasi, mereka melahirkan rasa kesal kerana tidak mendapat posisi eksklusif seperti mana di PWTC.  Bahkan ruang umum untuk beraktiviti bersama-sama pengunjung dilihat tidak begitu sesuai iaitu di Dewan D yang turut menempatkan penerbit-penerbit luar dan universiti gara-gara kurangnya kehadiran pengunjung di dewan itu. Namun, terdapat alternatif lain untuk beraktiviti iaitu ada di pentas yang disediakan di luar dewan A sekali pun kecil tetapi ia dilihat strategik untuk menarik perhatian pengunjung yang lalu lalang.

Daripada pelbagai isu yang diutarakan, adakah PBAKL16 ini masih mendapat sambutan ramai berbanding ketika di PWTC sebelum ini? Berdasarkan kepada anggaran kasar yang diperolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, perbandingan terhadap kehadiran pengunjung pada tahun ini dan dua tahun kebelakangannya menunjukkan pola kehadiran yang tidak konsisten. Merujuk kepada kehadiran pengunjung pada enam hari pertama penganjurannya (mengambil kira pada hari Jumaat hingga Rabu) pada tiga tahun ini, kehadiran pengunjung dicatatkan tertinggi bagi tahun 2014 adalah pada hari kelima sahaja dengan jumlah sekitar 150k. Manakala bagi tahun 2015, ia mencatatkan kehadiran tertinggi pada hari pertama (sekitar 70k) dan kedua (sekitar 280k). Namun kehadiran pengunjung tertinggi bagi penganjuran 2016 adalah pada hari ketiga (sekitar 330k), keempat dan keenam (kedua-duanya sekitar 300k).  Jelas menunjukkan dalam pelbagai isu yang wujud terhadap penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, ia tidak memberi kesan secara langsung terhadap kehadiran pengunjung.  Untuk catatan kehadiran pengujung pada hari-hari yang lain, ada kemungkinan ia akan berterusan mencatatkan angka yang tinggi berdasarkan kepada pola kehadiran pengunjung pada enam hari pertama penganjurannya.

Sekali imbas, kekuatan penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini dlihat pada keluasan kawasannya. Dengan empat buah dewan besar, para pempamer mendapat ruang yang mencukupi untuk mempamerkan buku-buku dan bahan jualan mereka. Dapat dilihat, keluasan setiap reruai memberikan keselasaan kepada para pempamer untuk menjalankan aktiviti kecil mereka. Malah ruang-ruang laluan pengunjung juga luas tanpa perlu bersesak-sesak dan berlaga bahu seperti mana di PWTC.

Dalam pada itu, masih ada kelemahan yang perlu diambil perhatian oleh pihak penganjur jika ada cadangan untuk meneruskan PBAKL ini di MAEPS. Respon daripada para pempamer dan pengunjung sangat diperlukan bagi menambah-baik apa-apa keperluan yang berkaitan. Di sebalik itu, isu-isu berkaitan intergriti dan moral pempamer yang mempamerkan bahan bacaan yang kurang sesuai sangat perlu diambil berat. Malah, penjual makanan di sekitar dewan-dewan dan parking kereta perlu dipantau daripada aspek harga jualan yang disifatkan sebagai cekik darah.

Untuk akhirnya, tahniah diucapkan kepada pihak penganjur atas kelancaran PBAKL16 ini. Dalam kemelut mengatasi pelbagai isu dan permasalahan berkaitan penganjuran PBAKL16 ini, ia tetap diuruskan dengan penuh komited. Untuk PBAKL17, ramai yang mahukan ia kembali ke PWTC, namun jika ada cadangan dilakukan di MAEPS, diharapkan ia lebih baik daripada penganjuran kali ini. Ironinya, bukan mudah membuat sesuatu dalam skala yang besar dengan penuh sempurna pada kali pertama penganjurannya. Begitu pun, pihak MAEPS sendiri menyifatkan penganjuran PBAKL16 di sini sangat memberi impak kepada mereka memandangkan ia adalah program kedua terbesar selepas MAHA. Jika MAHA boleh mendapat sambutan yang menggalakkan pada setiap tahun, kenapa tidak PBAKL? 


_____________________________________________________________________________________
Penulis tidak ada sebarang kepentingan di atas penganjuran PBAKL16 ini. Penulis juga adalah pengunjung yang saban tahun hadir membeli-belah buku di PBAKL. Penulis tidak kisah di mana pun lokasi PBAKL17 nanti sama ada di PWTC atau MAEPS. Sekian.

Ahad, Mac 20, 2016

Da'ie Pena ke Da'ie Drama Radio


BPI mengorak langkah dalam melebarkan sayap dakwahnya. Medium yang ditembus kini adalah menerapkan dakwah menerusi stesen radio islamik terkenal, IKIM.fm menerusi slot Drama Radio Nurhikmah. Menerusi medium ini, guru-guru Pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah  diberi pendedahan dalam menulis skrip drama radio menerusi bengkel yang diadakan pada 25-25 Februari 2016 di BTPN Selangor. kesemua skrip yang dihasilkan akan dinilai seterusnya dipilih untuk memenuhi slot Nurhikmah tersebut yang ke udara pada setiap Jumaat jam 2.30-2.45 petang.

Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio merupakan kerjasama antara KPM dan Perbadanan Kota Buku di mana ia juga digerakkan oleh jurulatih daripada FINAS iaitu Encik Zabidi Mohamed yang tidak asing lagi dalam kalangan industri hiburan tanah air. Pada awalnya, penerbit slot drama Nurhikmah sendiri, Puan Hajjah Nik Hasnah Nik Ismail telah memperkenalkan slot itu selain menjelaskan kiriteris sesebuah skrip yang sesuai untuk dipilih oleh pihak IKIM. Peserta seramai 30 orang juga yang telah didedahkan teknik penulisan yang betul selain diadakan simulasi melakonkan watak daripada skrip yang telah dihasilkan secara berkumpulan.

Berakhirnya bengkel selama dua hari tersebut bukanlah penamat kepada semua kemahiran yang telah dipelajari oleh peserta. Jalinan antara KPM dan IKIM berterusan apabila pada minggu pertama setelah tamat bengkel tersebut, skrip peserta telah mula dikeudarakan. Bahkan, IKIM telah menawarkan peserta-peserta yang menyumbang skrip untuk melakonkan sendiri watak dalam skrip yang telah dibuat. Sesuangguhnya, ia sangat memberi rasa teruja dalam kalangan peserta memandangkan ia adalah pengalaman baharu yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

_____

Sebenarnya, aku sendiri taubat dah nak berlakon. asik cut-action x habis2 bila turn aku....huhu...nampak beno x de talented... Tapi yang aku bimbang, ada beberapa skrip lagi perlu aku commit termasuklah 2 skrip aku sendiri. Allah... kantoi sungguh, Watak pun DJ Nik Hasnah tu dah gtau, aku juz sesuai watak budak baik je. Kalu budak nakal tu memang tak jadi lah. Haha.. nasib lah.



Isnin, Februari 01, 2016

AKU PUN BEKAS GURU PELATIH



Sementara tengah ada mood ni, aku cubalah catat apa-apa yang patut mengenai tugas baharu yang pertama kali aku peroleh. Langsung tidak aku menyangka menjadi guru pembimbing kepada pelatih perguruan amat memeningkan. Ah, mungkin pelatih-pelatih itu yang buat aku pening tapi aku fikir ia bukanlah sebuah masalah pun.

Untuk dua minggu pertama ini, aku tidaklah begitu serius memantau pengajaran mereka di bilik darjah. Masakan tidak, aku sendiri ada kelas yang perlu diberi perhatian. Jika pembimbing lain selama ini kelasnya diganti oleh pelatih mereka, tapi aku tidak sepenuhnya begitu lantaran jumlah masa aku mengajar Tahun 4 itu adalah minima berbanding Tahun 1 yang aku ditugaskan pada tahun ini. Tatkala diajukan pada pentadbir, mereka menyangka aku lebih banyak masa di Tahun 4, namun sebaliknya. Jadi, memang terasa ralatlah aku tak dapat nak pantau mereka hampir kesemua kelas yang telah aku susunkan buat mereka bagi subjek major. Kalau aku dapat masuk pun, maka akan habislah waktu free aku sedangkan tugas2 lain aku perlu hadapi. Sebelum ini sudahlah balik lewat, malah kini, menyambung kerja di rumah. 

Allahu Rabbi. Tiada siapa yang salah. Tidaklah aku menuding jari pada sesiapa melainkan aku rasakan sengaja Allah buka peluang kepadaku untuk melatih meerka berdua tu. Oh, aku bukanlah guru terbaik. Kalau mereka tahu aku ni masih belum berjiwa guru sepenuhnya, alamatnya kredibilitiku boleh dipertikaikanlah. Sungguh sampai ke hari masih bermujahadah menerapkan jiwa murabbi dalam hati. Bukan aku tidak betah menjalankan PdP, namun feel tu kurang sebab aku sendiri ada kelemahannya.

Tadi, dua orang pensyarah mereka mewakili IPGM-KPI hadir membuat lawatan sosial. Rupa-rupanya kedua-duanya adalah pensyarahku dahulu di institut yang sama. Malah, Puan Jamilah juga adalah supervisorku dahulu. Ah, bila bertemu, maka macam-macam ceritalah beliau singkap. Terharu pula aku bilamana beliau masih ingatkan aku sampai berkirim salam menerusi Apai. Aku segan sebenarnya. Lebih-lebih lagi tatkala beliau bercerita cara-caranya membimbing aku beberapa tahun lalu. Hahaha, ya, memang usia perkhidmatanku masih setahun jagung. Tapi harapan guru aku yang itu sangatlah tingi sampai buatkan aku rasa nak demam. 

Mengimbau ketika aku sebagai pelatih guru, Puan Jamilah memang strict yang amat orangnya. Awal-awal lagi beliau dah sebut 'saya nak bagi awak cemerlang'. Aduh, masa tu memang aku kecut perut jugalah. Tapi mujur aku ada guru pembimbing yang hebat, Encik Azami. Memang banyak perkara yang beliau ajarkan. Cuma satu je perkara aku rasa gagal untuk kuasai, tidak lain dan tidak bukan adalah seni khat...hehehe. Tangan saya keras untuk itu. Nasiblah. 

Berbalik kepada supervisorku tadi, bila beliau dah kata begitu, aku pun sahutlah cabaran. Mana boleh tolak-tolak, mampuslah aku kalau berani sangat mengelak. Sudahlah beliau selalu main sergah-sergah. Pernah beliau warning aku gara-gara terlampau melayan budak-budak sampaikan aku belai budak-budak tu time memuji kepandaian mereka atau semasa nak memujuk mereka buat kerja. Katanya, tak payah la baik sangat nak belai-belai sekali pun murid lelaki. Kalau guru perempuan belai murid laki tak mengapa, tapi kalau guru laki, memang perlu elakkan belai-belai mana-mana murid sekali pun murid lelaki kecil. Ah, itu bukan isu besar. Aku terima sahaja teguran itu. Maka, tidak sewenang-wenangnya aku usap kepala bahkan lebih kepada menggunakan seni komunikasi berkesan agar mereka dapat menyerap pengajaran dan arahan aku semasa PdP berlangsung. Tapi kalau mereka kurang mendengar kata, tarik telinga itu biasa juga aku lakukan... hehehe.

Aduh, tak rajin pula aku nak tulis panjang-panjang. Pendek kata, selepas 10 minggu masa tu, aku telah selamat diselia oleh supervisor sekolah dan juga institut. Seperti yang ditekadkan oleh supervisor yang seorang itu, aku diberikan status cemerlang. Tidak selesai di situ, aku menjadi calon rentas cemerlang pula. Aku memang tidak berapa rajin lagi masa tu sebab walau pun berstatus pelatih, aku telah ditaklifkan dengan beberapa tugas lain di sekolah gara-gara aku adalah pelatih KPLI j-QAF yang bakal diserap terus ke sekolah itu. Namun, aku dipujuk beliau untuk sentiasa bersedia. Seperti biasa, dalam pada tiada mood itu pun, aku tetap bersedia sebenarnya.

Pada hari yang berkenaan, entah pensyarah mana aku pun lupa nama datang memantau. Ada dua perkara yang kantoi berlaku. Pertamanya sewaktu PdP aku menggunakan bahan ICT, laptop aku tiba-tiba terpadam gara-gara suis di plug tidak di hidupkan. Aduh. Tapi aku profesional...mana taknya, PdP aku kali ini dirakam oleh pensyarah tu...hehe..entah bagaimana aku cover aku pun tak ingat. Perkara kedua yang berlaku adalah, video camera yang pensyarah tu guna tu kehabisan bateri. Hahaha... kantoi. Masa tu dia suruh aku stop dan carikan bateri baharu. Allah, menggagau aku cari di seluruh makmal komputer tu, namun tiada. Last-last aku teruskan jugalah PdP tu dengan jayanya. Aku tidak berangan-anagan menjadi pelatih paling cemerlang. Cukuplah aku nak buktikan, pelatih lelaki pun boleh direntas cemerlang juga. Malah, aku juga cabar diri aku yang dari awal mengelak nak  masuk maktab di hari pendaftaran bahawasanya, minat yang rendah terhadap kerjaya ini tidak mempunyai hubungan yang signifikan dengan kemahiran pengajaranku. Minat memang boleh dipupuk, tapi dalam kondisi aku ni, bukan saja memupuk, bahkan aku memaksa diri. Ah, padan muka dengan aku. Manakala kemahiran mengajarku pula bolehlah nak dikatakan bagaikan kuah tumpah ke nasi.

Begitu pun, masih terngiang-ngiang jenaka aku dan kawan-kawan sekelas, tatkala memasuki pintu pagar maktab tu, terasa di pintu gerbang tu tertulis 'babul su'bah'...hahaha...hampeh. Su'bah kerana terasa terikat dengan pelbagai peraturan maktab sedangkan semasa zaman di universiti kami memang bebas-sebebas-bebasnya. Kalau di maktab, banyak sungguh peraturannya kena ikut. Siap ada Cikgu Disiplin lagi lah pulak. AJK-AJK asrama (ahli perwakilan pelajar kot) pun ada yang kerek-kerek. Mentang-mentanglah aku pun ada sebaya mereka masa tu, boleh la berlagak...kikiki. Alah,  su'bah-su'bah pun, aku dan kawan-kawan berjaya melaluinya setahun setengah sebagai pelatih KDC. Alhamdulillah...

Aku sambung sikit di hari konvokesyen teruslah. Aku dengar-dengar daripada kawan-kawan, sebanyak 20 orang daripada hampir 300 pelatih batch aku telah direntas cemerlang. Wah, Ramai juga tu. memang tak ada chance la aku jadi dapat pelatih cemerlang prektikum tu. Tapi entah bagaimana, aku terkejut pula bilamana diumum sebagai pelatih cemerlang kokurikulum pula. Ishk, biar betul. Haha... Tak apalah, sudah itu rezeki aku. Aku bukannya aktif di padang. Time PJ pula selalu culas nak ke padang, hehehe. Tapi aku rasa-rasalah, penglibatan aku dalam tugas luar bilik darjah tu yang melayakkan aku dapat anugerah itu. Kokurikulum itu sendiri luas bidangnya. Jadi, kesibukanku di sekolah dengan pelbagai tugas sekali pun semasa berstatus pelatih tu gayanya telah memberikan sesuatu yang bermakna buatku. Apa pun, terima kasihlah buat guru-guruku, tanpa kalian aku tidaklah berada di tahap ini,

Allah... Kemas-kemas aku simpan memori itu, akhirnya Puan Jamilah muncul. Aku bukan sesiapa pun, cikgu biasa seperti yang lain-lain. Namun, pesanan kedua-dua pensyarah itu tadi membuatkan aku perlu berbuat sesuatu. Aku sebenarnya berniat untuk tidak terlalu mengikat mereka berdua. Biarlah mereka meneroka sendiri suasana di sekolah. Aku sendiri banyak kerja nak buat. Kalau aku cerita banyak-banyak karang Puan Jamilah tu tak pasal-pasal sergah aku lagi. Terasa aku ni pun sama-sama kena observe dek beliau....hahaha.

Oklah. Apai, Sopi. Bermula esok kalian tak boleh lari. Ustazah kalian dah bagi warning kat aku agar memastikan apa yang aku alami dan perlolehi semasa menjadi pelatihnya itu juga yang bakal korang dapat. Hehehe... aku tak syadid, aku tak skema, tapi aku dicabar okay. So far, aku masih ada semangat lepas balik ni, tapi entah esok lusa kalau luput semangat tu tak tahulah. Bukankah hati ini Allah yang jaga. Dialah juga yang membolak-balikkan hati kita. Kalau kalian nak cemerlang bagai yang diharapkan pensyarah kalian, doa-doalah aku diberi kelapangan. 

Ya Allah. Semua yang baik datangnya daripadaMu, yang kurang baiknya dah tentu daripada hambaMu yang lalai ini. Wallahu a'lam.












LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.