Rabu, Disember 30, 2015

BENGKEL DAN CUTI KE KK

Minggu ini aku kembali sibuk dengan pelbagai aktiviti sekolah. Selama 6 minggu cuti sekolah ini (sebenarnya tolak 2 minggu yang mesyuaratnya hari-hari), sempat juga la aku berjalan-jalan makan angin. Minggu ketiga hari tu ke KK, minggu ke lima hari tu Singapura. Malah minggu sebelum cuti hari tu PD. Untuk kali ini, aku lebih nak fokuskan percutian ke KK. 

Sebenarnya matlamat utama ke sana adalah untuk menghadiri Bengkel Penulisan Novel Sains Fiksyen anjuran UTM-Utusan Malaysia dengan kerjasama Majli Buku Kebangsaan Malaysia. Bengkel ini dijalankan dalam beberapa siri di mana Kota Kibabalu merupakan lokasi terakhir siri jelajah yang telah dijalankan di serata zon seluruh Malaysia.

Menyorot kembali bengkel yang diadakan pada 6 Disember itu, ia merekodkan jumlah peserta yang teramai berbanding di zon-zon lain. Penyertaan di lokasi ini menyaksikan majoriti peserta adalah dalam kalangan guru selain beberapa peserta daripada kelompok pelatih guru daripada IPG terdekat da juga individu-individu yang berminat dalam penulisan novel sains fiksyen. Menerusi kelompok guru itu pula, hampir 10 orang daripadanya adalah alumni Program Pembangunan Pengkarya Guru yang kini aktif dalam aktiviti pengkaryaan dan penerbitan.

Aku tidak berhasrat untuk bercerita panjang, lebih-lebih lagi mengenai kandungan bengkel tersebut. Bukan kedekut tetapi aku memikirkan ianya berbayar, maka adalah harus untuk aku tidak memperkatakannya secara terbuka. Jika mahu tahu, tahun depan ikuti saja bengkel ini. Apa yang boleh aku katakan, ianya memangs eronok dan berbaloi. Hanya perlu keazaman sahaja untuk meneruskan hasrat pernulisan novel dalam genre tersebut.

Ini bukan ahli panel, tetapi peserta yang berkobar-kobar nak menulis novel selepas habis bengkel.

Reunion. Sebenarnya di KL alumni PPG berunion tetapi kami di sini reunion siap berbegkel.

Muka ceria, Percayalah, dalam hati mereka tu kecut perut nak mulakan penulisan novel sains fiksyen tu.

Aku dan Khai mengupah pemandu pelancong untuk bersiar-siar ke pergunungan Kinabalu.

Si Khai jdi jurufoto bidang terjun.


Bukti aku dah sampai sini.

Tak tahu apa motif.
Bauksit di Kuantan dapat ku lihat dari ruang angkasa.

Jakun semacam, seolah-olah ini pertama kali naik kapal terbang.

Bersama Prif. Lim Swee Tin. 

Datang dengan harapan, balik dengan kepeningan.

Posing di resort termahal di KK.

Kami sampai jua di sini.

Member ni gembora yang amat bila mana dapat melihat gunug tu.

Berjungle tracking di sini,

Bersama-sama pelancong daripada India. 

Kawasan yang kami jelajahi di kaki gunung Kinabalu.

BFF Konon. Insya Allah berterusan.

Masa ni memang saja-saja buang masa sementara menunggu masa nak masuk.

Bersama-sama model kaum kadazan-dusun, kot.

Persembahan daripada petugas rumah budaya Sabah.

Bersama-sama Diks, jurucakap dan pemudahcara sepanjang kami berada di Mari2 Cultural Village 
Jumpa kawan kepada Khai di sana yang menemani kami jalan-jalan sekitar KK.

Seumur hidup, berkali-kali naik flight, ini pertama kali kami bergambar dengan kapten.

AKu tengah memiki-mikin apa yang mahu dibeli sebagai ole-ole. 

Dah di airport. Ikut hati mahu stay lagi, tapi bayak kerja menanti di KL.



Sekian, terima kasih,


Ahad, November 22, 2015

TINJAUAN PENGANJURAN YES DI MAEPS

Saya baru pulang daripada Year-End-Sale Book Fair anjuran MAPOBA yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Program ini dijadualkan selama 3 hari yang berakhir pada esok hari. Jujurnya, saya hadir ke sana bukanlah untuk berbelanja buku sangat. Saya lebih kepada hendak melihat suasana YES ni yang saya kira penganjurannya mencetuskan polemik dalam kalangan peminat buku dan pengunjung pesta buku di laman sosial khususnya facebook (klik di sini). Ia berikutan pengumuman penganjur bahawa PBAKL16 akan berlangsung di sini pada tahun hadapan. 

Menerusi maklumat yang diterima, antara matlamat penganjuran YES ini adalah untuk dijadikan kayu ukur kepada penerimaan masyarakat atas keputusan pihak penganjur PBAKL16 yang telah memutuskan acara bertaraf antarabangsa itu bakal dilangsungkan di MAEPS sekitar April tahun hadapan. Polemik yang timbul sebenarnya tidak menjejaskan pihak penganjur bahkan ia dijadikan sandaran untuk menyediakan pelbagai keperluan dalam mengatasi masalah yang bakal dihadapi hasil daripada tinjauan awal dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pembaca, penerbit, penulis dan sebagainya.

Untuk itu, dalam kesempatan beberapa jam saya di sana, saya dapat simpulkannya suasananya secara peribadi menerusi catatan ini;

1. Saya beranggapan parking kereta akan penuh sampai ke pintu gerbang. Namun, kelihatan lengang dan saya sendiri berjaya memakirkan kereta saya bersebelahan dewan A. Bukan kereta tak banyak tetapi kawasan MAEPS ni saya lihat banyak tapak parkir kereta. Jadi, kerisauan saya kerana hadir pada jam 11.00 pagi tidaklah dikira lewat.

2. YES bookfair ni berlangsung dalam Dewan C. Tatkala kaki melangkah masuk, kedudukan gerai tak ubah seperti di PWTC. Namun, kelihatan luas pada setiap lorong. Jadi, ia memudahkan 'aliran trafik dua hala' pengunjung tanpa bimbang berlaku himpit menghimpit dalam kesesakan ramai.

3. Penyertaan penerbit buku saya tidak pasti berapa banyak, tetapi kelihatan banyak ruang kosong di dalam dewan tersebut hingga mampu menyediakan ruang selesa di depan pentas acara dengan susunan kerusi yang banyak. Namun, saya dapat mengenal pasti beberapa penerbit popular yang tidak ada gerainya di dalam dewan tersebut. Saya tidak kecewa, kerana saya dari awal hadir bukanlah untuk membeli belah buku. 

4. Buku-buku yang dipamer dan dijual di setiap gerai semuanya menawarkan potongan harga berlipat kali ganda. Memandangkan ianya adalah Year-End-Sale (jualan akhir tahun), maka tidak hairanlah banyak buku yang saya lihat pada PBAKL15 di PWTC beberapa bulan lalu kini telah diberi tawaran harga yang menarik. Alangkah untungnya bagi sesiapa yang mendapatkannya.pada hari ini berbanding saya yang telah membeli beberapa buah buku (banyak sebenarnya) pada PBAKL15 yang lalu.

5. Acara pentas berlangsung mengikut jadual satu persatu pada setiap hari ia berlangsung. Ruangannya pun berdekatan dengan gerai pameran dan jualan. Pengunjung boleh memilih sama ada mahu meneruskan pencarian dan pemburuan buku atau pun duduk berehat sambil melihat sebarang acara yang sedang berlangsung di atas pentas. Kerusi yang disediakannya amat banyak. Itu pun dewan tersebut masih luas baki ruangnya. 

6. Sejujurnya, Dewan C tidaklah padat dipenuhi pengunjung. Bukan kerana pempamer yang menyertai YES kali ini tidak banyak. Banyak sebenarnya, cuma dewan tu besar sangat agaknya. Tapi kalau semua penerbit dalam Malaysia menyertai tanpa mengira apa genre sekali pun, saya pasti satu dewan yang luas itu pun tidak akan mencukupi. Tapi bukan itu saya nak kata. Apa yang dapat dilihat, sebahagian daripada keseluruhan pengunjung ke MAEPS itu hadir untuk memasuki Dewan B yang menempatkan pertunjukkan Upin & Ipin. 

9. Pertunjukkan Upin & Ipin telah menarik ramai kanak-kanak untuk menyaksikannya sehingga memaksa ibu bapa mereka melihat sama pertunjukkan itu. Tiket sebanyak RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa tidak menghalang pengunjung-pengunjung untuk memasuki dewan itu sekali pun harus beratur panjang untuk mendapatkan tiket. Jelas, Upin & Ipin merupakan penarik kepada kehadiran pengunjung ke YES sekali pun Upin & Ipin merupakan matlamat utama mereka. Dewan A, B, C mahu pun D kesemuanya berada berdekatan antara satu sama lain.

10. Selain pameran dan jualan buku serta pertunjukkan Upin & Ipin, terdapat foodcourt dan gerai-gerai jualan makanan di luar dewan. Bahkan, gerai-gerai jualan permainan turut ada. Turut dikhabarkan terdapat ruang kanak-kanak bermain, tapi saya tidak pasti di mana kedudukan. Pendek kata, macam-macam ada sepanjang tiga hari YES berlangsung.

Rasanya, ini sahaja review yang mampu saya catatkan dalam kesempatan beberapa jam saya di sana. Pendek kata, sebagai pengunjung pesta buku terutamanya PBAKL yang dah berbelas tahun saya ikuti, adalah wajar untuk kita terima apa jua keputusan penganjur. Soal lokasi yang jauh, masalah pengangkutan awam, parkir kereta dan lain-lain yang dianggap satu masalah kepada pengunjung sebenarnya boleh dicari jalan penyelesaiannya. Ya, memang benar ada perbezaan keadaannya antara di MAEPS dan PWTC, tetapi penganjur dilihat komited dalam memastikan semua pihak yang terlibat dalam acara besar itu hadir dengan perasaan puas. Tidak salah untuk kita beri peluang kepada penganjur untuk membuat perubahan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar.



Ahad, November 15, 2015


HARAP MAAF. ADMIN DALAM USAHA MENAIK TARAF KADUNGAN BLOG INI. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN. ANDA BOLEH MENYEMAK SEBARANG ENTRY PILIHAN DI BAHAGIAN TEPI KANAN HALAMAN INI. SEKIAN.

Ahad, Jun 14, 2015

MACAM-MACAM PROPOSAL

Cuti sekolah selama dua minggu ni umumnya telah aku manfaatkan sebaik-baiknya. Daripada menguruskan urusan peribadi yang belum pasti selesai sehinggalah kepada membantu uruskan urusan orang yang tidaklah seberapa. Tapi memang, macam-macam perkara aku telah buat. Memandangkan esok dah mula bersekolah, maka aku catatkan semua yang penting telah aku dan sedang aku usahakan agar aku sendiri tak lupa. Biasalah, bila sesi persekolahan bermula, macam-macam hal lain yang aku kena fikirkan pula. Semua keinginan tu aku sebutkan ianya sebagai 'proposal' sebab ia asalnya adalah sekadar angan-angan serta impian dan ia belum sepenuhnya terealisasi.

1) Proposal Penerbitan Buku.

Aku ni nak kata terdesak nak terbit buku, tidaklah sangat. setakat ini ada beberapa buku yang patut publish sebelum PBAKL15 hari tu, belum sempat dicetak. Tak apalah. Aku yakin sebelum hujung tahun ni mesti dah ada. Tapi yang aku terdesak sangat adalah, aku cuba nak meloloskan diri mendapat tempat di syarikat-syarikat penerbitan yang terkenal dengan cara usaha sendiri. Sebelum ni, bersiri-siri program anjuran MBKM aku ikuti dan beruntung sebab semua karyaku diterima oleh syarikat-syarikat yang bolehla kata ada nama menerbitkan buku aku. Tapi hari tu, aku sendiri propose pada Karangkraf, dua tajuk, Siri Sahabat Bagaikan Bintang di Langit dan Mahmudah vs Mazmumah. Kena reject lah pula dengan alasan style penulisan aku tak sesuai untuk house style mereka. Baik. Tiada rezeki aku di sini, maka akan aku usahakan propose kedua2 judul ini ke syarikat yang lain pula. 

2) Proposal Sambung Belajar.

Ikut hati, sekarang juga aku mahu sambung. Aku dah malas nak menunggu memandangkan dulu pernah berangan-angan mahu berhPhD pad usia 30 tahun. Tapi yang berlaku, masters aku tamat pada usia yang itu. Apakan daya, itulah situasinya bagi aku yang memang ada kerjaya yang perlu diberi perhatian. So, sekarang, aku nak sambung Phd dengan HLP atau CBBPTB supaya dapat cuti, kalau tak dapat biasiswa pun tak apalah, janji aku dapat buat research aku dengan tenang tanpa gangguan dan komitmen besar yang lain. Sekarang ni aku usahakan sebuah proposal yang aku sendiri tak pasti dan cukup kuat ke tak. Pada aku proposal tu tak la sukar sebab aku sendiri ada pengalaman buat reseacrh, tapi bidang dan skop kajian tu aku tak pasti sama ada selari tak dengan misi KPM. Orang kata proposal kena dipastikan dalam lecel critical field sedangkan yang bermain-main dalam fikirkan aku, senarai-senarai bidang yang ada dalam iklan tu tak dianggap sebagai critical field ke?

3) Proposal Tukar Tempat Bertugas.
Ni satu lagi angan-angan. Kadang-kadang aku muhasabah diri aku, adalah self esteem aku tercapai menerusi kerjaya aku sebagai guru sekolah rendah ni? Jujur, dalam tugasan mengajar, aku sangat tidak ada masalah. Yang jadi penat dan letih adalah tugasan di luar pengajaran. Macam-macam portfolio aku pegang. Aku jadi cacamarba. Meski pun aku pernah diberi APC pada tahun 2012 (setelah 4 tahun aku posting), aku tak rasa ia memberi kepuasan terhadap tugas pengajaran aku. Pada aku, untuk seseorang tu puas da tak ralat dengan tugas-tugasnya, ia perlulah tidak terbeban dengan komitmen-komitmen besar yang lain pada satu waktu yang sama. Sudahlah kelas-kelas perlu diutamakan, tetapi dalam masa sama macam-macam tugas yang diberikan perlu juga diselesaikan. Kadang-kadang terpaksa pejam mata masa mengajar agar tugasan yang banyaknya berkaitan pengurusan dan pengkeranian dapat diselesaikan dengan baik. Jadi, dari sini aku fikir, apalah salahnya aku apply ke mana-mana bahagian di KPM agar aku dapat fokus dengan satu bidang kerja sahaja. Tapi dalam masa aku juga risau, adakah nanti ia semuadah seperti yang disangka. Adakah aku tidak akan merindui sekolah selepas itu? Adakah aku mampu travel sana sini sedangkan aku ni bukan jenis kaki travel? Adakah cuti-cuti yang banyak bagi orang pejabat mungkin tak mudah diluluskan berbanding di sekolah asal cuti sekolah je aku boleh buat macam-macam kerja? Entahlah. Tapi, resume telah aku siapkan sebenarnya, tinggal nak hantar je. Tapi tak yakin.

4) Proposal Hiasan Dalaman Rumah.
Aku dah propose pada mak, dan tentunya ka setuju, tapi yang kena buat kerja adalah aku. Oh... Aku ni dari awal tahun dah fikir-fikir kat kepada untuk ubah dan tukar perabut dan kedudukannya dalam rumah, dari atas sampai ke bawah, dari depan sampai ke belakang, malah dari luar sampai ke dalam. Namun tak sempat-sempat. Ini mungkin disebabkan tiada orang yang dapat membantu sepenuhnya. Dah aku seorang je ada cuti banyak dan panjang, adik-beradik lain cuti hujung minggu je. Tu pun banyak hal juga semua. Jadi dalam cuti aku try la buat skit-sikit, tapi sampai dah nak habis cuti masih banyak yang belum direalisasikan. Bukanlah didorong oleh kehadiran Ramadhan minggu depan ni, tapi lebih kepada nak ubah cita rasa dan pandangan mata yang rasa bosan dengan kedudukan sedia ada. Tapi akan aku usahakan agar beberapa tempat yang penting sangat-sangat aku usahakan dulu, kalau tak dapat banyak, sikit pun jadilah. Nanti raya adalah nampak kelainan sikit.

5)   Proposal Hati ke Hati.
Untuk yang ini, tersangat-sangat aku tak pasti. Terus terang, bila ramai yang bertanya aku ada calon ke tidak, aku memang akan jawab 'no komen, wallahu 'alam, entahlah' dan lain-lain seumpamanya yang tdiak ke arah jawapan jelas, ya atau tidak. Sebenarnya, jawapannya tidak biarpun aku ada kawan perempuan yang mungkin ada potensi untuk aku proposenya. Namun, aku pula yang tak dapat cari masa dan situasi sesuai bila nak propose sedangkan kadang-kadang mesej dan keluar bersama-sama sering berlaku. Memang aku penakut...hohoho...terus terang tu. Aku takut kene reject sebab aku tak pasti apakah anggapan dia terhadap aku, sekadar kawan biasa-biasa atau pun lebih daripada biasa? Selain sebab aku ni takut kena reject, aku juga takut jika selepas ini banyak perkara perlu aku rombak dalam hidup. Ia adalah berdasarkan geografi dan demografi dia dan aku. Tempat bertugas, tempat tinggal, latarbelakang keluarga dan macam-macam yang lain aku fikirkan. Nampak benar aku sangat berhati-hati, namun sampai bila?

Ya Allah... Aku dah pernah bertarget-target dalam semua proposal di atas. Hanya aku harapkan adalah bantuan dan pertolongan daripada Mu sahajalah yang dapat melancarkan semua urusan berkaitan perkara-perkara di atas.

Jumaat, Mei 15, 2015

HARI GURU PADA PERSPEKTIF AKU

16 Mei kembali. Buat tahun ke 6 secara rasminya aku meraikannya. Ops, seharusnya aku diraikannya, namun kerjaya guru ini ajaiblah sangat, Rata-rata di kebanyakan sekolah, sendiri punya perayaan, sendiri yang sambut. Syok sendiri kata orang. Namun, itu tidak menghalang daripada guru-guru di Malaysia mengenepikan 'kesengsaraan' menanggung beban tugasnya selama ini. Biar pun hanya sehari, bila menyanyikan lagu rasmi 'Kami Guru Malaysia', semangat seoalah-olah naik segar dan bugar. Ikrar yang dilafazkan pula seolah-olah mengubat jiwa lara di sebalik rasa sakit jiwa dengan pelbagai karenah murid dan desakan pelbagai arahan atasan. Jelas, Hari Guru sememangnya menjadi penawar kepada guru-guru.

Aku pula tidak merasakan perayaan itu memberi kesan yang besar dalam jiwa aku. Ops, harap tiada yang menganggap aku tidak berjiwa guru mahu pun tidak ada semangat keguruan. Bukan itu maksud aku. Aku ada sebab kenapa begini. Aku akui, hari guru memang wajar diadakan. Namun, dalam masa yang sama ia tidak mengubah apa-apa yang menjadikan aku penat dengan karenah dunia pendidikan. Meraikannya hanya sehari, esoknya kepala kusut kembali. 

Jadi, apa makna Hari Guru kepada aku? Mungkin, meletakkan kembali guru kepada tugas hakikinya adalah sesuatu yang sangat memberi makna pada aku dan kebanyakan malah semua guru. Apalah gunanya meraikannya sehari, dilimpahi dengan pujian dihargai, hadiah pun banyak yang diperolehi, namun dalam masa sama penat pada semalam dan esok hari tetapi berterusan lagi. Namun, terpaksa aku sedari, dunia hari ini sangat mencabar wibawa dan kredibiliti guru-guru. Peranan guru hari ini tidak lagi sama dengan guru suatu masa lalu tidak lagi boleh dibeza-bezakan. Memang jauh bagai langit dengan bumi. Hakikat ini bukan sahaja guru perlu menerimanya, bahkan keluarga, ibu bapa dan seluruh masyarakat perlu mengakuinya. 

Percayalah, zaman berubah, skop kerjaya pon berubah sama. Kepercayaan bahawa kerjaya guru tersangatlah mudah dna senang, guru balik awal dan kerja setengah hari, guru banyak cuti dan tugas guru hanya mengajar sahaja di dalam kelas hanyalah mitos semata-mata. Tidak perlu ditanya 'sebenarnya apa yang susahnya jadi seorang guru?', cukuplah sekadar menghargai pengorbanan guru yang peranannya sangat besar dalam masayarakat. Mana tidaknya, guru adalah ejen kepada perubahan masyarakat. Lebih-lebih lagi guru adalah golongan yang diberi kepercayaan sebagai duta kepada kerajaan dalam melaksanakan pelbagai matlamat dan kehendak kerajaan yang mahu dicorakkan dalam masyarakat. Antaranya, melalui penggubalan kurikulum, penganjuran kempen-kempen dan sebagainya yang memerlukan peranan guru dalam menyebarkannya kepada generasi semasa. 

Apapun, aku sendiri berbangga menjadi seorang guru biarpun tidak aku terjemahkannya melalui kata-kata. Ia lahir dari perasaan yang aku sendiri dapat rasakan serta perlakuanku yang agak sibuk dengan tugas-tugas persekolahan. Syukur juga aku berada di tahap ini. Bersempena dengan Hari Guru kali ini, aku kongsikan beberapa episod asam garam pahit manisku sepanjang tenpoh bergelar seorang guru.

1. Aku tidak ada mimpi untuk menjadi seorang guru biar pun peratus komposisi kerjaya bagi keluarga nukleus aku di sebelah mak agak besar berbanding kerjaya lain yang pelbagai dari atok, mak, pakcik dan makcik serta sepupu sepapat aku juga. Dalam kalangan keluarga yang lebih berkembang lagi, di peringkat dua pupu ke tiga pupuku pun ramai yang jadi cikgu. Jadi, aku dah nampak ke'susaha'an tugas guru tu sebelum aku menjadi seperti mereka kini.

2. Tatkala di tahun akhir pengajian degree, rakan-rakan satu fakulti kebanyakannya mula sibuk mencari kerja sama ada untuk sementara mahu pun tetap apabila sudah bergraduasi nanti. Dalam pada tu, mereka juga sibuk mengisi borang on-line KPLI dan aku pun kerana sekadar mahu mengikut tanpa ada niat, turut sama mengisinya, Aduh, akhirnya dapat pada percubaan kali pertama!

3. Semasa sesi temuduga, aku ditanya kesediaan untuk dihantar ke Malaysia Timur, spontan aku jawab tak mahu dengan memberi alasan yang aku kira munasabah biarpun klise. Nasiblah. Cukuplah dalam kawasan Malaysia Barat di negeri Pantai Barat sahaja. Tapi, yang tak disangkanya dapat tempat di Bangi sahaja. Sudahlah aku graduan dari UKM Bangi, maktab pula IPGM KPI Bangi. Tidak cukup dengan itu, selepas 2 minggu orientasi, ada sesi tukar penempatan suka sama suka, ada yang mahu mengambil sekolah aku dan aku pula ditawarkan sekolah di Sepang, yang tentunya lebih dekat dengan rumah aku. Lalu, apa lagi alasan aku untuk tidak menerimanya?

4. Pada hari pertama Pendaftaran, abah berprejudis terhadap aku sampaikan abah memfolow kereta aku dari jauh semata-mata mahu pastikan aku menuju ke destinasi. Takut-takut aku menyimpang ke tempat lain dan terlepas daripada pendaftaran masuk maktab. Urrghh... sampai begitu sekali. Dah tamat taklimat awal, abah call cakap dia berada di dl luar dewan!

5. Hari pertama melapor diri, aku tidak menyangka Guru Besar sekolah aku ni adalah bekas guru aku di waktu aku bersekolah rendah. Malah, ada seorang lagi bekas guru aku di sekolah yang sama di mana kedua-duanya jga adalah rakan setugas mak sebelum itu. Tidak kurang juga, beberapa orang guru lain adalah orang sekampun denganku. Aduh, segan sungguh bila bekas cikgu sendiri sekarang jadi rakan setugas. Keadaan ini membuatkan aku merasa selesa dan rasa dalam perlindungan. Entah kerana apa, hanya hati aku yang merasakannya.

6. Sejak bertahun-tahun aku posting, aku sangat suka mengajar Tahun Satu secara dominan. Tiap-tiap tahun aku tawar diri ajar mereka biar sedangkan rakan-rakan lain mengelak-ngelak daripadanya. Namun tahun ini aku cuba buat anjakan paradigma untuk mengajar murid Tahun 4 secara dominan. Rupa-rupanya, memang lebih bahagia kalau ajar murid besar sedikit berbanding murid-murid kecil. Aduh, kalau tahu, dari dulu aku minta. Tapi jujunya, kepuasan lebih diperolehi apabila mengajar Tahun 1. Sebab apa? Carilah jawapan sendiri.

7. Aku seorang guru yang baik. Baik di sini adalah mengikut definisi budak-budaklah. Kononnya aku tak mudah marah macam cikgu lain. Tapi sebenarnya, mereka tulah yang tak makan saman bila aku marah-marah. Ada pula yang semakin aku marah, makin galak dia nak buat salah. Bukan tak pernah aku lempang, cubit, rotan tapi mereka dikir aku olok-olok aje. Lagi sakit jiwa ada yang masih tersengih sumbing bila aku denda mereka. Memang segaja nak buat hati aku sakit kot tapi aku sabarkan aje. Memang aku maraj, tapi agaknya muka aku nampak macam tak marah. Apa nak buat. Itu bukan anugerah yang diberikan Allah kepadaku. Tatkala kawan-kawan aku dari jauh menapak murid-murid dah gerun mendengarnya, aku pula bair pun dah masuk kelas masih ada yang bising dan bermaon-main. Nak angin satu badan kadang-kadang tak menjadi. Agak-agak ada tak kursus yang boleh buat aku di'takuti' oleh murid-murid? Bila keadaan macam ni aku rasa tak direspect oleh mereka. Mentang-mentang aku jenis melayan mereka, mereka boleh negotiate macam-macam dengan aku. Ramai juga yang datang pinjam seringgit dua kat aku kalau tak bawa duit belanja atau duit hilang. Selamba sungguh. Tapi tak apa, dalam pada ada yang garang, biarlah aku jadi yang tak garang. Balance sikit..hihi.

8. Aku sangat tak heran dengan sambutan hari guru lebih-lebih lagi kalau pasal hadiah. Apa yang diberi aku terima dengan senang hati. Jujurnya, saham aku dari tahun ke tahun merosot sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun. Kalau di 2 3 tahun pertama beberapa helai plastik oren yang besar tu penuh hadiah ku jinjit masuk ke kereta. Tapi semakin lama semakin kurang pula biarpun tidaklah ketara jumlahnya dari masa ke masa. Tak apa, rodakan sentiasa berpusing, redha je lah. Lagi pun, itu bukan matlamat aku dan kebanyakan guru yang lain juga. Yang penting, ucapan penghargaan yang perlu diutamakan.

9. Biarpun masih di kira setahun jagung (sebenarnya dah banyak jagung pun) jadi seorang guru, macanm-macam tugas telah aku galas. Dan, aku suka untuk bertukar-tukar tugas dan jawatan atas dasar ingin belajar sesuatu yang baharu malah yang berminat dengan jiwa raga ku. Ada yang aku tak minta kerana tiada kemahiran, memang aku elak seboleh-bolehnya. Mana yang aku rasa boleh buat, memang aku terima dan buat sehabis baik. Yelah, nobody is perfect, tapi bila dapat tugas, memang kenalah buat yang terbaik.

10. Antara perkara yang best sepanjang perkhidmatan yang masih pendek ni, aku berjaya membawa nama sekolah ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan kantin bersih anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Aku juga berbangga dengan pencapaian murid-murid yang aku latih khususnya dalam acara nasyid, dikir barat dan catur. AKu bukanlah jurulatih yang baik, tapi aku sedaya upaya buat yang terbaik dengan kerjasama kawan-kawan lain yang tentunya kejayaan yang dicapai adalah hasil usahasama bersama-sama.

11. Antara perkara yang kurang best adalah apabila ada tugasan yang aku buat tidak menyerlah dan kurang berjaya sekaligus mungkin tidak dapat menaikkan nama sekolah. Antara lain aku sangat bimbang bila berada dalam situasi tegang dalam perhubungan interpersonal sesama rakan setugas. Sungguh, tak mudah berurusan dengan mereka yang sukar untuk dibawa runding selain tidak menunjukkan minat untuk bersama-sama menyelesaikan sesuatu isu. Namun, aku beroptimis, mendung kan berarak pergi, sinat mentari kan kembali terangi.

12. Aku tidak percaya, dalam tempoh beberapa tahun berkhidmat, aku mendapat APC yang sepatutnya aku hargai dengan gembira, tapi bilamana kelayakanku dipertikaikan, aku jadi sangat kesal dan ralat untuk menerimanya. Memang aku muda dan baru lagi untuk diberikan penghargaan itu, aku akui. Jadi, tatkala orang lain gembira tersenyum bangga menerimanya, aku pula di sebaliknya. Sebab itu aku rasakan, aku perlu sentiasa buktikan peranan aku di sekolah benar-benar memberi impak yang tersendiri. Bukan biasa-biasa. Insya ALLAH, dalam mengejar matlamat dunia, harap-harap ia seiring dengan kehendak akhirat. Apa gunanya dikenal oleh manusia, sedangkan di sisi Allah aku bukanlah sesiapa. Jadi, niatku perlu sentiasa lurus dan tidak ada simpang siurnya.

13. Aku patut bersyukur kerana dengan kerjaya aku ni, aku dapat belajar macam-macam perkara. Malah, ada perkara yang dulunya aku tak mampu, tak terdaya malah tak terpandai atau tak berpeluang melakukannya, kini aku memperolehinya. Contohnya, aku obses dengan catur dan nasyid, dulu peluangku terhad, kini aku berkecimpung secara tidak langsung dengannya dengan menjadi juruletih. Letih kerana aku sendiri tak pakar namun kerana amanah dan tugas, aku usahakannya. Aku minta dengan penulisan dan pengurusan, akhirnya kini aku berpeluang besar dalam dunia penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah buku di pasaran. Dalam pengurusan, biarpun dulu bercuta-cita mahu bekerja di ofis, namun di sekolah, aku ni juga dah memang macam officer. Nasiblah.

