Carian Daripada Blog Ini

Ahad, April 14, 2013

Tips Menulis Artikel Jurnal


Assalamualaikum. Sebelum anda (sebagai individu yang memang mencari tips ini) membaca artikel di bawah ini, ingin saya isytiharkan bahawa artikel ini adalah 'copy-paste' daripada sini yang saya ambil sebagai panduan untuk saya menulis artikel. Saya pun tengah pening kepala bagaimana menulis artikel yang sebenarnya saya menggunakan sumber dari tesis saya yang telah siap. Moga ia dapat membantu saya dan anda yang sealiran dengan saya. In sha Allah.

TIPS MENULIS ARTIKEL JURNAL
Setelah memperihalkan aspek-aspek teknikal berkaitan dengan penerbitan artikel jurnal, saya suka pula membincangkan beberapa tips dalam penulisan artikel jurnal. Namun, kepelbagaian bentuk kajian dan bidang menjadikan penulisan artikel itu berbentuk rencam dan pelbagai. Oleh itu, saya akan berkongsikan tips-tips umum sahaja yang boleh digunakan sebagai panduan oleh kepelbagaian bidang tadi, insyaAllah.
Tips umum
Pertama sekali, anda sebagai penulis perlu mempunyai modal jika anda mahu berniaga. Penulisan artikel adalah buah daripada hasil kajian yang anda lakukan. Oleh itu, anda perlu mewujudkan modal itu dahulu sama ada melalui kajian sendiri, kajian kerjasama dengan organisasi ataupun kumpulan.
Anda juga perlu mengenali bidang kepakaran yang menjadi kekuatan anda seperti sosio linguistik, psikolinguistik, psikologi pendidikan, kurikulum, korpus, kontrastif dan sebagainya. Anda juga mungkin sahaja pakar dalam bidang ekonomi dan juga sains. Namun, bidang-bidang ini juga mempunyai sub-sub kepakaran masing-masing. Anda tidak boleh terlalu tamak kerana anda tidak akan mampu untuk menjadi pakar dalam semua bidang. Penulisan artikel yang berkualiti memerlukan fokus dan penelitian dalam literatur yang melibatkan aspek teori serta aplikasi. Bagi membina penguasaan literatur, ia memerlukan masa dan melibatkan pembacaan serta penelitian yang teliti. Anda mungkin boleh menjimatkan masa dalam perkara ini dengan membuat perkongsian pintar dengan pakar. Mungkin para profesor ataupun pelajar Ph.D dan sarjana boleh memandu anda dalam pembacaan literatur. Anda boleh sahaja memohon bantuan mereka dari segi teori dan literatur, namun anda pula mengepalai kajian aplikasinya.
Perkara ini juga biasa berlaku apabila melibatkan projek kajian yang besar. Seorang pakar dari Amerika Syarikat mungkin akan meminta bantuan kepakaran di Malaysia bagi mengepalai pengumpulan maklumat di bahagian Asia Tenggara yang boleh menyempurnakan satu kajian yang berskala besar. Inilah yang dinamakan sebagai kajian kolaborasi dan suasana menang-menang pun dapat diwujudkan antara para pengkaji. Seorang profesor dalam bidang kejuruteraan mungkin sahaja memerlukan bantuan literatur daripada seorang sarjana dalam bidang perubatan ababila kajiannya melibatkan rentas disiplin ilmu. Dengan cara ini, perkongsian kepakaran akan berlaku dan ilmu juga akan berkembang merentasi bidang.
Anda perlu mengenali tokoh dalam bidang penulisan anda. Perkara ini akan membolehkan anda melihat trend perbincangan dan perbahasan semasa dalam bidang tersebut, mengkaji corak perbahasan yang diterima oleh pihak jurnal serta boleh menjejaki nama jurnal yang menerbitkan artikel tersebut. Anda juga boleh merujuk kepada penulisan tokoh tersebut seterusnya dapat meningkatkan lagi mutu akademik penulisan anda.
Anda juga perlu mengkaji corak penulisan dan trend semasa kajian berkaitan dengan bidang anda. Kajian yang baik belum tentu akan diterbitkan oleh jurnal berimpak tinggi sekiranya perbahasan itu sudah lapuk dan sudah tepu. Ini kerana impak yang mampu dihasilkan adalah kurang kerana pengkaji sudah tidak membincangkan perkara itu lagi.
Anda juga perlu mengenali jurnal yang berpotensi menerbitkan hasil penulisan anda. Jurnal-jurnal berimpak tinggi khususnya yang terindeks dalam ISI Tomson dan SCOPUS sangat menitikberatkan skop penulisan. Sekiranya skop penulisan artikel itu terkeluar daripada skop jurnal, maka ia akan ditolak tanpa diwasitkan.
