Isnin, Mei 21, 2012

PERANAN GURU DALAM MENANGANI PERUBAHAN DALAM PENDIDIKAN



1.0           PENDAHULUAN

Pendidikan adalah salah satu institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan generasi masa hadapan. Sudah tentu sistem pendidikan itu mesti dirancang dengan teliti dan berhati-hati supaya sesuai dan munasabah dalam menghadapi segala kemungkinan dan cabaran ini (Ibrahim Saad 1990).

Dalam kepesatan pembangunan Negara, Pemimpin dan rakyat yang maju dan saintifik adalah hasrat utama pembangunan modal insan yang harmorni. Masyarakat yang maju dan saintifik sentiasa bersedia menerima perubahan untuk menjadi lebih baik dan tidak ketinggalan dalam segala aspek perubahan globalisasi.

Sementara itu, institusi pendidikan bukanlah sesuatu yang jumud dan tidak boleh berubah sejajar dengan peredaran masa. Dunia pendidikan mestilah peka dengan perkembangan yang berlaku disekelilingnya. Setiap perubahan yang berlaku di luar dunia pendidikan mestilah diambil kira dan dibuat tindakan susulan. Ini bagi memastikan ilmu yang disampaikan kepada para pelajar adalah yang terkini dan mampu digunakan apabila mereka keluar dari alam persekolahan.
Untuk itu perubahan di sekolah tentu tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi sekolah sering dianggap sebagai agen perubahan untuk sesebuah negara. Guru yang menjadi golongan yang melaksanakan perubahan harus memberi sokongan padu kepada perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Persediaan yang secukupnya dari segala aspek fizikal, mental dan emosi haruslah ada dalam kalangan guru bagi memastikan perubahan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Bagi mengulas tajuk tugasan ini, sebuah artikel yang bertajuk Caught between different worlds: Teachers and educational change (Terperangkap dalam dunia berbeza: Guru dan perubahan pendidika) yang diperolehi daripada Jurnal Pendidikan dan Pembagunan Antarabangsa (IJED) telah digunakan di mana ia membincangkan isu yang berkaitan dengan respon guru terhadap perubahan dalam pendidikan.
2.0           GURU DAN PERUBAHAN DALAM PENDIDIKAN

Di Malaysia serta kebnanyakan negara luar agen perubahan utama ialah pendidikan. Pendidikan dan latihan merupakan wahana terpenting di dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian matlamat pembangunan negara. Pendidikan bertaraf dunia akan menentukan kejayaan perubahan insan (Mohd Najib 1997). Perubahan dalam pendidikan tidak dapat dielakkan kerana setiap ilmu dan penemuan akan berubah ke arah penambahbaikan setiap masa. Pelbagai faktor lain turut menuntut perubahan dalam pendidikan sama ada dari faktor luaran dan dalaman yang mendesak dan menekan untuk melakukan perubahan khususnya dalam pendidikan di Malaysia.
Menurut Mok Soon Sang (1996), guru merupakan tenaga iktisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di institusi pendidikan. Manakala Moore (1995), pula mendefinisikan guru sebagai pakar dalam pengajaran, iaitu orang yang merancang, memandu dan menilai pembelajaran. Peranan ini memerlukan sokongan daripada orang lain. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa guru ialah pakar dalam pengajaran yang bertanggungjawab merancang, memandu dan menilai pembelajaran.

Perubahan ke atas guru mungkin boleh didefinisikan sebagai keseluruhan aktiviti yang dirancang dan dibentuk untuk memberi sumbangan ke arah keberkesanan dan kecekapan pengajaran para guru. Walaupun istilah seperti perubahan kakitangan, latihan dalam perkhidmatan, dan perkembangan profesionalisme selalu di gunakan, tetapi perubahan ke atas guru menggambarkan satu konsep yang menghubungkan kesemua aspek dalam persekitaran pendidikan. Ia juga boleh dianggap sebagai satu proses yang dinamik. Ia mesti dikendalikan dengan sistematik dengan menekankan matlamat jangka panjang dan pendek.

Pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Pada zaman moden ini, guru adalah bertangggungjawab untuk memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan tingkah laku ke atas diri seseorang. Mereka harus memahami idea perubahan dengan sempurna, secukupnya dan menyusun strategi yang rapi untuk memastikan perubahan dapat dilaksanakan dengan jayanya (Mok Soon Sang & Lee Sok Mee 1988).


3.0           LANGKAH-LANGKAH PERUBAHAN
Dalam melaksanakan perubahan dalam pendidikan Josept & Susan Berk (1993) dalam Mohammed Sani (2000) telah mencadangkan langkah-langkah berikut:

3.1           Mengenalpasti perubahan untuk keperluan
Untuk melakukan perubahan dalam pendidikan ia perlulah melihat kepada keperluan mengikut situasi semasa. Perubahan  juga perlu dilakukan secara menyeluruh dari pelbagai aspek.  Ianya termasuklah dalam aspek  latihan untuk pelajar dan guru serta  menyediakan kemudahan yang menyeluruh untuk semua.

3.2           Mengenalpasti pihak yang terlibat
Perubahan harus dilakukan dengan mengenalpasti pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya. Antaranya adalah pihak sekolah terutamanya guru yang dilihat sebagai agen perubahan. Ia satu tindakan yang bijak bagi memastikan perancangan perubahan itu tidak sia-sia bahkan mengenalpasti pihak yang terlibat secara langsung dapat mengumpul kekuatan dan sokongan untuk mendapatkan kesan yang baik dalam perubahan.

3.3           Keperluan perubahan komunikasi.
Untuk melaksanakan perubahan yang dirancang ia memerlukan satu medium yang dapat menyebarkan kefahaman dan mesej jelas akan matlamatanya kepada seluruh masayarakat terutamanya warga pendidik. Segala maklumat berkaitan pendidikan seperti keperluan kursus, kenaikan pangkat dan sebagainya hendaklah dihebahkan kepada semua guru. Langkah ini dapat mengelakkan masalah lain yang membabitkan komunikasi selain perasaan prejudis terutamanya antara pentadbir dengan kaki tangan akibat tidak mendapat maklumat yang secukupnya.

3.4           Dapatkan pandangan subordinat yang terlibat
Apabila perubahan hendak dilakukan, perbincangan antara pihak lain terutamanya subordinat yang terlibat haruslah dilakukan. Sebarang perubahan yang hendak dijalankan perlu kepada pendapat atau pandangan semua pihak yang terlibat supaya dapat dibuat perancangan yang terbaik. Jika dalam situasi sekolah pihak pentadbir harus cuba elakkan daripada membuat keputusan secara autokratik tanpa mendapatkan pandangan daripada guru-guru sebagai kakitangan yang menjadi kepada pelaksanan perubahan di sekolah.

3.5           Melakukan perubahan dan bersedia untuk membuat pengubahsuaian
Perubahan yang dirancang itu perlulah benar-benar dilaksanakan dengan tidak hanya secara teori di atas kertas. Jika perlu plan tindakan mungkin perlu diubah suai setelah strategi sebelumnya menemui kegagalan. Perubahan juga  hendaklah selaras dengan perkembangan semasa dan tidak bertentangan dengan norma masyarakat di samping harus berani dalam menghadapi sebarang cabaran dan halangan yang berlaku.


4.0           PERUBAHAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI KELAS

Dalam pengurusan perubahan,aspek-aspek yang harus ditekankan oleh aspek yang harus ditekankan oleh guru ialah penggunaan kaedah P & P guru ialah penggunaan kaedah P & P  yang :

4.1           Berpusatkan murid dan bukannya guru
Dalam situasi pendidikan semasa pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru tidak begitu relevan lagi digunakan. Selaras dengan perkembangan dunia pendidikan yang selari dengan globalisasi   pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar harus digunakan di dalam kelas. Komunikasi dua hala antara guru dan murid menjadi keperluan masa kini bagi mengembangkan potensi minda murid untuk berfikir dan member pandangan mereka berbanding hanya menerima bulat-bulat apa yang diberitahu guru tanpa banyak soal.

4.2           Berasaskan perkembangan teknologi
Era globalisasi tidak dapat dihalang daripada menembusi sistem pendidikan. Untuk itu guru harus menerimanya sebagai satu cara dalam memantapkan pengajaran dan pembelajaran di kelas. Penggunaan sumber dan bahan rujukan berkomputer dan berteknologi harus diberi penekanan kerana pelajar sendiri di luar sekolah telah tertedah dengan penggunaannya. Jadi, guru tidak boleh lari untuk menggunakannya bagi memberi kesan positif dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas.

4.3           Berpandukan hasil penyelidikan terkini
Apabila dikatakan pendidikan satu perkara yang dinamik dan berkembang maka sudah tentu banyak penyelidikan telah dibuat bagi memastikan pendidikan itu sendiri sesuai dan relevan dengan situasi semasa. Oleh itu guru harus menerapkan pengajaran dan pembelajaran di kelas dengan menggunakan pendekatan-pendekatan, bahan-bahan dan maklumat-maklumat terkini agar memberi kesan yang baik terhadap perestasi murid.

4.4           Berlandaskan psikologi pertumbuhan dengan perkembangan murid.
Guru harus menyedari bahawa tahap penerimaan murid terhadap sesuatu pengajaran dan pembelajaran tidak sama dan berbeza dari apa yang dari sukatan pelajaran yang digunakan. Oleh itu guru harus bijak melihat keadaan itu dengan

5.0           FAKTOR HALANGAN PERUBAHAN DALAM PENDIDIKAN

Walaupun pelbagai langkah dan pendekatan boleh digunakan dalam membuat sesuatu perubahan disebaliknya terdapat juga faktor-faktor yang menjadi halangan kepada keberkesanan dalam melakukan perubahan dalam pendidikan. Untuk itu Mr. Simon melalui artileknya ini telah menggariskan faktor-faktor kegagalan dalam membuat perubahan seperti mana berikut:
5.1           Kelemahan guru dalam memahami amalan perguruan.
5.2           Kecenderungan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru.
5.3           Budaya masyarakat yang konservatif dan karenah birokrasi.
5.4           Kerendahan status keprofesionalisme dan kuasa autonomi guru.
5.5           Kecenderungan dalam usaha dalam menerapkan pendidikan untuk semua (EFA) yang lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti.
5.6           Kesan negatif daripada dasar awam yang baru.


6.0           KESIMPULAN
Kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan dan pelanggan pendidikan mendesak peningkatan mutu perkhidmatan. Oleh itu, seseorang guru perlu memberi perkhidmatan bermutu, kemahiran yang pelbagai dengan tanggapan yang luas dan mendalam. Warga guru perlu peka dengan perubahan, budaya pendidikan, misi pendidikan dan bersedia menerima perubahan menggunakan peralatan canggih. Faktor-faktor di atas seakan mendesak guru agar berubah. Mereka perlu peka dan bertindak kepada perubahan supaya perubahan tidak membawa padah yang buruk (Zainal Abidin,1999).
Sebahagian penulis dalam Jurnal Pendidikan dan Pembangunan Antarabangsa (IJED) berpendapat bahawa perubahan dapat dijayakan dengan berkesan jika projek dan agenda perubahan yang dirancang itu dijalankan sebaiknya serta diuruskan oleh kakitangan yang komited dan berkemahiran.
Dalam menjayakan perubahan dalam pendidikan, semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan setiap perancangan yang dibuat terlaksana sebaiknya. Guru pula seharusnya benar-benar menjadi agen kepada perubahan dan dalam masa yang sama bersikap responsif dan kritis terhadap pelbagai perkembangan dan dinamika peradaban yang berterusan berlaku dari semasa ke semasa (Najeemah 2006).
Guru juga dengan kerjasama dari pihak pentadbiran pendidikan seharusnya sentiasa menjadikan sekolah sebagai ‘magnet’ yang mampu mengundang tarikan kepada pelajar untuk berinteraksi, berdialog dan saling bertukar-tukar pendapat dalam suasana  pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Dengan cara sedemikian tidak akan berlaku keadaan di mana institusi seklah dijauhi oleh masyarakat akibat ketidakberjayaan sekolah dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang baik di era globalisasi.




__________________________________________

Ini adalah tugasan kuliah bagi kursus Perubahan Dalam Pendidikan yang telah saya perbentangkan di dalam kelas pada tahun 2011. 

Selasa, Mei 15, 2012

TERIMA KASIH OH GURUKU




Terima Kasih Oh Guruku
Atas Semua Jasa Baktimu
Mendidik Ku Tiada Jemu
Mengenalkanku Dengan Ilmu

Guruku Lilin Menerangi
Menyuluh Jauh Dalam Hati
Menunjuk Jalan Diredhai
Pada Kehidupan Abadi

Guru Dirimu Ku Hargai
Jasamu Sukar Ku Balasi
Pengorbananmu Ku Kenangi
Membimbingku Kenal Ilahi

Guru Hatimu Tulus Suci
Penuh Kesabaran Di Hati
Moga Allah Kan Meredhai
Ganjaran Syurga Yang Hakiki


______________________________________

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru. Mungkin ada yang bukan berprofesyen sebagai guru, tetapi tunjuk ajarnya boleh dimanfaatkan sebaiknya. Selamat Hari Guru, Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.

 


Selasa, Mei 01, 2012

HANYA KERANA BAUCER BUKU...



Lega rasanya akhirnya baucer 2 helai yang tak sempat di joli sebelum ini dapat ditebus di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Mengenangkan 30 April merupakan hari terakhir baucer berkenaan sah, maka selepas pulang dari kerja saya bergegas ke PWTC semata-mata walaupun terasa penat dan letih. Kalau tidak kerana itu besar kemungkinan saya akan menapak ke sana pada 1 Mei bersempena dengan Hari Pekerja. Tapi tak mengapalah, sebab matlamat utama telah tercapai dengan jayanya.

Tatkala tiba di pintu masuk PWTC tu, saya lihat keadaan tidak begitu menyesakkan. walaupun ramai pengunjung namun tidaklah terlalu padat. Nak berjalan dengan selesa tu kira bolehlah. keadaan terkawal dan nak membuat pilihan atau berhenti di satu-satu gerai dalam jangka masa lama sedikit tidak menjadi masalah, malah peniaga-peniaga booth pula yang memanggil-manggil pengunjung untuk singgah di booth mereka. Terasa macam pasar malam pula. 

Dengan bermatlamatkan untuk menebus baucer RM100, maka saya merancang untuk memilih buku-buku yang sama nilainya di satu booth sahaja. Langkahan kaki saya halakan ke satu dewan sebelum hampir ke ruang legar tingkat bawah. Di pintu masuk tertera Galeri Ilmu, tapi bila masuk PTS menguasai kawasan kerana ia berada di tengah-tengah dewan. Beberapa booth, syarikat atau penerbit lain turut ada. Tanpa membuang masa di PTS tu saya angkut satu persatu buku yang menarik perhatian. Kebanyakkannya tebak-tebal. 

Dalam pada mengambil buku-buku tu saya juga menimbang tara dalam hati sama ada buku-buku yang saya pilih ni akan saya baca atau setakat tangkat muat untuk menghabiskan baucer. Tapi saya percaya, pilihan saya bukan sesuatu yang sia-sia. Setelah mencongak-congak, dengan 6 buah buku di tangan saya bawakan ke kaunter pembayaran. 

Tatkala menghulurkan baucer, saya ditanya sama ada membawa kad pelajar atau tidak, kerana di sana ada diskaun untuk pelajar. Maka saya pun keluarkannyalah. Tiba-tiba saya teringatkan satu sms yang saya terima dari pihak PTS yang meminta saya menunjukkan sms itu kepada kaunter untuk mendapatkan diskaun lagi, maka saya pun tunjukkanlah. Tapi, jurujual tu menyebutkan diskaun untuk pelajar lebih tinggi berbanding yang itu, maka dia cadangkan saya buat belian dan gunakan sms itu untuk hari yang lain. Dan, sebelum saya membayar, mereka kata pengunjung yang berpakaian biru akan mendapat diskaun istimewa. Waah, berganda-ganda diskaun saya dapat hari ini hanya dari PTS. Seronok betul. Namun bila mana nak membayar, sehelai baucer saya dipulangkan semula dan meminta saya menggunakan duit kerana congakan melebih 100 yang saya kira pada buku-buku yang diambil sebenarnya terlebih. Bayaran keseluruhan sekitar Rm75. Syukur. Namun kerana di tangan saya ada berbaki sehelai baucer maka saya terpaksalah melangkah ke gerai lain untuk menghabiskannya. 

Jam di tangan hampir ke pukul 6 petang sedangkan Asar belum saya tunaikan dan kaki juga sudah penat dan sengal. Masih tak keluar daripada dewan berkenaan, saya tuju pula ke gerai Galeri Ilmu. Kerana malas nak fikir panjang, maka saya hanya memilih tiga buah majalah Q&A yang baru di pasaran bagi syarikat itu. Isinya menarik. Sempat juga saya menyambar sebuah novel dan sebuah buku motivasi untuk mencukupkan nilai baucer. 

Akhirnya dengan pembelian itu secara rasminya baucer saya sudah digunakan sebaik-baiknya. Sempat penjual di Galeri Ilmu bertanyakan kepada saya, 'kenapa lambat gunakan baucer ni, orang lain dah tak guna lagi dah,'..hehe...'saje je lambat-lambat, nak tunggu pesta buku ni la..' jawab saya sambil digelakkan spontan oleh mereka. hahaha... Agaknya saya orang terakhir di pesta buku tu yang menggunakan baucer sebelum ia tidak sah lagi digunakan untuk keesokan harinya.

Berhenti solat beberapa ketika selepas singgah di Telaga Biru dengan belian tunai, saya teruskan pula langkahan kaki ke ruang legar tingkat bawah. Tatkala disapa oleh Besta, saya pun terus sahaja duduk. Saja ambil peluang merehatkan diri. Jam menunjukkan 6.15 petang. Diketahui jam 7 pesta buku ini akan ditangguhkan. 

Di Besta saya ditunjukkan satu model kamus eletronik yang baharu. Rntah apa modelnya, tapi menarik. Memang tak terniat langsung nak beli. Sungguh! Sebab saya sendiri memang dah miliki satu model lain yang dibeli masa zaman belajar dulu dan masih baik untuk digunakan sehingga sekarang. Tapi saya dengarkan juga, saja nak ambil hati jurujual tu. Sudahlah duduk free, takkan tak mahu dengar pula. Saya siap test-test lagi serta membuat pengujian sendiri. 

Tiba-tiba, ada pengumuman dari Besta mengenai 'happy hour' pada setengah jam sebelum jam 7. Semua petugas Besta semacam kalut dan mula memanggil-manggil pelanggan untuk singgah di gerai mereka. Dan, jurujual yang incharge saya ni pula tiba-tiba juga mengeluarkan satu model lain menggantikan yang sebelum ini. Terus dia jelaskan bahawa model yang baru ditunjukkan kepada saya ini berharga lebih mahal sedikit daripada yang tadi. Katanya dengan tempoh 'happy hour' ni harga produk yang ini dijual dengan kadar setengah harga daripada harga asal RM1200. 

Tapi, saya tak mudah terpengaruh. Saya katakan jika ia lebih mahal, tentu ia lebih canggih dan fungsinya lebih bagus. Maka saya pun minta untuk mengujinya dan ternyata, kalau tak lebih baik pun, sekurang-kurangnya lebih kurang sama kecanggihan dan fungsinya daripada produk awal yang ditunjukkan berharga RM1100. Kerana meyakini akan kebagusannya, masa saya ambil juga peluang tu untuk memilikinya. 

Namun tunai di wallet saya tidak mengizinkan saya membelinya masa itu, maka saya minta untuk membayar deposit sebanyak RM50 sahaja dan mereka bersetuju. Tapi dalam masa yang sama saya masih menimbangkan akan keperluannya. Kamus eletronik yang lama ni pun saya tak habis explore, apatahlagi yang baharu ni. Bimbang wujud pembaziran pula. Entahlah.  

Apapun, meneroka pesta buku berkenaan, rasanya macam berbeza daripada yang sebelum ini. Antara kelainan yang saya dapati, banyak booth dan gerai jualan yang di buka di bilik-bilik atau dewan-dewan kecil yang selama ini tidak digunakan. Tatkala melangkah ke ruang legar di tingkat bawah serta dewan utama di tingkat atasnya, masih banyak gerai jualan lain. Dapat saya rasakan ruangan yg digunakan saban tahun di kedua-dua tempat ini agak lapang dan selesa kerana ruang antara gerai-gerai yang ada diperbesarkan selain laluan atau lorong untuk pengunjung bergerak dari gerai ke gerai luas sedikit. 

Mungkin dengan wujudnya susunan gerai dan penggunaan dewan dan bilik kecil di tingkat bawah dijadikan alternatif untuk mengelakkan kesesakan selain untuk memberi pilihan kepada pengunjung untuk memperbataskan kunjungan. Maksud saya, jika ada pengunjung yang memang ada senarai gerai, penerbit atau syarikat buku yang di cari, maka tidak perlukah mereka mencari-cari di satu tempat yang besar dan bersesah-sesak dengan pengunjung lain. Dengan adanya gerai, penerbit atau syarikat buku yang berada di bilik atau dewan kecil maka mereka dilihat lebih privasi dan bebas untuk melakukan sebarang aktiviti dan program membabitkan pengunjung dengan 'aman'.

Kesimpulannya, saya harapkan agar semua lapisan masyarakat dapat memanfaatkan program ini. Banyak kelebihan daripada pembelian buku dalam tempoh pesta ini berlangsung. Secara peribadi, saban tahun sekurang-kurangnya sebanyak dua kali saya jejak. Sekali untuk meneroka buku dan harga yang menjadi pilihan, yang kedua kalinya, saya datang untuk pembelian dengan membawa duit tunai yang mencukupi. Harapan saya juga semua bahan bacaan yangs aya borong kali ini tidak akan jadi sesuatu yang membazirkan. Masakan tidak, pembelian melebihi RM500 pada program tahun lepas pun ada buku yang tidak saya sentuh lagi. Rak buku pula telah penuh dan padat. Erm... Insya Allah, hujung tahun ni saya tetapkan semuanya telah saya baca sebaiknya. Insya Allah.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.