Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Mei 26, 2013

ISU GURU DAN PENDIDIKAN BUKANLAH ISU REMEH


Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini isu-isu berkaitan pendidikan dan keguruan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan warga pendidik sendiri. Antara isu yang timbul kebanyakanya adalah berkaitan bidang tugas guru yang rencam selain isu yang berkaitan dengan penyelarasan gaji dan kenaikan pangkat bagi sebilangan guru. Terdapat juga isu yang dibangkitkan berkaitan pelaksanaan sistem pendidikan yang berkait rapat dengan pembinaan diri dan potensi murid yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Malangnya banyak pihak melihat isu-isu seperti itu adalah perkara remeh yang diperbesar-besarkan untuk menarik perhatian masyarakat.

Ironinya, guru ada ejen perubahan dalam masyarakat. Sebagai ejen, guru perlu memiliki kekuatan, kelengkapan dan persediaan yang cukup untuk melaksanakan tugaasnya. Seiring dengan perkembangan semasa, cabaran yang wujud bukan mudah untuk dihadapi. Berbekalkan pengetahuan pengajaran daripada institusi pendidikan dan pengalaman dari masa ke masa daripada kerjayanya, ia dapat membentuk seorang guru menjadi ejen yang berkesan bagi merubah masyarakat mengikut acuan seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendididkan Negara. Untuk memastikan ejen menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan juga, segala keperluan yang berkaitan dengan tugas dan maslahat dirinya harus diberikan perhatian. Ejen bukanlah hamba abdi yang boleh diarah sesuka hati tanpa mengira perasaan dan keperluan untuk memastikan kelangsungan tugas yang diberikan berjalan dengan baik. Malah, guru juga bukanlah sebuah mesen memproses produk yang ditekan butang on dan off. Sedangkan mesen pun perlu diselenggara, apatah lagi guru sebagai manusia. Isu-isu berkaitan gaji dan pangkat guru harus diselesaikan sebaik mungkin oleh pihak yang bertanggungjawab. Berdasarkan teori Hygen, ganjaran berbentuk ekstrinsit merupakan salah satu item yang dapat melonjakkan motivasi individu untuk melakukan sesuatu.

Guru juga bukanlah sebuah robot yang disetkan untuk menjalankan tugas pemiliknya semata-mata. Sebuah robot sememangnya dicipta untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak penciptanya. Bagaimanapun, guru pula sebaliknya di mana peranannya adalah berkaitan langsung dengan tugas-tugas pengajaran. Adalah tidak tepat jika guru dikaitkan sebagai kelompok yang harus menjadi pak turut semata-mata dengan membuat pelbagai perkara kerana kalangan guru sememangnya arif dan mengetahui tugas-tugas yang sepatutnya mereka laksanakan. Biarpun peranan guru adalah multi tasking yang dilihat sejak dahulu, kadang-kadang ia telah menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya. Lihat saja lambakan tugas sampingan yang lebih banyak daripada tugas pengajaran yang wujud. Tugas-tugas luar pengajaran dilihat sesuatu yang membebankan guru sekaligus menjadikan motivasi guru berkurangan. Tugasan yang tidak masuk akal dengan gelaran seorang guru atau cikgu mencerminkan fungsinya yang tidak selari daripada tugas asalnya. Tidak dinafikan juga kebanyakan guru kecewa dengan situasi kerjaya keguruan pada hari ini. Untuk lari meninggalkan kerjaya ini, ia bukanlah seuatu yang bijak kerana kelompok ini mengetahui peranannya sebagai guru, ejen dan wasilah dalam penyebaran ilmu kepada anak didik sangat besar ganjarannya di sisi Tuhan. Alangkah tidak bijak jika menjadikan alasan kerja yang rencam itu sebagai alasan untuk melarikan diri. Mahu tidak mahu cabaran bebanana yang ada harus diterima dengan melalukannya sekadar yang termampu.

Isu penjenamaan semula KPM turut menjadi polemik dalam masyarakat. Walaupun diwujudkan signifikan kepada penggabungan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, ia dilihat tidak membawa impak yang besar kepada sistem pendidikan negara. Apa yang dilihat, ia lebih kepada penyusunan organisasi ke arah lebih bersistematik lantaran sebelum itu pelbagai isu yang berlaku antara kedua-dua kementerian itu hingga menenui jalan buntu seperti isu pertukaran gred kakitangan dan penempatan siswazah pendidikan. Namun, di sebalik penggabungan itu, istilah pelajaran juga diubah kepada pendidikan atas motif yang sama. Istilah ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia sebelum ini telah digunakan sebelum ditukar selepasnya. Apa yang dapat dilihat, istilah itu hanyalah sekadar satu istilah yang peranannya adalah sama. Tetapi, antara dua istilah tersebut secara peribadi, pendidikan dilihat lebih mencakupi seluruh aspek penererapan, tarbiah, pengajaran, bimbingan dan seumpamanya dalam membina generasi berilmu dan berpotensi di tengah-tengah masyarakat. Sementara pelajaran pula hanya terfokus pada bimbingan dalam proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata dan terhad dalam usaha guru untuk memberi input kepada murid sementara proses seterusnya dilihat tidak menjadi kewajiban kepada guru untuk memastikan objektif yang lebih holistik tercapai. Boleh juga dikatakan, perubahan istilah itu sedikit sebanyak akan membawa kepada penggunaan wang yang tentunya bukan suatu perbelanjaan yang bijak. Apapun yang lebih penting daripada kedua-dua istilah itu sebenarnya, untuk membina masyarakat, bukanlah semata-mata tanggungjawab guru dan sekolah secara mutlak. Tetapi intergrasi melalui peranan ibu bapa, komuniti, masyarakat dan pemimpin sangat diperlukan.

Apapun isu berkaitan guru dan pendidikan yang wujud, ia seharusnya ditangani dengan berhemah. Adalah tidak wajar jika ada yang memberi respon kepada isu ini dengan meminta guru meninggalkan kerjaya keguruan sedangkan itulah niat dan matlamatnya yang sebenar selama ini. Apa yang harus dilakukan adalah mencari alternatif dan jalan penyelesaian yang sesuai memandangkan peranan guru yang penting dalam hirerki masyarakat relatifnya tidak boleh dipandang sebelah mata. Berlakulah adil kepada kelompok guru yang seramai lebih 400 ribu orang di mana istilah adil yang digunapakai menurut pemahaman Islam adalah meletakkan sesuatu ditempatnya. Mungkin ada yang melihat isu-isu yang dibangkitkan menerusi media massa dlihat sesuatu yang remeh dan tidak penting, namun sebenarnya dalam kebanyakan negara membangun dan maju, aspek pendidikan adalah keutamaan bagi mereka. Tidak rugi membuat pelaburan bagi meningkatkan mutu pendidikan dan sebarang kaitan dengannya, tetapi pastinya rugi mengorbankannya dengan tidak menyelasaikan isu yang timbul kerana tanpa guru siapalah kita semua.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.