Kuala Lumpur International Book Fair 2011 kembali lagi. Acara tahunan yang sering disebut sebagai pesta buku sememangnya dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sama ada yang memang menjadikan membaca sebagai hobi, ulat buku, pendidik, pelajar, ibu bapa atau sesiapa jua, semuanya hadir atas satu matlamat, untuk mencari bahan bacaan yang diminati.
Melihat suasana di sana, rata-rata pengunjung di lihat begitu teruja dengan acara ini. Pengunjung seawal pagi telah menunggu di pintu masuk ke dewan-dewan pameran sedangkan ia dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir jam 9.00 malam. Mereka yang datang kebiasaannya masuk berlenggang tanpa apa-apa di tangan, tetapi tatkala melangkah keluar dari bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana acara berlangsung, jarang ditemukan sesiapa yang keluar dengan tangan kosong. Tidak sekadar menggalas beg yang dipenuhi bahan yang dibeli, malah di tangan penuh juga dijinjit kiri kanan.
Meneroka di dalam dewan-dewan pameran, setiap pelusuk dewan penuh dengan pengunjung. Dari tingkat bawah, hinggalah 2 tingkat di atasnya. Dari ruang legar bangunan PWTC, hinggalah ke beberapa buah dewan lain. Semuanya sesak sesesak sesaknya. Kawasan tengah bangunan yang menempatkan pentas utama turut penuh dengan pengunjung. Dengan kata lain, keadaan ini memang benar-benar seperti di pesta-pesta lain. Silap hari bulan, fun-fair pun tak sesak seperti ini. Manakan tidak, keadaan yang sesak dan penuh membuatkan pergerakan menjadi lambat. Di pintu masuk pengunjung keluar dan masuk. Di celah-celah deretan booth pula memang penuh dengan pengunjung. Mujur semuanya bersabar dan tidak tolak menolak.
Untuk tahun ini, kelihatan sedikit pengurangan penyertaan daripada syarikat dan penjual buku dan bahan-bahan bacaan lainya. Jika tahun lepas sebanyak dua buah bangunan telah digunakan (saya tak pasti apa nama bangunan tu tetapi ia perlu merentasi sebatang sungai melalui jambatan yang menghubungkan antara kedua-dua belah bangunan) tetapi untuk tahun ini, pameran hanya berada di bangunan PWTC seperti di kawasan legar, dewan-dewan di aras atas dan dewan-dewan kecil di aras bawah. Tetapi bahan-bahan yang dipamerkan (tentu saja kebanyakkannya untuk dijual) tetap banyak dan pelbagai. Hendak disebut satu persatu amatlah tidak bijak. Semuanya perlu dilihat dengan mata kepala sendiri kerana lain orang lain minatnya.
Pada yang meminati bahan-bahan ilmiah, lihat saja di gerai PTS, Telaga Biru, MPH dan lain-lain yang menawarkan pelbagai tema dan genre penulisan. Untuk yang mencari komik dan majalah, tentu saja gerai MOY, Blue-T, Galeri Ilmu dan Karangkraf serta lain-lain yang menghasilkan pelbagai bahan bacaan ringan dan santai. Pada yang mencari bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran interaktif tentu dapat mencuba pelbagai alat dan kaedah yang dijual pada harga promosi seperti BESTA, Linguaphone dan sebagainya. Bahan-bahan hasilan daripada produk institusi pendidikan dan jabatan kerajaan turut ada seperti Penerbitan UKM, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Bahagian Buku Teks sekolah, Jabatan Warisan Negara dan sebagainya. Pendek kata, semuanya ada.
Rasailah sendiri keseronokan berada di sebuah pesta yang mengumpulkan pelbagai bahan dan sumber bacaan. Percayalah, acara tahunan ini amatlah besar dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Acara yang berlangsung pada 22 April 2011 akan berakhir pada 1 Mei 2011. Tunggu apa lagi, jom beramai-ramai hadir ke sana :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan