Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak–kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai–nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar
Di Malaysia, dasar pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara yang mana dasar ini dikenali sebagai ‘Dasar Pendidikan Kebangsaan’. Dasar Pendidikan Kebangsaan mula dilaksanakan di negara ini dalam tahun 1957. Umumnya, terdapat 3 tujuan utama yang terkandung dalam dasar pendidikan kebangsaan ini:
1- Untuk mewujudkan satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
2- Untuk menghasilkan pelajar yang berdisiplin serta mematuhi dan menghormati kedua ibu bapa mereka di mana prinsip ini sejajar dengan dasar dan polisi pendidikan untuk mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan efisien dengan keperluan untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak tersusun.
3- Untuk memastikan agar dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan khususnya dalam menentukan perkembangan sistem pendidikan yang progresif dan bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama.
Integrasi antara kaum pula merupakan isu yang amat diberi perhatian oleh pihak kerajaan ketika menggubal dasar pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaannya. Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menggariskan dengan jelas dasar yang berkaitan dengan nilai – nilai integrasi antara kaum ini. Antara langkah yang telah diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dasar pendidikan negara ini ialah dengan:
1- Menjadikan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama di semua sekolah,
2- Menggunakan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama di setiap sekolah dan
3- Guru–guru yang mengajar di sekolah haruslah dilatih di bawah satu sistem latihan perguruan yang sama.
Ketiga–tiga faktor ini merupakan kunci kepada pembentukan arah dan orientasi nilai sistem pendidikan kebangsaan negara ini. Menerusi perancangan yang sistematik, kurikulum latihan perguruan yang seragam dan amalan–amalan pedagogi di bilik-bilik darjah yang bersesuaian, maka sistem pendidikan kebangsaan ini dijangka dapat membentuk ciri-ciri tingkahlaku dan sikap pelajar yang bersesuaian dengan tatasusila masyarakat Malaysia.
Pembentukan dasar pendidikan berjalan melalui beberapa tingkatan yang membentuk pusingan sebagai symbol kesempurnaannya. Sejauhmana keberkesanannya dapat dilihat dalam tempoh-tempoh tertentu setelah diimplementasikan dalam system pendidikan di Malaysia.
1. Vission and issues:
Sesebuah dasar akan dimulakan dengan adanya visi yang menjadi matlamat dan keperluan bagi Negara selain adanya isu yang ditimbulkan dalam kalangan masyarakat mahupun ahli akademik dan pemimpin Negara.
2. The government and the ministry of education:
Pihak kerajaan dengan melibatkan Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tanggungjawab untuk meneruskan proses ke arah pembentukan sesebuah dasar baru dalam pendidikan. Maklumat-maklumat berkaitan dikumpul untuk dijadikan bukti dan bahan sokongan sebelum dibawa ke proses seterusnya.
3. Policy forum: debates on issues and context:
Isu dibawa ke parlimen untuk diperbahaskan serta melalui soal-jawab terhadap isu dan kandungannya. Jika ada kelemahan perlu diperbaiki dan di bawa semula ke meja perundingan untuk didebatkan sehingga disokong dan dipersetujui untuk dibentuk sebagai satu dasar baru.
4. Policy problem identification and relevant theoretical frames:
Mengenalpasti sebarang masalah yang wujud pada dasar melalui asas-asas ilmu yang betul. Penglibatan daripada orang yang berkelayakan diperlukan atas kapasiti pengalaman dan pengetahuan yang ada. Dapatkan kepastian dengan mengenalpasti apakah rangka teori yang sesuai dan relevan digunakan dalam membentuk dasar berkenaan.
5. Policy solution alternatives and feasibilities assessment:
Mencari alternatif dalam menyelesaikan masalah yang wujud pada dasar dengan melihat dan menngunakan bentuk penilaian yang berdaya maju. Buat pertimbangan melalui situasi yang realiti sama ada dasar itu boleh dilaksanakan atau tidak selain melihat sejauhmana jurang yang wujud pada masa kini dan masa depan apabila dasar itu dilaksanakan.
6. Policy implementation; communication, manpower & expertise dan logistic:
Proses pelaksanaan dasar melalui cara membuat hebahan dan penjelasan kepada masyarakat khususnye kepada pihak-pihak terlibat dengan pendidikan. Pemberitahuan melalui pekeliling adalah satu cara berkesan sebagai satu saluran yang betul untuk disebarkan. Latihan perlu diberikan kepada sasaran untuk melahirkan orang yang pakar selain member kuasa kepada pihak terlibat untuk melaksanakan dasar. Peruntukan juga harus diberikan bagi membantu pelaksanaan dasar serta menyediakan kemudahan dan keperluan untuk memastikan dasar dapat berjalan dengan jayanya.
7. Ongoing policy progress monitoring or assessment:
Menentukan pihak mana yang harus yang menyelia dan menjadi pemantau dalam pelaksanaan dasar selain memikirkan untuk mendapatkan cara bagaimana pelaksanaan dasar ini dapat diteruskan. Pengukuran terhadap penilaian dilakukan untuk memastikan adanya kemajuan pada dasar yang dilaksanakan..
8. Policy completion and evaluation:
Penyempurnaan pada dasar yang dilaksanakan dengan melalui penilaian yang dijalankan demi melihat sebarang kemungkinan yang memaparkan kelemahan seterusnya diperbaiki untuk menjadikan dasar lebih sempurna untuk diteruskan.
9. Policy review teams and reports:
Penyemakan pada dasar yang dilaksanakan melalui pembentukan sebuah kumpulan dengan menyemak semula dasar serta mengkaji kesan yang diperolehi daripada pelaksanaan sehingga proses membuat laporan khas mengenainya.
______________________________________________________________________________________
Ini merupakan nota kuliah bagi kursus Pengurusan Sumber Manusia Dalam Pentadbiran Pendidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan