Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Januari 30, 2011

POLEMIK PERUBAHAN KALENDAR AKADEMIK


Pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi mengenai perubahan kalendar akademik bagi pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia telah menimbulkan polemic bukan saja dikalangan ahli-ahli akademik, tetapi juga kepada para pelajar tempatan. Walaupun adanya tujuan yang begitu penting dan baik tetapi bagi kebanyakan masyarakat tempatan menolaknya atas pelbagai alasan.

Melihat kembali tujuan perubahan ini, ia dilakukan bagi memberi ruang dan peluang pembabitan Negara luar untuk menyumbangi kepakaran di pusat pengajian di Malaysia di mana selama ini wujud kekangan masa dan tempoh akibat daripada perbezaan kalendar akademik antara Negara luar dan Malaysia. Begitu juga dari kalangan ahli akademik Malaysia, kesukaran ini mengehadkan perkongsian ilmu dan pengalaman antara ahli akademik di luar Negara dan tempatan. 

Perubahan kalendar akademik ini juga menyaksikan peluang pelajar-pelajar dari luar Negara untuk menuntut di sini cerah dan besar lantaran adanya keselarasan antara Malaysia dan negaranya. Ini lebih memudahkan mereka menyusun perancangan setelah tamat belajar di sana untuk terus menyambung pengajian di sini tanpa menuggu lama. Sekaligus kedatangan mereka memberi makna kepada Malaysia dari pelbagai sisi terutamanya cita-cita Malaysia untuk menjadikan Negara ini sebagai hub pendidikan antarabangsa.

Bagaimanapun alasan ini kelihatan ramai pihak sebagai lebih untuk mementingkan orang luar dengan mengkesampingkan masyarakat tempatan. Pendidikan di Malaysia merupakan sesuatu yang penting sama seperti mana-mana Negara pun. Jadi adalah sesuatu yang tidak molek jika keadaan ini berlaku ia akan membabitkan secara total pelajar-pelajar tempatan. Antara situasi yang dapat dilihat adalah dari beberapa sudut:

1-      1- Tempoh ‘cuti’ yang panjang kepada bekas calon SPM, STAM dan STPM:
Semua maklum pelajar-pelajar ini menunggu keputusan peperiksaan mereka selama 2 bulan sekitar februari setelah tamat peperiksaan awam sekitar disember. Kebanyakan mereka mengisi masa lapang dengan berkerja sambilan. Ada juga kalangan mereka yang menimba pengalaman dengan menghadiri kursus-kursus tertentu selain adanya segelintir daripada mereka yang memilih untuk berehat dan bercuti. Setelah keputusan keluar mereka masih dalam keadaan ini sehingga bulan julai sebelum menerima tempat di mana-mana institusi pendidikan. Keadaan ini kelihatan adanya pembaziran masa walaupun ada kalangan mereka yang mengisinya dengan bekerja. Tapi ada jaminankah mereka yang bekerja ini akan kembali belajar lantara sudah seronok memegang pendapatan sendiri? Malah lebih kasihan tatkala memikirkan sebilangan besar yang berehat dalam tempoh yang lama sebelum menyambung pengajian. Situasi ini boleh dikatakan seolah-olah boleh menyebabkan kehilangan ‘mood’ untuk mereka belajar semula sama ada kerana sudah mempunyai kerjaya sendiri atau juga seronok berlama-lamaan cuti. Lebih mengharukan jika ada yang mengambil tempoh hampir setahun cuti ini untuk melangsungkan perkahwinan mereka.  

2-      2- Pembaziran masa di kalangan pelajar lama:
Situasi ini turut menjejaskan masa bagi pelajar-pelajar sedia ada. Mereka yang sepatutnya tamat pengajian awal terpaksa menerima impaknya jika kalendar akademik yang baru ini dikuatkuasakan kepada mereka. Seharusnya jika mahu membuat perubahan ia tidak harus melibatkan mereka. Pembaziran masa ini akan menyebabkan prestasi mereka jatuh disamping kebanyakan mereka mempunyai perancangan masa depan dalam tempoh terdekat seperti mencari pekerjaan, membina keluarga dan sebagainya. Bagi kalangan siswazah di peringakat sarjana dan doctor falsafah ia juga turut member kesan kepada system pengajian mereka. Factor umur dan keterbatasan waktu akibat terikat dengan komitmen lain menjadikan perubahan kalendar akademik ini sesuatu yang merugikan mereka. Apa yang mereka cita-citakan tentu saja ingin menamatkan pengajian seawal mungkin lantaran mempunyai komitmen lain terhadap keluarga dan pekerjaan masing-masing.

3-     3- Ketidak selarasan dengan kalendar akademik persekolahan.
Masalah timbul terutamanya apabila melibatkan cuti semester sekolah dan pengajian tinggi. Selama ini didapati cuti semester antara kedua-duanya banyak persamaan dan ini memudahkan keluarga yang mempunyai anak di peringkat ini mengatur dan merancang cuti semester mereka berbanding jika cuti semester antara kedua-duanya tidak selari. Begitu juga dengan jadual peperiksaan awam persekolahan. Jarak tempoh peperiksaan, pengumuman keputusan dan kemasukan ke institusi pengajian akan menimbulkan pelbagai masalah di kalangan pelajar seperti masalah sosial, penurunan semangat sambung belajar dan sebagainya.

Berdasarkan situasi-situasi yang disebutkan, terdapat cadangan bagi menyokong perubahan kalendar akademik ini iaitu merombak kalendar persekolahan yang bermula januari dan berakhir disember. Keadaan ini juga termasuk merubah cuti-cuti semester persekolahan dan jadual peperiksaan awam seperti yang ada pada hari ini bagi memperlihatkan keselarasan antara kalendar akademik pengajian tinggi dan persekolahan. terdapat juga cadangan dan harapan daripada pelajar-pelajar lama agar kalendar akademik yang baru ini tidak diimplentasikan kepada mereka dan membiarkan mereka menghabiskan pengajian mengikut jadual asal.

Walaupun begitu jika pihak KPT mahu meneruskan agenda ini ia seharusnya dibuat penelitian yang menyeluruh bagi memastikan ada kebaikan dan faedah kepada pihak-pihak yang terlibat dikalangan masyarakat Malaysia. Penilitian ini juga harus mengambil pandangan daripada pihak-pihak lain bagi memastikan adanya kesepakatan dalam pelaksanannya pada masa depan. Jangan pula idea ini hanya berjalan dalam satu tempoh yang berakhir dengan mengembalikan kalendar akademik itu kepada yang asal seperti hari ini. Apa saja keputusan yang dilakukan dalam system pendidikan semuanya akan member kesan dan melibatkan diri pelajar juga.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.