Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Mei 26, 2013

CADANGAN PENYELESAIAN ISU DALAM PENDIDIKAN



Sejak akhir-akhir ini, banyak isu berkaitan guru dan pendidikan timbul. Ia ketara sejak sebelum PRU13 bermula di mana keluh-kesah guru yang selama ini dipandang sepi oleh pihak kementerian dan kerajaan persekutuan mula diambil perhatian. Gara-gara janji untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang dihadapi guru-guru selama ini membuatkan semangat guru seolah-olah bangkit semula. walaupun ramai mengetahui mungkin ia adalah salah satu retorik persis janji-janji manis terdahulu, ia masih mampu menarik kepercayaan mereka untuk terus menyokong kerajaan. Namun, tatkala jalan penyelesaian itu dijanjikan berlaku selepas pilihanraya, ramai yang memberi persepsi berbeza-beza. Pokoknya keadaan ini dilihat seolah-olah isu ini dipermain-mainkan sekaligus menunjukkan sikap tidak ikhlas untuk mencari formula sesuai untuk meningkatkan keupayaan sistem pendidikan negara termasuk hal-hal yang bersangkut-paut dengannya. Seharusnya ia seharusnya diselesaikan sesegara mungkin, bukan menarik tali memperjudikannya kerana di akhirnya nanti yang rugi adalah negara dan masyarakat juga. 

Kini, selepas tamatnya PRU13, masih tidak nampak apakah jalan penyelesaian untuk merungkai semua isu yang timbul. Apa yang terpapar di media adalah beberapa istilah yang selama ni telah digunapakai ditukar kepada istilah lain yang turut telah digunapakai sebelumnya seperti 'pelajaran kepada pendidikan' untuk penjenamaan semula KPM, 'Malaysia kepada Melayu' untuk pemantapan Bahasa Kebangsaan dan 'putra kepada pertanian' untuk nama UPM. Apa yang kelihatan, sebarang nama dan istulah yang diberikan pun, ia tidak memberi impak yang besar kepada sistem pendidikan negara malah ada sebahagaian pihak menganggap ia sekadar membazirkan wang rakyat untuk penjemaan semula perkara-perkara di atas sedangkan apa yang penting adalah peranannya.

Oleh yang demikian,  melalui sebuah artikel yang ditulis oleh wakil guru di sini, terdapat beberapa cadangan kepada pihak berkenaan sebagai jalan keluar kepada kemelut yang wujud. Barangkali pihak berkenaan dalam kebuntuan hingga tidak nampak jalan yang sesuai untuk mengatasi masalah pendidikan dan keguruan.


1. Hadkan penglibatan ko-kurikulum di semua sekolah kepada salah satu sahaja sama ada unit beruniform, sukan atau kelab. Jika ingin juga melaksanakan program-program ko-kurikulum dan menjalankan dasar ‘1 Murid, 1 Sukan’ mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan berikan mereka sedikit elaun untuk memantau dan merancang aktiviti ko-kurikulum pada setiap hari di sebelah petang.
Saya tidak pasti sama ada cadangan ini sesuai dilaksanakan atau tidak. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menginginkan potensi murid-murid merangkumi aspek JERIS, maka ia tidak harus menjurus kepada satu-satu cabang kokurikulum sahaja. Adalah tidak wajar jika seorang murid mendalami sukan tanpa mempelajari kebudayaan dan sebaliknya. Tetapi dari cadangan ini juga boleh dicadangkan, guru-guru hanya terlibat dalam salah satu cabang kokurikulum sahaja dan perlu pakar dan mahir dalam bidang berkenaan sama ada sukan, kebudayaan dan seumpamanya bagi memastikan kepakaran mereka tidak disia-siakan  dan dimanfaatkan sebaiknya.
2. Begitu juga dengan majlis rasmi di sekolah, Kementerian Pelajaran boleh menetapkan beberapa acara rasmi sahaja untuk dijalankan setiap tahun dan diselaraskan untuk semua sekolah.
Cadangan ini sesuatu yang harus diteliti semula. Sebenarnya jika disedari, program-program yang dijalankan di sekolah amat banyak. Daripada program panitia, hal ehwal murid dan kokurikulum, ia dilihat seolah-olah dalam setahun waktu PdP banyak mengalami pengurangan. Ya, semua program yang dianjurkan ada manfaatnya, tetapi jika proses PdP banyak dikorbankan, yang rugi murid juga. Jika diteliti, selain program-program kokurikulum, program anjuran Panitia Pendidikan Islam juga sangat banyak. Ini berikutan panitia ini dilihat sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan hari-hari kebsaran Islam seperti israk mikraj, awal muharam, ihya ramadhan dan seumpamanya selain aktiviti koakademik yang bermacam-macam. Jadi, cadangan mengehadkan aktiviti di sekolah seharusnya diterima dengan membuat perancangan awal dan diamsukkan di dalam takwim. Apa yang selalunya terjadi, banyak pula program lain yang tidak dimasukkan di dalam takwim dijalankan secara ad-hock.
3. Selain itu keluarkan arahan rasmi kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) agar tidak lagi membebankan guru-guru dengan pemantauan berbagai-bagai fail kerana pada pendapat saya penilaian terhadap prestasi seseorang guru itu perlu dilihat dari aspek pengajaran dan bukannya sistem dokumentasi yang nampak begitu gah dari luar, tetapi jarang dilaksanakan dengan baik.
Pada saya, pihak atasan dalam kalangan pegawai di kementerian, jabatan dan pejabat pelajaran harus seia sekata dalam memberikan arahan. Realiti yang berlaku guru-guru di sekolah terpaksa menerima tekanan yang diterima daripada pihak-pihak atasan yang berlagak pandai dan serba tahu. Seharusnya guru-guru tidak harus tertekan dengan tugsan sampingan dalam menguruskan fail kerana bidang dan kepakaranannya adalah mengajar dan bukan menguruskan fail. Tidak salah untuk guru diberikan tangungjawab itu, tetapi ia seharusnya tidak ada percanggahan arahan dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak atasan.
4. Menteri Pelajaran juga harus sedar arahan untuk mengisi maklumat dalam pelbagai pangkalan data juga semakin menjadi-jadi pada hari ini sehingga kami terpaksa membeli ‘broadband’ semata-mata untuk kerja mengisi data.
Saya tidak merasakan cadangan ini harus diterima bulat-bulat. Tetapi apa yang harus dilakukan adalah, mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya dengan memastikan sistem ini dapat digunakan sebaiknya. Tidak sedikit laporan yang didengar mengenai kelemahan sistem atas talian yang diperkenalkan untuk tugasan-tugasan pengkeranian termasuk mengisi markah dan prestasi murid, tetapi penambahbaikannya tidak begitu mesra pengguna hingga menyebabkan banyak masa guru terbuang di depan skrin komputer biarpun ketika itu guru berada di rumah. Tatkala kakitangan di jabatan lain pulang ke rumah tanpa membawa kerja mereka, kalangan guru adalah sebaliknya. Dalam tempoh tidak mengajar beberapa waktu di sekolah, ia tidak mencukupi untuk guru menyelesaikan semua kerja dan tugasnya sekaligus dalam masa yang tepat.
5. Saya mewakili guru-guru dan saya juga sebagai ibubapa menasihatkan Kementerian Pelajaran untuk menghentikan PBS serta merta demi masa depan anak-anak kami. Jangan bazirkan waktu mereka di sekolah dengan PBS lagi.
Ramai yang melihat PBS ni satu sistem yang baru diperkenalkan ini baik untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi bilamana pendidikan berasaskan peperiksaan semata-mata membuatkan murid sekadar cemerlang di atas kertas tetapi penghayatan ilmunya tiada. Namun dalam masa yang sama ia tidak sesuai dilaksanakan apabila mengambil kira keadaan dan situasi sekolah dan guru di Malaysia. Dengan jumlah murid yang ramai dalam sesebuah kelas dan lambakan tugas sampingan guru yang lain, adalah mustahil untuk PBS ini dilaksanakn dengan sebaiknya. Pihak kementerian seharusnya meneliti semula dengan mengambil kira aspek lain untuk memastikan kekeberkesanan sistem ini dilaksanakan pada beberapa tahun akan datang.

6. Jika pihak Kementerian Pelajaran malu untuk mengakui kesilapan mereka dan takut ego mereka tercalar, jalankanlah PBS tetapi bukan dengan cara penyediaan beratus ‘evidence’ yang perlu ditanda, difailkan dan kemudian diisi pula dalam SPPBS kerana ianya membebankan guru-guru dan langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada pelajar

Cadangan di atas ini mungkin kelihatan kelakar. Tetapi tidak salah untuk pihak-pihak berkaitan mempertimbangkannya demi kemaslahan semua pihak terlibat. Secara peribadi diakui tugasan ini sangat berkaitan dengan tugasan seorang guru, namun ia harus disemak semula bagaimana untuk dilaksanakan dengan sempurna. Cukuplah selama ini guru sebagai radas yang menjadikan murid sebagai tikus makmal dalam proses ujikaji yang dijalankan oleh pihak kementerian sebagai saintis yang hebat sedangkan telah banyak contoh dilihat yang mengakami kegagalan dan tida, berkesan gara-gara ia dijalankan atas dasar kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Apapun cadangan yang diberikan, guru-guru masih meyakini pihak atasan mempunyai formulanya yang tersendiri untuk mengatasi segala masalah yang dikemukakan. Cuma bilakan jalan penyelesaian itu hendak dikemukakan, ia masih menjadi tanda tanya. Biarpun pelbagai pengalaman pahit yang diterima darpada isu dalam menyelsaikan masalah berbangkit berkaitan pendidikan dan keguruan, guru-guru masih komited menjalankan tugas mereka. Biarlah orang kata mereka tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana merungut dan mengadu itu ini, tetapi ia bukan untuk kepentingan mereka. Selaku ejen perubahan masyarakat, mereka berhak menyuarakan cadangan agar sistem pendidikan berjalan dengan baik dan kemas lantaran mereka adalah kelompok yang berada dalam landasan pendidikan secara langsung sebagai pelaksana yang tentunya mengetahui salah, silap dan kepincangan yang ada dari masa ke masa.



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.