Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Oktober 16, 2011

SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ SAHABAT SEJATI RASULULLAH




Islam pada hari ini tersebar ke seluruh pelusuk dunia tidak mungkin berlaku jika tidak kerana jasa Nabi Muhammad s.a.w. Disebalik kejayaan ini di belakang baginda telah berdiri seorang individu yang begitu kental dan semangat dalam turut serta menyebarkan dakwah baginda iaitu Saidina Abu Bakar. Beliau merupakan sahabat baginda yang sangat rapat dan amat memahami diri baginda. Persahabatan yang terbina sejak usia kanak-kanak membuatkan mereka saling faham-memahami di antara satu sama lain walaupun usia Saidina Abu Bakar lebih muda dua tahun daripada baginda. 
Sejak dari awal beliau telah mempetaruhkan jiwa dan raganya demi Islam. Beliau merupakan sahabat daripada kalangan lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam. Tatkala menerima dakwah Rasulullah, beliau menerima tanpa banyak bicara dengan bersaksi dan  mengakui Allah adalah Tuhan yang esa. Tidak pernah beliau mempercayai Tuhan yang berbilang-bilang seperti mana kepercayaan masyarakatnya waktu itu yang mempunyai pelbagai Tuhan berupa berhala yang tersusun di sekitar kaabah. Beliau juga bersaksi sahabat yang dikenalinya sebagai al-Amin, iaitu yang boleh dipercayai adalah utusan Allah yang membawa cahaya kebenaran buat seluruh alam. Kerana menyakini ajaran Rasulullah jugalah beliau turut serta mengajak kaum kerabat serta masyarakat Mekah kepada Islam. Hasilnya ramai sahabat telah mendapat hidayah melalui tangannya seperti Saidina Uthman bin Affan dan Zubair bin al-Awwam.
Kepercayaan kepada kebenaran Islam yang dibawa Rasulullah tidak berbelah bahagi. Satu peristiwa yang berlaku pada tahun kesembilan kenabian dilihat sebagai satu percubaan untuk menggoyahkan keimanan Saidina Abu Bakar terhadap ajaran Rasulullah. Diwaktu masyarakat Mekah heboh dengan dakwaan Rasulullah yang telah melakukan perjalanan ke Palestin dan naik ke langit dalam masa satu malam semasa peristiwa Israk dan Mikraj, sekumpulan daripada kaumnya datang mengkhabarkan berita itu dengan anggapan beliau akan meraguinya seterusnya mendustakan apa yang berlaku terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Namun jawapan yang diperolehi amat mengejutkan mereka apabila sebaliknya Saidina Abu Bakar dengan sebulat hati terus membenarkan apa yang telah Rasulullah  lalui.
Keadaan ini telah membuktkan bahawa beliau seorang sahabat yang bukan sahaja setia dengan perjuangan Rasulullah bahkan berkeyakinan terhadap apa sahaja yang berlaku kepada baginda walaupun ia merupakan sesuatu di luar logik akal. Lalu dengan keyakinan inilah beliau telah digelar oleh Rasulullah sebagai as-Siddiq iaitu yang membenarkan. 
Sebagai sahabat dan teman yang hampir dengan diri Rasulullah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada di sisi baginda dalam berdakwah kepada masyarakat Arab. Susah dan senang ketika berdakwah dirasakan bersama. Tatkala masyarakat Mekah mengasari dan mencela Rasulullah, Saidina Abu Bakar sentiasa ada mempertahankan baginda. Diwaktu ramai yang membencinya Saidina Abu Bakar adalah orang yang sangat menyanyangi baginda. Kebenaran Islam yang dibawa oleh sahabatnya itu tidak diakuinya dalam keadaan masyarakat Mekah menuduh baginda sebagai sesat dan memecahbelahkan kerukunan kaumnya. Malah baginya Islam itu membawa rahmat kepada seluruh kehidupan yang dapat merubah manusia daripada kehidupan jahiliyyah yang rosak akhlaknya kepada sistem kehidupan yang teratur dan sejahtera. 
             Saidina Abu Bakar dengan nama asalnya Abdullah bin Abi Quhafah sebenarnya berasal daripada keturunan banhsawan. Beliau juga merupakan seorang saudagar yang berjaya dan dihormati oleh masyarakat Mekah. Namun kerana sayangkan Rasulullah dan menyakini Islam agama yang benar beliau sanggup mengorbankan hartanya demi memperjuangkan Islam. Sebahagian hartanya turut digunakan untuk menebus orang-orang yang dtawan dan disiksa yang kebanyakannya adalah dari kalangan hamba yang diseksa tuannya kerana memeluk Islam. Selain danpada itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu kemudian dibebaskan yang paling terkenal dalam sejarah ialah Bilal bin Rabah.  

Pernah semasa di Madinah, Rasulullah telah menyeru kepada seluruh kaum muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah sebagai persiapan berperang di Tabuk. Peperangan ini bertujuan untuk menentang tentera Rom yang ingin menawan wilayah di bawah pemerintahan Islam. Tiba-tiba datanglah Saiyidina Abu Bakan  membawa seluruh harta bendanya lalu menyerahkan kepada baginda.. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saiyidina Saidina Abu Bakar, Rasulullah menjadi terkejut lalu berkata kepadanya.
"Wahai sahabatku yang budiman, kalaulah semua harta bendamu telah engkau serahkan,  apa lagi yang engkau tinggalkan buat isteri dan anak-anakmu?”
Mendengarkan pertanyaan Rasulullah itu, Saidina Abu Bakar hanya tersenyum. Dengan tenang beliau menjawab. "Sesungguhnya apa yang aku tinggalkan buat mereka adalah Allah dan RasulNya.” 
            Atas dasar persahabatan, Saidina Abu Bakar amat menyayangi Rasulullah  dengan sepenuh jiwa dan raganya. Tatkala Rasulullah memenuhi perintah Allah untuk berhijrah ke Yathrib, nilai-nilai persahabatan semakin terserlah apabila baginda ditemani oleh Saidina Abu Bakar selaku sahabat yang paling dipercayai. Perjalanan yang penuh ranjau tidak dirasakan peritnya apabila ada peneman disepanjang perjalanan. Saidina Abu Bakar menjaga Rasulullah dengan sepenuh hatinya dengan tekad agar perjalan mereka selamat hingga ke destinasi. Namun, perjalanan hijrah mereka disedari oleh golongan musyrik Mekah lalu operasi dilancarkan sebagai usaha menjejaki Rasulullah dan sahabatnya itu. Sebagai startegi mereka berdua telah bersembunyi di gua Thur selepas keluar dari kawasan Mekah yang berada lima kilometer daripada kawasan kota Mekah. 
Persembunyian di dalam gua yang jauh dan terasing selama tiga hari itu turut menyerlahkan lagi sifat prihatin dan kasih sayang Saidina Abu Bakar terhadap Rasulullah. Bahkan keluarganya juga dilatih dan dilibatkan sama agar turut berkorban demi perjuangan yang dibawa oleh baginda. Anak perempuannya, Asma setiap hari menyediakan bekalan makanan hingga digelar zatun nitaqaini kerana mengikat dua tali di pinggangnya untuk membawa makanan. Sementara anak lelakinya, Abdullah pula berperanan sebagai ejen yang mengintip dan mengumpul maklumat keadaan semasa di Mekah terutama perkara yang melibatkan dakwah Islam dan hijrah Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Semua ini dilakukan agar perjalanan ke Yathrib kelak berjalan dengan lancar. 
Semasa Rasulullah tidur dipangkuan sahabatnya ketika masih berada di dalam gua Thur, tiba-tiba Saidina Abu Bakar menyedari terdapat seekor ular yang terdapat pada salah satu lubang yang ada di dalam gua itu. Bimbang ular itu akan keluar dan mencederakan Rasulullah  beliau lantas menutup lubang itu dengan ibu jari kakinya. Tidak disangka-sangka ular itu mematuk pula kakinya selepas lubang itu ditutup.  Sedaya upaya beliau menahan kesakitan akibat patukan ular itu. Air matanya berlinangan namun sedikit pun beliau tidak mengeluarkan suara supaya tangisannya itu tidak mengganggu lena Rasulullah .
Begitulah sifat kasih Saidina Abu Bakar sebagai seorang sahabat kepada seorang utusan Allah yang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya. Keselamatan Rasulullah  sentiasa menjadi keutamaan walaupun dirinya sendiri mengalami penderitaan. Keimanannya kepada Allah dan rasulnya tidak berbelah bahagi sehingga pernah baginda bersabda. "Jika ditimbang iman Saidina Abu Bakar dengan iman seluruh umat Islam, maka berat lagi iman Saidina Abu Bakar.”
Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan iman, kemuliaan akhlak dan kecerdasan akalnya. Pemilihan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan nabi dilihat satu keputusan yang tepat. Hubungannya yang erat dengan Rasulullah  dan peranannya yang besar dalam perjuangan nabi membuatkan masyarakat Islam waktu itu menerima Saidina Abu Bakar sebagai pemimpin mereka. 
Persahabatan antara Rasulullah   dengan Saidina Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Pernah suatu ketika Rasulullah  mengungkapkan ucapan penghargaan kepada sahabatnya. “Semoga Allah merahmatimu. Engkau adalah sahabatku. Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah menenteramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh-kesah. Sesungguhnya tiada sesiapa yang dapat menyamaimu, biar apa pun yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang telah dibuat olehmu.”

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.