Sabtu, Januari 22, 2011

PRODUK HIBURAN ISLAM PERLU GARIS PANDUAN



DUNIA hiburan tanah air sejak kebelakangan ini dihidangkan dengan drama dan telefilem berbentuk dakwah. Tahniah apabila Imam Muda, Akademi al-Quran dan beberapa siri drama berkualiti tinggi berjaya menjadi fenomena kepada masyarakat.

Semakin banyak produser berlumba menerbitkan rancangan bercirikan Islam. Meskipun peratusnya masih kecil berbanding hidangan hiburan lain, sekurang-kurangnya penonton yang inginkan program berunsur keagamaan mempunyai pilihan.

Namun, masih banyak kelemahan dilihat menyebabkan niat menerapkan nilai agama kepada penonton tidak mencapai matlamat, malah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan mula diperbahaskan. Umpamanya, adegan cara berdoa serta memberi salam yang dipermain-mainkan. Ada adegan menunjukkan jemaah surau bermain mata antara lelaki dan wanita di sebalik tabir pemisah, belum lagi ustaz alim berjalan berdua-duaan dengan bukan muhrim. 

Perlukah dalam drama peguam syarie digambarkan sangat terbuka dalam soal bersosial hingga boleh pula makan berduaan dalam rumah perempuan? Timbul juga polemik antara pembikin filem dan intelektual mengenai filem genre seram yang memaparkan ustaz sebagai penghalau hantu. 

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, yang menjelaskan perkara itu berkata watak diketengahkan mengikut jalan cerita ditetapkan dan sudah tentu watak dilakonkan bersesuaian dengan skrip. Katanya, filem genre seram mengisahkan suasana seram bukan mengenai hidup ahli agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada penonton yang menonton filem berkenaan. Persoalannya, sejauh mana moral dan nasihat itu dapat diterima masyarakat. Seharusnya penerbit filem faham apa maksud cerdik pandai mengenai bahaya pemahaman ini dalam struktur sosial masyarakat.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata pendedahan berterusan masyarakat terhadap filem atau cerita genre seram yang ketika ini dilihat begitu keterlaluan, boleh memberikan kesan buruk terhadap struktur sosial masyarakat. Tema hiburan Islam perlu ditafsir semula dan diperkemaskan supaya selari dengan maksud dan kehendak syariah. Jika penulis skrip dan penerbit bebas mendefinisikan Islam melalui kacamata masing-masing, dikhuatiri pemahaman Islam akan menjadi kacau bilau.
Niat murni penghasil drama dan filem berteraskan Islam tidak dipertikaikan tetapi bagi memastikan hasrat itu benar-benar memenuhi matlamat, perlu ada penyelidikan supaya hasilnya nanti tidak lari daripada syariat Islam sebenar. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh mengambil inisiatif membantu ahli industri hiburan dengan menyediakan garis panduan yang jelas serta mudah dituruti dan pada masa sama tidak ber canggah ajaran Islam. Saranan ini sangat penting memandangkan kesan media terhadap pemikiran masyarakat sangat besar. Kita tidak mahu apa yang ditonton diterima bulat-bulat oleh penonton disebabkan salah faham atau kejahilan mereka.

Penghasilan produk hiburan bercirikan Islam adalah tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan dan tidak keterlaluan ia sebahagian fardu kifayah yang sangat dituntut. Islam juga tidak menafikan keperluan hiburan kepada manusia tetapi hiburan itu perlu selari tuntutan fitrah dan syariah.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ProdukhiburanIslamperlugarispanduan/Article

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas informasi yang besar! Saya tidak akan menemukan ini dinyatakan!.

emi nizam berkata...

inilah realiti masa kini..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.