Jumaat, April 29, 2011

Doa Tilawah @ Khatam al-Quran versi Nasyid

Doa Tilawah atau boleh disebut dengan Doa Khatam al-Quran seringkali dibaca selepas selesai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Bagi diri saya doa ini tidak begitu asing kerana sedari kecil saya telah dibiasakan dengan doa yang dinasyidkan ini. Semestinya ia bermula di bangku sekolah hingga ke peringkat menengah dan sehingga kini pun masih saya lagukan tatkala selesainya bacaan. Daripada bait-bait doa berbahasa Arab itu dapat difahami bahawa ia sebagai tanda permohonan untuk Allah merahmati kita yang membaca Kalam-Nya. 


 

Terjemahan:

(Ya) Allah, rahmati kami dengan al-Quran
Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat
(Ya) Allah, ingatkan kami apa yang terlupa
Ajarkanlah yang tak diketahui
Rezekikan kami membacanya siang dan malam
sepanjang siang dan malam
Jadikan ia penolong kami
Ya Rabb al-Alamin.

Isnin, April 25, 2011

Kemeriahan di KLIBF2011


Kuala Lumpur International Book Fair 2011 kembali lagi. Acara tahunan yang sering disebut sebagai pesta buku sememangnya dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sama ada yang memang menjadikan membaca sebagai hobi, ulat buku, pendidik, pelajar, ibu bapa atau sesiapa jua, semuanya hadir atas satu matlamat, untuk mencari bahan bacaan yang diminati.
Melihat suasana di sana, rata-rata pengunjung di lihat begitu teruja dengan acara ini. Pengunjung seawal pagi telah menunggu di pintu masuk ke dewan-dewan pameran sedangkan ia dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir jam 9.00 malam. Mereka yang datang kebiasaannya masuk berlenggang tanpa apa-apa di tangan, tetapi tatkala melangkah keluar dari bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana acara berlangsung, jarang ditemukan sesiapa yang keluar dengan tangan kosong. Tidak sekadar menggalas beg yang dipenuhi bahan yang dibeli, malah di tangan penuh juga dijinjit kiri kanan.
Meneroka di dalam dewan-dewan pameran, setiap pelusuk dewan penuh dengan pengunjung. Dari tingkat bawah, hinggalah 2 tingkat di atasnya. Dari ruang legar bangunan PWTC, hinggalah ke beberapa buah dewan lain. Semuanya sesak sesesak sesaknya. Kawasan tengah bangunan yang menempatkan pentas utama turut penuh dengan pengunjung. Dengan kata lain, keadaan ini memang benar-benar seperti di pesta-pesta lain. Silap hari bulan, fun-fair pun tak sesak seperti ini. Manakan tidak, keadaan yang sesak dan penuh membuatkan pergerakan menjadi lambat. Di pintu masuk pengunjung keluar dan masuk. Di celah-celah deretan booth pula memang penuh dengan pengunjung. Mujur semuanya bersabar dan tidak tolak menolak.  
Untuk tahun ini, kelihatan sedikit pengurangan penyertaan daripada syarikat dan penjual buku dan bahan-bahan bacaan lainya. Jika tahun lepas sebanyak dua buah bangunan telah digunakan (saya tak pasti apa nama bangunan tu tetapi ia perlu merentasi sebatang sungai melalui jambatan yang menghubungkan antara kedua-dua belah bangunan) tetapi untuk tahun ini, pameran hanya berada di bangunan PWTC seperti di kawasan legar, dewan-dewan di aras atas dan dewan-dewan kecil di aras bawah. Tetapi bahan-bahan yang dipamerkan (tentu saja kebanyakkannya untuk dijual) tetap banyak dan pelbagai. Hendak disebut satu persatu amatlah tidak bijak. Semuanya perlu dilihat dengan mata kepala sendiri kerana lain orang lain minatnya.
Pada yang meminati bahan-bahan ilmiah, lihat saja di gerai PTS, Telaga Biru, MPH dan lain-lain yang menawarkan pelbagai tema dan genre penulisan. Untuk yang mencari komik dan majalah, tentu saja gerai MOY, Blue-T, Galeri Ilmu dan Karangkraf serta lain-lain yang menghasilkan pelbagai bahan bacaan ringan dan santai. Pada yang mencari bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran interaktif tentu dapat mencuba pelbagai alat dan kaedah yang dijual pada harga promosi seperti BESTA, Linguaphone dan sebagainya. Bahan-bahan hasilan daripada produk institusi pendidikan dan jabatan kerajaan turut ada seperti Penerbitan UKM, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Bahagian Buku Teks sekolah, Jabatan Warisan Negara dan sebagainya. Pendek kata, semuanya ada.
Rasailah sendiri keseronokan berada di sebuah pesta yang mengumpulkan pelbagai bahan dan sumber bacaan. Percayalah, acara tahunan ini amatlah besar dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Acara yang berlangsung pada 22 April 2011 akan berakhir pada 1 Mei 2011. Tunggu apa lagi, jom beramai-ramai hadir ke sana :D

Ahad, April 24, 2011

Dengar Nasihat Dari Zikir Kifarah

Salam... Hujung minggu ni saya rasakan tersangatlah letih fizikal mental. Jadi untuk entry kali ini saya sekadar berkongsi sebuah video klip yang saya kira lagu yang dipersembahkan ini benar-benar bermanfaat untuk diambil sebagai panduan. Terimalah Nada Murni melalui dendangan yang bertajuk, Zikir Kifarah :D


Khamis, April 21, 2011

DI SEBALIK 5 JARI

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan disebalik jari yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari kita. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Bukankah ia membayangkan kewajipan solat lima waktu?

Jangan diabaikan peringatan itu. Jika diabaikan seolah-olah kita kehilangan salah satu jari. Pastinya kehilangan itu menjadikan kita tidak sempurna dan banyak nikmat yang terlepas untuk dinikmati.

Jari Kelingking
Bermula dari jari kelingking yang kecil dan kerdil. Ia memberitahu kita bahawa manusia atau apa sahaja makhluk harus bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan harus bermula daripada kecil. Saat ini ia mengingatkan kita pada usia kanak-kanak. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang melarat di masa hadapan kelak.

Jari Manis
Pergi pula kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi apabila disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tidak terkira. Ketika ini kita di alam remaja. Awas! Di usia ini kita sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan takwa menunjuk jalan kebenaran. Hari itu, kita sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil kelak. Persoalannya sekarang, adakah kita ini benar-benar bertanggungjawab? Atau sudahkah kita mengenali tanggungjawab? Atau berpura-pura tidak tahu tentang tanggungjawab? Atau memilih tidak mahu tahu langsung tentang tanggungjawab?

Jari Hantu
Kemudian naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja mula ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat 30-an ini, kebanyakkan dari kita telah mempunyai personality dan status tersendiri, dengan ekonomi yang yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak “hantu pengacau” yang dating menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi, lantas akan terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Jari Telunjuk
Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan keEsaan Allah s.w.t ketika bersolat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru, pembimbing yang kaya dengan idea bernas dengan minda yang hebat.

Jari Ibu
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan menafsir pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa “cap jempol” atau cap jari. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Dengari nasihat mereka. Kemudian timbang-tara pendapat mereka. Sekiranya ia sejajar dengan syariat dan tidak menyimpang dari asas keimanan, maka patuhilah ia. Nasihat mereka barangkali amat berguna. Dengan nasihat itu di belakang hari nanti, kita akan berasa bangga dan berkata “good” atau “yes” sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas. Maka itulah rahsia kejayaan kita. 

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda kelima-limanya. Renung dan fikirkan dalam-dalam. “Di manakah kita?” dan “Siapakah kita?”

Rabu, April 20, 2011

SOURCES OF MIND

Saya sebenarnya sejak akhir tahun lepas telah memperuntukkan masa saya berada di atas talian untuk membaca bahan-bahan yang berhubung kait dengan sejarah bangsa dan budaya orang-orang Melayu termasuk asal-usulnya serta perkaitan bangsa Melayu dengan tanah air Malaysia yang dikatakan menjadi menjadi perhatian orang luar lebih-lebih lagi beberapa pihak mendakwa gabungan entiti antara Malaysia dan Melayu itu mempunyai sesuatu yang tersurat dan tersirat yang tidak ramai mengetahuinya. Memang sejak akhir-akhir ini saya obses untuk mengetahuinya tanpa ada pengaruh dari sesiapa. Bukan kerana terlalu fanatik dengan bangsa dan semangat kebangsaan tetapi tatkala dikaitkan dengan kegemilangan Islam kali kedua membuatkan fikiran saya semakin berkembang memikirkan sejauh mana benarnya. Bukan tidak percaya, tetapi terasa bagai ia sebuah mitos khayalan yang melingkari fikiran pihak-pihak berkenaan. 

Namun dalam tidak percaya itu saya bukanlah menolaknya bulat-bulat bahkan memberi ruang untuk akal dan hati meneroka situasi dan keadaan semasa sebelum mempercayai dan menerima andaian yang menyebut mengenai Malaysia sebagai pusat kebangkitan Islam kali kedua dengan bertulang belakangkan umat Melayu yang dilihat bangsa bertuah di pengujung zaman ini. Saya tidak menjadikannya ia sebagai satu pegangan tetapi sebagai individu yang berfikiran realilistik dan analitikal saya berhak untuk menerima sebarang input pada apa pun juga perkara lebih-lebih lagi hobi saya adalah membaca. Kerana dari sikap suka membacalah saya menemukan pandangan-pandangan seperti itu.

berikut adalah antara sumber-sumber bacaan saya:

Alter Terahsia Bangsa Melayu

MistisFiles 

MELAYU NUSANTARA

kanzunQALAM

PANJI HITAM DARI TIMUR

minda bebas

IKHWAN Y ASOIB muqarrabin era Imam Mahdi 


Laman-laman web di atas hanyalah sebahagian daripada sumber bacaan saya di mana selain itu terdapat pelbagai lagi link-link yang saya jadikan sumber bacaan dan saya paparkan juga dalam senarai 'Sources of mind' di mana artikel-artikel di dalamnya begitu menarik minat saya untuk membacanya.

Apapun, saya tidak berhasrat untuk mengajak sesiapa pun sependapat dengan saya, malah atas rasa semangat sukakan pengetahuan maka saya kongsikannya di sini. percayalah, banyak perkara baru yang tidak pernah difikir atau terfikir selama ini membuatkan kita teruja untuk membaca dan terus membacanya. Terus terang juga, kerana asyik membaca artikel-artikel daripada sumber itulah membuatkan saya tiada masa untuk meng-up-date-kan blog saya. 

Dan sebenarnya juga, artikel di bawah ini menjadi asas dan tarikan kepada saya mula berterusan membaca artikel-artikel berkaitan dengannya.

Mengapa Israel bersusah-payah membina pangkalan dan pengaruhnya di Singapura?Apa kaitan Cina Singapura dengan Yahudi Zionis?Adakah terdapat apa-apa perancangan ketika Stamford Raffles menjejakkan kakinya di Pulau Singapura?Apa hubungan Bangsa Melayu dengan Bangsa Yahudi?Apakah dia alter terahsia Bangsa Melayu?.Apa yang terjadi 2000 tahun sebelum Masehi di antara Melayu dan Yahudi? Semua persoalan ini akan terjawab di dalam siri artikel yang penuh dramatik ini.Artikel ini berasal dari kompilasi tulisan Lodgekeeper dan temuramah-temuramah yang dibuat dalam masa yang berasingan. Selamat Membaca.

Isnin, April 18, 2011

KANAK-KANAK OBESITI: TIDAK SEKADAR PERANAN PIHAK SEKOLAH



Tajuk depan  akhbar pagi ini menimbulkan pelbagai respon kepada masyarakat perihal masalah obesity yang membelenggu ramai kanak-kanak masa kini. Tentu saja berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang dengan keperluan diri mereka. Apatahlagi jika makanan yang diambil itu bukanlah bersumberkan nutrisi yang sepatutnya malah memberi kesan buruk terhadap diri mereka.  Semua ini berpunca daripada pengambilan makanan ringan seperti gula-gula, coklat, air bikarbonat, jajan dan lain-lain. Selain itu makanan makanan segera juga turut menyumbang kepada masalah itu yang kebanyakannya kaya dengan minyak dan garam yang tinggi.
Ada dua isu yang dibangkitkan melalui laporan itu iaitu desakan kepada pengusaha kantin atau koperasi di sekolah-sekolah supaya tidak menjual makanan ringan dan makan makanan segera serta penjaja-penjaja yang berada di sekitar pagar sekolah. Yang keduanya adalah cadangan supaya berat badan murid diukur dan dicatatkan oleh pihak sekolah setiap bulan yang tentu saja bersandar kepada guru kelas.
Persoalannya di sini, mengapa tindakan-tindakan itu ditujukan kepada sekolah yang dilihat sebagai satu cara mengekang nafsu makan murid yang memang sukakan makanan-makanan sedemikian? Tidakkah diperhatikan bahawasanya didikan kepada anak-anak untuk menghindarkan makanan ringan dan makanan segera di rumah juga adalah perlu malah harus lebih ditekankan lantaran banyak masa mereka berada di rumah berbanding sekolah.
Tidak dinafikan kedapatan penjualan makanan ringan dan makanan segera di premis sekolah, tetapi ia tidaklah begitu serius bahkan penjualannya adalah terhad. Ini disebabkan pihak pentadbiran sekolah sendiri akan memantau penjualan makanan kepada murid selain keprihatinan daripada ibu bapa murid yang sentiasa membuat laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap penjualan makanan di sekolah-sekolah. Manakala kepada penjaja-penjaja di luar pagar, ia berada di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah  dan ianya memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menanganinya.
Soalnya, mengapa tidak dinyatakan juga perkara yang sama kepada ibu bapa supaya menjaga pemakanan anak-anak mereka? Sebenarnya latihan di rumah amat penting lebih-lebih lagi dipupuk sedari kecil supaya mereka terdidik dan terbiasa untuk menghindari makanan ringan dan makanan segera. Dalam pada mengelakkan mereka dengan makanan-makanan tidak berkhasiat itu, berikan juga maklumat pemakanan yang betul kepada mereka mengikut tahap yang sesuai. Kadang kala menegah itu akan menimbulkan persoalan di fikiran mereka, jadi dengan hikmah ibu bapa boleh menerangkan serba sedikit tentang pemakanan yang betul kepada mereka. Jika di sekolah, sememangnya mereka diberi pendedahan. Namun, apabila di rumah ibu bapalah yang harus memastikan apa yang dipelajari murid diamalkan sebaiknya.
Bila mana anak-anak telah dilatih sebegini maka ia tidak lagi menjadi masalah tatkala mereka berada di mana-mana saja pun. Dalam tahap ini, tentu ibu bapa tidak akan risau malah boleh mempercayai anak-anak mereka sendiri dalam membelanjakan wang membeli makanan di sekolah atau di mana saja pun. Jangan pula menunding jari kepada sekolah semata-mata seolah-olah memperlihatkan masalah obesity murid adalah berpunca daripada sekolah.
Berkenaan cadangan supaya pihak sekolah mencatatkan berat badan murid untuk setiap bulan, kelihatan satu cadangan yang meluaskan skop tugas guru itu sendiri. Memang selama ini pihak sekolah melalui guru kelas ada merekodkan berat badan dan ketinggian murid, tetapi bukanlah untuk setiap bulan seperti mana yang dicadangkan. Catatan untuk dua kali setahun dilihat sudah cukup dan untuk melakukannya setiap bulan boleh jadi ia menambah lagi kepelbagaian tugas guru masa kini. Apa kata ibu bapa di rumah juga mengambil inisiatif untuk memantau berat badan anak-anak mereka agar pencegahan langsung dapat dilakukan bagi mengelakkan berlakunya masalah obesiti kepada anak-anak mereka.
Kesimpulannya, setiap hal berkaitan kanak-kanak tidak seharusnya menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata. Pihak ibu bapa dan masyarakat amnya seharusnya bersama-sama membantu untuk memastikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dapat di atasi. Peranan daripada pihak kerajaan melalui kementerian kesihatan dan agensi lain yang berkelayakan juga harus diwujudkan. Tentu sahaja penjelasan lanjut mengenai pemakanan sihat boleh diberikan melalui anjuran pelbagai program dalam kempen untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Semua itu adalah atas satu matlamat yang sama, demi melahirkan generasi yang cerdas dan cergas dan tentu saja dengan akal yang cerdas dan fizikal yang cergas itu adalah hasil daripada sumber pemakanan yang baik.

Ahad, April 17, 2011

SAINS & SUNNAH TIDUR




Diriwayatkan daripada Barra2 bin 'Azib r..a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

إذا أتيت مضجعك فتوضأ وضوءك للصلاة ثم اضطجع على شقك الأيمن...

Maksudnya: "Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu. (Hr Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring pada lambung kanan. Adapun tidor dengan cara yang lain adalah seperti berikut:-

Tidur dengan meniarap

Dr Zafir al-Attar berkata:
"Seseorang yang tidur meniarap diatas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. "
Pengkaji dari Australia telah menyatakan bahawa berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah 'Times' telah menyatakan bahawa kajian di Britain telah menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.
Tidur meniarap adalah dilarang oleh Islam. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w . Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:


إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله
Maksudnya: "Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya." (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)
Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:


قم واقعد فإنها نومة جهنمية
Maksudnya: "Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam." (Hr Ibnu Majah)

Tidur menelentang

Dr Zafir al-Attar berkata:
Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan mereganngya rahang bawah.
Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu2 dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan untuk memanaskan udara.
Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya meneyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang mana ia lebih besar dari paru kiri. Ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih2 lagi kepada orang yang sudah tua.. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan diantara tidur mengiring ke kanan dan
tidur mengiring ke ke kiri

Kajian yang telah menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung diantara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.

Tidur yang terbaik

Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru kiri lebih kecil daripada paru kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek diatasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.
Rujukan: Mausuah al-I'jazil Qurani Fil Ulum wat Tib wal Falak oleh Dr Nadiah Toyyarah, Musnad Imam Ahmad dan kamus.

Moga-moga apa yang tercoret ini dapat memberi info tambahan buat kita. Jika selama ini tidur kita hanya kerana nak memenuhi fitrah yang asal hukumnya adalah harus, maka selepas ini yang harus itu boleh jadi sunat jika apa yang disebutkan di atas diamalkan. wallahu a'lam.
 

INILAH DIA ALLAH


TUHAN adalah Zat Yang Agung
wujudnya tiada permulaan dan kesudahan
kerana Ia bukan kejadian
kerana Ia tiada siapa yang menjadikan
Kekuasaan-Nya Maha Hebat
tiada batasnya
kehendak-Nya terjadi
bila Ia berkata: Kun Fayakun
jadilah terus terjadi
tiada siapa dapat menyekatnya
Ia tiada bertempat
kerana tempat, Dia yang menjadikan
Dia memberi, tiada mengambil manfaat
kerana Dia tiada berhajat
Ia sudah sempuma
tiada mengambil ruang
kerana ruang itu ciptaan-Nya
Dia disembah atau tidak
tiada berkurang tiada bertambah
TAUHID
kalau bertambah ertinya Dia kurang
Dia tetap dengan kesempumaan-Nya
Maha Suci Ia daripada kekurangan
Ia sediakala
tiada didahului oleh tiada
Zat-Nya tiada dapat difikirkan
bagaimana pun dibayangkan, itu semua bukan
Itu adalah was-was syaitan
Zat-Nya tiada diketahui hakikatnya
kecuali Dia sendiri
Ia merupakan cahaya langit dan bumi
Ia sumber segala kebahagiaan
Ia sumber segala keselamatan
Ia sumber segala harapan
Ia adalah Rabbul Alamin
yang bemaina Allah
dan Ia wajib disembah


Jumaat, April 15, 2011

KELAB PIDATO PERDANA: Memartabatkan Bahasa Kebangsaan Melalui Kursus Pengucapan Awam

ASSALAMUALAIKUM...

DIKESEMPATAN INI SAYA INGIN MEMPROMOSIKAN KEPADA ANDA MENGENAI SEBUAH KELAB PIDATO YANG SEMAKIN MENDAPAT PERHATIAN RAMAI. DENGAN MOTO "kami Martabatkan Bahasa Malaysia" IA TELAH MENJADI PLATFORM KEPADA RAMAI ORANG UNTUK MENIMBA ILMU SEBAGAI CARA UNTUK BERUCAP DI KHALAYAK RAMAI. DIJALANKAN SECARA SANTAI, IA TELAH DISERTAI OLEH PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT DARIPADA PELBAGAI LATAR BELAKANG. UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA RUJUK IKLAN DI BAWAH INI.





ANDA JUGA BOLEH MENGHUBUNGI ENCIK MOHD NIZAM HARUN DI TALIAN: 013-3425023 UNTUK MAKLUMAT LANJUT DAN PENYERTAAN.


Khamis, April 14, 2011

THE PROPHET MUHAMMAD RASULULLAH




Your face is bright like the shining moon
Lighting up darkness of the night
We are here, we think of you
Oh Muhammad Rasulullah

The coming of you make the brightest day
Shining through along the way
You bring the love of Al Islam
You are the symbol of unity

You bring the light to the entire world
You bring the hope into human lives

You lead us to the way of truth
Oh Muhammad
Oh Muhammad Rasulullah

Well my friends the time has come
To have some peace and serenity
From the love of Rasulullah
Oh Muhammad Rasulullah


Isnin, April 11, 2011

RESPON KEPADA TULISAN TUMIT TINGGI: Beza cikgu dulu, sekarang.






Assalamualaikum.
Saya terpanggil untuk memberi respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan menerusi tulisan yang dimuatkan dalam salah satu kolum akhbar sisipan Berita Harian edisi 9 April 2011 (Sabtu) yang ditulis oleh Tumit Tinggi (TT). Membaca saja tajuknyaBeza cikgu dulu, sekarang’ membuatkan saya tertarik untuk membacanya lebih lanjut. Terdetik dalam hati, ada bezakah antara guru dulu dan sekarang? Dari segi apa? Buat masa ini isu yang selalu timbul adalah berkenaan dengan beban tugas guru yang dulunya tidaklah sebeban pada masa sekarang. Almaklumlah, dunia berubah membuatkan sistem pendidikan turut berkembang dan dinamik sejajar dengan perkembangan era globalisasi. Rela atau tidak, mereka yang berada dalam bidang pendidikan haruslah turut serta bagi memastikan sistem pendidikan kita tetap relevan. Lantas, keadaan ini telah menyumbang kepada kepelbagaian tugas guru yang sedikit lari dari tugas hakikinya.
Namun, bilamana selesai membaca komentar TT berkenaan beza guru dulu dan sekarang seolah-olah menunjukkan betapa goyahnya jatidiri dan kredibiliti seorang guru. Secara amnya beliau menyebut guru dulu lebih bagus dan baik berbanding guru sekarang secara pukul rata.
Kisahnya mengenai sepupu beliau yang mengadu tentang guru kepada anaknya telah menghubunginya untuk melaporkan perihal anaknya yang tidak membawa buku dan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Nampak gaya sepupu beliau itu cukup tidak puas hati dengan cikgu berkenaan yang seolah-olah hilang sabar dengan anaknya setelah dimaklumkan anaknya akan dipindahkan ke kelas yang lain.

“Kalau betul anak S bermasalah, kenapa sebelum ni cikgu tu tak call langsung. Kenapa keadaan dah teruk sangat, macam yang cikgu tu cakap, baru nak call parents, siap nak pindahkan kelas, siap cakap saya dah tak tahan dengan perangai anak puan. Macam ni ke pendidik sekarang?”
Daripada kenyataan ini ia memperlihatkan bahawa guru anaknya itu tidak mengambil berat pada awal masalah ini berlaku. Bahkan menyalahkan guru itu bilamana anaknya sudah bermasalah sehingga ke tahap itu barulah gurunya bertindak menghubunginya.
Timbul persoalan di sini, adakah menjadi satu tugas guru untuk sentiasa memaklumkan apa-apa hal berkaitan anak-anak muridnya di sekolah? Tidak terfikirkan beliau berapa ramai ibu bapa yang harus dihubungi apabila ada masalah-masalah berlaku di kelas berkaitan pengajaran dan pembelajaran seperti tidak membawa buku, tidak menyiapkan kerja sekolah atau tidak menyalin nota? Belum lagi hendak disebutkan masalah berkaitan disiplin dan bersangkut paut dengan interaksi mereka sesama rakan sebaya.
Takkanlah semua perkara guru perlu membuat aduan kepada ibu bapa. Dalam peraturan sekolah pun, sebelum masalah murid ini sampai ke pengetahuan ibu bapa, mereka hanya diberi nasihat dan amaran. Jka kesalahan berulang tindakan menghubungi ibu bapa memang dilakukan terutamanya melibatkan kesalahan yang serius seperti merokok, ponteng kelas, membuli dan sebagainya. Kalau kesalahan di kelas seperti yang disebutkan di atas tidak seharusnya terus menghubungi ibu bapa. Pada anggapan guru mungkin sekali dua tidak menjadi hal, yang menjadi masalah adalah kepada murid yang kerap kali melakukan kesalahan yang sama. Untuk situasi ini memang wajar ibu bapa murid dihubungi.
Untuk pengetahuan, menjadi kebiasaan guru untuk memberitahu secara tidak langsung kepada ibu bapa di rumah melalui catatan pada buku tulis atau buku kerja murid jika didapati masalah tidak menyiapkan kerja rumah contohnya. Apa yang dicatat itu bukanlah satu memo khusus tetapi lebih kepada simbol dan arahan yang mengkehendaki murid menyelesaikan tugasan itu. Di sini jika ibu bapa murid yang prihatin tentunya mereka menyedarinya dengan selalu bertanyakan kepada anaknya tentang pembelajaran di sekolah. Atau sebaik-baiknya menyemak hasil kerja murid dalam buku melalui latihan yang diberikan.
Satu lagi perkara yang dinyatakan TT dalam kolumnya mengenai tugas guru yang katanya menyerahkan masalah murid kepada ibu bapa. Saya tidak pasti sama ada beliau sedar atau tidak semasa menulis kenyataan ini. Perlu disedari bahawasanya murid yang menerima pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu bukanlah sepenuh masa bersama gurunya. Dalam tempoh lebih kurang 8 jam cukupkah masa untuk guru mengenalpasti kelakuan, potensi dan prestasi murid-murid secara detail bagai mengenali anak sendiri? Bagaimana pula dengan ibu bapa di rumah yang lebih banyak masa dihabiskan bersama anak-anak? Tidakkah mereka seharusnya lebih mengenali anaknya berbanding guru di sekolah yang tidak saja mengadap anaknya seorang sahaja, tetapi lebih 30 orang dalam satu-satu kelas?

“Yalah, macam ni ke cikgu zaman sekarang. TT pun tak faham! Kalau betul anak murid awak tu bermasalah, kenal pasti kenapa dia macam tu, tanya, kenali anak murid dan bantu selesaikan masalah tu. Mak bapak jaga anak kat rumah, kat sekolah, cikgu la pulak, bukannya bila anak murid ada masalah kat sekolah, terus pass balik kat mak bapak! Senang sangatlah kerja cikgu kalau macam tu..”
            Kenyataan itu melambangkan betapa mudahnya ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka ke bahu guru sedangkan peranan merekalah yang lebih utama. Kalaulah memang peranan guru untuk lebih memahami karenah dan kelakuan anak murid berbanding ibu bapa yang seharusnya lebih mengenali karektor dan potensi anak mereka sendiri, memang bertambah-tambahlah skop tugas guru di sekolah. Andainya begitu apa pula tugas ibu bapa di rumah kalau segala-gala hal berkaitan pendidikan dan akademik anak-anak diserahkan kepada guru yang bersamanya hanya selama 8 jam sehari itu? Lalu, antara guru dan ibu bapa, kerja dan tugas siapakah yang paling mudah?
Untuk makluman sepupu TT termasuk semua ibu bapa murid, seseorang guru tidak akan mengabaikan anak muridnya di kelas apatah lagi membiarkan murid tidak melakukan apa yang disuruh. Adalah tidak logik jika ada guru yang membuat tidak peduli kepada muridnya yang tidak menyiapkan kerja sekolah yang harus dibuat di rumah atau tidak membawa buku untuk digunakan di dalam kelas. Semua guru mahukan proses pengajaran dan pembelajaran mereka berjalan dengan berkesan. Jika ada dalam kalangan murid yang sebegini tentu mereka dinasihati sebelum diberi amaran jika berlaku berulang kali. Sudahlah menyentuh anak murid seperti merotan dan menarik telinga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh guru di kelas, ditambah pula dengan gangguan-gangguan seperti ini. Tidak terbayangkah oleh ibu bapa bahawa pada waktu itu bukan dua, tiga orang murid yang dihadapinya? Ramai murid lain yang harus di ambil perhatian secara adil malah sebagai guru tentu mereka mengkehendaki murid-murid memahami pengajarannya dengan baik dan mengharapkan kejayaan anak-anak didiknya.
Seterusnya TT juga memberikan perbandingan antara guru dulu dan sekarang;

“TT bukan nak kondem cikgu zaman sekarang tapi cuma nak buat perbandingan, bagaimana berdedikasinya cikgu zaman dulu, betapa sayangnya mereka pada anak didik dan sejauh mana kasihnya mereka pada anak murid, tak ubah macam anak sendiri. Tak kiralah, baik cikgu lelaki mahu pun cikgu perempuan.”
Saya tidak pasti apa ukurannya dalam menyebut tahap dedikasi seorang guru. Beliau harus tahu, semua guru yang terlatih telah diterapkan dengan ilmu dan latihan yang baik terutamanya dalam aspek pedagogi. Ilmu pedagogi ini tersangatlah penting lantaran guru itu bekerja dan mengurus manusia berbanding kerjaya lain seperti di pejabat berhawa dingin yang bekerja menghadap komputer atau mesen. Murid selaku manusia tentu saja mempunyai pelbagai ragam yang menuntut untuk guru bersabar dan meladeni anak didiknya sebaik mungkin. Mengajar juga memerlukan guru lebih berperanan sebagai ibu bapa murid dalam tempoh persekolahan dan tidak perlu dinafikan ramai kalangan guru yang begitu prihatin dengan anak muridnya samada zaman dulu atau zaman sekarang.
Selanjutnya TT menyebut mengenai guru sekarang yang dilihat bermoral rendah;

“Sekarang? Cikgu cabul murid, cikgu usik murid, bukan cikgu lelaki je, yang perempuan pun sama naiknya! Apa kes? Memang bilangan kes tak banyak, berbanding bilangan guru yang ramai, tapi dalam kerjaya mulia begini, angka, banyak sikitnya kes tak boleh dijadikan ukuran. Ada je kes, itu dah kira serius. Ini kerjaya yang sepatutnya, salah laku sifar!”
Saya tidak merasakan isu ini menjadi masalah besar terhadap kerjaya perguruan secara keseluruhan. Harus diingat manusia ni pelbagai ragam. Bukan saja murid-murid yang mempunyai 1001 ragam, tetapi kalangan guru juga ada yang berperlakuan tidak sepatutnya bagi seorang guru walaupun  berada dalam satu kerjaya yang mulia. Harus diingat juga, kerjaya perguruan tidak ada apa-apa masalah, tetapi orang yang berada dalam profesyen itu yang bermasalah. Seperti mana juga Islam sebagai sebuah agama yang mulia dan syumul, tetapi masih ada kalangan umatnya yang tidak berpenampilan dan berakhlak sejajar dengan syariat. Jadi yang bermasalah itu adakah agama Islam atau orang Islam? Jadi saya tidak setuju dengan kenyaataan itu yang seolah-olah merendahkan martabat warga guru dan pendidik secara keseluruhan pada masa sekarang (kerana beliau mebandingkan guru dulu dan sekarang).
“Susah nak faham kenapa benda macam ni berlaku tapi TT rasa kita boleh cakap ramai yang jadi guru sekarang ni sebab dah terpaksa. Terpaksa sebab mak bapak nak dia jadi cikgu atau terpaksa, sebab tu sajalah peluang pekerjaan yang dia ada. Jiwa tak ke situ, buat kerja terpaksa, yang dia tahu, janji tiap-tiap bulan, gaji ada. Perjuangan dan tanggungjawab sebenar cikgu, dia tak peduli...baik jangan jadi cikgu macam tu.”
Kenyataan ini juga memperlihatkan betapa dangkalnya padangan beliau terhadap orang-orang yang menjadi guru. Adalah tidak masuk akal beliau membuat tuduhan sebegitu dengan maksud ia berlaku pada guru-guru sekarang. Adakah beliau ada sumber yang mengatakan guru dulu tidak seperti ini? Guru yang terpaksa, dipaksa atau dengan lain perkataan tidak rela menjadi guru bukanlah seuatu yang menjadi masalah sebab persoalannya adakah sejauhmana kemampuan dan kelayakan guru untuk berada dalam bidang perguruan itu. Perlu dimaklumkan bahawa proses untuk menjadi guru yang benar-benar guru sememangnya berlaku dalam proses yang panjang, bermula dari proses permohonan, ujian kelayakan, temu duga hingga kepada sesi latihan di institusi pendidikan. Malah tidak sekadar itu, selepas diberi penempatan pelbagai ujian dan temuduga serta latihan selain kursus yang perlu dihadiri bagi memastikan seseorang itu benar-benar menjadi seorang orang guru sejajar dengan tugas dan amanah yang dipikulnya.
Kesimpulannya, penulisan TT terhadap kerjaya guru kelihatan berlandaskan emosi semata-mata. Nampak sangat beliau berprejudis terhadap kerjaya seorang guru yang di awalnya menyebut ketidak prihatinan guru hingga kepada beza guru dulu dan sekarang. Seharusnya beliau sedar pandangan beliau ini sebenarnya boleh mencetuskan rasa tidak selesa di kalangan lebih 400,000 guru yang sebahagian besarnya tentu saja guru zaman sekarang.
Respon ini ditulis bukanlah untuk menimbulkan ketegangan antara pihak ibu bapa dan guru, tetapi sekadar untuk memberi maklum balas terhadap salah faham yang ditimbulkan oleh TT. Harus disedari kolaborasi antara guru dan ibu bapa sememangnya diperlukan bagi memastikan anak-anak memperolehi pendidikan yang sempurna dan terbaik hasil kekauatan dan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Guru tugasnya mengajar dan menerapkan pendidikan dan pengetahuan manakala ibu bapa pula berperanan untuk memastikan adanya kesinambungan pembelajaran anak-anak di sekolah dengan mengamalkan dan membudayakannya di rumah.

Cikgu Sekarang
Sepang, Selangor.

10 April 2011


Ahad, April 10, 2011

8 TERAS DASAR PEMBANGUNAN MODAL INSAN


MODAL INSAN DALAM PSM

Definisi:

Pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat.

Persoalan modal insan dalam konteks pembudayaan ilmu dapat dikesan dalam Falsafah Pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.


Kepentingan Modal Insan:
“Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani.



Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu:

1.     Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan.
2.     Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan.
3.     Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar.
4.     Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.

5.     Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat.

6.     Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan.
7.     Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan.
8.     Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan

KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN


KOMUNIKASI DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN


DEFINISI
*      Satu proses antara perorangan yang melibatkan proses penghantaran dan penerimaan simbol-simbol yang bermakna di mana pertukaran idea, maklumat dan pendapat berlaku, atau;
*      Proses di mana seseorang, kelompok atau organisasi (pengirim) mengirimkan beberapa informasi (mesej) kepada seseorang, kelompok atau organisasi yang lain (penerima).

KEPENTINGAN
*      Membantu ahli organisasi mencapai objektif kendiri dan juga organisasi,
*      Mengimplimentasi dan memberi maklumbalas kepada perubahan dalam organisasi,
*      Mengkoordinasikan aktiviti organisasi dan terlibat dalam semua tingkahlaku organisasi. (contoh: sekolah).
*      Dalam konteks organisasi pendidikan, komunikasi penting dalam proses bagaimana pihak sekolah berkongsi informasi dan pengalaman dengan pihak atasan, guru-guru, ibubapa dan murid-muridnya serta sebaliknya.

JENIS KOMUNIKASI
*      Komunikasi Formal: Mesej yang disebarkan berkaitan dengan pekerjaan rasmi di dalam organisasi – komunikasi mengikut tingkat hierarki dalam organisasi.
*      Komunikasi Informal: Mesej yang disebarkan tidak rasmi, diluar kegiatan formal organisasi-komunikasi terpisah dari struktur formal dan tidak mengikut tingkat hierarki.
*      Nota: Organisasi yang berjaya mengamalkan sebuah jaringan komunikasi yang bersifat formal dan informal serta terbuka.

BENTUK-BENTUK KOMUNIKASI
*      Atas ke bawah
         -        Pihak atasan ke sekolah: s/pekeliling, mesyuarat, dll
-        Pengetua/GB kepada guru/staf: memo, perbualan,        mesyuarat, buku panduan, poster, daftar senarai, papan buletin, dll
*      Bawah ke atas
         -        Sekolah ke pihak atasan: surat rasmi, laporan tahunan, mesyuarat
         -        Guru/staf kepada GB: Laporan, perbualan, mesyuarat

*      Interaktif (mendatar)
         -        Elektronik
         -        Antara rakan sejawat
         -        Mesyuarat jabatan
         -        penyelarasan kerja
         -        Penyelesaian masalah atau konflik
         -        Perkongsian maklumat/pengetahuan/kemahiran

KOMUNIKASI DI SEKOLAH
*      Komunikasi di sekolah boleh dilihat dari 5 aspek utama hubungan:
         (1) Sekolah - masyarakat/ ibubapa.
         (2) Ketua - guru/ staf
         (3) Guru-murid
         (4) Guru-guru
         (5) Murid-murid

SALURAN KOMUNIKASI
*      Pelbagai saluran/teknik komunikasi dilaksanakan GB:
         -        Formal dan tak formal saling melengkapi
         -        Lisan dan bukan lisan perlu selari
         -        Komunikasi lisan
         -        membuat/menjawab panggilan telefon
-        mengeluarkan arahan kepada guru/ pelajar: laporan bertulis-  notis; memo, taklimat, dll.
         -        bermesyuarat
         -        surat menyurat
         -        mencerap pengajaran guru
         -        pebincangan dengan guru/ibubapa/pelajar
         -        perhimpunan

HALANGAN KOMUNIKASI EFEKTIF
*      Gangguan fizikal, ch. kebisingan
*      Masalah semantik, ch. tanggapan/terjemahan/tafsiran berbeza
*      Ketiadaan maklum balas
*      Pengaruh atau kesan status, ch. takut kepada bos, mengampu
*      Perbezaan bahasa
*      Keemosian, ch. tokok tambah, olahan
*      Komunikasi tak tekal
*      Kecurigaan, prasangka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SALAM MESRA

Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas kesudian berkunjung ke blog ini. Sejak akhir-akhir ini statistik menunjukkan adanya kunjungan dari pelawat-pelawat yang mencatatkan kekerapapan lawatan bagi sesetengah entri dalam blog ini. Kebanyakannya entri yang berkaitan dengan s]umber manusia, pengurusan organisasi dan seumpamanya. Siapa pun anda, plagiat merupakan sesuatu yang tidak beradab tanpa meminta izin terlebih dahulu dengan apa jua cara. Apapun, diharapkan agar mana-mana entri di dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada anda.