Carian Daripada Blog Ini

Selasa, September 06, 2011

NABI MUHAMMAD PEMBAWA RAHMAT KE SELURUH ALAM





Tiada siapa pun dapat menjangkakan, dalam kegelapan jahiliyyah di bumi Makkah akhirnya muncul cahaya kebenaran. Sikap masyarakat Arab yang suka membuat penzaliman,   penindasan dan pertelingkahan kaum sesama mereka akhirnya lenyap dan bersatu ummah. Di tengah-tengah keruntuhan moral masyarakat muncul ikon mulia yang membawa misi untuk memperbaiki akhlak manusia, sekaligus membawa mesej keesaan Tuhan. Tiada siapa di kalangan masyarakat menyedarinya walhal pada masa sama satu kaum lain ternanti-nanti akan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan Allah yang terakhir.
Pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal bersamaan dengan 20 April 571 Masehi sejarah besar menyaksikan kehadiran seorang bayi yang bakal menggegarkan dunia. Kelahirannya menjelang fajar subuh diiringi cahaya bergemerlapan seolah-olah memberi khabar gembira buat seisi dunia. Kelahiran Nabi Muhammad setelah beberapa ketika peristiwa tentera bergajah dibinasakan Allah daripada menyerang Kaabah. Tentu sahaja ia satu petanda baik untuk seluruh manusia. Isyarat kelahirannya menunjukkan akan kehadiran manusia agung yang bakal memakmurkan dunia dengan ajaran Islam yang syumul.
Buktinya, api sembahan Majusi di Rom yang sebelum itu menyala ribuan tahun terpadam serta-merta. Manakala keteguhan Istana Kisra di Parsi pula runtuh menyembah bumi. Syaitan pula yang selama ini bebas turun naik ke langit menggigit jari lantaran dihalang sejurus selepas kelahiran baginda. Semua itu menjadi sebahagian daripada tanda nubuwwah seorang insan yang bakal membawa perubahan besar pada dunia akhir zaman selaku Khatamul Anbiya’.
Kelahiran Nabi Muhammad ke dunia membawa amanah Allah yang telah dijanjikan kemunculannya dari zaman ke zaman. Tidak sekadar catatan Ahmad di dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, tetapi kewujudannya telah Allah umumkan sedari wujudnya manusia pertama, bapa seluruh manusia iaitu Nabi Adam a.s. Di kala itu Allah meminta Nabi Adam untuk melafazkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad sebagai mahar pernikahan antara baginda dan Hawa semasa di syurga. 
Lihat, betapa hebat dan mulianya Nabi Muhammad di sisi Allah sehinggakan baginda diberi penghormatan sebegitu rupa. Sudah tentu Allah telah mempersiapkan diri baginda dari segala sudut mental dan fizikal bagi membawa misi-Nya dalam menyebarkan kalimah Tauhid. Keluhuran akhlak telah Allah sematkan dalam dirinya dengan pemeliharaan hati dan jiwa baginda daripada terjebak dengan sesuatu yang keji dan mungkar sepanjang hayatnya. 
Peristiwa dadanya dibelah malaikat Jibril untuk disucikan hatinya dengan air zam-zam memberi makna hatinya perlu dibersihkan dari segala sifat mazmumah. Sebagai manusia biasa, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku pada bila-bila masa. Dengan itu sifat-sifat mahmudah telah disuburkan dalam jiwanya sesuai dengan peranan baginda sebagai seorang utusan Allah yang perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia. Pernah Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, aku diutuskan kepada kamu (manusia) adalah untuk menyempurnakan akhlak.”
Gelaran al-Amin yang diberikan masyarakat kepadanya telah menyaksikan betapa baginda terkenal dengan akhlak yang terpuji. Sifat amanah dan tidak pernah berbohong semasa berbicara membuatkan apa yang diperkatakannya mudah dipercayai. Akhlak mulianya terserlah sehingga dirinya disenangi orang dalam setiap perbuatan dan tingkah laku. Peristiwa meletakkan semula hajar al-aswad selepas peristiwa banjir di Mekah yang telah memusnahkan Kaabah telah membuatkan masyarakat mengakui akan kebijaksanaan yang dimilikinya. Keadaan ini telah memberikan satu bonus awal kepada baginda dalam usaha untuk menyebarkan dakwah Islam pada masa depan.
Sepanjang 23 tahun berdakwah baginda telah membuktikan kesungguhannya untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Walaupun mendapat tentangan dan cacian oleh musuh-musuhnya semangat di dalam hatinya  tetap membara. Kejian dan hinaan dari kaumnya membuatkan jiwanya semakin kental dan tabah. Tawaran daripada para pemimpin Mekah berupa harta, pangkat dan wanita untuk menekan baginda supaya menghentikan dakwah kepada msyarakat tidak diendahkannya. Bahkan sokongan padu dari kalangan para sahabat menjadikan misi dakwah baginda berjaya dan tersebar luas ke serata tempat. Agama Islam tidak hanya tersebar di Jazirah Arab sahaja bahkan telah sampai hampir ke seluruh dunia sehingga ke hari ini. 
Dengan paduan antara kebenaran dakwah dan keluhuran ahlak Nabi Muhammad, ajaran Islam akhirnya tersebar luas dan diterima oleh masyarakat Arab. Tertegaknya daulah Islam di Madinah memberi mesej Islam semakin kukuh dan gemilang. Keadaan ini turut menjadi penanda aras kepada kejayaan dakwah baginda dan kesyumulan Islam yang merangkumi segala hal ehwal dunia dari segala aspek kehidupan manusia. 
Model siasah (politik) telah baginda tunjukkan melalui kepimpinan melalui tauladan di mana baginda sendiri menjadi teraju pimpinan di Madinah. Model ekonomi berlandaskan syariat Islam juga ditunjukkan Nabi melalui kaedah berurus niaga yang jujur dan amanah. Melalui hubungan sosial dan kemasyarakatan telah jelas diperlihatkan dalam rakaman sejarah baginda yang hidup di kalangan masyarakat dan kaumnya. Model pendidikan yang dibawa dalam ajaran Islam telah turut diperkenalkan melalui saranan nabi yang pernah menyebutkan galakan untuk menuntut ilmu melalui sabdanya yang bermaksud: “Menuntut ilmu menjadi kefardhuan ke atas setiap orang-orang Islam.”
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad telah lengkap dan sesuai dijadikan panduan dalam kehidupan melangkaui masa, keadaan dan tempat. Al-Quran dan al-Sunnah pula merupakan sumber rujukan utama sepeninggalan baginda buat umat manusia. Sama ada mahu mengikutinya atau tidak, apa yang pasti kaum Yahudi dan Nasrani tidak sesekali akan berputus asa untuk mempengaruhi seluruh manusia untuk mengikuti jejak dan langkah mereka. Ia adalah sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Tidak akan redha ke atas kamu (orang-orang Islam) oleh kaum Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikuti agama mereka.”
Kini, setelah lebih 1400 tahun ini tidakkah kita menyedari akan peranan Nabi Muhammad di muka bumi ini? Tidak besarkah jasanya kepada sekelian umat manusia yang telah membawa 1001 rahmat kesejahteraan buat seisi alam? Atau sudah lupakah kita akan kepayahan baginda memperjuangkan Islam dan menerapkan iman dalam diri manusia sehingga ke hari ini?
Jangan pula ada yang melupakan jasa-jasa Nabi Muhammad kepada kita. Sifat kasih sayangnya kepada umatnya sentiasa tersemat dihati walaupun disaat akhir hayat baginda, lidahnya tidak putus-putus menyebut ‘ummati…ummati…ummati…’ Lalu, apa pula balasan kita sebagai umatnya dalam menzahirkan rasa cinta dan kasih sayang kepadanya? Maka, sama-samalah kita melafazkan selawat dan salam ke atas baginda. Moga-moga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang diberikan syafaat di akhirat kelak. Insya-Allah.

 _____________________________________________________________________-

Artikel ini merupakan olahan semula untuk dihantar bagi menyertai pertandingan menulis tazkirah daripada artikel dahulu, Kerasulan Muhammad: Rahmat buat seluruh alam.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.