Bahang pilihanraya semakin di kemuncaknya.
Pelbagai cara kempen dari kesemua pihak bertanding dapat dilihat. Melalui kempen,
pelbagai janji dan manifesto diberikan bagi menarik pengundi. Bagi pihak
pengundi, mereka merasakan inilah masanya untuk mereka melihat manifesto mana
yang ideal dan memenuhi hasrat mereka. Oleh kerana keperluan dan keinginan
seseorang itu berbeza, maka setiap calon harus mengkaji terlebih dahulu
demografi pengundi agar manifesto yang disenaraikan dapat diterima dengan baik.
Kempen di media massa dilihat lebih berkesan
daripada perhimpunan mengumpul pengundi pada masa kini. Daripada pelbagai media
yang ada, media eletronik seperti televisyen dan internet kelihatan lebih
rancak. Manakala melalui akhbar, sungguh pun ia memberi kesan kepada pembaca,
ia masih tidak dapat menyamai media eletronik yang lebih dominan. Atas tiket
berkempen ini jugalah dapat juga dilihat budaya kata-mengata, fitnah-memfitnah
dan caci-maki berleluasa. Walau bagaimana pun, bagi pengundi yang bijak, sumber
yang diperolehi harus pelbagai. Jika orang kata televisyen dan akhbar tidak
boleh dipercayai sepenuhnya, maka dapatkanlah berita melalui internet yang
jelas mudah diperolehi dalam dunia tanpa sempadan. Lagi bijak jika meneliti
semua sumber yang ada dan bukan hanya memilih satu sumber lalu mempercayai dan
menolak dapatan daripada sumber lain.
Apa pun, jelas kemeriahannya dapat dirasakan
sehingga ianya menjadi topik perbualan di sana sini. Di kedai kopi dan di
rumah-rumah sudah menjadi rutin saat ini. Tatkala saling berziarah berjumpa
sanak saudara dan rakan taulan juga tidak asing lagi. Di tempat kerja pun tidak
dapat lari dari menjadi bahan bualan. Di masjid? Di sekolah? Tiada masalah.
Politik itu sebahagian daripada perkara yang dituntut dalam Islam dan
pendidikan. Hanya menjadi persoalan gaya politik yang diamalkan sama ada selari
dengan syarak dan fitrah atau sebaliknya.
Jika ditanya saya, saya sebenarnya tidaklah pro
pada mana-mana pihak yang bertanding untuk pemilihan atas nama demokrasi. Sudah
terang lagi bersuluh ia acuan dari Barat yang makin lama makin jelas
kepincangannya, maka sampai bila-bila ia tidak sesuai untuk diamalkan. Namun,
atas rasa tanggungjawab, pemilihan tetap akan dibuat sebagai sokongan kepada tanah
tumpah negara tercinta (walau darah pertama saya bukan jatuhnya di sini…hihi). Saya
sebenarnya lebih memprcayai negara ini akan makmur, damai dan sejahtera jika
dipimpin oleh figura yang membai’ahnya secara sukarela. Ia terjadi akibat
daripada rasa kekecewaan masyarakat terhadap situasi dunia yang kian tenat. Jenayah
berleluasa, arak dan zina jadi perkara biasa, rasuah dan tipudaya di mana
sahaja serta penzaliman dan penindasan tiada yang membela hingga terasa mahu ke
mana-mana pun tidak lagi selamat.
Tapi, melihat situasi masa kini, pada saya ia
masih dalam keadaan aman dan selamat walaupun statistik jenayah makin meruncing
dari semasa ke semasa. Oleh itu, pada saya siapa pun yang mendapat mandate dengan
undian majoriti, maka diharapkan ia menjadi perintis kepada laluan tertegaknya
daulah Islam kali kedua yang dijanjikan Tuhan. Daripada pemerhatian saya
sehingga sat ini, saya cuba mengandaikan (bukan ramalkan ya), Pakatan
memperolehi mandate di mana-mana enam negeri
yang salah satunya adalah negeri saya sendiri dengan mendapat jumlah
kerusi di parlimen hampir antara 100-110 berdasarkan sokongan padu daripada
masyarakat di pelusuk negara. Kalaulah meleset andaian ini, itu tidak akan saya
kesali. Sesungguhnya perencanaan Allah lebih baik walaupun ia direncana baik
sejak awal-awal lagi.
Wahai Tuhanku, selamatkanlah negaraku daripada bala bencana yang membawa kepada kehancuran. Peliharalah negara kami agar ia benar-benar menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam segala aspek. Suburkanlah semangat cintakan negara ke dalam hati kami. Musnahkanlah segara perencanaan jahat yang dilakukan oleh musuh yang tidak senang dengan kedaulatan negara ini.
Akhir kalam, Saya Sayang Selangor & selamat menunaikan tanggungjawab
kita kepada negara esok :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan