Bahang PRU13 semakin panas saat ini. Dengan pembubaran rasmi oleh PM pada Khamis lepas membuatkan semua pihak semakin berdebar-debar. Para pemimpin mula melobi sana-sini. Para pengundi turut teruja untuk mengetahui siapakah gerangannya calon yang bakal mewakili suara mereka. Pelbagai kriteria digariskan bagi menilai kelayakan seseorang calon itu untuk mewakili mereka. Persaingan antara calon kelihatan senget, walaupun sehingga saat ini masih banyak kawasan yang belum jelas lagi siapa calon-calonnya.
Bagaimana pun, perkara yang jadi keutmaan adalah mengambil hati masyarakat. Bagi parti-parti yang bertanding, mereka meyakini, siapa pun calonnya, masyarakat akan melihat apakah manfaat dan faedah yang bajal mereka perolehi jika calon yang mewakili parti itu beroleh kemenangan. Sehingga saat ini pihak-pihak yang bertanding telah mewar-warkan manifesto masing-masing yang kebanyakannya dilihat memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Sama ada senarai yang wujud dalam manifesto mereka itu dapat dilaksanakan atau sebaliknya, itu bukanlah perkara utama. Apa yang penting saat in apa yang ada dalam manifesto itu dapat meyakinkan dan menarik perhatian masyarakat untuk memilih mereka.
Namun, tidak semua individu memandang pada senarai manifesto yang dicanang-canangkan oleh parti-parti yang bertanding. Ada yang beranggapan, jani yang disebut-sebutkan itu adalah perkara yang kurang utama. Ini kerana, pengundi yang bijak adalah mereka yang tidak terpesona dengan janji-janji yang ada. Bukanlah kerana ianya tidak menarik tetapi yang lebih utama adalah pemimpin yang bakal mewakili suara mereka dapat mewakili dan membela mereka dalam erti kata sebenar. Kalau nak dikatakan pemimpin itu harus turun padang bersama masyarakat, keadaan itu semamangnya tidak menjadi masalah terutamanya apabila dalam zaman ini struktur perhubungan seperti jalanraya dan talian sosial seperti telefon, television dan sebagainya telah mendekatkan diri pemimpin kepada masyarakatnya. Lebih-lebih lagi dewasa ini ramai pemimpin masyarakat sangat suka bertemu dengan rakyatnya dalam pelbagai majlis dan program. Asal ada program masyarakat seboleh-bolehnya mesti ada wakil rakyat yang datang merasmikan. Hatta dalam program-program sekolah pun, tanpa adanya wakil rakyat seolah-olah majilis itu tiada serinya. Jadi, istilah pemimpin lupa pengundi saat ini tidak lagi menjadi isu besar. Tetapi pemimpin yang lupa janji kepada pengundi itulah yang sering menjadi masalah besar.
Apapun, jika ditanya kepada saya yang bakal mengundi buat kali kedua dalam hidup ini, saya tidak terlalu meminta itu dan ini untuk saya pilih mana-mana calun sebagai wakil rakyat di kawasan saya. Saya bukanlah penyokong mana-mana parti yang tegar. Malah saya hampir tidak percaya dengan perjalanan demokrasi yang kelihatan semakin caca-marba. Tetapi kerana mengundi itu adalah hak setiap individu yang berkelayakan, maka saya harus ambil peluang ini.alau pun saya sangat berharap agar PRU13 tidak akan berlaku kerana mempercayai akan muncul keajaiban lain yang dapat membaiki situasi masyarakat yang semakin korup. Dalam pada itu saya juga ada tuntutan yang ingin saya kemukakan sebagai rakyat dengan kapasiti sebagai seorang yang bekerjaya dalam bidang pendidikan, seorang yang masih belum dan bakal berkahwin dan seorang Muslim.
Apa yang saya inginkan ialah kerjaya perguruan tidak dibebani dengan pelbagai tuntutan tugas yang sangat memenatkan. Sebagai seorang guru saya tahu apa tugas sebenar seperti mana yang dilatih semasa di pusat pengajian. Tetapi kerana percaturan golongan cerdik pandai yang mendakwa bijak menyusun kurikulum membuatkan tugasan guru-guru semakin caca-marba. Belum lagi dengan campur tangan pemimpin yang mempolitikkan pendidikan hingga peranan guru sekarang ini tidak lagi tertumpu kepada menjayakan kecemerlangan murid semata-mata, tetapi disebukkan dengan tugas-tugas lain di luar lingkungan akademik secara mutlak.
Perkara lain yang ingin saya ketengahkan adalah mengenai harga rumah yang semakin tidak munasabah. Sungguh pun saya berkerjaya dengan pendapatan yang sederhana secara tetap, hingga kini saya masih mencongak-congak untuk mendapatkan sebuah rumah yang berkos sederhana yang sesuai di sekitar saya. Kebetulan saya adalah penduduk di sebuah negeri yang maju dengan kawasan sekitar yang terkenal dan hampir dengan pusat kerajaan persekutuan, maka rumah yang dijual hampir kesemuanya mendekati kos setengah juta. Kalaulah begini, mati hidup semula pon memang tak dapat nak dibayar sampai habis melainkan dengan berhutang. Berhutang dengan amaun yang besar meungkinkan hati ni akan setiasa resah gelisah sampai berbelas tahun. Kereta pun saya harap harganya biarlah sepadan dengan kualitinya. Antara lain cukai untuk kereta import diturunkan juga. Untuk apa membayar mahal hanya untuk sebuah kereta import yang sebenarnya harganya kurang sekali ganda.
Tetapi, apa yang pasti, saya inginkan agar para pemimpin yang bakal mentadbir negara kelak adalah dalam kalangan mereka yang mendukung Islam yang sebenar. Tidak mengambil hanya sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Yang penting juga mereka harus komited dalam mendidik masyarakat untuk kembali kepada Tuhan tidak kira dalam agama apa sekali pun. Bagi yang Muslim, saya berharap sangat mereka tidak terlalu mengekang perkara-perkara yang menuju ke arah kebangkitan daulah Islam kali kedua seperti yang baginda Nabi s.a.w sebutkan dalam hadith-hadithnya. jangan mudah menyesatkan mana-mana gerakan tariqat dan jemaah kerohanian yang tidak jelas sesatnya. Hanya mengandaikan tanpa memahami secara terperinci operasi dan gerak kerja sesebuah kumpulan, ia bukan satu tindakan yang bijak, tetapi tindakan jahil walau pun mempergunakan jabatan-jabatan agama untuk memutuskan kesesatan sesebuah jemaah.
Akhirnya, saya menulis topik ini bukanlah atas kapasiti seorang kakitangan kerajaan persekutuan atau sebagai seorang warga negeri yang ditadbir pembangkang kerajaan sebelum ini, tetapi atas kapasiti sebagai seorang rakyat marhaen yang layak mengundi. Jika ditanya siapakah calon yang saya pilih, saya tak tahu lagi sehingga saat ini. Seperti yang saya katakan, saya bukanlah penyokong mana-mana parti dan yang pasti calon untuk saya pilih mengikut keutamaan adalah dalam kalangan individu beragama islam, berbangsa melayu dan orang tempatan. Jika ada pertembungan ciri-ciri berkenaan, keperibadian antara mereka pula perlu dilihat. Dan saya juga tertunggi-tunggu siapakah PM ke 7 setelah PM ke 6 mengundur diri jika berlaku. Saya berharap juga biarlah PM ke 6 sekarang ini terus mentadbir sehingga menyerahkan tampuk pemerintahan kepada seseorang yang dijanjikan Tuhan untuk mendamaikan dan menyatukan antara Malaysia dan Indonesia. Kenapa? Entah. Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan