Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Jun 05, 2011

Al-Quran & 7 Huruf


Al-Quran merupakan sebuah kitab ulung yang tidak ternilai dan sesuai dipraktikkan sepanjang zaman. Dari segi bahasa, al-Quran bererti kalam Allah berupa mukjizat yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam Bahasa Arab dan ditulis dalam beberapa mushaf bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas dan diriwayatkan secara mutawatir serta membacanya merupakan suatu ibadat [3]. Terdapat tiga rukun membaca al-Quran iaitu sah sanadnya, bertepatan dengan Rasm ‘Uthmani walaupun secara ihtimal dan bertepatan dengan satu wajah daripada wajah-wajah nahu (Bahasa Arab).

“Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya” Yusuf : 2
Penurunan wahyu yang pertama dimulai dengan ayat pertama dari surah al-Alaq pada akhir bulan Ramadhan dan diakhiri dengan ayat ke-281 dari surah baqarah, sembilan malam sebelum Rasulullah s.a.w wafat. Keseluruhan proses penurunan wahyu ini memakan masa selama lebih kurang 23 tahun. 
Al-quran seperti mana yang diketahui adalah berbahasa Arab diturunkan pada peringkat awal kepada bangsa Arab melalui Nabi Muhammad s.a.w dari kalangan Arab. Apa yang menjadi persoalan disini mengapakah bahasa arab dipilih menjadi bahasa al-quran? Apakah kelebihan bahasa ini sehingga mampu menjadi “pelemah” kepada hujjah-hujjah musuh-musuh Islam? Jika dikaji permasalahan ini secara mendalam tentu kita akan mendapati beberapa hikmah dan kelebihan yang ada pada bahasa ini, cuma apa yang ingin dibawa oleh penulis hanyalah secebis dari kelebihan-kelebihan yang ada pada bahasa ini.
Dalam pengkajian ilmu-ilmu al-Quran atau lebih dikenali dengan ulum quran terdapat satu bab yang dikaji dan dikarang oleh ulama’-ulama’ tafsir yang dinamakan “Al-Quran Diturunkan Dalam Tujuh Huruf” (نزول القران على سبعة أحرف) berdasarkan kepada hadith Imam Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. yng bermaksud, “Telah bersabda baginda Rasulullah s.a.w: Jibril telah membacakan kepadaku al-Quran dengan satu huruf kemudian aku mengulang-ulangnya, kemudian aku minta ditambahkan (huruf), maka ditambahkan kepadaku hingga menjadi tujuh huruf”.
Berdasarkan hadith ini para ulama’ telah berselisih kepada 35 pendapat dalam mentafsirkan makna ‘tujuh huruf’ di dalam hadith tadi. Akan tetapi kebanyakan dari pendapat-pendapat ini dilihat hampir sama maka mereka telah meringkaskan kepada enam pendapat atau pandangan sahaja :
Pendapat pertama berpendapat yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bahasa dari bahasa arab yang membawa makna yang satu. Bermaksud, ada diantara ayat-ayat di dalam al-Quran yang boleh dibaca dengan tujuh jenis perkataan yang berbeza dari segi bacaan dan ejaan tetapi mempunyai makna yang sama.
Pendapat kedua pula mengatakan apa yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bahasa dari bahasa arab yang digunakan oleh al-Quran. Tujuh bahasa ini ialah Quraisy, Huzail, Thaqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman.
Pendapat ketiga mengatakan yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bentuk ayat yang terkandung di dalam al-quran iaitu ayat yang berbentuk suruhan, larangan, janji baik, janji buruk, cerita, perumpamaan dan perbalahan.
Pendapat keempat, tujuh huruf tersebut ialah tujuh bentuk perubahan yang ada dalam al-Quran :
  1. Ikhtilaf dari segi mufrad, jama’, muzakkar muannas dan seumpanya. Sebagai contoh : 
والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون

Kalimah ( لأماناتهم ) yang dibaca dengan lafaz jama’ dibaca dengan lafaz mufrad ( لأمانتهم ) .
  1. Ikhtilaf dari segi i’rab.
Contoh :
(ماهذا بشراً) dibaca oleh jumhur ulama’ dengan nasab. Manakala Ibnu Mas’ud membaca dengan rafa’ (ماهذا بشرٌ)  
  1. Iktilaf dari segi tasrif.
Contoh :
Kalimah (يعلمون)dibaca dengan (تعلمون) dan kalimah (الصراط) dibaca dengan (السراط)  pada firman Allah (اهدناالصراط المستقيم)
  1. Ikhtilaf dengan yang mendahului dan dikemudiankan.
Contoh :
Kalimah (أفلم يايئس)  dibaca dengan (أفلم يأيس)
  1. Ikhtilaf dengan mengantikan ayat kepada ayat yang lain.
Contoh :
Ayat (كالعهن المنفوش) diganti dengan (كالصوف المنفوش) sepertimana yang dibaca oleh Ibnu Mas’ud. Ada juga ayat yang digantikan hurufnya kerana makhrajnya yang berhampiran seperti fiman Allah : (وطلح منضود) dibaca dengan (وطلع منضود).
  1. Ikhtilaf dengan penambahan dan pengurangan.
Contoh :
Ditambah bacaan pada firman Allah (وأعد لهم جنات تجري تحتها الأنهار)   dibaca oleh Ibnu Kathir dengan menambah kalimah (من) maka dibaca dengan ((من تحتها الأنهار.
Contoh lain pada firman Allah (وماخلق الذكر والأنثى) dibaca dengan dikurangkan bacaan dengan membuang ayat (وماخلق) maka hanya dibaca (الذكر والأنثى).
Ibnu Abbas membaca firman Allah (وكان أمامهم ملك يأخذ كل سفينة صالحة غصباً) dengan menambahkan kalimah (صالحة) dan menggantikan kalimah (أمام) dengan kalimah (وراء)  sebagaimana yang dibaca oleh jumhur ulama’ (وكان وراءهم ملك يأخذ كل سفينة غصبا).
  1. Ikhtilaf lahjah samada menipiskan atau menebalkan bacaan, membaca dengan fathah atau imalah, membaca dengan izhar atau idgham, membaca dengan tashil atau ishmam atau seumpama dengannya.
Contoh :
Dibaca dengan imalah pada kalimah (أتى) dan (موسى) pada firman Allah
(وهل أتاك حديث موسى). Menipiskan bacaan pada huruh ra’ pada firman Allah (خبيراً بصيراً). Menebalkan bacaan pada lam pada (الطلاق). Membaca dengan tashil hamzah pada firman Allah (قد أفلح). Mengisymamkan ghain dengan dibaca baris hadapan dan bawah pada firman Allah (وغيض الماء).
Pendapat kelima, sebahagian ulama’ berpendapat tujuh huruf tidak membawa sebarang maksud, bahkan ia seolah-olah sebagai satu simbul kepada kesyumulan al-Quran. Ia juga sebagai satu isyarat bahawa al-Quran dari segi bahasanya balaghahnya mengatasi bahasa-bahasa lain yang ada di dunia ini. Digunakan lafaz tujuh sebagai satu kiasan kepada kesempurnaan dan kesyumulan al-Quran kerana tujuh lebih banyak dari satu.
Pendapat keenam, mereka berpendapat yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah qiraat tujuh.
Berdasarkan keenam-enam pendapat yang telah disebutkan tadi kebanyakan ulama’ telah berpendapat pendapat yang paling rajih ialah pendapat yang pertama bersandarkan kepada hadith yang telah disebutkan pada permulaan perbahasan ini, disokong pula oleh beberapa hadith yang tidak sempat dikemukakan oleh penulis kerana dikhuatiri akan menjadi lebih panjang berbahasan ini.
Bagi menjawab pendapat kedua yang mengatakan tujuh huruf bermaksud tujuh bahasa yang ada dalam al-Quran ditolak kerana bahasa arab tidak hanya tertakluk kepada tujuh bahasa sahaja bahkan lebih dari itu.  Bahkan dalam hadith yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim hadith yang diriwayatkan dari Umar Al-Khattab menceritakan beliau mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah al-Furqan dengan bacaan yang tidak dibacakan oleh nabi kepadanya. Kemudian beliau berjumpa dengan Hisyam dan bertanya dari mana Hisyam meriwayatkan bacaan tadi, Hisyam menjawab dari Rasulullah s.a.w. Lantas Umar menjawab kamu berbohong. Kemudian mereka bertemu dengan Rasulullah s.a.w mengadu hal tersebut. Setelah Rasulullah mendengar bacaan kedua-duanya maka Rasulullah s.a.w bersabda kedua-dua bacaan mereka adalah sepertimana yang diturunkan dan sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf.
Berdasarkan hadith ini kita mendapati Umar Al-Khattab dan Hisyam kedua-duanya adalah berbangsa arab Quraisy yang menggunakan bahasa dan lahjah yang sama, adalah mustahil saidina Umar tidak tahu lahjah bangsanya sendiri sekiranya benar tujuh huruf itu bermaksud tujuh bahasa arab yang ada dalam al-Quran.
Untuk menjawab pendapat yang ketiga yang mengatakan tujuh huruf bermaksud tujuh bentuk ayat yang terkandung di dalam al-quran iaitu ayat yang berbentuk suruhan, larangan, janji baik, janji buruk, cerita, perumpamaan dan perbalahan, zahir hadith telah menunjukkan bahawa yang dikehendaki dengan tujuh huruf ialah sesuatu kalimah itu dibaca samada dengan dua atau tiga hingga tujuh wajah bacaan mengikut kehendak dan kemampuan kerana adalah mustahil bagi satu ayat yang mengandungi perintah suruhan contohnya kemudian di dalam ayat yang sama juga terkandung larangan dan begitulah sebaliknya.
Bagi menjawab pendapat yang keempat, walaupun dilihat dari satu sudut ada kebenarannya pendapat ini tetapi jika diteliti akan hadith yang dikemukakan pada awal perbahasan ini kita akan mendapati pendapat ini tidak selari dengan kehendak maksud hadith kerana sesetengah ikhtilaf dan perubahan bacaan mengikut pendapat ini (sebagaimana yang telah diterangkan di atas) bersandarkan kepada dalil-dalil ahad, telah menjadi kesepakatan ulama' setiap apa yang berkaitan dengan al-Quran hendaklah bersandarkan kepada dalil-dalil yang mutawatir. Selain itu kebanyakan ikhtilaf-ikhtilaf yang disebut oleh mereka tidaklah menunjukkan sebarang perubahan pada kalimah, cuma sekadar perubahan dari segi baris, wajah bacaan, i'rab, tasrif dan perubahan kedudukan ayat yang didahulukan dan dikemudiankan.
Untuk pendapat kelima, cukuplah hadith pada permulaan perbahasan ini menjadi hujjah menjawab pendapat ini.
Menjawab pendapat keenam, al-Quran bukanlah qiraat kerana al-Quran ialah wahyu yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w sebagai penerangan dan peringatan, sedangkan qiraat ialah ikhtilaf pada cara sebutan dan bacaan pada lafaz wahyu (al-Quran) samada dari segi menipiskan, menebalkan bacaan atau seumpama dengannya.
Secara kesimpulannya pendapat pertama adalah yang paling rajih berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan. Jika ditanya adakah tujuh huruf ini masih wujud? Maka dijawab oleh sebahagian ulama’ bahawa tujuh huruf ini sudah dihazafkan penggunaanya pada masa sekarang oleh khalifah Uthman ketika beliau mengarahkan al-Quran ditulis semula kerana pada masa itu berlaku perselisihan pendapat yang amat dasyat dalam bacaan al-Quran sehingga ada dikalangan mereka yang mengkafirkan antara satu sama lain. Bagi mengelakkan musibah ini berleluasa maka khalifah Uthman memerintahkan al-Quran ditulis dan dibukukan semula dengan dipilih bacaan yang paling kuat sanadnya dan paling masyhur digunakan oleh Rasulullah s.a.w., dari riwayat bacaan tujuh huruf ini tadi hanya satu yang dipilih dan ditulis dan ianya menjadi bacaan kita hinnga masa sekarang dan akan datang. Diharapkan agar perbahasan ini dapat memberi faedah kepada semua dalam memahami ilmu-ilmu al-Quran.  Wallahu a'lam.



Rujukan:
1. Al-Quran.
2. Fathul Bari Imam ibnu Hajar syarah kepada Sohih Bukhari.
3. Perbahasan Imu-ilmu Al-Quran : Manna' Qattan
4. Manahil I'rfan fi ulumil quran : Muhammad Abdul Azim Az-Zarqani

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.