Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Oktober 07, 2012

ALAM SEKITAR DALAM KEHIDUPAN MANUSIA


“Kring…..”
Loceng pertama dibunyikan menandakan sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan. Murid-murid yang berada di luar kelas bergegas masuk ke dalam sebelum guru matapelajaran pertama masuk memulakan pengajaran. Kelas 5 Amanah kelihatan bersih dan ceria setelah beberapa orang murid yang bertugas membersihkan kelas sebelum loceng berbunyi.
Beberapa ketika, seorang wanita berkaca mata masuk ke dalam kelas. Amir selaku ketua kelas lantas memberikan arahan kepada rakan-rakannya untuk bangun dan memberikan ucapan salam kepada Puan Faridah.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera cikgu.”
Serentak gema suara daripada 36 orang murid memenuhi kelas. Selepas membaca doa belajar semua murid diarahkan duduk oleh Puan Faridah.
“Apa khabar, semua. Sihat tak hari ni?” Puan Faridah memulakan bicara. Satu persatu wajah muridnya diperhatikan.
          “Sihat, cikgu.”
          “Alhamdulillah,” ujar Puan Faridah.
          Seketika kemudian Puan Faridah meminta murid-muridnya untuk memerhatikan keadaan kelas mereka.
          “Murid-murid, kalau kamu lihat, kelas kamu sekarang ni bersih tak?” Puan Faridah melontarkan persoalan.
          Beberapa orang murid memberi respon. Semuanya seia sekata dengan satu jawapan, “bersih, cikgu.”
          “Baiklah. Kamu suka tak dengan keadaan kelas kamu yang cantik dan kemas ni?” Sekali lagi persoalan dilontarkan kepada muridnya.
          “Suka,” ringkas jawapan yang diberikan.
“Bagus. Murid-murid,  Islam amat menitik beratkan kebersihan. Bukan sahaja kita perlu menjaga kebersihan alam sekitar, bahkan kita juga perlu menjaga kebersihan diri kita dari segala kekotoran,” ujar Puan Faridah sebelum memulakan pengajarannnya.
Murid-murid di hadapannya tekun mendengar kata-kata Puan Faridah. Ada juga dalam kalangan mereka diterpa rasa hairan.  Apakah perkaitan antara kelas dan pelajaran yang akan dipelajari sebentar nanti. Puan Faridah bukannya guru matapelajaran Sains untuk mengajarkan tentang alam sekitar apatahlagi guru matapelajaran Pendidikan Islam untuk menceritakan tentang kelebihan menjaga kebersihan dari sudut agama. Persoalan itu hanya berlegar-legar di kepala sahaja. Mereka hanya menunggu butir bicara selanjutnya daripada guru yang ada di hadapan mereka itu.
“Baiklah, hari ini seperti yang saya maklumkan minggu lepas, kita akan membuat perbincangan mengenai penjagaan alam sekitar. Saya harap kamu semua sudah bersedia dengan pendapat dan maklumat masing-masing,” Puan Faridah memulakan bicara sambil memerhatikan beberapa wajah muridnya. Semuanya kelihatan sudah bersedia.
“Kamu sedar tak alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini,” Puan Faridah memulakan perbincangan. Beberapa murid kelihatan mencatat sesuatu di atas buku nota.
  “Cuba lihat di mana-mana, contohnya di taman permainan, kalau kita nampak tempat itu kotor dan banyak sampah apa perasaan kita? Sanggupkah kita bermain di situ?” uji Puan Faridah.
“Tak sanggup,” jawab Malik, murid yang duduk berhadapan meja guru. Beberapa orang murid lain turut memberikan jawapan yang sama.
“Bagaimana pula kalau kita melihat sungai yang tercemar dengan sampah sarap, tentu kita akan merasa jijik, Keadaaan itu membuatkan kita rasa tidak selesa untuk berada di situ, betul tak?” Puan Faridah meminta persetujuan.
“Betul, cikgu,” beberapa suara dari pada muridnya kedengaran jelas. Selebihnya hanya menganggukkan kepala.
 “Bagus. Syafiqah, apa pendapat kamu mengenai keperluan menjaga kebersihan?” Puan Faridah mengajukan persoalan kepada murid yang duduk di barisan tengah di bawah kipas. Perlahan-lahan Syafiqah bangun setelah namanya dipanggil sebentar tadi.
“Saya berpendapat, menjaga kebersihan itu meliputi segala perkara yang boleh memudaratkan diri kita dan orang ramai. Persekitaran yang bersih mestilah bebas daripada segala ancaman yang membahayakan kesihatan kita, seperti sampah-sarap dan serangga perosak,” dengan yakin Syafiqah memberikan pendapatnya.
“Bagus, Syafiqah,” Puan Faridah memuji muridnya.
“Sebagai tambahan, persekitaran yang baik juga merangkumi sesuatu yang tidak terdedah kepada pencemaran seperti pencemaran air, makanan, udara dan sebagainya. Semua ini akan memberi ancaman kepada hidupan di dunia ini seperti manusia dan haiwan. Kita dituntut untuk sentiasa menjaga kebersihan. Di mana-mana pun kita berada kita perlulah bertanggungjawab bagi memastikan persekitaran kita bersih.” Puan Faridah menambah.
          “Cikgu, apakah kaitan antara kebersihan dengan alam sekitar, ya? Penting sangat, ke?” Seorang murid yang duduk di tepi tingkap mengajukan persoalan.
          “Bagus soalan kamu, Zaidi,” ujar Puan Faridah sebelum meneruskan bicara.
“Cikgu, boleh saya berikan pendapat?” Tiba-tiba Shahril yang duduk di sebelah Malik bangun mengangkat tangan sebelum sempat gurunya memberikan jawapan daripada soalan yang diutarakan.
“Boleh, Shahril. Silakan,” Puan Faridah memberI isyarat supaya muridnya itu memberikan pendapatnya.
“Sememangnya menjaga kebersihan alam sekitar merupakan sesuatu yang sangat penting. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, aktiviti-aktiviti pembangunan sedikit sebanyak menjejaskan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik,” Shahril mengulas sambil menggayakan tangannya persis seorang pemidato hebat.
“Bagus, Shahril. Cikgu suka dengan jawapan kamu,” Puan Faridah memuji.
“Azura, sebutkan kenapa kita perlu menjaga alam sekitar,” Puan Faridah meminta murid yang duduk dihadapannya untuk memberikan pendapat.
“Alam sekitar perlu dijaga kerana ia ada hubungannya kepada sistem pernafasan kita. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih dan segar sememangnya amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya,” Pendapat Azura sangat meyakinkan. Beberapa rakan sekelasnya mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju.
“Cikgu, boleh saya tambah?” Farhana yang berbaju seragam ungu mengangkat tangan. Dia berdiri sejurus mendapat isyarat daripada Puan Faridah.
“Menjaga alam sekitar adalah penting untuk flora dan fauna. Kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin sumber air. Tanpa pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun itu tidak akan tersejat malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan persendirian mahupun industri,” ulas Farhana panjang lebar.
“Bagus, Farhana. Untuk pengetahuan kamu juga persekitaran yang bersih sebenarnya dapat mengelakkan pembiakan serangga. Persekitaran yang kotor akan meyebabkan pembiakan serangga sehingga boleh mengancam nyawa manusia,” Puan Faridah melanjutkan penerangannya mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
“Contohnya…”
“Nyamuk Aedes kan, cikgu?” Fahmi yang duduk di belakang Azura lantas memintas bicara guru di hadapan tanpa rasa bersalah.   
“Pandai pun kamu, Fahmi,” Puan Faridah memuji muridnya. Walaupun rasa geram muncul gara-gara sikap kurang sopan muridnya, dia cuba memujuk hatinya. Nampaknya perbincangan mereka semakin galak.
“Okay, Fahmi. Bahaya apakah yang boleh mengancam manusia disebabkan nyamuk Aedes ni?” Puan Faridah menuntut jawapan daripada muridnya itu tadi. Fahmi perlahan-lahan bangun.
“Err…demam Malaria, kot,” teragak-agak Fahmi memberikan jawapannya.
“Eh, salah jawapan tu. Nyamuk Aedes tu sebenarnya membawa virus yang boleh menyebabkan manusia mengalami demam denggi sehingga menyebabkan kematian,” Puan Faridah memperbetulkan jawapan muridnya.
“Cikgu, lalat pula tak bahaya ke?” Zulhilmi yang duduk di kerusi belakang bertanya seakan-akan melaung. Pada fikirannya gurunya itu tidak dapat mendengar suaranya jika menggunakan suara yang rendah.
“Bahaya juga, Zulhilmi. Kamu kena ingat, persekitaran yang kotor akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang membawa kuman akan menghinggap makanan kita. Hal ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas seperti cirit-birit dan muntah akibat keracunan makanan,” Puan Faridah menjelaskan lanjut.
          “Boleh faham, semua?” Puan Faridah meminta kepastian. Harapannya agar setiap murid dapat memahami topik perbincangan mereka ini.
Kelas sunyi seketika penjelasan Puan Faridah amat menarik perhatian mereka. Sekilas Puan Faridah memandang wajah murid-muridnya sambil tersenyum.
          “Kalau kamu sudah memahami kepentingan menjaga alam sekitar, cuba kamu sebutkan bagaimana cara kita menjaga kebersihan,” Puan Faridah menyambung bicaranya. Soalannya kini memerlukan murid-murid di hadapannya berfikir secara kreatif dan kritis.
Tiba-tiba, Amir Si Ketua Kelas mengangkat tangannya tanda ingin memberikan jawapan.
“Silakan, Amir,” Puan Faridah mempersilakannya.
“Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menjaga kebersihan. Salah satunya adalah dengan menanamkan tabiat sukakan sesuatu yang bersih.  Contohnya, kalau kita ternampak sampah di atas lantai kelas kita, tidak salah kalau kita ambil dan buangkannya ke dalam tong sampah. Begitu juga dengan pembungkus gula-gula yang kita makan tu, sepatutnya kita buangkannya ke dalam tong sampah. Jangan pula kita biarkannya atau membuangnya di merata-rata tempat,” Arif memberikan pandangan berdasarkan logik akalnya.
“Betul tu, Arif,” Puan Faridah mengiyakan jawapan muridnya. Selanjutnya dia menambah, “jika kita seorang yang prihatin dengan soal kebersihan tentunya persekitaran akan sentiasa bersih. Disiplinkan diri kita untuk sentiasa bertanggung jawab terhadap alam sekitar. Ia juga bagi memastikan agar persekitaran kita bersih dan selesa,”
“Bagaimana pula pandangan kamu, Nurul?” tangannya menunjukkan isyarat untuk muridnya berdiri menjawab soalannya.
          “Cikgu, kita juga boleh mempraktikkan amalan ini di rumah juga. Misalnya, dalam bilik tidur kita, disiplinkan diri kita untuk menjaga kebersihannya. Pastikan tempat tidur, pakaian dan buku-buku sekolah tidak berselerakan. Jangan pula kita hanya menuggu ibu kita tolong mengemaskanya. Bahkan kita yang sepatutnya perlu menolong meringankan beban ibu kita,” jawapan yang diberikan Nurul membuatkan beberapa rakannya hampir tergelak. Ada juga yang sekadar tersenyum seolah-olah terkena batang hidung sendiri.
          “Saya nak sambung, cikgu,” Zaidi mengangkat tangan lalu terus menyampaikan pandangannya.
          “Pada pendapat saya persekitaran di luar rumah juga penting untuk dijaga. Jika hari cuti cuba ambil masa untuk menolong ayah kita. Pasti banyak perkara yang boleh kita lakukan di luar rumah seperti menyapu daun kering, mengutip sampah keliling rumah, menyiram pokok bunga dan sebagainya. Secara tidak langsung dalam pada kita prihatin menjaga kebersihan kita juga sekaligus telah menggembirakan hati ibubapa kita kerana menolong mereka membersihkan persekitaran rumah, betul tak kawan-kawan?” Kata-kata Zaidi disambut beberapa rakannya. Puan Faridah sekadar tersenyum melihat gelagat Zaidi yang seolah-olahnya cuba mempengaruhi murid lain untuk menerima pendapatnya.
          “Murid-murid,” Puan Faridah cuba menarik perhatian muridnya. Keadaan kelas mula gamat.
          “Sebenarnya kalau kita berada di mana-mana pun, sikap mengambil berat mengenai kebersihan alam sekitar tetap perlu disematkan dalam diri. Contohnya semasa berkelah di tepi pantai, berkhemah di air terjun dan di mana-mana sekalipun, aspek kebersihan perlu diberi perhatian. Barulah nanti kehidupan kita akan aman dan sejahtera,” ujar Puan Faridah mengakhiri perbincangan.
“Kamu semua faham tak ni?” Tanya Puan Faridah.
          “Faham, cikgu,” serentak muridnya menjawab.
          Murid-murid semuanya dilihat menganggukkan kepala masing-masing tanda memahami perbincangan.
          “Baiklah, sekarang, apa yang saya mahu kamu semua lakukan adalah, tulis sebuah karangan yang bertajuk ‘Cintai Alam Sekitar’. Esok saya mahu kamu semua menghantar karangan kamu itu di atas meja saya di bilik guru,” Puan Faridah memberikan arahan.
          Murid-murid kelas 5 Amanah sekali lagi mengangguk tanda memahami arahan gurunya. Seketika kemudian loceng berbunyi tanda kelas selama satu jam itu telah berakhir.


________________________________________________________________
Cerita di atas adalah rekaan semata-mata. Ia ditulis semasa berlangsungnya bengkel penulisan kanak-kanak peringkat KPM, namun direjected  oleh fasilitator saya kerana tidak menarik minatnya...hehe.... tapi ia tidak bermakna tiaada mesej bernilai di dalamnya, kan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.