Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Oktober 16, 2011

TIMBANG-TARA ANTARA KEPERLUAN DAN KEHENDAK



Manusia memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal dalam kehidupan mereka. Apalah maknanya kalau seseorang itu mempunyai pakaian tetapi tiada makanan? Atau mempunyai tempat tinggal tetapi tiada pakaian? Atau mempunyai pakaian tetapi tiada tempat tinggal? Jika salah satu daripada perkara-perkara ini tiada ini bermakna kehidupan seseorang manusia tidak lengkap kerana ia merupakan asas dalam meneruskan kehidupan.
Namun ada yang mengandaikan dalam dunia moden ini tidak cukup hanya sedakar memiliki makanan, pakaian dan tempat tinggal. Mengapa, ada perkara lainkah yang menjadi keperluan dalam hidup? Kalau tiada sesuatu selain daripada tiga perkara ini akan terjejaskah kehidupannya?
Mungkin ya, dan mungkin tidak. Ia berikutan keinginan antara manusia dengan manusia itu berlainan. Keperluan asas yang sama tiada sesiapa pun dapat menafikannya. Tetapi dalam masa yang sama ada juga perkara-perkara lain yang menjadi keperluan dalam kehidupan seseorang selain daripada tiga perkara asas yang disebutkan. Mungkin ianya bergantung kepada corak kehidupan dan situasi mengikut latar belakang diri, kerjaya, suasana masyarakat dan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada ketidak-samaan perkara-perkara yang menjadi sesuatu yang perlu dalam kehidupan. Bahkan keperluan turut diertikan sebagai sesuatu yang harus dimiliki dengan sekadar yang ada bagi urusan berkaitan kehidupan.
Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Tidak pentingkah untuk dimilki dalam kehidupan? Perkara-perkara lain pula dianggap sebagai perkara kehendak dalam kehidupan di mana ia sekadar untuk memberi keselesaan dan kemudahan terhadap diri seseorang. Tanpa adanya perkara-perkara kehendak selain tiga yang asas, ia tidak menjejaskan kehidupan seseorang.
Kehendak yang menjadi kefahaman orang rata-ratanya adalah bersifat subjektif. Dengan adanya perkara-perkara kehendak itu kehidupan seseorang itu akan lebih sempurna dan lengkap. Namun, tanpa perkara-perkara kehendak itu tidak bermakna dirinya akan terjejas dalam meneruskan kehidupan. Cuma kemungkinan akan menghadapi kesukaran dalam melalui kehidupan sehariannya .Boleh juga dikatakan kehendak itu merupakan sesuatu yang dimiliki dengan kadar yang lebih daripada perlu. 
Jika menyebut kenderaan sebagai keperluan seseorang, mungkin ada yang bersetuju. Rata-rata setiap keluarga tentu saja memilkinya. Ada yang berkenderaan untuk bergerak dari sesuatu tempat ke tempat yang lain seperti ke tempat kerja atau pulang ke kampung. Namun apabila menyebut jenis dan pilihan kereta dan MPV mahupun motorsikal dan sebagainya, ia sebenarnya berkait rapat dengan kehendak. Jika daripada kalangan orang yang berkemampuan tentu saja banyak pilihan boleh disenaraikan sebelum memiliki berbanding orang yang kurang berkemampuan. Namun mereka juga memerlukan kenderaan lalu memilih kenderaan yang sedakar mengikut kemampuan diri untuk memenuhi tuntutan keperluannya. 
Hatta kepada kepada kanak-kanak pun, jika perlu baginya sebuah basikal untuk ke sekolah kerana tiada perkhidmatan bas sekolah ditempatnya, maka ia juga menjadi satu keperluan untuknya. Di sini kita dapat melihat berkehendakkan untuk memiliki kenderaan itu menjadi satu keperluan mengikut situasi dirinya.
Jika melihat perkara asas dalam kehidupan setiap manusia, makanan yang menjadi keperluan itu juga boleh menjadi sesuatu yang dianggap kehendak. Ini berlaku apabila wujud keinginan yang melampaui tahap keperluan seseorang dalam soal makanan. Ia berikutan tujuan mendapatkan makanan adalah untuk memberi kesihatan kepada tubuh badannya dengan mengikut kadar yang secukupnya.
Begitu juga dengan berpakaian. Keperluannya adalah untuk menutup anggota badan tanpa mengira jenis kain, warna dan potongannya. Ia menjadi kehendak apabila pakaian yang diingini itu melebihi dari apa yang sepatutnya dari sekadar perlu. 
Tidak kurang juga dengan tempat tinggal. Matlamatnya adalah untuk berlindung. Tetapi ia jadi sesuatu yang dianggap kehendak apabila rumah yang dimiliki itu mempunyai bermacam-macam kelengkapan rumah yang dilihat semua kelengkapan itu dapat membuat kehidupannya lebih selesa dan sempurna.
Maka jelas kelihatan setiap manusia itu mempunyai keperluan dan kehendaknya yang tersendiri. Walau apapun makna sesuatu keperluan kepada seseorang pastinya ia menjadi satu kemestian bagi manusia untuk memiliki sedangkan pada manusia lain ia bukanlah sesuatu yang perlu dalam kehidupannya. 
Berkehendak kepada seuatu itu tidak pula menjadi kesalahan, namuin pastikan ia tidak melampaui batas sekaligus mewujudkan sikap suka membazir selain bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Ini kerana Allah mengutuk orang-orang yang membazir dalam firmannya melalui surah al-Israk, ayat 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Kita sedia maklum bahawa Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup suka membazir dalam semua urusan kehidupan kita termasuk urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Mereka seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperolehi itu sebenarnya kurniaan Allah S.W.T. Mereka menggunakan rezeki tersebut secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya.
Ingatlah, apa yang dimiliki itu bukanlah hak mutlak baginya kerana semua itu tentu saja kurniaan daripada Tuhan yang Maha Penyayag dalam memberikan secebis nikmatnya kepada setiap diri manusia. Jika Dia mahu menarik semula apa yang dimiliki oleh seseorang mudah saja baginya. Jalan yang terbaik adalah bersederhana dalam kehidupan termasuk dalam aspek pengurusan perbelanjaan. Di dalam surah al-Furqan, ayat 67 Allah menggalakkan manusia untuk hidup bersederhana melalui berfirmannya yang bermaksud,  dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut).”
 
Jadi, tugas sebagai manusia yang menjadi hamba-Nya tidak lain hanyalah menzahirkan rasa syukur ke atas setiap kurniaan-Nya. Kepada orang yang sentiasa bersyukur Allah telah menjanjikan sesuatu kepada mereka melalui firmannya di dalam al-Quran pada surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih."


____________________________________________________________________

Artikel ini merupakan olahan semula untuk dihantar bagi menyertai pertandingan menulis tazkirah daripada artikel dahulu, Timbang tara antara keperluan & kehendak.

 

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.