Binaan sebuah artikel
Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi, dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan. Saya akan membincangkan perkara ini secara umum supaya ia dapat dimanafaatkan oleh semua.
Tajuk
Tajuk artikel haruslah ringkas, jelas dan melambangkan perbahasan utama artikel. Tajuk yang baik seeloknya menarik perhatian ramai untuk membacanya.
Abstrak
Abstrak artikel perlu mengandungi pendahuluan ringkas tentang kajian. Selepas itu, penulis perlu menerangkan objektif utama dan objektif terperinci kajian. Sekiranya objektif itu melebihi dua perkara, penulis boleh mempertimbangkan penggunaan nombor bagi menjelaskan perkara ini. Selepas itu, metodologi kajian perlu dijelaskan dengan terperinci. Ia melibatkan reka bentuk kajian, populasi serta kaedah persampelan. Penulis juga perlu menyenaraikan dapatan kajian secara ringkas mengikut turutan objektif kajian tadi. Penggunaan nombor juga mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya objektif itu melebihi dua perkara. Abstrak kajian juga perlu disertakan secara ringkas implikasi kajian terhadap amalan semasa ataupun sumbangan kajian terhadap badan ilmu. Jumlah bilangan perkataan dalam abstrak adalah bergantung kepada jurnal. Ada yang menetapkan tidak melebihi 100 patah perkataan, namun kebiasaannya adalah antara 100 sehingga 300 patah perkataan. Sekiranya bilangan abstrak melebihi atau berkurangan daripada jumlah yang ditetapkan, maka kebiasaannya pihak jurnal akan memulangkan artikel itu kembali kepada penulis untuk diperbaiki. Malah ada jurnal yang menetapkan format tertentu dalam penulisan abstrak. Perkara ini bergantung kepada pihak jurnal.
Pendahuluan
Pendahuluan artikel perlu mempunyai latar belakang kajian serta teori yang mendasari kajian tersebut. Penulis juga perlu menjelaskan kajian-kajian terdahulu yang pernah membincangkan persoalan yang serupa. Ini bagi membolehkan pembaca melihat kedudukan kajian terbaru ini dalam badan ilmu. Seterusnya, penulis perlu membentangkan pernyataan masalah kajian yang mendorong kajian itu dilakukan. Begitu juga, apakah bentuk sumbangan kajian baru ini terhadap badan ilmu secara keseluruhannya. Kemudian, penulis perlu menyatakan persoalan kajian ataupun hipotesis kajian. Nombor mungkin boleh diperimbangkan sekiranya persoalan kajian itu melebihi satu. Kesemua elemen ini harulah diletakkan di bawah pendahuluan dan dibezakan oleh perenggan yang berbeza. Bahagian ini perlu diringkaskan dan biasanya tidak melebihi 3 halaman. Citaton yang cukup perlu dilakukan penulis bagi menunjukkan bahawa penulis telah menguasai literatur secukupnya. Sebaiknya juga segala perbahasan perlulah dirujuk kepada sumber rujukan utama dan bukannya diambil dari sumber yang kedua seperti penulisan tesis dan sebaginya. Sebagai contohnya, jika penulis bercakap mengenai Teori Piaget, maka rujukan sepatutnya menggunakan buku Piaget itu sendiri dan bukannya tesis atau buku orang lain yang datang selepas itu.
Metodologi
Pada bahagian ini, penulis perlu menjelaskan reka bentuk kajian yang digunakan sepeti kajian eksperimen, tinjauan, kajian kes, action research, kajian etnografi, kajian campuran metode (mixed method), analisis dokumen ataupun kajian kepustakaan. Penulis juga harus menerangkan latar belakang populasi, teknik persampelan, jumlah bilangan sampel kajian serta rasional bilangan tersebut, pemilihan responden dan juga lokasi kajian yang terlibat. Selain itu, penulis juga harus menerangkan bentuk-bentuk instrumen yang digunakan, serta teknik kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang penulis gunakan. Bagi kajian kualitatif pula sebagi contohnya, penulis harus menerangkan apakah teknik kesahan yang digunakan seperti teknik kesahan Cohen Kappa dan sebagainya. Sekiranya penulis menggunakan akronim, maksud akronim tersebut perlu dijelaskan. Penulis juga perlu menerangkan bentuk teknik analisis yang digunakan seperti penggunaan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), Rasch Model, Structural Equation Modelling(SEM) dan sebagainya.
Dapatan kajian
Seeloknya, dapatan kajian perlu disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya para pembaca dan penilai dapat mengaitkannya dengan persoalan kajian yang disebut terlebih dahulu. Persembahan data juga perlu mengikut standard jurnal. Kebanyakan jurnal menggunakan standard The American Psychological Association (APA), namun terdapat juga jurnal yang menggunakan format yang lain. Oleh itu, penelitian kepada format penulisan yang digariskan oleh setiap jurnal akan sedikit sebanyak membantu para penulis. Begitu juga, penulis boleh juga melihat contoh artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal tersebut bagi mendapatkan gambaran kasar tentang jangkaan pihak jurnal. Bagi data kualitatif pula, terdapat jurnal yang lebih menggemari teknik naratif berbanding teknik persembahan data sebenar. Oleh itu, perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada setiap jurnal. Walaupun begitu, corak persembahan data ini haruslah teliti, jelas dan tersusun.
Perbincangan
Bahagian ini menunjukkan penguasaan penulis dalam membincangkan isu utama penulisan. Seeloknya perbincangan ini disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya pembaca dapat fokus dan mengaitkannya dengan dapatan. Penulis perlu membincangkan persoalan kajian secara kritis satu persatu berpandukan dapatan kajian dan ulasan literatur yang mantap. Ia juga perlu disokong oleh teori dan kajian-kajian yang lepas. Seterusnya, penulis harus merumuskan apakah bentuk penemuan baru atau penemuan yang menyokong dapatan terdahulu yang menyumbang kepada badan ilmu dan amalan semasa. Perbincangan perlu ditulis secara sistematik, akademik dan tidak meleret-leret. Setiap pernyataan harus diperkuatkan dengan bukti yang boleh diambil daripada kajian-kajian yang lepas. Elakkan membuat pernyataan secara ‘syok sendiri’ tanpa disertakan buktinya. Apa yang penting, perbincangan seharusnya dalam bentuk yang akademik.
Kesimpulan dan cadangan
Dalam bahagian ini, penulis harus membuat rumusan secara ringkas tentang kajian yang dilakukan dan apakah bentuk sumbangan kajian tersebut kepada badan ilmu. Penulis juga harus mengemukakan cadangan-cadangan baru yang terhasil daripada penemuan kajian yang dilakukan. terhadap keadaan semasa.
Penutup
Dalam bahagian ini, penulis harus mengemukakan secara ringkas tentang kajian yang dibuat, penemuan-penemuan yang penting dan implikasi kajian. Penulis harus mengelakkan diri  daripada membuat citation baru.
Rujukan
Penulis harus memastikan bahawa setiap citation yang dibuat dalam teks harus disebut dalam bahagian rujukan. Penggunaan perisian-perisian tertentu seperti EndNote boleh membantu penulis dalam perkara ini. Senarai rujukan juga perlu ditulis berdasarkan format yang telah ditetapkan. Seeloknya, penulis perlu meluangkan masa untuk membacaGuide for authors yang disediakan oleh pihak jurnal terlebih dahulu. Ini kerana jurnal berlainan menggunakan format yang berlainan pula. Dalam penulisan artikel, penulis perlu memperbanyakkan penggunaan rujukan yang terkini, seboleh-bolehnya 60 peratus terdiri daripada bahan yang berumur kurang daripada 5 tahun daripada tahun artikel itu ditulis. Terdapat juga jurnal yang menghadkan bilangan rujukan bagi setiap artikel. Sebagai contohnya, Gema Online Journal hanya membenarkan penggunaan 30 rujukan bagi setiap artikel yang dihantar.

1 ulasan:

Anonymous berkata...

Hey this is kinda of off topic but I was wanting to know if blogs use WYSIWYG editors or if you have to manually code with HTML.
I'm starting a blog soon but have no coding expertise so I wanted to get guidance from someone with experience. Any help would be greatly appreciated!

Stop by my blog post ... This Resource site

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.