Carian Daripada Blog Ini

Khamis, Jun 09, 2011

PENGUKUHAN AKIDAH SEBELUM SYARIAT



Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w selama 23 tahun memperlihatkan satu tempoh yang ideal bagi dakwah dan syariat Allah diperkenalkan kepada seluruh umat. 13 tahun di bumi Makkah tidak cukup untuk syiar Islam terpancar seluruhnya. Kala ini penerapan Islam lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dalam hati-hati umat yang dengan rela dan pasrah menyerahkan segala jiwa raganya demi keimanan kepada Allah. Sebagai syarat utama keimanan, KeEsaan Allah wajib diperkukuhkan dalam diri dengan meninggalkan segala perakuan syirik yang menyekutukan-Nya.

Kemudian untuk tempoh 10 tahun terakhir adalah era Islam bertapak di Madinah di mana pada masa ini  secara berperingkat syiar-syiar Islam tertegak dan diperkenalkan kepada penganutnya. Seruan tidak sahaja semata-mata meyakini Allah sebagai Tuhan seperti mana yang diterapkan oleh Rasulullah di Makkah bahkan memperakui keEsaan-Nya melalui amalan dan tindakan. Solat yang disyariatkan sebelum era Islam di madinah sekitar 9 tahun Islam disebarkan diperkukuhkan pula dengan amalan puasa dan zakat selain tuntutan-tuntutan kewajiban dan kifayah selainnya.

Daripada pembahagian period Islam di Makkah dan Madinah jelas sesuatu boleh diambil untuk difikirkan bersama – Aqidah mendahului Syariat – di mana satu persoalan yang sebenarnya pernah berputar di kepala suatu masa dulu kini mula menemui jawapan yang relevan untuk dikongsi.

Pengukuhan akidah dengan mengenal Tuhan lebih utama perlu ditanamkan dalam hati dan minda manusia sedang syariat melalui ibadat pula diamalkan setelah pasti Tuhan itu dikenali sebaik-baiknya. Ramai dalam kalangan kita beramal tanpa sedar seringkali pada masa yang sama lalai dan lupa dengan Sang Penciptanya.

Seringkali manusia menyedari Allah itu sebagai Tuhan yang Maha berkuasa tetapi pada waktu yang sama masih melakukan kemungkaran. Mungkin solatnya cukup lima waktu namun masih suka berbohong dan terlibat dengan fitnah. Atau juga seseorang yang cukup puasa dan zakatnya namun suka sangat menganianyai orang lain. Keadaan ini menunjukkan betapa dalam hati masih wujud ruang kosong yang tidak diisi dengan hakikat Ihsan yang meyakini Allah melihat dan mengetahui segala apa yang dilakukan.

Tidak kurang ada yang sudah menjejakkan kaki di depan kaabah tetapi dalam hati masih mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Malah memanjat doa saban kali selepas solat masih tidak meletakkan keyakinan 100% kepada Allah. Selalu tidak bersangka baik dengan-Nya selain seringkali melupakan Allah diwaktu senang dan hanya mengantinya kala dalam kesukaran.

Jika begitu adakah mereka telah mengenali Tuhan dengan sebaik-baiknya? Jika Tuhan dikenali segala sifat dan zat-Nya pasti hati akan sentiasa terpaut dan merasakan dirinya sebagai hamba yang lemah. Pergantungan kepada Allah semata-mata tentu saja itu jawapannya bagi orang yang benar-benar takwa dan percaya dengan keEsannya.

Keyakinan kepada Allah perlu diperkukuhkan dahulu disebabkan ia melibatkan pemupukan hati untuk memberi kefahaman jelas bahawa tiada Tuhan yang lebih agung dari-Nya. Dengan maksud jangan ada yang lain untuk dipercayai dan bergantungan hanya selain kepada Tuhan yang dipercayai paling berkuasa dan hebat tanpa sebarang keraguan. Tatkala Allah diimani sepenuh hati maka secara tidak langsung dirinya sentiasa terpaut pada pergantungan dengan-Nya. Tiada yang lain untuk diminta dan diharap bila mana hatinya telah dipenuhi dengan rasa kehambaan kepada Allah dahulu.

Untuk melahirkan rasa kehambaan, bagai seorang pacal hina di mata si raja memerlukan takwa yang menjadi benteng kepada segala tindak tanduk dalam kehidupan hariannya. Melalui takwa menjadi asas kepada perlakuan-perlakuan lain yang dibuat seolah-olah merasakan Allah mengetahui dan memerhatikannya saban waktu selain memahami akan kesan daripada tindakannya yang tidak selari dengan syariat.

Dengan ini, apabila sifat takwa telah wujud dalam hati dengan meyakini akan adanya Allah yang begitu hebat kekuasaannya maka segala tindakan dan perlakuan seseorang itu pastinya tidak terpesong dari jalan dan cara yang salah. Lalu dengan itu keadaan hati telah yakin dengan Allah maka dizahirkan pula dengan amal ibadah yang membuktikan keimanannya. Pada waktu ini tidak mungkin boleh wujudnya kemungkaran walau seseorang mengakui berimana kepada Allah. Tidak akan terjadi juga pada seseorang yang cukup solat lima waktu tetapi mencuri dan menyamun. Atau seseorang yang puasa dan beramal kebajikan tetapi membuka aurat dan memperlekehkan hukum Allah. Tidak mungkin itu adalah sifat seseorang yang beriman dan bertakwa yang tentunya mengetahui akan kesan dan akibat daripada setiap daripada tingkah lakunya yang berlawanan dengan pengakuannya yang mengimani Allah sepenuh jiwa raga.

Maka jelas menunjukkan mengenali Allah sebagai Tuhan yang Esa dan Agung adalah perkara yang sebaik-sebaiknya perlu ditekankan dalam diri seseorang. Ia merupakan kunci kepada kebahagian dunia akhirat melalui ibadat yang dilakukan dengan mengetahui apa tujuan amal ibadahnya itu. Adalah sia-sia bila mana seseorang itu beramal tapi tidak mengetahui tentang Tuhannya. Malah tidak pula sempurna keimanannya andai tidak dibuktikan dengan amal ibadahnya. Di mana pun keadaannya, ‘awaaluddiin makrifatullaah’ iaitu perkara awal dalam beragama (Islam) adalah mengenali Allah.


1 ulasan:

buaya berkata...

salam ziarah

jom ke blog buaya dan jadi follower sekali k

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.