Assalamualaikum.
Saya terpanggil untuk memberi respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan menerusi tulisan yang dimuatkan dalam salah satu kolum akhbar sisipan Berita Harian edisi 9 April 2011 (Sabtu) yang ditulis oleh Tumit Tinggi (TT). Membaca saja tajuknya ‘Beza cikgu dulu, sekarang’ membuatkan saya tertarik untuk membacanya lebih lanjut. Terdetik dalam hati, ada bezakah antara guru dulu dan sekarang? Dari segi apa? Buat masa ini isu yang selalu timbul adalah berkenaan dengan beban tugas guru yang dulunya tidaklah sebeban pada masa sekarang. Almaklumlah, dunia berubah membuatkan sistem pendidikan turut berkembang dan dinamik sejajar dengan perkembangan era globalisasi. Rela atau tidak, mereka yang berada dalam bidang pendidikan haruslah turut serta bagi memastikan sistem pendidikan kita tetap relevan. Lantas, keadaan ini telah menyumbang kepada kepelbagaian tugas guru yang sedikit lari dari tugas hakikinya.
Namun, bilamana selesai membaca komentar TT berkenaan beza guru dulu dan sekarang seolah-olah menunjukkan betapa goyahnya jatidiri dan kredibiliti seorang guru. Secara amnya beliau menyebut guru dulu lebih bagus dan baik berbanding guru sekarang secara pukul rata.
Kisahnya mengenai sepupu beliau yang mengadu tentang guru kepada anaknya telah menghubunginya untuk melaporkan perihal anaknya yang tidak membawa buku dan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Nampak gaya sepupu beliau itu cukup tidak puas hati dengan cikgu berkenaan yang seolah-olah hilang sabar dengan anaknya setelah dimaklumkan anaknya akan dipindahkan ke kelas yang lain.
“Kalau betul anak S bermasalah, kenapa sebelum ni cikgu tu tak call langsung. Kenapa keadaan dah teruk sangat, macam yang cikgu tu cakap, baru nak call parents, siap nak pindahkan kelas, siap cakap saya dah tak tahan dengan perangai anak puan. Macam ni ke pendidik sekarang?”
Daripada kenyataan ini ia memperlihatkan bahawa guru anaknya itu tidak mengambil berat pada awal masalah ini berlaku. Bahkan menyalahkan guru itu bilamana anaknya sudah bermasalah sehingga ke tahap itu barulah gurunya bertindak menghubunginya.
Timbul persoalan di sini, adakah menjadi satu tugas guru untuk sentiasa memaklumkan apa-apa hal berkaitan anak-anak muridnya di sekolah? Tidak terfikirkan beliau berapa ramai ibu bapa yang harus dihubungi apabila ada masalah-masalah berlaku di kelas berkaitan pengajaran dan pembelajaran seperti tidak membawa buku, tidak menyiapkan kerja sekolah atau tidak menyalin nota? Belum lagi hendak disebutkan masalah berkaitan disiplin dan bersangkut paut dengan interaksi mereka sesama rakan sebaya.
Takkanlah semua perkara guru perlu membuat aduan kepada ibu bapa. Dalam peraturan sekolah pun, sebelum masalah murid ini sampai ke pengetahuan ibu bapa, mereka hanya diberi nasihat dan amaran. Jka kesalahan berulang tindakan menghubungi ibu bapa memang dilakukan terutamanya melibatkan kesalahan yang serius seperti merokok, ponteng kelas, membuli dan sebagainya. Kalau kesalahan di kelas seperti yang disebutkan di atas tidak seharusnya terus menghubungi ibu bapa. Pada anggapan guru mungkin sekali dua tidak menjadi hal, yang menjadi masalah adalah kepada murid yang kerap kali melakukan kesalahan yang sama. Untuk situasi ini memang wajar ibu bapa murid dihubungi.
Untuk pengetahuan, menjadi kebiasaan guru untuk memberitahu secara tidak langsung kepada ibu bapa di rumah melalui catatan pada buku tulis atau buku kerja murid jika didapati masalah tidak menyiapkan kerja rumah contohnya. Apa yang dicatat itu bukanlah satu memo khusus tetapi lebih kepada simbol dan arahan yang mengkehendaki murid menyelesaikan tugasan itu. Di sini jika ibu bapa murid yang prihatin tentunya mereka menyedarinya dengan selalu bertanyakan kepada anaknya tentang pembelajaran di sekolah. Atau sebaik-baiknya menyemak hasil kerja murid dalam buku melalui latihan yang diberikan.
Satu lagi perkara yang dinyatakan TT dalam kolumnya mengenai tugas guru yang katanya menyerahkan masalah murid kepada ibu bapa. Saya tidak pasti sama ada beliau sedar atau tidak semasa menulis kenyataan ini. Perlu disedari bahawasanya murid yang menerima pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu bukanlah sepenuh masa bersama gurunya. Dalam tempoh lebih kurang 8 jam cukupkah masa untuk guru mengenalpasti kelakuan, potensi dan prestasi murid-murid secara detail bagai mengenali anak sendiri? Bagaimana pula dengan ibu bapa di rumah yang lebih banyak masa dihabiskan bersama anak-anak? Tidakkah mereka seharusnya lebih mengenali anaknya berbanding guru di sekolah yang tidak saja mengadap anaknya seorang sahaja, tetapi lebih 30 orang dalam satu-satu kelas?
“Yalah, macam ni ke cikgu zaman sekarang. TT pun tak faham! Kalau betul anak murid awak tu bermasalah, kenal pasti kenapa dia macam tu, tanya, kenali anak murid dan bantu selesaikan masalah tu. Mak bapak jaga anak kat rumah, kat sekolah, cikgu la pulak, bukannya bila anak murid ada masalah kat sekolah, terus pass balik kat mak bapak! Senang sangatlah kerja cikgu kalau macam tu..”
Kenyataan itu melambangkan betapa mudahnya ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka ke bahu guru sedangkan peranan merekalah yang lebih utama. Kalaulah memang peranan guru untuk lebih memahami karenah dan kelakuan anak murid berbanding ibu bapa yang seharusnya lebih mengenali karektor dan potensi anak mereka sendiri, memang bertambah-tambahlah skop tugas guru di sekolah. Andainya begitu apa pula tugas ibu bapa di rumah kalau segala-gala hal berkaitan pendidikan dan akademik anak-anak diserahkan kepada guru yang bersamanya hanya selama 8 jam sehari itu? Lalu, antara guru dan ibu bapa, kerja dan tugas siapakah yang paling mudah?
Untuk makluman sepupu TT termasuk semua ibu bapa murid, seseorang guru tidak akan mengabaikan anak muridnya di kelas apatah lagi membiarkan murid tidak melakukan apa yang disuruh. Adalah tidak logik jika ada guru yang membuat tidak peduli kepada muridnya yang tidak menyiapkan kerja sekolah yang harus dibuat di rumah atau tidak membawa buku untuk digunakan di dalam kelas. Semua guru mahukan proses pengajaran dan pembelajaran mereka berjalan dengan berkesan. Jika ada dalam kalangan murid yang sebegini tentu mereka dinasihati sebelum diberi amaran jika berlaku berulang kali. Sudahlah menyentuh anak murid seperti merotan dan menarik telinga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh guru di kelas, ditambah pula dengan gangguan-gangguan seperti ini. Tidak terbayangkah oleh ibu bapa bahawa pada waktu itu bukan dua, tiga orang murid yang dihadapinya? Ramai murid lain yang harus di ambil perhatian secara adil malah sebagai guru tentu mereka mengkehendaki murid-murid memahami pengajarannya dengan baik dan mengharapkan kejayaan anak-anak didiknya.
Seterusnya TT juga memberikan perbandingan antara guru dulu dan sekarang;
“TT bukan nak kondem cikgu zaman sekarang tapi cuma nak buat perbandingan, bagaimana berdedikasinya cikgu zaman dulu, betapa sayangnya mereka pada anak didik dan sejauh mana kasihnya mereka pada anak murid, tak ubah macam anak sendiri. Tak kiralah, baik cikgu lelaki mahu pun cikgu perempuan.”
Saya tidak pasti apa ukurannya dalam menyebut tahap dedikasi seorang guru. Beliau harus tahu, semua guru yang terlatih telah diterapkan dengan ilmu dan latihan yang baik terutamanya dalam aspek pedagogi. Ilmu pedagogi ini tersangatlah penting lantaran guru itu bekerja dan mengurus manusia berbanding kerjaya lain seperti di pejabat berhawa dingin yang bekerja menghadap komputer atau mesen. Murid selaku manusia tentu saja mempunyai pelbagai ragam yang menuntut untuk guru bersabar dan meladeni anak didiknya sebaik mungkin. Mengajar juga memerlukan guru lebih berperanan sebagai ibu bapa murid dalam tempoh persekolahan dan tidak perlu dinafikan ramai kalangan guru yang begitu prihatin dengan anak muridnya samada zaman dulu atau zaman sekarang.
Selanjutnya TT menyebut mengenai guru sekarang yang dilihat bermoral rendah;
“Sekarang? Cikgu cabul murid, cikgu usik murid, bukan cikgu lelaki je, yang perempuan pun sama naiknya! Apa kes? Memang bilangan kes tak banyak, berbanding bilangan guru yang ramai, tapi dalam kerjaya mulia begini, angka, banyak sikitnya kes tak boleh dijadikan ukuran. Ada je kes, itu dah kira serius. Ini kerjaya yang sepatutnya, salah laku sifar!”
“Sekarang? Cikgu cabul murid, cikgu usik murid, bukan cikgu lelaki je, yang perempuan pun sama naiknya! Apa kes? Memang bilangan kes tak banyak, berbanding bilangan guru yang ramai, tapi dalam kerjaya mulia begini, angka, banyak sikitnya kes tak boleh dijadikan ukuran. Ada je kes, itu dah kira serius. Ini kerjaya yang sepatutnya, salah laku sifar!”
Saya tidak merasakan isu ini menjadi masalah besar terhadap kerjaya perguruan secara keseluruhan. Harus diingat manusia ni pelbagai ragam. Bukan saja murid-murid yang mempunyai 1001 ragam, tetapi kalangan guru juga ada yang berperlakuan tidak sepatutnya bagi seorang guru walaupun berada dalam satu kerjaya yang mulia. Harus diingat juga, kerjaya perguruan tidak ada apa-apa masalah, tetapi orang yang berada dalam profesyen itu yang bermasalah. Seperti mana juga Islam sebagai sebuah agama yang mulia dan syumul, tetapi masih ada kalangan umatnya yang tidak berpenampilan dan berakhlak sejajar dengan syariat. Jadi yang bermasalah itu adakah agama Islam atau orang Islam? Jadi saya tidak setuju dengan kenyaataan itu yang seolah-olah merendahkan martabat warga guru dan pendidik secara keseluruhan pada masa sekarang (kerana beliau mebandingkan guru dulu dan sekarang).
“Susah nak faham kenapa benda macam ni berlaku tapi TT rasa kita boleh cakap ramai yang jadi guru sekarang ni sebab dah terpaksa. Terpaksa sebab mak bapak nak dia jadi cikgu atau terpaksa, sebab tu sajalah peluang pekerjaan yang dia ada. Jiwa tak ke situ, buat kerja terpaksa, yang dia tahu, janji tiap-tiap bulan, gaji ada. Perjuangan dan tanggungjawab sebenar cikgu, dia tak peduli...baik jangan jadi cikgu macam tu.”
Kenyataan ini juga memperlihatkan betapa dangkalnya padangan beliau terhadap orang-orang yang menjadi guru. Adalah tidak masuk akal beliau membuat tuduhan sebegitu dengan maksud ia berlaku pada guru-guru sekarang. Adakah beliau ada sumber yang mengatakan guru dulu tidak seperti ini? Guru yang terpaksa, dipaksa atau dengan lain perkataan tidak rela menjadi guru bukanlah seuatu yang menjadi masalah sebab persoalannya adakah sejauhmana kemampuan dan kelayakan guru untuk berada dalam bidang perguruan itu. Perlu dimaklumkan bahawa proses untuk menjadi guru yang benar-benar guru sememangnya berlaku dalam proses yang panjang, bermula dari proses permohonan, ujian kelayakan, temu duga hingga kepada sesi latihan di institusi pendidikan. Malah tidak sekadar itu, selepas diberi penempatan pelbagai ujian dan temuduga serta latihan selain kursus yang perlu dihadiri bagi memastikan seseorang itu benar-benar menjadi seorang orang guru sejajar dengan tugas dan amanah yang dipikulnya.
Kesimpulannya, penulisan TT terhadap kerjaya guru kelihatan berlandaskan emosi semata-mata. Nampak sangat beliau berprejudis terhadap kerjaya seorang guru yang di awalnya menyebut ketidak prihatinan guru hingga kepada beza guru dulu dan sekarang. Seharusnya beliau sedar pandangan beliau ini sebenarnya boleh mencetuskan rasa tidak selesa di kalangan lebih 400,000 guru yang sebahagian besarnya tentu saja guru zaman sekarang.
Respon ini ditulis bukanlah untuk menimbulkan ketegangan antara pihak ibu bapa dan guru, tetapi sekadar untuk memberi maklum balas terhadap salah faham yang ditimbulkan oleh TT. Harus disedari kolaborasi antara guru dan ibu bapa sememangnya diperlukan bagi memastikan anak-anak memperolehi pendidikan yang sempurna dan terbaik hasil kekauatan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Guru tugasnya mengajar dan menerapkan pendidikan dan pengetahuan manakala ibu bapa pula berperanan untuk memastikan adanya kesinambungan pembelajaran anak-anak di sekolah dengan mengamalkan dan membudayakannya di rumah.
Cikgu Sekarang
Sepang, Selangor.
10 April 2011
10 April 2011
3 ulasan:
baru terbacer entri dan sangat bersetuju dgn anda....=)
http://ceriterachentanuddyra.blogspot.com/2011/04/blogwalking-smbil-tanda-buku-pelajar.html
saya respon atas dasar seorg cikgu zaman skrg...hehe..awak cikgu juga ke? apapun kalu kepala kita ni betol konfem xkan kuarkan kata2 n kenyataan sebegitu..kata2 yg penuh emosi..
sy student universiti pendidikan sultan idris.projek paper sy skang ni "guru dahulu (sebelum era 90 an) lebih terserlah dengan ciri dedikasi,komited dan seni didik yang tinggi terhadap peranan dan tanggungjawab profession keguruan berbanding dengan generasi guru masa kini".fews of us xstuju dgn tajuk ni..tp lecturer kami ckp tajuk adalah berdasarkan kajian yg telah dijalankan yg mana 70% betul.so,terpaksa jgk teruskan utk dapatkan isi-isi penting di mana kelemahan guru sekarang jika nk dbandingkan dgn guru dulu.
Catat Ulasan