Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Mac 23, 2014

7 Hari Wan Pergi

Bismillah...Alhamdulillah...Salamullah Alaih.

Atok, pakcik-pakcik, makcik-makcik, sepupu-sepupu dan anak-anak buahku.

Saat ini, telah genap 7 hari wan pergi meninggal kita. Selama itu juga hati kita masih sayu dan sedih dengan pemergian wan. Terasa masih sukar untuk menerima kenyataan. Sungguhpun kita merasakan telah bersedia atas setiap kemungkinan yang dihadapi wan selepas wan dibenarkan keluar hospital, kita masih tak bersedia untuk kehilangan wan. Insya-Allah, dengan iman yang bertapak di hati, kita dapat kuatkan hati. 

Saat ini juga kita mula meneruskan rutin harian seperti biasa. Kalau saya, pergi dan balik kerja, sibuknya macam biasa. Kalau yang tengah belajar dan berkuliah meneruskan pembelajaran seperti biasa. Kalau Ucu pula contohnya, tiada lagi rutinnya menjenguk wan. Apapun, harap-harapnya kita tak semakin melupakan wan. Memang hidup perlu diteruskan. Namun, ada kalanya untuk mengenang jasanya yang mungkin setiap daripada kita mempunyai pengalaman berbeza kita haruslah ingat-ingatkan wan. Lagi baik kalau kita sedekahkan al-Fatihah untuk kedamaian wan di sana.

Bagi yang masih bersedih, tidak kiralah siapa pun di antara kita, terimalah hakikat ini. Memang wan seorang yang istimewa bagi kita. Peranan wan sebagai isteri, emak, ibu mertua, nenek dan oyang kepada kita adalah berbeza. Memang harus disedihkan dengan pemergian wan, tetapi yakinlah betapa Allah itu lebih Penyayangnya daripada kita. Jika kita sebelum ini saban waktu gigih mengurus dan menjaga wan, sekarang ini harap-haraplah wan selesa di bawah jagaan Allah Yang Maha Pemberi Rahmat. Untuk kita yang telah berkorban masa, wang dan tenaga untuk mengurus wan sejak kemasukan wan ke hospital sehingga akhir hayatnya, percayalah, semua itu akan dibalas Allah terutamanya jika kita niatkannya sebagai ibadah. Untuk mengukur keikhlasan memang sukar dan tak perlu untuk dicongak-congakkan. Apa yang penting juga, ia merupakan sebuah pengalaman berharga yang sukar untuk dihadapi pada masa akan datang. Di samping keuzuran wan menjadi kaffarah dan ujian buat wan, di pihak kita ia juga sebagai ksatu alat ukur untuk menguji tahap kesabaran kita. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang bersabar (as-Sobirin).

Wan yang kita kenali, seorang individu yang sangat baik hati. Wan tak lokek kalau kita nak minta apa-apa. Moga-moga kebaikan wan pada kita selama ini dibalas Allah sebaik-baiknya. Pemergian wan secara peribadinya sangat memilukan hati. Dengan keadaan hatinya yang sudah rosak gara-gara virus barah merebak hingga menjejaskan buah pinggang membuatkan kita yang melihatnya rasa sakitnya juga. Namun, percayalah bahawasanya wan direzekikan husnuh khatimah di akhir nafasnya. Mungkin ia bukan sandaran kepada kebahagiaan wan di alam sana bila menurut beberapa hadith yanng diriwayatkan Saidatina A'isyah bahawa kesukaran menghadapi sakaratul maut itu bukan menjadi pentanda baik atau buruknya nasib seseorang. Boleh jadi sukarnya ia kerana mungkin itu caranya Allah hendak berikan kaffarah dan mensucikan dosa hambanya buat kali terakhir seperti mana kita yang demam biasanya juga salah satu kaedah penghapusan dosa yang Allah berikan dengan syarat kita bersabar atas ujiannya diberikan itu. Wan kita lihat nazaknya amat sukar, tetapi perginya sangat tenang sampaikan kita tak sedar wan ada lagi ke tidak. Lebih-lebih lagi kita dalam keadaan genting itu dalam mode bacaan ayat-ayat suci. Malah, kita semua berada di sisi wan saat wan melepaskan nafas akhirnya. Lagi bersyukur, apabila sepanjang pagi wan diuruskan, hujan renyai menyirami bumi. Harap-haraplah itu tandanya Allah merahmati wan sekaligus mengalu-alukan kehadiran wan ke sisinya dengan rahmat. Proses pengurusan jenazah wan pun lancar daripada mandi sampai dikebumi. Walaupun ada kelewatan sedikit wan dikebumi kerana hujan, tetapi wan bertuah kerana disolatkan kali kedua secara berjemaah semasa di masjid Dengkil. Insya-Allah, semua ini menjadi tanda kepada kita bahawasanya wan sememangnya mendapat rahmat Allah. 

Wan telah pergi menemui Tuhan-Nya. Sungguh, banyak hikmah yang dapat kita rasakan dan fikirkan daripada pemergian wan ni. Tentu saja hikmah berbeza-beza mengkit situasi kita. Antaranya, tarikh 16 Mac 2014 dilihat satu hikmah bagi wan dan kita kerana ia jatuh pada hari cuti yang ramai sanak saudara kita boleh memberi penghormatan terakhir kepada wan. Malah syukur, semua anak cucu wan kecuali seorang ada di sisi sama ada semasa nafas terakhir mahu pun sebelum pengebumiannya. Maka, redhalah akan pemergiannya kerana itulah ketetapan buat kita bahawasanya setiap yang hidup pasti akan mati.

Apapun, wan juga dah mengetahui bagaimana nasibnya di sana yang Insya Allah sejahtera di bawah naungan-Nya. Tetapi kita pula bagaimana? Hidup mesti diteruskan, amal ibadah perlu dilipatgandakan. Jangan lagi leka dengan kehidupan dan kesibukan dunia. Jika ada perkara baik daripada wan, kita jadikannya contoh. Apa-apa yang masih bersarang di hati kita mengenai tingkahlaku wan yang berbekas di hati, lupakan. Kalau ada perkara-perkara yang tidak sempat untuk kita lakukan kepada wan, jangan lagi dikesalkan. Insya-Allah, wan meredhai kita semua. Kita kan juga manusia biasa. Sedangkan iman pun menaik menurun, apatahlagi sikap dan akhlak kita yang sering tidak konsisten. Mudah-mudahan hati-hati kita diterapkan sifaf mahmudah yang tinggi di samping dielakkan sifat-sifat mazmumah yang lahir daripada nafsu dan bisikan syaitan.

Akhir kata, diharapkan agar hubungan persaudaraan sesama kita tidak putus sejurus ketiadaan wan. Kita masih ada atuk, sama-sama kita gembirakan hatinya. Berikan semangat buatnya. Kalau hubungan kita mula berantakan dikhuatiri hati atuk akan makin remuk dan kecewa. Peranan ini bukan hanya untuk seorang dua. Sesiapa juga kerana masing-masing ada gaya tersendiri bagaimana untuk melayani dan menghiburkan atok. Ya Allah, rahmati kehidupan kami. Berkatilah rezeki kami. Satukanlah hati kami. Stabilkanlah kesihatan kami.



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.