14. Dulu aku nak sambung belajar selepas berdegree, abah tak bagi atas alasan tiada gunanya master PhD kalau tidak berada di aliran pendidikan. Memang niat aku waktu tu nak mengatasi pencapaian abah dalam akademik. Tapi bila dah berada di aliran ini, tanpa banyak soal, abah benarkan aku sambung juga. Kini, aku terfikir-fikir untuk menyambung lagi ke peringat seterusnya, namun abah macam tak bagi lah pula. Mana taknya, sekolah punya kerja pun tak habis-habis sampaikan balik pun dah tak berwaktu, tidur pun tak menentu ada hati pula dan menambah beban belajar lagi. Allahu rabbi... permudahkanlah urusan aku.

15. Memandangkan aku suka kepada sesuatu yang baharu, maka aku memang sedia untuk mengikuti sebarang kursus, bengkel dan latihan yang berkaitan yang tentunya aku berminat dengannya. Antara ilmu yang aku dapati adalah melalui kursus penulisan buku, skrip drama, pembikinan video pendidikan, pembentang seminar pendidikan, VLE Frog, team ujirentas KSSR/KSSM sebagai penganalisis data, bengkes ilustrasi dan bermacam-macam lagi. Namun malangnya, tidak semua dapat aku aplikasikannya disebabkan aku sedari betapa tugasan pengajaran adalah lebih hakiki untuk aku fokuskan. Dalam pada tu ada beberapa perkara lain yang aku minat namun masih tak diberi ruang dan peluang untk mengikutinya. Tak apalah, apa yang ada pun tidak mampu ku laksanakan lagi.

Fuhh... banyak juga aku punya kisah ni. Ingatkan sikit je. Nampak sangat 6 tahun tu merupakan tempoh yang boleh dianggap sebagai senior. Jadi, aku perlu pastikan 6 tahun itu adalah masa aku menambah pengalaman, bukan aku mengulang pengalaman di tahun pertama untuk tahun-tahun selepasnya. Memang lain ertinya tu. Jadi, dengan tema Hari Guru 2015 ini, Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak, aku berharap aku benar-benar dapat menjadi murabbi, mudarris, muaddib, muallim dan lain-lain gelaran mulia pada pandangan masyarakat untuk terus berkhidmta dan berbakti. Sungguh, pada saat ini pun, aku masih merasakan aku bukanlah guru yang baik apatahlagi terbaik. Banyak kelemahan yang aku perlu tampal dan perbaiki. Tiap-tiap hari aku berdoa agar murid-muridku memahami dan mengaplikasikan ilmu yang ku beri dalam kehidupan mereka. Pada guru-guruku, rakan-rakan guru dan sesiapa yang pernah mengajarku walau satu ilmu, aku ucapkan, SELAMAT HARI GURU. Wallahu a'lam.

Ahad, Januari 04, 2015

IKLAN PENGAMBILAN PESERTA PROGRAM PENGKARYA GURU KPM 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.bt.t.

Perhatian kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Anda berminat untuk menjadi seorang penulis? Sila rujuk iklan di bawah ini. Harap Maklum.


Kursus 4 Siri Pengkarya Guru KPM 2015 anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Permohonan terbuka kepada warga pendidik (Gred DG) yang berbakat dan berminat untuk menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja. Sertailah kursus 4 Siri Pengkarya Guru di hujung minggu (Khamis hingga Ahad). Yuran kursus, penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Anda cuma perlu biayai sendiri kos perjalanan ke tempat kursus DI LEMBAH KELANG pada tarikh-tarikh yang berikut:

• 26, 27,28 dan 29 Mac 2015
• 16, 17, 18 dan 19 April 2015
• 21, 22, 23 dan 24 Mei 2015
• 13, 14, 15 dan 16 Ogos 2015
*Semua peserta yang terpilih wajib menghadiri keempat-empat siri. 

PESERTA YANG TERPILIH AKAN DIHUBUNGI SEBELUM 28 FEBRUARI 2015. Sila muat turun borang permohonan dan hantarkan borang yang lengkap dan sampel hasil karya (penulisan atau ilustrasi atau kedua-duanya) ke mbkmmoe@gmail.com sebelum 31 Januari 2015.


Sebagai pengenalan, anda boleh lihat liputan berhubung program anjuran MBKM pada tahun-tahun sebelumnya berdasarkan pengalaman peribadi saya serta liputan video daripada rakan saya melalui pautan di bawah ini.












Sekian, wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.