Carian Daripada Blog Ini

Selasa, Mei 21, 2013

GURU PENULIS





Alhamudlillah. Petang tadi telah berlangsungnya majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Sepang 2013 di SMK Seri Puteri, Cyberjaya. Pengisian boleh dikatakan lancar dan menarik. Namun yang menariknya untuk tahun kedua saya berjaya memenangi pertandingan menulis cerpen kanak-kanak yang dianjurkan oleh PPD Sepang. Jika tahun sebelum ini saya dianugerahkan sebagai Cerpen Terbaik Kategori Guru Sekolah Rendah, namun kali ini saya sekadar mendapat naib johan bagi kategori guru tanpa kategori guru menengah atau rendah.

Sebenarnya saya memang menjangka akan mendapat tempat dalam pertandingan ini lantaran saya pasti ramai guru-guru di kebanyakan sekolah sangat sibuk dengan pelbagai komitmen tugas keguruan. Lebih-lebih lagi saat ini peperiksaan pertengahan tahun sedang berjalan maka atas dasar itu saya cuba sedaya mengarang dalam keterbatasan waktu yang ada. Akhirnya saya berjaya menghantarnya pada saat-saat akhir di hari terakhir pertandingan itu dibuka.

Semasa menjamu selera tadi, seorang pegawai di PPD telah menegur saya. Dia tanyakan sejak bila saya berminat menulis cerpen. Saya katakan kepadanya, saya memang biasa menulis cuma ia hanyalah sebagai hobi. Dalam pada itu, saya sangat rajin menulis jika ada peraduan yang sesuai dengan kategori saya terutamanya apabila ia dianjurkan oleh KPM, JPN atau PPD. Apa yang ingin saya katakan, saya mungkin dalam kategori 'penulis anugerah' seperti yang pernah saya dengar dalam sebuah bengkel penulisan yang saya hadiri di mana orang sebegini hanya akan menulis jika hendak menyertai pertandingan sahaja. Ya, itulah saya. Sehingga saat ini, saya telah memenangi beberapa pertandingan menulis sejak saya berada dalam profesion ini sama ada di peringkat PPD atau JPN.

Tapi sejak beberapa ketika ini, saya mula memasang impian untuk menempa nama sebagai penulis buku dalam masa terdekat. Berkebetulan saya juga sedang dalam proses pembikinan buku cerita kanak-kanak di bawah seliaan Pelangi Pictures Sdn. Bhd. di mana peluang ini saya perolehi melalui Program Pengkarya Guru KPM 2013 yang saya hadiri sejak bulan Februari lalu. Program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ini dilihat paltform yang memberi peluang kepada guru-guru untuk bekarya walaupun sebenarnya guru-guru masa kini terlampau banyak komitmennya. 

Namun, bak kata Fasilitator daripada DBP pada program sebegini pada tahun lepas, hanya orang sibuk sahaja yang menulis benar-benar terbukti dari pemerhatian saya. Untuk saya ceritakan betapa sibuknya guru-guru mungkin tidak sesuai untuk saya paparkan di sini. Cuma saya berharap saya akan berterusan menulis dan berkarya dala apa jua journal sekaligus menjadi medium kepada sebaran dakwah masa kini sebagai talian hayat saya daripada 3 perkara yang tidak akan putus amalan selepas kembali kepada-Nya kelak. Insya Allah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.