Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Mac 16, 2014

Selamat Jalan, Wan

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un

Wan, setelah 50 hari dari tarikh wan dimasukkan ke wad, akhirnya wan pergi menemui Allah Rabbul Izzati. Setelah 22 hari wan pulang dari hospital akhirnya wan pergi setelah beberapa lama uzur menderita penyakit barah usus di Tahap 4. Wan pergi meningalkan Along, abah dan anak-anak serta cucu wan yang lain dengan tenang pada jam 12.02 tengah malam tadi.

Wan, Along rasa tertipu sangat-sangat. Kerana terlampau bersikap optimis, Along cuba menafikan wan berada dalam kondisi yang sukar. Walaupun tanda-tanpa pemergian wan telah jelas zahirnya, masih Along anggap wan masih okay dan tidak ada apa-apa. Memang silap sungguh. Tatkala Along nak bertolak ke kursus Khamis lepas, hati ni tersangatlah berbolak-balik. Empat hari berkurus yang sepatutnya Along teruja, tetapi yang nyata kebimbangan menguasai hati. Itu pun masih Along beroptimis menganggap wan masih okay. Walaupun semalam Along ambil masa balik ke rumah selepas habis kelas meredah jem, masih rasa berat lagi hati nak ke kursus pada keesokkan harinya. Mujur tadi, selepas mendapat khabar tentang situasi wan, Along dapat pulang awal dan berdampingan dengan wan.

Wan, ikutkan hati mahu sahaja Along singkap kembali memori antara kita, Namun, mustahil untuk diceritakan semula kerana banyak sangat situasi dan memori yang terjadi selama Along di bawah jagaan wan. Wan bagaikan mak kedua Along yang dijaga baik bagai anak sendiri. Memanglah Along ni cucu wan, tetapi Along dapat rasakan kasih wan pada Along melebihi cucu-cucu wan yang lain kecuali cucu sulung wan. Along tak kisah yang itu. Yang pasti wan sudah sehabis baik mengasuh Along bila mana berada di bawah jagaan wan. Antara yang paling Along ingat, bila demam, wan buat tangkal dengan bawang kecik yang diletak kapur, bila Along nak beli apa-apa wan bagi saja tanpa soal. Dan yang paling best, kalau Along dan Amin bergaduh tentu saja wan back up Along sedang atok memback up Amin, di mana dalam situasi ni, biasanya Along yang menang akhirnya. Memang bukan sebab Along ni abang, tapi sebab kuasa wan lebih hebat dari kuasa atok dalam hal pergaduhan kami. Wan juga ajar Along mengaji mukadam dan sifir. Nak kata Along pandai sendiri memang tak lah. Pernah juga wan merotan dan memiat telinga Along bila Along buat nakal seperti mengelak nak pergi sekolah petang sebab petang-petang ada cerita kartun kat tv, mengombah almari dan kusyen untuk main nyorok-nyorok, mengusik barang wan atau atok dan macam-macam lagi. Untuk semuanya itu, terima kasih untuk wan Along ucapkan sebab baik garangnya wan merupakan salah satu cara mendidik.

Tetapi, bila Along dah besar panjang macam ni, seringkali Along lalai nak berdampingan dengan wan. Mungkin tak sedikit Along menghiburkan wan, tetapi banyak juga situasi Along tidak menghiraukan wan tanpa sedar dan sebaliknya. Wan panggil ke dapur tolong hidang juadah atok, Along tolong ala kadar. Bila wan suruh beli barang dapur Along menangguh-nagguhkan. Wan pesan beli rojak dan oren Along asyik-asyiklah tak sempat. Along harap wan tak menaruh hati kecewa dengan sikap Along ni yang baik dan nakalnya bertukar-tukar dan tidak konsisten. Hendak disalahkan keadaan dan situasi, susah juga. Tapi wan, Along dah buat yang terbaik semampu Along demi wan selama ni. Ada kekurangan, Along minta maaf banyak-banyak.

Wan, Along ingat lagi, semasa kecil bila wan lenguh dan sengal di badan, tangan dan kaki, wan akan suruh urutkan dengan memijak di mana-mana bahagian berkenaan sebab kalau Along picit-picit pakai tangan sikit pun wan tak terasa yang di akhirnya Along meletop-letopkan jemari tangan dan kaki wan. Bila Along besar sikit, wan mintak picit-picit tapi kuat-kuat., tak mahu pijak lagi. Tapi masa wan sakit hari tu, Along nak picit-picit wan pon rasa was-was, sebab sesekali Along picit wan mengaduh sakit. Tapi sekarang, tiada lagi khidmat picit-picit yang boleh Along berikan, selama-lamanya. Lagi satu, wan. Kalau sabtu dan ahad cuti hujung minggu terutamanya masa nak raya wan ajak Along tolong sapu halaman rumah dan bakar sampah. Lagi yang teringat, masa nak pergi sekolah setiap pagi dan petang dulu wan duduk sama tepi jalan dengan Along tunggu van sekolah datang. Allah… banyak lagi sebenarnya Along nak tulis, tapi memang, sampai esok pon tak habis-habis.

Wan, sejak wan sakit dan disahkan mengidap barah usus tahap 4, tak putus-putus Along berdoa mengharapkan wan sentiasa dalam keadaan stabil. Sekurang-kurangnya dapat wan bertahan dan bersemangat untuk terus dengan kehidupan rutin. Along juga mengharapkan wan dapat berpuasa dan beraya bersama Along dan anak cucu wan yang lain di tahun ini sekurang-kurangnya. Namun, Allah lebih sayangkan wan dengan memanggil wan sesegera ini. Sungguh Along tak sangka.

Wan, Along pasrah dan redha atas ketentuan Allah ini. Along akui, kita sebagai makhluk tidak akan kekal seperti mana al-Khaliq. Along lihat wan pergi dengan tenang gayanya. Masakan tidak, kami secara tak sedar tak perasan bila nafas terkahir wan hembuskan. Tahu-tahu je, lepas atok mengucup wan dan beredar beberapa langkah, wan dah tiada. Tapi Along puas hati, anak cucu wan yang ada di keliling telah membimbing wan menyebut nama Allah. Wan juga pergi dalam lingkungan anak cucu yang ada bersama, di dalam bilik wan sendiri dan di dinihari yang hening. Bacaan ayat-ayat suci Kalam Tuhan telah kami perdengarkan dan khususkan buat wan sepangjang beberapa hari sebelumnya. Along harap segala amal makruf yang kami lakukan untuk wan diterima Allah. Insya Allah.

Wan, damailah wan di alam sana. Kalau sebelum ini wan dijaga dan dirawat kami, moga di sana Allah merawat wan dengan nikmat daripada keredhaan-Nya dan amal soleh bersama kalangan mukminin dan mukminat. Moga kita juga direzekikan bertemu di syurga abadi dan bertautan kembali kemesraan seperti mana di dunia ini. InsyaAllah.

Allahummafhamha wa’afiha wa’fu anha. Ya Allah, ampunilah segala dosa wan, rahmati roh wan, hindarkan wan dari segala seksaan di barzakh dan mahsyar. Kasihanilah wan. Jangan Engkau biarkan wan terdedah dengan ancaman munkar dan nakir. Permudahkanlah urusan wan di sana. Amin.

Selamat jalan, wan.

Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.