Dalam dunia ini tidak semua benda dapat dilihat dan dirasa oleh manusia dengan pancaindera dianggota badannya. Ada juga ilmu-ilmu yang menjadi rahsia sehingga tidak dapat diketahui oleh manusia secara jelas. Untuk menjelaskan kenyataan ini, ia lebih tepat menggunakan perkataan ghaibiyat dan sam’iyat.
Ghaibiyat secara umunya membawa erti perkara-perkara yang ghaib dan terhijab untuk diperlihatkan kepada manusia. Atau dengan kata lain manusia tidak dapat melihat dan merasakannya melalui mata kasar atau menyentuhnya dengan kulit. Contoh mudah adalah kewujudan jin dan syaitan yang ada disekeliling manusia. Walaupun menyedari akan adanya makhluk-makhluk itu, ia masih tidak dapat dilihat oleh manusia.
Manakala sam’iyyat pula membawa erti perkara-perkara yang menjadi pengetahuan hanya melalui pendengaran atau didengarinya tanpa dapat dilihat perkara-perkara berkenaan. Contohnya adalah berkenaan dengan syurga dan neraka yang hanya diketahui manusia melalui al-quran atau hadith nabi. Untuk menyaksikan keadaan syurga dan neraka tentu saja mustahil.
Setiap penganut Islam wajib mempercayai akan adanya unsur-unsur ghaibiyat yang tidak boleh dipertikaikan walaupun tidak dapat dilihat secara nyata melalui penglihatan mata. Bahkan untuk mengkufurinya pula menjadikan keimanan seseorang itu rapuh lantaran tidak meyakini akan adanya perkara-perkara ghaib yang menjadi pengetahuan Allah.
Selain mengakui akan adanya unsure maujud yang harus diimani seperti mukjuzat al-Quran dan pengutusan rasul-rasul setiap muslim harus juga mengakui akan kewujudan malaikat dan hari akhirat serta ketetapan qada’ dan qadar Allah. Syurga dan neraka yang menjadi persinggahan akhir kehidupan manusia di akhirat juga menjadi kewajiban untuk diimani selain mengakui akan adanya iblis dan syaitan yang wujud sama bersama manusia di alam ini.
Pernah Nabi s.a.w didatangi sekumpulan kaumnya dengan membawa persoalan berkaitan roh. Lalu baginda diwahyukan Allah untuk member jawapan bertapa ianya adalah urusan Allah. Begitu juga tatkala ditanyakan tentang kematian dan kiamatnya dunia, tetap nabi katakan ianya adalah urusan Allah.
Ketetapan melalui qada dan qadar allah tiada siapa yang mengetahui lantaran dangkalnya ilmu manusia untuk mengatasi pengetahuan allah yang maha luas. Hanya dengan iman dan kenyakinan kepada Allah sahaja menjadi benteng untuk setiap manusia berterusan mengimani perkara-perkara yang menjadi rahsia dan ghaibiyat dari pandangan manusia.
Namun perkara-perkara ini bukan menjadi isu utama dalam menyakini keimanan kerana banyak lagi perkara yang maujud boleh dilihat dengan mata menjadi bukti kepada kehebatan Sang Pencipta. Jangan kerana menginginkan bukti betapa hebatnya Allah melalui perkara-perkara ghaib, apa yang wujud di alam secara nyata dan jelas ini dikesampingkan.
Jangan pula mempersoalkan mengapa perkara-perkara ghaib itu tidak didedahkan untuk pengetahuan manusia. Tentu ada hikmah tersembunyi yang sengaja Allah rahsiakan dari pengetahuan dan penglihatan manusia. Antara lain bukankah Allah menuntut supaya manusia sentiasa berfikir melalui banyak ayat yang tercatat dalam Kalam-Nya? Jadi, berfikirlah. Moga-moga iman di dada sentiasa kukuh dan teguh untuk mengimani apa yang tersirat disebalik yang tersurat dari perkara-perkara ghaibyyat dan sam’iyyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan