Berita Harian: 10 Mei 2016 (Selasa) dalam ruangan Forum Pembaca. |
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 hari ni berada pada hari ke 10. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir dengan pelbagai matlamat dan tujuan. Tentunya ia lebih mengkhusus ke arah perkara berkaitan dengan buku. Perbezaan ketara pada kali ini, ia julung2 kalinya dibuat di luar Kuala Lumpur hingga mencetuskan polemik tersendiri atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS, Serdang.
Pada
awal cadangan ini diwar-warkan kepada umum, ramai yang menyuarakan bantahan.
Bukan sahaja masyarakat umum bahkan para pempamer turut bersuara menolak
PBAKL16 berlangsung di MAEPS. Alasan yang sering diberikan, MAEPS jauh daripada
lokasi asal sekali gus mempersoalkan signifikan nama Pesta Buku Antrabangsa
Kuala Lumpur yang tidak lagi berada di Kuala Lumpur. Terfikir pula, Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak di Sepang, Selangor tidak pula
menjadi isu selama ini, jadi tidak ada salahnya lokasi PBAKL16 pada tahun ini
adalah di Serdang, Selangor.
Dalam aspek akses ke MAEPS, ramai yang
menyuarakan kebimbangan mengenai perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang
efisyen. Sekali pun MAEPS dilihat tidak terasing di tengah-tengah jalinan lebuh
raya persekutuan dan negeri serta berdekatan dengan kawasan perindustrian Bangi
dan pusat pemerintahan kerajaan persekutuan Putrajaya, isu pengangkutan awam
sememangnya menjadi masalah. Kebimbangan ini wujud berdasarkan pengalaman
masyarakat yang merujuk kepada penganjuran MAHA pada setiap tahun di lokasi
yang sama. Bagi yang berkenderaan, ia sangat mudah lebih-lebih lagi kawasan itu kurang terdedah dengan masalah kesesakan lalu lintas jika dibandingkan dengan di PWTC di tengah-tengah kota raya. Bagi masyarakat lain
seperti pelajar, ia diakui sangat sukar. Berbanding di PWTC, akses pengangkutan awam
jelas sangat membantu semua lapisan masyarakat untuk sampai ke lokasi.
Selain isu pengangkutan, masyarakat melihat
kawasan MAEPS sendiri kurang mesra pengunjung. Pada hari-hari pertama
penganjurannya tempoh hari, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati atas
ketiadaan lokasi solat Jumaat terdekat jika dibandingkan dengan PWTC yang
mendapat tauliah / kebenaran menjalankan solat Jumaat di premis itu. Selain
itu, kawasan tersebut jauh daripada mana-mana lokasi penginapan berbanding di
PWTC yang banyak penginapan di sekitarnya. Bahkan, kemudahan mesin ATM yang hanya sebuah turut menjadi isu.
Soalnya, adakah MBKM selaku penganjur sengaja mencari masalah dengan menukarkan lokasi PBAKL16
yang memang pada asalnya di PWTC seperti tahun-tahun sebelumnya ke MAEPS?
Berkali-kali pihak penganjur telah menjelaskan keperluan penukaran lokasi itu.
Ia terpaksa dilakukan atas beberapa alasan yang munasabah memandangkan PBAKL
ini adalah program mega dan melibatkan banyak pihak. Pihak penganjur sendiri merasa berat hati untuk menukar lokasi memandangkan PBAKL ini sememangnya telah sinonim dengan PWTC. Namun, mereka optimis. Di mana jua pun
lokasinya, PBAKL16 tetap akan dilangsungkan dengan jayanya.
Apa jua penolakan dan kebimbangan awal yang
disuarakan atas penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, adalah tidak adil untuk
menutup sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur. Sejak awal pengumuman PBAKL16 di MAEPS, pihak
penganjur telah mengambil pelbagai inisatif bagi memastikan kelancaran program
yang berlangsung selama 10 hari. Hasilnya dapat kita lihat pada waktu ini.
Antaranya mengenai pengangkutan awam. Sekali pun ia masih kurang efisyen
menerusi perkhidmatan ‘shuttle bus’ yang disediakan sekurang-kurangnya ia memudahkan pengunjung yang datang dengan menaiki kenderaan awam khususnya di stesyen-stesyen keretapi di sekitar Serdang, Bangi dan Putrajaya. Selain itu, kawasan parking yang banyak dan
luas menjadi kelegaan sekali pun ada yang mempersoal lokasi parking yang jauh
daripada dewan. Namun, mereka harus sedar, masih ada kawasan parking yang lebih
hampir dengan dewan dengan kadar bayaran serendah RM3.00 berbanding di PWTC
yang lebih mahal kadar bayaran parkingnya.
Selain itu, medan selera di aras bawah
Dewan D dilihat berjaya menarik perhatian pengunjung. Bukan kerana tujuan ke
sana untuk menikmati makanan, namun sedikit sebanyak ia memberi alternatif
kepada pengunjung untuk mendapatkan makanan pada harga yang murah berbanding di
PWTC yang mahal. Tandas dan surau tidak menjadi persoalan lagi. Malah, di luar dewan turut disediakan pelbagai aktiviti pentas serta gerai-gerai kecil yang menawarkan jualan cenderamata kepada pengunjung. Krew-krew yang bertugas di setiap dewan dan di luarnya turut mesra pelanggan dan sedia menjelaskan sebarang kemusykilan yang diajukan pengunjung dari semasa ke semasa.
