“Kring…..”
Loceng pertama dibunyikan menandakan sesi pengajaran dan
pembelajaran akan dimulakan. Murid-murid yang berada di luar kelas bergegas
masuk ke dalam sebelum guru matapelajaran pertama masuk memulakan pengajaran.
Kelas 5 Amanah kelihatan bersih dan ceria setelah beberapa orang murid yang
bertugas membersihkan kelas sebelum loceng berbunyi.
Beberapa ketika, seorang wanita berkaca mata masuk ke dalam kelas.
Amir selaku ketua kelas lantas memberikan arahan kepada rakan-rakannya untuk
bangun dan memberikan ucapan salam kepada Puan Faridah.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera cikgu.”
Serentak gema suara daripada 36 orang murid memenuhi kelas. Selepas
membaca doa belajar semua murid diarahkan duduk oleh Puan Faridah.
“Apa khabar, semua. Sihat tak hari ni?” Puan Faridah memulakan
bicara. Satu persatu wajah muridnya diperhatikan.
“Sihat, cikgu.”
“Alhamdulillah,” ujar Puan Faridah.
Seketika kemudian Puan Faridah meminta
murid-muridnya untuk memerhatikan keadaan kelas mereka.
“Murid-murid, kalau kamu lihat, kelas
kamu sekarang ni bersih tak?” Puan Faridah melontarkan persoalan.
Beberapa orang murid memberi respon.
Semuanya seia sekata dengan satu jawapan, “bersih, cikgu.”
“Baiklah. Kamu suka tak dengan keadaan
kelas kamu yang cantik dan kemas ni?” Sekali lagi persoalan dilontarkan kepada
muridnya.
“Suka,” ringkas jawapan yang
diberikan.
“Bagus. Murid-murid, Islam amat
menitik beratkan kebersihan. Bukan sahaja kita perlu menjaga kebersihan alam sekitar,
bahkan kita juga perlu menjaga kebersihan diri kita dari segala kekotoran,”
ujar Puan Faridah sebelum memulakan pengajarannnya.
Murid-murid di hadapannya tekun mendengar kata-kata Puan Faridah.
Ada juga dalam kalangan mereka diterpa rasa hairan. Apakah perkaitan antara kelas dan pelajaran
yang akan dipelajari sebentar nanti. Puan Faridah bukannya guru matapelajaran
Sains untuk mengajarkan tentang alam sekitar apatahlagi guru matapelajaran
Pendidikan Islam untuk menceritakan tentang kelebihan menjaga kebersihan dari
sudut agama. Persoalan itu hanya berlegar-legar di kepala sahaja. Mereka hanya
menunggu butir bicara selanjutnya daripada guru yang ada di hadapan mereka itu.
“Baiklah, hari ini seperti yang saya maklumkan minggu lepas, kita
akan membuat perbincangan mengenai penjagaan alam sekitar. Saya harap kamu
semua sudah bersedia dengan pendapat dan maklumat masing-masing,” Puan Faridah
memulakan bicara sambil memerhatikan beberapa wajah muridnya. Semuanya
kelihatan sudah bersedia.
“Kamu sedar tak alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat
bernilai kepada kesejahteraan kehidupan. Manusia banyak bergantung kepada
sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini,” Puan Faridah memulakan
perbincangan. Beberapa murid kelihatan mencatat sesuatu di atas buku nota.
“Cuba lihat di mana-mana,
contohnya di taman permainan, kalau kita nampak tempat itu kotor dan banyak
sampah apa perasaan kita? Sanggupkah kita bermain di situ?” uji Puan Faridah.
“Tak sanggup,” jawab Malik, murid yang duduk berhadapan meja guru.
Beberapa orang murid lain turut memberikan jawapan yang sama.
“Bagaimana pula kalau kita melihat sungai yang tercemar dengan
sampah sarap, tentu kita akan merasa jijik, Keadaaan itu membuatkan kita rasa
tidak selesa untuk berada di situ, betul tak?” Puan Faridah meminta
persetujuan.
“Betul, cikgu,” beberapa suara dari pada muridnya kedengaran jelas.
Selebihnya hanya menganggukkan kepala.
“Bagus. Syafiqah, apa
pendapat kamu mengenai keperluan menjaga kebersihan?” Puan Faridah mengajukan
persoalan kepada murid yang duduk di barisan tengah di bawah kipas.
Perlahan-lahan Syafiqah bangun setelah namanya dipanggil sebentar tadi.
“Saya berpendapat, menjaga kebersihan itu meliputi segala perkara
yang boleh memudaratkan diri kita dan orang ramai. Persekitaran yang bersih
mestilah bebas daripada segala ancaman yang membahayakan kesihatan kita,
seperti sampah-sarap dan serangga perosak,” dengan yakin Syafiqah memberikan
pendapatnya.
“Bagus, Syafiqah,” Puan Faridah memuji muridnya.
“Sebagai tambahan, persekitaran yang baik juga merangkumi sesuatu
yang tidak terdedah kepada pencemaran seperti pencemaran air, makanan, udara
dan sebagainya. Semua ini akan memberi ancaman kepada hidupan di dunia ini
seperti manusia dan haiwan. Kita dituntut untuk sentiasa menjaga kebersihan. Di
mana-mana pun kita berada kita perlulah bertanggungjawab bagi memastikan
persekitaran kita bersih.” Puan Faridah menambah.
“Cikgu, apakah kaitan antara kebersihan
dengan alam sekitar, ya? Penting sangat, ke?” Seorang murid yang duduk di tepi
tingkap mengajukan persoalan.
“Bagus soalan kamu, Zaidi,” ujar Puan
Faridah sebelum meneruskan bicara.
“Cikgu, boleh saya berikan pendapat?” Tiba-tiba Shahril yang duduk
di sebelah Malik bangun mengangkat tangan sebelum sempat gurunya memberikan
jawapan daripada soalan yang diutarakan.
“Boleh, Shahril. Silakan,” Puan Faridah memberI isyarat supaya
muridnya itu memberikan pendapatnya.
“Sememangnya menjaga kebersihan alam sekitar merupakan sesuatu yang
sangat penting. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana
yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia,
aktiviti-aktiviti pembangunan sedikit sebanyak menjejaskan negara sekiranya
alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik,” Shahril mengulas sambil
menggayakan tangannya persis seorang pemidato hebat.
“Bagus, Shahril. Cikgu suka dengan jawapan kamu,” Puan Faridah
memuji.
“Azura, sebutkan kenapa kita perlu menjaga alam sekitar,” Puan
Faridah meminta murid yang duduk dihadapannya untuk memberikan pendapat.
“Alam sekitar perlu dijaga kerana ia ada hubungannya kepada sistem
pernafasan kita. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang
segar. Udara yang bersih dan segar sememangnya amat penting untuk kesihatan.
Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau.
Tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita
mendapat bekalan oksigen secukupnya,” Pendapat Azura sangat meyakinkan.
Beberapa rakan sekelasnya mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju.
“Cikgu, boleh saya tambah?” Farhana yang berbaju seragam ungu
mengangkat tangan. Dia berdiri sejurus mendapat isyarat daripada Puan Faridah.
“Menjaga alam sekitar adalah penting untuk flora dan fauna.
Kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang
terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin sumber air. Tanpa
pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran
hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam
kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan
air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun
itu tidak akan tersejat malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan
peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan
persendirian mahupun industri,” ulas Farhana panjang lebar.
“Bagus, Farhana. Untuk pengetahuan kamu juga persekitaran yang
bersih sebenarnya dapat mengelakkan pembiakan serangga. Persekitaran yang kotor
akan meyebabkan pembiakan serangga sehingga boleh mengancam nyawa manusia,” Puan
Faridah melanjutkan penerangannya mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
“Contohnya…”
“Nyamuk Aedes kan, cikgu?” Fahmi yang duduk di belakang Azura
lantas memintas bicara guru di hadapan tanpa rasa bersalah.
“Pandai pun kamu, Fahmi,” Puan Faridah memuji muridnya. Walaupun
rasa geram muncul gara-gara sikap kurang sopan muridnya, dia cuba memujuk
hatinya. Nampaknya perbincangan mereka semakin galak.
“Okay, Fahmi. Bahaya apakah yang boleh mengancam manusia disebabkan
nyamuk Aedes ni?” Puan Faridah menuntut jawapan daripada muridnya itu tadi.
Fahmi perlahan-lahan bangun.
“Err…demam Malaria, kot,” teragak-agak Fahmi memberikan jawapannya.
“Eh, salah jawapan tu. Nyamuk Aedes tu sebenarnya membawa virus
yang boleh menyebabkan manusia mengalami demam denggi sehingga menyebabkan
kematian,” Puan Faridah memperbetulkan jawapan muridnya.
“Cikgu, lalat pula tak bahaya ke?” Zulhilmi yang duduk di kerusi
belakang bertanya seakan-akan melaung. Pada fikirannya gurunya itu tidak dapat
mendengar suaranya jika menggunakan suara yang rendah.
“Bahaya juga, Zulhilmi. Kamu kena ingat, persekitaran yang kotor
akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang membawa kuman akan menghinggap
makanan kita. Hal ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas seperti
cirit-birit dan muntah akibat keracunan makanan,” Puan Faridah menjelaskan
lanjut.
“Boleh
faham, semua?” Puan Faridah meminta kepastian. Harapannya agar setiap murid
dapat memahami topik perbincangan mereka ini.
Kelas sunyi seketika penjelasan Puan Faridah amat menarik perhatian
mereka. Sekilas Puan Faridah memandang wajah murid-muridnya sambil tersenyum.
“Kalau kamu sudah memahami kepentingan
menjaga alam sekitar, cuba kamu sebutkan bagaimana cara kita menjaga
kebersihan,” Puan Faridah menyambung bicaranya. Soalannya kini memerlukan
murid-murid di hadapannya berfikir secara kreatif dan kritis.
Tiba-tiba, Amir Si Ketua Kelas mengangkat tangannya tanda ingin
memberikan jawapan.
“Silakan, Amir,” Puan Faridah mempersilakannya.
“Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menjaga
kebersihan. Salah satunya adalah dengan menanamkan tabiat sukakan sesuatu yang
bersih. Contohnya, kalau kita ternampak
sampah di atas lantai kelas kita, tidak salah kalau kita ambil dan buangkannya
ke dalam tong sampah. Begitu juga dengan pembungkus gula-gula yang kita makan
tu, sepatutnya kita buangkannya ke dalam tong sampah. Jangan pula kita
biarkannya atau membuangnya di merata-rata tempat,” Arif memberikan pandangan
berdasarkan logik akalnya.
“Betul tu, Arif,” Puan Faridah mengiyakan jawapan muridnya.
Selanjutnya dia menambah, “jika kita seorang yang prihatin dengan soal
kebersihan tentunya persekitaran akan sentiasa bersih. Disiplinkan diri kita
untuk sentiasa bertanggung jawab terhadap alam sekitar. Ia juga bagi memastikan
agar persekitaran kita bersih dan selesa,”
“Bagaimana pula pandangan kamu, Nurul?” tangannya menunjukkan
isyarat untuk muridnya berdiri menjawab soalannya.
“Cikgu, kita juga boleh mempraktikkan
amalan ini di rumah juga. Misalnya, dalam bilik tidur kita, disiplinkan diri
kita untuk menjaga kebersihannya. Pastikan tempat tidur, pakaian dan buku-buku
sekolah tidak berselerakan. Jangan pula kita hanya menuggu ibu kita tolong
mengemaskanya. Bahkan kita yang sepatutnya perlu menolong meringankan beban ibu
kita,” jawapan yang diberikan Nurul membuatkan beberapa rakannya hampir
tergelak. Ada juga yang sekadar tersenyum seolah-olah terkena batang hidung
sendiri.
“Saya nak sambung, cikgu,” Zaidi
mengangkat tangan lalu terus menyampaikan pandangannya.
“Pada pendapat saya persekitaran di
luar rumah juga penting untuk dijaga. Jika hari cuti cuba ambil masa untuk
menolong ayah kita. Pasti banyak perkara yang boleh kita lakukan di luar rumah
seperti menyapu daun kering, mengutip sampah keliling rumah, menyiram pokok
bunga dan sebagainya. Secara tidak langsung dalam pada kita prihatin menjaga
kebersihan kita juga sekaligus telah menggembirakan hati ibubapa kita kerana
menolong mereka membersihkan persekitaran rumah, betul tak kawan-kawan?” Kata-kata
Zaidi disambut beberapa rakannya. Puan Faridah sekadar tersenyum melihat
gelagat Zaidi yang seolah-olahnya cuba mempengaruhi murid lain untuk menerima
pendapatnya.
“Murid-murid,” Puan Faridah cuba
menarik perhatian muridnya. Keadaan kelas mula gamat.
“Sebenarnya kalau kita berada di
mana-mana pun, sikap mengambil berat mengenai kebersihan alam sekitar tetap
perlu disematkan dalam diri. Contohnya semasa berkelah di tepi pantai,
berkhemah di air terjun dan di mana-mana sekalipun, aspek kebersihan perlu
diberi perhatian. Barulah nanti kehidupan kita akan aman dan sejahtera,” ujar
Puan Faridah mengakhiri perbincangan.
“Kamu semua faham tak ni?” Tanya Puan Faridah.
“Faham, cikgu,” serentak muridnya
menjawab.
Murid-murid semuanya dilihat
menganggukkan kepala masing-masing tanda memahami perbincangan.
“Baiklah, sekarang, apa yang saya mahu
kamu semua lakukan adalah, tulis sebuah karangan yang bertajuk ‘Cintai Alam
Sekitar’. Esok saya mahu kamu semua menghantar karangan kamu itu di atas meja
saya di bilik guru,” Puan Faridah memberikan arahan.
Murid-murid kelas 5 Amanah sekali lagi
mengangguk tanda memahami arahan gurunya. Seketika kemudian loceng berbunyi
tanda kelas selama satu jam itu telah berakhir.
________________________________________________________________
Cerita di atas adalah rekaan semata-mata. Ia ditulis semasa berlangsungnya bengkel penulisan kanak-kanak peringkat KPM, namun direjected oleh fasilitator saya kerana tidak menarik minatnya...hehe.... tapi ia tidak bermakna tiaada mesej bernilai di dalamnya, kan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan