Ahad, Mei 26, 2013

CADANGAN PENYELESAIAN ISU DALAM PENDIDIKAN



Sejak akhir-akhir ini, banyak isu berkaitan guru dan pendidikan timbul. Ia ketara sejak sebelum PRU13 bermula di mana keluh-kesah guru yang selama ini dipandang sepi oleh pihak kementerian dan kerajaan persekutuan mula diambil perhatian. Gara-gara janji untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang dihadapi guru-guru selama ini membuatkan semangat guru seolah-olah bangkit semula. walaupun ramai mengetahui mungkin ia adalah salah satu retorik persis janji-janji manis terdahulu, ia masih mampu menarik kepercayaan mereka untuk terus menyokong kerajaan. Namun, tatkala jalan penyelesaian itu dijanjikan berlaku selepas pilihanraya, ramai yang memberi persepsi berbeza-beza. Pokoknya keadaan ini dilihat seolah-olah isu ini dipermain-mainkan sekaligus menunjukkan sikap tidak ikhlas untuk mencari formula sesuai untuk meningkatkan keupayaan sistem pendidikan negara termasuk hal-hal yang bersangkut-paut dengannya. Seharusnya ia seharusnya diselesaikan sesegara mungkin, bukan menarik tali memperjudikannya kerana di akhirnya nanti yang rugi adalah negara dan masyarakat juga. 

Kini, selepas tamatnya PRU13, masih tidak nampak apakah jalan penyelesaian untuk merungkai semua isu yang timbul. Apa yang terpapar di media adalah beberapa istilah yang selama ni telah digunapakai ditukar kepada istilah lain yang turut telah digunapakai sebelumnya seperti 'pelajaran kepada pendidikan' untuk penjenamaan semula KPM, 'Malaysia kepada Melayu' untuk pemantapan Bahasa Kebangsaan dan 'putra kepada pertanian' untuk nama UPM. Apa yang kelihatan, sebarang nama dan istulah yang diberikan pun, ia tidak memberi impak yang besar kepada sistem pendidikan negara malah ada sebahagaian pihak menganggap ia sekadar membazirkan wang rakyat untuk penjemaan semula perkara-perkara di atas sedangkan apa yang penting adalah peranannya.

Oleh yang demikian,  melalui sebuah artikel yang ditulis oleh wakil guru di sini, terdapat beberapa cadangan kepada pihak berkenaan sebagai jalan keluar kepada kemelut yang wujud. Barangkali pihak berkenaan dalam kebuntuan hingga tidak nampak jalan yang sesuai untuk mengatasi masalah pendidikan dan keguruan.


1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1 Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada setiap hari di sebelah petang.
Saya tidak pasti sama ada cadangan ini sesuai dilaksanakan atau tidak. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menginginkan potensi murid-murid merangkumi aspek JERIS, maka ia tidak harus menjurus kepada satu-satu cabang kokurikulum sahaja. Adalah tidak wajar jika seorang murid mendalami sukan tanpa mempelajari kebudayaan dan sebaliknya. Tetapi dari cadangan ini juga boleh dicadangkan, guru-guru hanya terlibat dalam salah satu cabang kokurikulum sahaja dan perlu pakar dan mahir dalam bidang berkenaan sama ada sukan, kebudayaan dan seumpamanya bagi memastikan kepakaran mereka tidak disia-siakan  dan dimanfaatkan sebaiknya.
2. Begitu juga dengan majlis rasmi di sekolah, Kementerian Pelajaran boleh menetapkan beberapa acara rasmi sahaja untuk dijalankan setiap tahun dan diselaraskan untuk semua sekolah.
Cadangan ini sesuatu yang harus diteliti semula. Sebenarnya jika disedari, program-program yang dijalankan di sekolah amat banyak. Daripada program panitia, hal ehwal murid dan kokurikulum, ia dilihat seolah-olah dalam setahun waktu PdP banyak mengalami pengurangan. Ya, semua program yang dianjurkan ada manfaatnya, tetapi jika proses PdP banyak dikorbankan, yang rugi murid juga. Jika diteliti, selain program-program kokurikulum, program anjuran Panitia Pendidikan Islam juga sangat banyak. Ini berikutan panitia ini dilihat sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan hari-hari kebsaran Islam seperti israk mikraj, awal muharam, ihya ramadhan dan seumpamanya selain aktiviti koakademik yang bermacam-macam. Jadi, cadangan mengehadkan aktiviti di sekolah seharusnya diterima dengan membuat perancangan awal dan diamsukkan di dalam takwim. Apa yang selalunya terjadi, banyak pula program lain yang tidak dimasukkan di dalam takwim dijalankan secara ad-hock.
3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.
Pada saya, pihak atasan dalam kalangan pegawai di kementerian, jabatan dan pejabat pelajaran harus seia sekata dalam memberikan arahan. Realiti yang berlaku guru-guru di sekolah terpaksa menerima tekanan yang diterima daripada pihak-pihak atasan yang berlagak pandai dan serba tahu. Seharusnya guru-guru tidak harus tertekan dengan tugsan sampingan dalam menguruskan fail kerana bidang dan kepakaranannya adalah mengajar dan bukan menguruskan fail. Tidak salah untuk guru diberikan tangungjawab itu, tetapi ia seharusnya tidak ada percanggahan arahan dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak atasan.
4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja mengisi data.
Saya tidak merasakan cadangan ini harus diterima bulat-bulat. Tetapi apa yang harus dilakukan adalah, mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya dengan memastikan sistem ini dapat digunakan sebaiknya. Tidak sedikit laporan yang didengar mengenai kelemahan sistem atas talian yang diperkenalkan untuk tugasan-tugasan pengkeranian termasuk mengisi markah dan prestasi murid, tetapi penambahbaikannya tidak begitu mesra pengguna hingga menyebabkan banyak masa guru terbuang di depan skrin komputer biarpun ketika itu guru berada di rumah. Tatkala kakitangan di jabatan lain pulang ke rumah tanpa membawa kerja mereka, kalangan guru adalah sebaliknya. Dalam tempoh tidak mengajar beberapa waktu di sekolah, ia tidak mencukupi untuk guru menyelesaikan semua kerja dan tugasnya sekaligus dalam masa yang tepat.
5. Saya mewakili guru-guru dan saya juga sebagai ibubapa menasihatkan Kementerian Pelajaran untuk menghentikan PBS serta merta demi masa depan anak-anak kami. Jangan bazirkan waktu mereka di sekolah dengan PBS lagi.
Ramai yang melihat PBS ni satu sistem yang baru diperkenalkan ini baik untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi bilamana pendidikan berasaskan peperiksaan semata-mata membuatkan murid sekadar cemerlang di atas kertas tetapi penghayatan ilmunya tiada. Namun dalam masa yang sama ia tidak sesuai dilaksanakan apabila mengambil kira keadaan dan situasi sekolah dan guru di Malaysia. Dengan jumlah murid yang ramai dalam sesebuah kelas dan lambakan tugas sampingan guru yang lain, adalah mustahil untuk PBS ini dilaksanakn dengan sebaiknya. Pihak kementerian seharusnya meneliti semula dengan mengambil kira aspek lain untuk memastikan kekeberkesanan sistem ini dilaksanakan pada beberapa tahun akan datang.

6. Jika pihak Kementerian Pelajaran malu untuk mengakui kesilapan mereka dan takut ego mereka tercalar, jalankanlah PBS tetapi bukan dengan cara penyediaan beratus ‘evidence’ yang perlu ditanda, difailkan dan kemudian diisi pula dalam SPPBS kerana ianya membebankan guru-guru dan langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelajar

Cadangan di atas ini mungkin kelihatan kelakar. Tetapi tidak salah untuk pihak-pihak berkaitan mempertimbangkannya demi kemaslahan semua pihak terlibat. Secara peribadi diakui tugasan ini sangat berkaitan dengan tugasan seorang guru, namun ia harus disemak semula bagaimana untuk dilaksanakan dengan sempurna. Cukuplah selama ini guru sebagai radas yang menjadikan murid sebagai tikus makmal dalam proses ujikaji yang dijalankan oleh pihak kementerian sebagai saintis yang hebat sedangkan telah banyak contoh dilihat yang mengakami kegagalan dan tida, berkesan gara-gara ia dijalankan atas dasar kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Apapun cadangan yang diberikan, guru-guru masih meyakini pihak atasan mempunyai formulanya yang tersendiri untuk mengatasi segala masalah yang dikemukakan. Cuma bilakan jalan penyelesaian itu hendak dikemukakan, ia masih menjadi tanda tanya. Biarpun pelbagai pengalaman pahit yang diterima darpada isu dalam menyelsaikan masalah berbangkit berkaitan pendidikan dan keguruan, guru-guru masih komited menjalankan tugas mereka. Biarlah orang kata mereka tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana merungut dan mengadu itu ini, tetapi ia bukan untuk kepentingan mereka. Selaku ejen perubahan masyarakat, mereka berhak menyuarakan cadangan agar sistem pendidikan berjalan dengan baik dan kemas lantaran mereka adalah kelompok yang berada dalam landasan pendidikan secara langsung sebagai pelaksana yang tentunya mengetahui salah, silap dan kepincangan yang ada dari masa ke masa.



ISU GURU DAN PENDIDIKAN BUKANLAH ISU REMEH


Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini isu-isu berkaitan pendidikan dan keguruan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan warga pendidik sendiri. Antara isu yang timbul kebanyakanya adalah berkaitan bidang tugas guru yang rencam selain isu yang berkaitan dengan penyelarasan gaji dan kenaikan pangkat bagi sebilangan guru. Terdapat juga isu yang dibangkitkan berkaitan pelaksanaan sistem pendidikan yang berkait rapat dengan pembinaan diri dan potensi murid yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Malangnya banyak pihak melihat isu-isu seperti itu adalah perkara remeh yang diperbesar-besarkan untuk menarik perhatian masyarakat.

Ironinya, guru ada ejen perubahan dalam masyarakat. Sebagai ejen, guru perlu memiliki kekuatan, kelengkapan dan persediaan yang cukup untuk melaksanakan tugaasnya. Seiring dengan perkembangan semasa, cabaran yang wujud bukan mudah untuk dihadapi. Berbekalkan pengetahuan pengajaran daripada institusi pendidikan dan pengalaman dari masa ke masa daripada kerjayanya, ia dapat membentuk seorang guru menjadi ejen yang berkesan bagi merubah masyarakat mengikut acuan seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendididkan Negara. Untuk memastikan ejen menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan juga, segala keperluan yang berkaitan dengan tugas dan maslahat dirinya harus diberikan perhatian. Ejen bukanlah hamba abdi yang boleh diarah sesuka hati tanpa mengira perasaan dan keperluan untuk memastikan kelangsungan tugas yang diberikan berjalan dengan baik. Malah, guru juga bukanlah sebuah mesen memproses produk yang ditekan butang on dan off. Sedangkan mesen pun perlu diselenggara, apatah lagi guru sebagai manusia. Isu-isu berkaitan gaji dan pangkat guru harus diselesaikan sebaik mungkin oleh pihak yang bertanggungjawab. Berdasarkan teori Hygen, ganjaran berbentuk ekstrinsit merupakan salah satu item yang dapat melonjakkan motivasi individu untuk melakukan sesuatu.

Guru juga bukanlah sebuah robot yang disetkan untuk menjalankan tugas pemiliknya semata-mata. Sebuah robot sememangnya dicipta untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak penciptanya. Bagaimanapun, guru pula sebaliknya di mana peranannya adalah berkaitan langsung dengan tugas-tugas pengajaran. Adalah tidak tepat jika guru dikaitkan sebagai kelompok yang harus menjadi pak turut semata-mata dengan membuat pelbagai perkara kerana kalangan guru sememangnya arif dan mengetahui tugas-tugas yang sepatutnya mereka laksanakan. Biarpun peranan guru adalah multi tasking yang dilihat sejak dahulu, kadang-kadang ia telah menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya. Lihat saja lambakan tugas sampingan yang lebih banyak daripada tugas pengajaran yang wujud. Tugas-tugas luar pengajaran dilihat sesuatu yang membebankan guru sekaligus menjadikan motivasi guru berkurangan. Tugasan yang tidak masuk akal dengan gelaran seorang guru atau cikgu mencerminkan fungsinya yang tidak selari daripada tugas asalnya. Tidak dinafikan juga kebanyakan guru kecewa dengan situasi kerjaya keguruan pada hari ini. Untuk lari meninggalkan kerjaya ini, ia bukanlah seuatu yang bijak kerana kelompok ini mengetahui peranannya sebagai guru, ejen dan wasilah dalam penyebaran ilmu kepada anak didik sangat besar ganjarannya di sisi Tuhan. Alangkah tidak bijak jika menjadikan alasan kerja yang rencam itu sebagai alasan untuk melarikan diri. Mahu tidak mahu cabaran bebanana yang ada harus diterima dengan melalukannya sekadar yang termampu.

Isu penjenamaan semula KPM turut menjadi polemik dalam masyarakat. Walaupun diwujudkan signifikan kepada penggabungan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, ia dilihat tidak membawa impak yang besar kepada sistem pendidikan negara. Apa yang dilihat, ia lebih kepada penyusunan organisasi ke arah lebih bersistematik lantaran sebelum itu pelbagai isu yang berlaku antara kedua-dua kementerian itu hingga menenui jalan buntu seperti isu pertukaran gred kakitangan dan penempatan siswazah pendidikan. Namun, di sebalik penggabungan itu, istilah pelajaran juga diubah kepada pendidikan atas motif yang sama. Istilah ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia sebelum ini telah digunakan sebelum ditukar selepasnya. Apa yang dapat dilihat, istilah itu hanyalah sekadar satu istilah yang peranannya adalah sama. Tetapi, antara dua istilah tersebut secara peribadi, pendidikan dilihat lebih mencakupi seluruh aspek penererapan, tarbiah, pengajaran, bimbingan dan seumpamanya dalam membina generasi berilmu dan berpotensi di tengah-tengah masyarakat. Sementara pelajaran pula hanya terfokus pada bimbingan dalam proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata dan terhad dalam usaha guru untuk memberi input kepada murid sementara proses seterusnya dilihat tidak menjadi kewajiban kepada guru untuk memastikan objektif yang lebih holistik tercapai. Boleh juga dikatakan, perubahan istilah itu sedikit sebanyak akan membawa kepada penggunaan wang yang tentunya bukan suatu perbelanjaan yang bijak. Apapun yang lebih penting daripada kedua-dua istilah itu sebenarnya, untuk membina masyarakat, bukanlah semata-mata tanggungjawab guru dan sekolah secara mutlak. Tetapi intergrasi melalui peranan ibu bapa, komuniti, masyarakat dan pemimpin sangat diperlukan.

Apapun isu berkaitan guru dan pendidikan yang wujud, ia seharusnya ditangani dengan berhemah. Adalah tidak wajar jika ada yang memberi respon kepada isu ini dengan meminta guru meninggalkan kerjaya keguruan sedangkan itulah niat dan matlamatnya yang sebenar selama ini. Apa yang harus dilakukan adalah mencari alternatif dan jalan penyelesaian yang sesuai memandangkan peranan guru yang penting dalam hirerki masyarakat relatifnya tidak boleh dipandang sebelah mata. Berlakulah adil kepada kelompok guru yang seramai lebih 400 ribu orang di mana istilah adil yang digunapakai menurut pemahaman Islam adalah meletakkan sesuatu ditempatnya. Mungkin ada yang melihat isu-isu yang dibangkitkan menerusi media massa dlihat sesuatu yang remeh dan tidak penting, namun sebenarnya dalam kebanyakan negara membangun dan maju, aspek pendidikan adalah keutamaan bagi mereka. Tidak rugi membuat pelaburan bagi meningkatkan mutu pendidikan dan sebarang kaitan dengannya, tetapi pastinya rugi mengorbankannya dengan tidak menyelasaikan isu yang timbul kerana tanpa guru siapalah kita semua.

Selasa, Mei 21, 2013

GURU PENULIS





Alhamudlillah. Petang tadi telah berlangsungnya majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Sepang 2013 di SMK Seri Puteri, Cyberjaya. Pengisian boleh dikatakan lancar dan menarik. Namun yang menariknya untuk tahun kedua saya berjaya memenangi pertandingan menulis cerpen kanak-kanak yang dianjurkan oleh PPD Sepang. Jika tahun sebelum ini saya dianugerahkan sebagai Cerpen Terbaik Kategori Guru Sekolah Rendah, namun kali ini saya sekadar mendapat naib johan bagi kategori guru tanpa kategori guru menengah atau rendah.

Sebenarnya saya memang menjangka akan mendapat tempat dalam pertandingan ini lantaran saya pasti ramai guru-guru di kebanyakan sekolah sangat sibuk dengan pelbagai komitmen tugas keguruan. Lebih-lebih lagi saat ini peperiksaan pertengahan tahun sedang berjalan maka atas dasar itu saya cuba sedaya mengarang dalam keterbatasan waktu yang ada. Akhirnya saya berjaya menghantarnya pada saat-saat akhir di hari terakhir pertandingan itu dibuka.

Semasa menjamu selera tadi, seorang pegawai di PPD telah menegur saya. Dia tanyakan sejak bila saya berminat menulis cerpen. Saya katakan kepadanya, saya memang biasa menulis cuma ia hanyalah sebagai hobi. Dalam pada itu, saya sangat rajin menulis jika ada peraduan yang sesuai dengan kategori saya terutamanya apabila ia dianjurkan oleh KPM, JPN atau PPD. Apa yang ingin saya katakan, saya mungkin dalam kategori 'penulis anugerah' seperti yang pernah saya dengar dalam sebuah bengkel penulisan yang saya hadiri di mana orang sebegini hanya akan menulis jika hendak menyertai pertandingan sahaja. Ya, itulah saya. Sehingga saat ini, saya telah memenangi beberapa pertandingan menulis sejak saya berada dalam profesion ini sama ada di peringkat PPD atau JPN.

Tapi sejak beberapa ketika ini, saya mula memasang impian untuk menempa nama sebagai penulis buku dalam masa terdekat. Berkebetulan saya juga sedang dalam proses pembikinan buku cerita kanak-kanak di bawah seliaan Pelangi Pictures Sdn. Bhd. di mana peluang ini saya perolehi melalui Program Pengkarya Guru KPM 2013 yang saya hadiri sejak bulan Februari lalu. Program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ini dilihat paltform yang memberi peluang kepada guru-guru untuk bekarya walaupun sebenarnya guru-guru masa kini terlampau banyak komitmennya. 

Namun, bak kata Fasilitator daripada DBP pada program sebegini pada tahun lepas, hanya orang sibuk sahaja yang menulis benar-benar terbukti dari pemerhatian saya. Untuk saya ceritakan betapa sibuknya guru-guru mungkin tidak sesuai untuk saya paparkan di sini. Cuma saya berharap saya akan berterusan menulis dan berkarya dala apa jua journal sekaligus menjadi medium kepada sebaran dakwah masa kini sebagai talian hayat saya daripada 3 perkara yang tidak akan putus amalan selepas kembali kepada-Nya kelak. Insya Allah.

Isnin, Mei 13, 2013

SEMINGGU SELEPAS PRU13




Alhamdulillah. Negara kita telah selamat menjalankan proses pilihanraya umum untuk kali ke 13 pada 5 Mei lalu. Sungguh pun keputusannya telah diumumkan, ia masih menjadi kontroversi dari semasa ke semasa. Hingga saat ini semakin banyak pembongkaran yang disifatkan banyak pihak sebagai penipuan dan kekaburan. Antara yang menjadi bualan ialah isu ‘blackout’ di malam pengiraan undi di beberapa tempat, dakwat kekal yang tidak berapa kekal, pengundi hantu yang didaftarkan namanya oleh SPR dan peti undi dilarikan. Sama ada benar atau sebaliknya, biarlah pihak berwajib menyelesaikannya. Salah satu tindakan yang mencerminkan kerajaan yang mengamalkan demokrasi, semua petisyen yang diketengahkan oleh pihak-pihak berkaitan harus dipertimbangkan dalam membuat penilaian. Jika pihak SPR mendabik dada mengwar-warkan yang mereka sememangnya bersih dan telus dalam menjalankan tugas, janganlah menolak sebarang tuntutan yang dikemukakan lantaran adanya klausa yang membenarkan sebarang tuntutan hasil daripada PRU13 boleh dibuat dalam tempoh 21 hari selepasnya.

               Selain beberapa isu berkaitan tuntutan daripada ketidakpuasan hati pihak-pihak berkenaan berhubung dengan proses pilihanraya umum ke 13, terdapat pelbagai perkara lain yang timbul hingga menimbulkan tanda tanya dan polemik dalam kalangan masyarakat. Sehingga kini barisan pemimpin yang telah memenangi kerusi dalam parlimen untuk menganggotai kabinet belum lagi diumumkan. Isu Tsunami Cina yang diungkapkan oleh ketua kerajaan dan disebarkan melalui media kelihatan telah mengeruhkan keadaan hingga menyebabkan parti komponan dalam gerakan pimpinannya seakan-akan merajuk mengundur diri daripada terpilih dalam barisan Kabinet. Perhimpunan ‘blackout’ yang dianjurkan pihak yang tewas dengan majoriti tipis di kebanyakan kerusi semakin memeningkan kepada hingga dikatakan ketua polis negara meletak jawatan walaupun sebenarnya beliau bersara wajib dan menolak untuk disambung kontraknya. Tidak cukup dengan itu, masyarakat mula menyedari kenaikan harga barangan seperti tong gas, roti gardenia dan gula lalu menuding jari kepada kerajaan yang dilihat tidak berjaya membendung kenaikan harga barang. Tidak cukup dengan itu, isu siapa Menteri Besar bagi kerajaan negeri Selangor turut menarik perhatian ramai biarpun ia adalah isu dalaman tetapi telah dimanipulasi oleh media hingga ada dalam kalangan pemimpin negeri lain turut membuat kenyataan mengenainya.

               Berdasarkan statistik undian popular yang telah dianalisis daripada keputusan pilihanraya yang lepas, parti yang membentuk kerajaan telah mendapat sebanyak 48.67% undian daripada lebih kurang 11 juta pengundi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 51.32%. Namun, kemenangan tipis dengan memperolehi 133 kerusi di parlimen seolah-olah dirasakan satu keajaiban biarpun tidak mendapat 2/3 kerusi yang dianggap sebagai zon selesa untuk membentuk kerajaan. Apa yang berlaku sebenarnya bukanlah wujudnya gelombang tsunami masyarakat Cina, tetapi relatifnya seluruh kelompok masyarakat juga bertindak balas hingga merungsingkan pihak kerajaan. Biar pun di dada akhbar dan media eletronik seringkali disebutkan masyarakat Melayu masih memberi kepercayaan, ia sebenarnya tidak begitu mencerminkan realiti sebenar di mana kebanyakan kerusi yang dimenanginya adalah di kawasan kampung dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak. Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku, kebanyakan kita telah mengetahuinya terutamanya apabila melihat rata-rata generasi muda tidak lagi memihak kepada parti kerajaan yang baru terbentuk ini.

               Dalam 14 buah negeri (termasuk 1 Wilayah Persekutuan yang dibahagi kepada tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) sebanyak tiga buah negeri masih milik di bawah pakatan pembangkang di mana ketiga-tiga negeri tersebut mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kelantan kaya dengan  hasil minyak, Pulau Pinang terkenal dengan pembangunannya dan Selangor yang merupakan negeri termaju sangat-sangat menjadi rebutan antara kedua-dua belah pihak. Selangor terutamanya, seribu satu macam program dan pelan disusun oleh parti kerajaan untuk memilikinya. Namun terbukti rakyat Selangor majoritinya masih selesa dengan pentadbiran di bawah pakatan pembangkang yang dilihat sebagai bersih dan telus dalam aspek menguruskan dana negeri. Walaupun gagal merebut kembali setelah dua penggal, parti kerajaan tetap ‘mengambil berat’ dalam urusan perlantikan Menteri Besar bagi negeri ini sehingga menjadi tajuk utama di akhbar beberapa hari ini. Sedangkan apa yang seharusnya difokuskan adalah urusan pentadbiran di negeri-negeri yang dimenanginya. Adalah tidak molek jika urusan rumah tangga orang disibukkan. Lainlah jika mereka meminta tolong, barulah parti kerajaan sebagai sebuah kerajaan persekutuan boleh campur tangan. Adalah lebih baik teruskan agenda berkhidmat untuk masyarakat tanpa memilih bulu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu yang jelas bersikap tidak rasional dalam perancangan menjalankan pembangunan di negerinya.

               Sementara itu, sehingga hari ini, MCA dan Gerakan mula bermain sandiwara. Kononnya kesal dengan kekalahan di kebanyakan kerusi yang dipertandingakan, mereka menarik diri daripada disenaraikan sebagai anggota kabinet kali ini. Dalam hal ini, ramai pihak melihat ia merupakan satu reaksi terhadap tuduhan ketua kerajaan Malaysia yang menyebutkan masyarakat Cina bersifat rasis dan perkauman gara-gara menolak calon daripada parti kerajaan. Sedangkan jika diperhatikan, MCA dan Gerakan yang ahlinya dalam kalangan masyarakat China secara teorinya merancang strategi halus untuk bangun menentang kerajaan secara senyap. Kalaupun mereka tidak mengisytiharkan keluar daripada komponan Barisan Nasional yang menerajui kerajaan, sekurang-kurangnya mereka akan berada di belakang pembangkang khususnya DAP dalam menuntut sesuatu demi kepentingan kaum mereka. Jika mereka berada di dalam kabinet, tentu sahaja keadaan ini lebih sukar kerana mereka seharusnya menjadi suara kerajaan dan terpaksa menolak sebarang tuntutan daripada pembangkang tersebut. Jadi, jika benar mereka tidak akan berada di dalam kabinet, boleh jadi akan wujud satu masalah yang besar dan memberi kesan kepada kestabilan politik negara. Keadaan ini akan mewujudkan kesatuan dalam masyarakat Cina sama ada daripada MCA, Gerakan dan DAP yang dimonopoli masyarakat Cina untuk menentang kerajaan pada suatu hari nanti dengan mudah lantaran mereka pada masa itu telah bersatu hati seia sekata.

               Untuk esok dan akan datang, belum ada kepastian untuk adanya penyelesaian isu-isu yang wujud selepas seminggu pilihanraya diadakan. Walaupun masyarakat awam rata-ratanya menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi pada yang peka, selagi mana SPR tidak menyelesaikan isu-isu dan tuntutan yang dibangkitkan maka ia belum lagi dikatakan selesai. Malah, penyenaraian anggota kabinet yang belum wujud akan menyebabkan banyak mata daripada luar memberi persepsi akan kelemahan kepimpinan Malaysia. Isu tawaran ketua kerajaan kepada PAS dan DAP untuk bergabung dalam membentuk kerajaan nampaknya belum menampakkan respon positif. Masing-masing kelihatan cuba menarik tali. Pokoknya, kedua-dua belah pihak harus membuang ego masing-masing jika mahu penggabungan itu direalisasikan. Apapun, untuk esok bertarikh 13 Mei, Diharapkan tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

               Bagi yang sedar, dalam pada kesibukan masyarakat di Malaysia dengan isu-isu pilihanraya, sebenarnya ada satu berita menarik yang wujud seiring dengan situasi yang berlaku di negara ini semenjak Mac lalu, iaitu isu penahanan kepimpinan tertinggi syarikat GISB dan staf-stafnya di Arab Saudi. Mereka didakwa ditahan atas kesalahan melakukan bid’ah dan kesesatan pada awalnya namun dakwaan itu digugurkan dan diganti dengan kesalahan berkaitan imegresen. Kebanyakan di antara mereka seramai 95 orang ditahan disebabkan ketiadaan visa, dan sebahagian lain ditahan kerana berada di Arab Saudi selepas tamat tempoh. Majoriti mereka akhirnya dibebaskan dan yang terakhir beberapa orang dalam kalangan mereka akan dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi ke Malaysia. Bagi yang peka dengan perkembangan mereka, kepulangan mereka ke Malaysia ini bukan kerana berkebetulan dengan tarikh peristiwa berdarah pada 1969, tetapi ia juga adalah hari kepulangan ke hadrat Ilahi pemimpin mereka pada tarikh yang sama pada tahun 2010. Lagi-lagi kebetulan, kepulangan mereka adalah dalam tempoh negara ini yang masih dalam mood pasca pilihanraya yang masih banyak isu yang sedang dipertimbangkan untuk diselesaikan. Dalam pada itu isu perkauman makin membarah akibat penyebarannya di media massa termasuk akhbar arus perdana. Tanda soal yang berlegar di kepala saya, apakah semua ini satu kebetulan?  Apakah akan terjadi sesuatu pada tarikh ini esok? Adakah keyakinan para ahli GISB akan terbukti dengan kehadiran mereka pada kali ini adalah untuk berperanan besar di negara ini sementelahan selama ini mereka dinafikan bermacam-macam hak walaupun kesesatan mereka tidak terbukti sedari dulu hingga kini? Wallahu a’lam.

               Apapun, diharapkan Malaysia terus maju dan makmur dengan rahmat-Mu, Tuhan. Harmonikan kami wahai Tuhan. Jika benar tanah air ini bakal menjadi tapak kebangkitan ummah kali kedua, perlihatkanlah segera kepada kami. Jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur kepada-Mu yang hidup di negara yang tercinta ini.

Sabtu, Mei 04, 2013

Selamat Mengundi 5 Mei 2013




Bahang pilihanraya semakin di kemuncaknya. Pelbagai cara kempen dari kesemua pihak bertanding dapat dilihat. Melalui kempen, pelbagai janji dan manifesto diberikan bagi menarik pengundi. Bagi pihak pengundi, mereka merasakan inilah masanya untuk mereka melihat manifesto mana yang ideal dan memenuhi hasrat mereka. Oleh kerana keperluan dan keinginan seseorang itu berbeza, maka setiap calon harus mengkaji terlebih dahulu demografi pengundi agar manifesto yang disenaraikan dapat diterima dengan baik.

Kempen di media massa dilihat lebih berkesan daripada perhimpunan mengumpul pengundi pada masa kini. Daripada pelbagai media yang ada, media eletronik seperti televisyen dan internet kelihatan lebih rancak. Manakala melalui akhbar, sungguh pun ia memberi kesan kepada pembaca, ia masih tidak dapat menyamai media eletronik yang lebih dominan. Atas tiket berkempen ini jugalah dapat juga dilihat budaya kata-mengata, fitnah-memfitnah dan caci-maki berleluasa. Walau bagaimana pun, bagi pengundi yang bijak, sumber yang diperolehi harus pelbagai. Jika orang kata televisyen dan akhbar tidak boleh dipercayai sepenuhnya, maka dapatkanlah berita melalui internet yang jelas mudah diperolehi dalam dunia tanpa sempadan. Lagi bijak jika meneliti semua sumber yang ada dan bukan hanya memilih satu sumber lalu mempercayai dan menolak dapatan daripada sumber lain.

Apa pun, jelas kemeriahannya dapat dirasakan sehingga ianya menjadi topik perbualan di sana sini. Di kedai kopi dan di rumah-rumah sudah menjadi rutin saat ini. Tatkala saling berziarah berjumpa sanak saudara dan rakan taulan juga tidak asing lagi. Di tempat kerja pun tidak dapat lari dari menjadi bahan bualan. Di masjid? Di sekolah? Tiada masalah. Politik itu sebahagian daripada perkara yang dituntut dalam Islam dan pendidikan. Hanya menjadi persoalan gaya politik yang diamalkan sama ada selari dengan syarak dan fitrah atau sebaliknya.

Jika ditanya saya, saya sebenarnya tidaklah pro pada mana-mana pihak yang bertanding untuk pemilihan atas nama demokrasi. Sudah terang lagi bersuluh ia acuan dari Barat yang makin lama makin jelas kepincangannya, maka sampai bila-bila ia tidak sesuai untuk diamalkan. Namun, atas rasa tanggungjawab, pemilihan tetap akan dibuat sebagai sokongan kepada tanah tumpah negara tercinta (walau darah pertama saya bukan jatuhnya di sini…hihi). Saya sebenarnya lebih memprcayai negara ini akan makmur, damai dan sejahtera jika dipimpin oleh figura yang membai’ahnya secara sukarela. Ia terjadi akibat daripada rasa kekecewaan masyarakat terhadap situasi dunia yang kian tenat. Jenayah berleluasa, arak dan zina jadi perkara biasa, rasuah dan tipudaya di mana sahaja serta penzaliman dan penindasan tiada yang membela hingga terasa mahu ke mana-mana pun tidak lagi selamat.

Tapi, melihat situasi masa kini, pada saya ia masih dalam keadaan aman dan selamat walaupun statistik jenayah makin meruncing dari semasa ke semasa. Oleh itu, pada saya siapa pun yang mendapat mandate dengan undian majoriti, maka diharapkan ia menjadi perintis kepada laluan tertegaknya daulah Islam kali kedua yang dijanjikan Tuhan. Daripada pemerhatian saya sehingga sat ini, saya cuba mengandaikan (bukan ramalkan ya), Pakatan memperolehi mandate di mana-mana enam negeri  yang salah satunya adalah negeri saya sendiri dengan mendapat jumlah kerusi di parlimen hampir antara 100-110 berdasarkan sokongan padu daripada masyarakat di pelusuk negara. Kalaulah meleset andaian ini, itu tidak akan saya kesali. Sesungguhnya perencanaan Allah lebih baik walaupun ia direncana baik sejak awal-awal lagi.

Wahai Tuhanku, selamatkanlah negaraku daripada bala bencana yang membawa kepada kehancuran. Peliharalah negara kami agar ia benar-benar menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam segala aspek. Suburkanlah semangat cintakan negara ke dalam hati kami. Musnahkanlah segara perencanaan jahat yang dilakukan oleh musuh yang tidak senang dengan kedaulatan negara ini. 

Akhir kalam, Saya Sayang Selangor & selamat menunaikan tanggungjawab kita kepada negara esok :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.