Tajuk depan akhbar pagi ini menimbulkan pelbagai respon kepada masyarakat perihal masalah obesity yang membelenggu ramai kanak-kanak masa kini. Tentu saja berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang dengan keperluan diri mereka. Apatahlagi jika makanan yang diambil itu bukanlah bersumberkan nutrisi yang sepatutnya malah memberi kesan buruk terhadap diri mereka. Semua ini berpunca daripada pengambilan makanan ringan seperti gula-gula, coklat, air bikarbonat, jajan dan lain-lain. Selain itu makanan makanan segera juga turut menyumbang kepada masalah itu yang kebanyakannya kaya dengan minyak dan garam yang tinggi.
Ada dua isu yang dibangkitkan melalui laporan itu iaitu desakan kepada pengusaha kantin atau koperasi di sekolah-sekolah supaya tidak menjual makanan ringan dan makan makanan segera serta penjaja-penjaja yang berada di sekitar pagar sekolah. Yang keduanya adalah cadangan supaya berat badan murid diukur dan dicatatkan oleh pihak sekolah setiap bulan yang tentu saja bersandar kepada guru kelas.
Persoalannya di sini, mengapa tindakan-tindakan itu ditujukan kepada sekolah yang dilihat sebagai satu cara mengekang nafsu makan murid yang memang sukakan makanan-makanan sedemikian? Tidakkah diperhatikan bahawasanya didikan kepada anak-anak untuk menghindarkan makanan ringan dan makanan segera di rumah juga adalah perlu malah harus lebih ditekankan lantaran banyak masa mereka berada di rumah berbanding sekolah.
Tidak dinafikan kedapatan penjualan makanan ringan dan makanan segera di premis sekolah, tetapi ia tidaklah begitu serius bahkan penjualannya adalah terhad. Ini disebabkan pihak pentadbiran sekolah sendiri akan memantau penjualan makanan kepada murid selain keprihatinan daripada ibu bapa murid yang sentiasa membuat laporan dan cadangan penambahbaikan terhadap penjualan makanan di sekolah-sekolah. Manakala kepada penjaja-penjaja di luar pagar, ia berada di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah dan ianya memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menanganinya.
Soalnya, mengapa tidak dinyatakan juga perkara yang sama kepada ibu bapa supaya menjaga pemakanan anak-anak mereka? Sebenarnya latihan di rumah amat penting lebih-lebih lagi dipupuk sedari kecil supaya mereka terdidik dan terbiasa untuk menghindari makanan ringan dan makanan segera. Dalam pada mengelakkan mereka dengan makanan-makanan tidak berkhasiat itu, berikan juga maklumat pemakanan yang betul kepada mereka mengikut tahap yang sesuai. Kadang kala menegah itu akan menimbulkan persoalan di fikiran mereka, jadi dengan hikmah ibu bapa boleh menerangkan serba sedikit tentang pemakanan yang betul kepada mereka. Jika di sekolah, sememangnya mereka diberi pendedahan. Namun, apabila di rumah ibu bapalah yang harus memastikan apa yang dipelajari murid diamalkan sebaiknya.
Bila mana anak-anak telah dilatih sebegini maka ia tidak lagi menjadi masalah tatkala mereka berada di mana-mana saja pun. Dalam tahap ini, tentu ibu bapa tidak akan risau malah boleh mempercayai anak-anak mereka sendiri dalam membelanjakan wang membeli makanan di sekolah atau di mana saja pun. Jangan pula menunding jari kepada sekolah semata-mata seolah-olah memperlihatkan masalah obesity murid adalah berpunca daripada sekolah.
Berkenaan cadangan supaya pihak sekolah mencatatkan berat badan murid untuk setiap bulan, kelihatan satu cadangan yang meluaskan skop tugas guru itu sendiri. Memang selama ini pihak sekolah melalui guru kelas ada merekodkan berat badan dan ketinggian murid, tetapi bukanlah untuk setiap bulan seperti mana yang dicadangkan. Catatan untuk dua kali setahun dilihat sudah cukup dan untuk melakukannya setiap bulan boleh jadi ia menambah lagi kepelbagaian tugas guru masa kini. Apa kata ibu bapa di rumah juga mengambil inisiatif untuk memantau berat badan anak-anak mereka agar pencegahan langsung dapat dilakukan bagi mengelakkan berlakunya masalah obesiti kepada anak-anak mereka.
Kesimpulannya, setiap hal berkaitan kanak-kanak tidak seharusnya menjadi tanggungjawab sekolah semata-mata. Pihak ibu bapa dan masyarakat amnya seharusnya bersama-sama membantu untuk memastikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dapat di atasi. Peranan daripada pihak kerajaan melalui kementerian kesihatan dan agensi lain yang berkelayakan juga harus diwujudkan. Tentu sahaja penjelasan lanjut mengenai pemakanan sihat boleh diberikan melalui anjuran pelbagai program dalam kempen untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Semua itu adalah atas satu matlamat yang sama, demi melahirkan generasi yang cerdas dan cergas dan tentu saja dengan akal yang cerdas dan fizikal yang cergas itu adalah hasil daripada sumber pemakanan yang baik.
2 ulasan:
Sokong dengan cetusan minda Emi tu. Semua pihak kena ambil peranan.
betul cikgu, mmg itu yg spatutnye..bukan menuding jari kat skola directly..
Catat Ulasan