Isnin, Oktober 10, 2011

KAKITANGAN AWAM & KERJA SAMPINGAN: Satu Keperluan?



Setiap orang mengimpikan kedudukan kewangan yang kukuh dan stabil. Bagi merealisasikan hasrat tersebut ramai orang berlumba-lumba mencari sumber bagi menjana pendapatan tambahan. Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Keadaan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing yang berlaku dalam situasi masyarakat malaysia pada hari ini.
Situasi ekonomi yang berlaku ini telah menyebabkan kebanyakan masyarakat terasa dengan beban inflasi kenaikan harga barang. Lebih-lebih lagi terdapat kira-kira 45 peratus daripada 1.2 kakitangan awam yang kebanyakannya bekerja di bandar tertekan dengan kos sara hidup tinggi sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan (Sazarina 2009).   
Merujuk kepada isu yang berbangkit pada tahun 2008, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta supaya membuat keputusan segera bagi membenarkan pekerja kumpulan sokongan melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata ia sebagai penyelesaian tetap atau jangka panjang dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang (Bernama 2008).  
Dalam keadaan ekonomi yang agak kurang memberangsangkan dan ditambah dengan harga barang yang tinggi dan meningkat sentiasa, rakyat malaysia terutamanya kakitangan awam melibatkan diri dengan kerja sambilan. Dari segi undang-undang tidak salah untuk kakitangan awam bekerja sambilan tetapi dengan syarat tidak mengganggu kerja utama bagi kakitangan awam tersebut (Woon 2008).
Ramai yang berfikiran bekerja sebagai kakitangan kerajaan menjanjikan gaji yang baik walaupun ramai yang menyedari bekerja dengan sektor swasta menjanjikan pendapatan yang agak lumayan, seperti bonus bulanan dan keistimewaan lain. Ini disebabkan ada anggapan bahawa bekerja di sektor kerajaan sememangnya stabil kerana tiada pemberhentian kerja di waktu-waktu yang kritikal berbanding mereka yang bekerja di sektor swasta di mana kakitangan kerajaan tidak perlu runsing bila berlakunya kegawatan ekonomi (Zulkiple Ibrahim 2007).
Namun demikian apa yang sebenarnya berlaku ramai daripada kalangan kakitangan awam dikategorikan miskin walaupun tinggal di bandar. Contohnya Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Tengku Adnan mendapati hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan (Haika 2011).
Oleh yang demikian sebagai jalan keluar kebanyakan golongan seperti ini telah mengambil alternatif untuk menambahkan pendapatan mereka melalui kerja sambilan dengan harapan pendapatan yang diperolehi itu dapat menampung kos kehidupan mereka. 
Tetapi dengan adanya pengumuman YAB PM mengenai pelbagai intensif yang diberikan kepada kakitagan awam  pada pembentangan bajet yang lepas, adakah perlu lagi kakitangan awam untuk mencari punca rezeki sampingan untuk memberi keselesaan kepada kehidupan mereka...?


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.