Berdasarkan komentar daripada beberapa
pengunjung, lokasi PBAKL16 ini mesra warga OKU dan warga emas. Sekali pun perlu mendaki atau
memijak anak tangga di luar dewan, ia kelihatan selesa bagi mereka apabila
bergerak daripada satu dewan ke dewan-dewan yang lain. Namun, bagi rombongan
sekolah, ada dua situasi berbeza. Ada yang menyuarakan mereka sukar untuk
mengawasi murid memandangkan banyak dewan yang ada untuk diterokai dan ia tidak berfokus.
Manakala ada satu pihak lain merasakan, pengurusan rombongan mereka lebih mudah
memandangkan tiada apa-apa tarikan lain di luar lokasi seperti mana di PWTC
yang menempatkan premis-premis lain yang lebih menarik perhatian pelajar untuk ‘lesap’
daripada lokasi.
Tidak kurang juga respon yang diterima
daripada beberapa pempamer. Mereka mengandaikan penganjuran PBAKL16 di MAEPS kurang
mendapat sambutan apabila melihat keadaan di dalam dewan yang lengang terutamanya pada hari-hari bekerja.. Bagi
penerbit buku gergasi, mereka melahirkan rasa kesal kerana tidak mendapat
posisi eksklusif seperti mana di PWTC. Bahkan ruang umum untuk beraktiviti
bersama-sama pengunjung dilihat tidak begitu sesuai iaitu di Dewan D yang turut
menempatkan penerbit-penerbit luar dan universiti gara-gara kurangnya kehadiran
pengunjung di dewan itu. Namun, terdapat alternatif lain untuk beraktiviti iaitu ada di pentas yang disediakan di luar
dewan A sekali pun kecil tetapi ia dilihat strategik untuk menarik perhatian
pengunjung yang lalu lalang.
Daripada pelbagai isu yang diutarakan, adakah
PBAKL16 ini masih mendapat sambutan ramai berbanding ketika di PWTC sebelum
ini? Berdasarkan kepada anggaran kasar yang diperolehi daripada sumber-sumber
yang boleh dipercayai, perbandingan terhadap kehadiran pengunjung pada tahun
ini dan dua tahun kebelakangannya menunjukkan pola kehadiran yang tidak
konsisten. Merujuk kepada kehadiran pengunjung pada enam hari pertama
penganjurannya (mengambil kira pada hari Jumaat hingga Rabu) pada tiga tahun
ini, kehadiran pengunjung dicatatkan tertinggi bagi tahun 2014 adalah
pada hari kelima sahaja dengan jumlah sekitar 150k. Manakala bagi tahun 2015,
ia mencatatkan kehadiran tertinggi pada hari pertama (sekitar 70k) dan kedua (sekitar
280k). Namun kehadiran pengunjung tertinggi bagi penganjuran 2016 adalah pada
hari ketiga (sekitar 330k), keempat dan keenam (kedua-duanya sekitar 300k). Jelas menunjukkan dalam pelbagai isu yang
wujud terhadap penganjuran PBAKL16 di MAEPS ini, ia tidak memberi kesan secara
langsung terhadap kehadiran pengunjung. Untuk catatan kehadiran pengujung pada
hari-hari yang lain, ada kemungkinan ia akan berterusan mencatatkan angka yang
tinggi berdasarkan kepada pola kehadiran pengunjung pada enam hari pertama
penganjurannya.
Sekali imbas, kekuatan penganjuran PBAKL16
di MAEPS ini dlihat pada keluasan kawasannya. Dengan empat buah dewan besar,
para pempamer mendapat ruang yang mencukupi untuk mempamerkan buku-buku dan
bahan jualan mereka. Dapat dilihat, keluasan setiap reruai memberikan keselasaan
kepada para pempamer untuk menjalankan aktiviti kecil mereka. Malah ruang-ruang
laluan pengunjung juga luas tanpa perlu bersesak-sesak dan berlaga bahu seperti mana di PWTC.
Dalam pada itu, masih ada kelemahan yang
perlu diambil perhatian oleh pihak penganjur jika ada cadangan untuk meneruskan
PBAKL ini di MAEPS. Respon daripada para pempamer dan pengunjung sangat
diperlukan bagi menambah-baik apa-apa keperluan yang berkaitan. Di sebalik itu,
isu-isu berkaitan intergriti dan moral pempamer yang mempamerkan bahan bacaan
yang kurang sesuai sangat perlu diambil berat. Malah, penjual makanan di
sekitar dewan-dewan dan parking kereta perlu dipantau daripada aspek harga
jualan yang disifatkan sebagai cekik darah.
Untuk akhirnya, tahniah diucapkan kepada
pihak penganjur atas kelancaran PBAKL16 ini. Dalam kemelut mengatasi pelbagai isu dan permasalahan berkaitan penganjuran PBAKL16 ini, ia
tetap diuruskan dengan penuh komited. Untuk PBAKL17, ramai yang mahukan ia
kembali ke PWTC, namun jika ada cadangan dilakukan di MAEPS, diharapkan ia
lebih baik daripada penganjuran kali ini. Ironinya, bukan mudah membuat sesuatu dalam skala yang besar dengan penuh sempurna pada kali pertama penganjurannya. Begitu pun, pihak MAEPS sendiri menyifatkan penganjuran PBAKL16 di sini
sangat memberi impak kepada mereka memandangkan ia adalah program kedua terbesar
selepas MAHA. Jika MAHA boleh mendapat sambutan yang menggalakkan pada setiap
tahun, kenapa tidak PBAKL?
_____________________________________________________________________________________
Penulis tidak ada sebarang kepentingan di atas penganjuran PBAKL16 ini. Penulis juga adalah pengunjung yang saban tahun hadir membeli-belah buku di PBAKL. Penulis tidak kisah di mana pun lokasi PBAKL17 nanti sama ada di PWTC atau MAEPS. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan