Alhamdulillah. Negara kita telah selamat
menjalankan proses pilihanraya umum untuk kali ke 13 pada 5 Mei lalu. Sungguh
pun keputusannya telah diumumkan, ia masih menjadi kontroversi dari semasa ke
semasa. Hingga saat ini semakin banyak pembongkaran yang disifatkan banyak
pihak sebagai penipuan dan kekaburan. Antara yang menjadi bualan ialah isu
‘blackout’ di malam pengiraan undi di beberapa tempat, dakwat kekal yang tidak
berapa kekal, pengundi hantu yang didaftarkan namanya oleh SPR dan peti undi
dilarikan. Sama ada benar atau sebaliknya, biarlah pihak berwajib
menyelesaikannya. Salah satu tindakan yang mencerminkan kerajaan yang
mengamalkan demokrasi, semua petisyen yang diketengahkan oleh pihak-pihak
berkaitan harus dipertimbangkan dalam membuat penilaian. Jika pihak SPR
mendabik dada mengwar-warkan yang mereka sememangnya bersih dan telus dalam menjalankan tugas,
janganlah menolak sebarang tuntutan yang dikemukakan lantaran adanya klausa
yang membenarkan sebarang tuntutan hasil daripada PRU13 boleh dibuat dalam
tempoh 21 hari selepasnya.
Selain
beberapa isu berkaitan tuntutan daripada ketidakpuasan hati pihak-pihak
berkenaan berhubung dengan proses pilihanraya umum ke 13, terdapat pelbagai
perkara lain yang timbul hingga menimbulkan tanda tanya dan polemik dalam
kalangan masyarakat. Sehingga kini barisan pemimpin yang telah memenangi kerusi
dalam parlimen untuk menganggotai kabinet belum lagi diumumkan. Isu Tsunami Cina yang diungkapkan oleh ketua kerajaan dan disebarkan melalui media
kelihatan telah mengeruhkan keadaan hingga menyebabkan parti komponan dalam
gerakan pimpinannya seakan-akan merajuk mengundur diri daripada terpilih dalam
barisan Kabinet. Perhimpunan ‘blackout’ yang dianjurkan pihak yang tewas dengan
majoriti tipis di kebanyakan kerusi semakin memeningkan kepada hingga dikatakan
ketua polis negara meletak jawatan walaupun sebenarnya beliau bersara wajib dan
menolak untuk disambung kontraknya. Tidak cukup dengan itu, masyarakat mula
menyedari kenaikan harga barangan seperti tong gas, roti gardenia dan gula lalu
menuding jari kepada kerajaan yang dilihat tidak berjaya membendung kenaikan
harga barang. Tidak cukup dengan itu, isu siapa Menteri Besar bagi kerajaan
negeri Selangor turut menarik perhatian ramai biarpun ia adalah isu dalaman
tetapi telah dimanipulasi oleh media hingga ada dalam kalangan pemimpin negeri
lain turut membuat kenyataan mengenainya.
Berdasarkan
statistik undian popular yang telah dianalisis daripada keputusan pilihanraya
yang lepas, parti yang membentuk kerajaan telah mendapat sebanyak 48.67% undian
daripada lebih kurang 11 juta pengundi berbanding pakatan pembangkang sebanyak
51.32%. Namun, kemenangan tipis dengan memperolehi 133 kerusi di parlimen
seolah-olah dirasakan satu keajaiban biarpun tidak mendapat 2/3 kerusi yang
dianggap sebagai zon selesa untuk membentuk kerajaan. Apa yang berlaku
sebenarnya bukanlah wujudnya gelombang tsunami masyarakat Cina, tetapi
relatifnya seluruh kelompok masyarakat juga bertindak balas hingga
merungsingkan pihak kerajaan. Biar pun di dada akhbar dan media eletronik
seringkali disebutkan masyarakat Melayu masih memberi kepercayaan, ia
sebenarnya tidak begitu mencerminkan realiti sebenar di mana kebanyakan kerusi
yang dimenanginya adalah di kawasan kampung dan pedalaman termasuk di Sabah dan
Sarawak. Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku, kebanyakan kita telah
mengetahuinya terutamanya apabila melihat rata-rata generasi muda tidak
lagi memihak kepada parti kerajaan yang baru terbentuk ini.
Dalam
14 buah negeri (termasuk 1 Wilayah Persekutuan yang dibahagi kepada tiga
wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) sebanyak tiga buah negeri
masih milik di bawah pakatan pembangkang di mana ketiga-tiga negeri tersebut
mempunyai kelebihan yang tersendiri. Kelantan kaya dengan hasil minyak, Pulau Pinang terkenal dengan
pembangunannya dan Selangor yang merupakan negeri termaju sangat-sangat menjadi
rebutan antara kedua-dua belah pihak. Selangor terutamanya, seribu satu macam program
dan pelan disusun oleh parti kerajaan untuk memilikinya. Namun terbukti rakyat
Selangor majoritinya masih selesa dengan pentadbiran di bawah pakatan
pembangkang yang dilihat sebagai bersih dan telus dalam aspek menguruskan dana
negeri. Walaupun gagal merebut kembali setelah dua penggal, parti kerajaan
tetap ‘mengambil berat’ dalam urusan perlantikan Menteri Besar bagi negeri ini
sehingga menjadi tajuk utama di akhbar beberapa hari ini. Sedangkan apa yang
seharusnya difokuskan adalah urusan pentadbiran di negeri-negeri yang
dimenanginya. Adalah tidak molek jika urusan rumah tangga orang disibukkan. Lainlah
jika mereka meminta tolong, barulah parti kerajaan sebagai sebuah kerajaan
persekutuan boleh campur tangan. Adalah lebih baik teruskan agenda berkhidmat untuk masyarakat tanpa memilih bulu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu yang jelas bersikap tidak rasional dalam perancangan menjalankan pembangunan di negerinya.
Sementara
itu, sehingga hari ini, MCA dan Gerakan mula bermain sandiwara. Kononnya kesal
dengan kekalahan di kebanyakan kerusi yang dipertandingakan, mereka menarik
diri daripada disenaraikan sebagai anggota kabinet kali ini. Dalam hal ini,
ramai pihak melihat ia merupakan satu reaksi terhadap tuduhan ketua kerajaan
Malaysia yang menyebutkan masyarakat Cina bersifat rasis dan perkauman gara-gara
menolak calon daripada parti kerajaan. Sedangkan jika diperhatikan, MCA dan
Gerakan yang ahlinya dalam kalangan masyarakat China secara teorinya merancang
strategi halus untuk bangun menentang kerajaan secara senyap. Kalaupun mereka
tidak mengisytiharkan keluar daripada komponan Barisan Nasional yang menerajui
kerajaan, sekurang-kurangnya mereka akan berada di belakang pembangkang
khususnya DAP dalam menuntut sesuatu demi kepentingan kaum mereka. Jika mereka berada
di dalam kabinet, tentu sahaja keadaan ini lebih sukar kerana mereka seharusnya
menjadi suara kerajaan dan terpaksa menolak sebarang tuntutan daripada pembangkang
tersebut. Jadi, jika benar mereka tidak akan berada di dalam kabinet, boleh
jadi akan wujud satu masalah yang besar dan memberi kesan kepada kestabilan politik negara. Keadaan ini akan mewujudkan kesatuan
dalam masyarakat Cina sama ada daripada MCA, Gerakan dan DAP yang dimonopoli
masyarakat Cina untuk menentang kerajaan pada suatu hari nanti dengan mudah lantaran mereka pada masa itu telah bersatu hati seia sekata.
Untuk
esok dan akan datang, belum ada kepastian untuk adanya penyelesaian isu-isu
yang wujud selepas seminggu pilihanraya diadakan. Walaupun masyarakat awam
rata-ratanya menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi pada yang peka, selagi
mana SPR tidak menyelesaikan isu-isu dan tuntutan yang dibangkitkan maka ia
belum lagi dikatakan selesai. Malah, penyenaraian anggota kabinet yang belum
wujud akan menyebabkan banyak mata daripada luar memberi persepsi akan
kelemahan kepimpinan Malaysia. Isu tawaran ketua kerajaan kepada PAS dan DAP
untuk bergabung dalam membentuk kerajaan nampaknya belum menampakkan respon
positif. Masing-masing kelihatan cuba menarik tali. Pokoknya, kedua-dua belah
pihak harus membuang ego masing-masing jika mahu penggabungan itu
direalisasikan. Apapun, untuk esok bertarikh 13 Mei, Diharapkan tiada apa-apa
kejadian yang tidak diingini berlaku.
Bagi
yang sedar, dalam pada kesibukan masyarakat di Malaysia dengan isu-isu
pilihanraya, sebenarnya ada satu berita menarik yang wujud seiring dengan
situasi yang berlaku di negara ini semenjak Mac lalu, iaitu isu penahanan
kepimpinan tertinggi syarikat GISB dan staf-stafnya di Arab Saudi. Mereka didakwa ditahan atas
kesalahan melakukan bid’ah dan kesesatan pada awalnya namun dakwaan itu
digugurkan dan diganti dengan kesalahan berkaitan imegresen. Kebanyakan di antara
mereka seramai 95 orang ditahan disebabkan ketiadaan visa, dan sebahagian lain
ditahan kerana berada di Arab Saudi selepas tamat tempoh. Majoriti mereka
akhirnya dibebaskan dan yang terakhir beberapa orang dalam kalangan mereka akan
dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi ke Malaysia. Bagi yang peka dengan
perkembangan mereka, kepulangan mereka ke Malaysia ini bukan kerana berkebetulan
dengan tarikh peristiwa berdarah pada 1969, tetapi ia juga adalah hari
kepulangan ke hadrat Ilahi pemimpin mereka pada tarikh yang sama pada tahun
2010. Lagi-lagi kebetulan, kepulangan mereka adalah dalam tempoh negara ini
yang masih dalam mood pasca pilihanraya yang masih banyak isu yang sedang
dipertimbangkan untuk diselesaikan. Dalam pada itu isu perkauman makin membarah
akibat penyebarannya di media massa termasuk akhbar arus perdana. Tanda soal
yang berlegar di kepala saya, apakah semua ini satu kebetulan? Apakah akan terjadi sesuatu pada tarikh ini
esok? Adakah keyakinan para ahli GISB akan terbukti dengan kehadiran mereka
pada kali ini adalah untuk berperanan besar di negara ini sementelahan selama
ini mereka dinafikan bermacam-macam hak walaupun kesesatan mereka tidak
terbukti sedari dulu hingga kini? Wallahu a’lam.
Apapun,
diharapkan Malaysia terus maju dan makmur dengan rahmat-Mu, Tuhan. Harmonikan
kami wahai Tuhan. Jika benar tanah air ini bakal menjadi tapak kebangkitan
ummah kali kedua, perlihatkanlah segera kepada kami. Jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur kepada-Mu yang hidup di negara yang tercinta ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan