Carian Daripada Blog Ini

Isnin, Februari 14, 2011

KERASULAN MUHAMMAD: Rahmat Buat Seluruh Alam.



Siapa sangka, dalam kegelapan jahiliyyah, muncul cahaya kebenaran. Dalam penindasan dan pertelingkahan kaum, muncul penyelamat menyatu ummah. Dalam keruntuhan moral masyarakat, muncul icon memperbaiki akhlak manusia, sekaligus membawa mesej keEsaan Tuhan. Tiada siapa di kalangan masyarakat menyedarinya walhal pada masa sama satu kaum lain menanti-nanti akan kedatangannya, baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Kelahirannya tatkala fajar subuh seolah-olah menjadi khabar gembira buat seisi dunia. Cahaya yang mengiringi kezahirannya di muka bumi menyinari seluruh alam. Tentu saja ia satu petanda baik buat umat manusia. Segala kebatilan bakal runtuh dek tertegaknya kebenaran. Buktinya, api sembahan Majusi yang sebelum itu menyala ribuan tahun terpadam serta-merta. Keteguhan Istana Kisra di Parsi pula runtuh menyembah bumi. Syaitan yang berada di langit dunia menggigit jari lantaran tertutupnya pintu rahsia perihal khabar hal ehwal dunia. Semua itu menjadi sebahagian daripada tanda nubuwwah seorang insan yang bakal membawa perubahan besar pada dunia akhir zaman selaku Khatimul Anbiya’.

Zahirnya ke dunia membawa amanah Tuhan yang telah dijanjikan akan kemunculannya dari zaman ke zaman. Tidak sekadar catatan ‘Ahmad’ di dalam kitab injil pegangan umat Nabi Isa, tetapi keberadaannya telah Allah umumkan sedari wujudnya manusia pertama, bapa seluruh manusia, Nabi Adam. Di kala itu Allah meminta baginda Adam untuk melafazkan selawat dan salam ke atas baginda Muhammad sebagai mahar pernikahan antara baginda dan Hawa semasa di syurga.

Lihat, betapa hebat dan mulianya Nabi Muhammad di sisi Allah sehinggakan baginda diberi penghormatan sebegitu rupa. Sudah tentu dirinya telah Allah persiapkan dari segala sudut mental dan fizikal bagi membawa misi-Nya dalam menyebarkan kalimah Tauhid. Keluhuran akhlak telah Allah programkan dalam dirinya dengan pemeliharaan hati dan jiwa baginda daripada terjebak dengan sesuatu yang keji dan mungkar sepanjang hayatnya.

Peristiwa dadanya dibelah malaikat untuk disucikan hatinya memberi makna hatinya perlu dibersihkan dari segala kotoran mazmumah. Selaku manusia biasa, salah dan silap seringkali melingkari kehidupan. Lalu segala bawaan mahmudah telah diperkukuhkan dalam jiwanya sesuai dengan maksud sabda baginda, “sesungguhnya, aku diutuskan kepada kamu (manusia) adalah untuk menyempurnakan akhlak”. Hasilnya, gelaran al-Amin yang diberikan masyarakat kepadanya membuktikan betapa baginda terkenal dengan akhlak terpuji di mana ia memberi satu bonus awal kepada baginda dalam menyebarkan dakwah kerasulannya kelak.

Sepanjang 23 tahun berjuang di arena dakwah membuktikan betapa komitednya baginda untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Walau ditentang dan diperangi musuh semangatnya tetap membara. Cacian dan hinaan dari kaumnya membuatkan jiwanya semakin kental dan tabah. Tawaran harta, pangkat dan wanita untuk menekan baginda untuk memberhentikan dakwah kepada msyarakat tidak diendahkannya. Bahkan sokongan padu dari kalangan sahabat-sahabatnya menjadikan misi baginda berterusan maju dan berkembang.

Dengan paduan antara kebenaran tauhid Ilahi dan keluhuran ahlak baginda nabi, islam akhirnya diterima ramai dan semakin meluas. Tertegaknya Negara Islam di Madinah memberi mesej Islam telah gemilang. Ia turut menjadi penanda aras kepada kejayaan dakwah baginda dan kesyumulan islam yang merangkumi segala hal ehwal dunia dari segala aspek kehidupan manusia. Model siasah telah baginda tunjukkan melalui kepimpinan melalui tauladan di mana baginda sendiri menjadi teraju pimpinan di daulah Islam Madinah. Model ekonomi islam juga ditunjukkan nabi melalui kaedah berurus niaga yang jujur dan amanah semasa baginda menjadi agen barang dagangan hartawan khadijah di usia mudanya. Melalui hubungan social dan masyarakat telah jelas di perlihatkan dalam rakaman sejarah baginda yang hidup di kalangan masyarakat dan kaumnya. Tidak kurang juga model pendidikan yang dibawa islam telah diperkenalkan melalui saranan nabi dalam pelbagai situasi. Dengan kata lain, al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber panduan utama sepeninggalan baginda buat umat manusia. Sama ada mahu mengikutinya atau tidak, yang pasti kaum Yahudi dan nasrani tidak sesekali akan berputus asa untuk mempengaruhi seluruh manusia untuk mengikuti jejak dan langkah mereka.

Lalu, setelah lebih 1400 tahun ini tidakkah kita menyedari akan peranan Nabi Muhammad di muka bumi ini? Tidak besarkah jasanya kepada sekelian umat manusia yang telah membawa 1001 rahmat kesejahteraan buat seisi alam ini? Atau sudah lupakah kita akan kepayahan baginda memperjuangkan islam dan menerapkan iman dalam diri manusia sehingga hari ini?

Jangan ada pula yang buat-buat lupa betapa besar jasa-jasa baginda kepada kita. Sifat kasih sayangnya kepada umatnya sentiasa tersemat dihati walau disaat akhir hayatnya lidahnya tidak putus-putus menyebut ‘ummati…ummati…ummati…’. Lalu apa pula balasan kita sebagai umatnya dalam menzahirkan rasa cinta dan kasih sayang kepadanya? Maka, sama-samalah kita melafazkan selawat dan salam ke atas baginda. Moga-moga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang diberikan syafaat di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

1 ulasan:

yoy berkata...

thank share info..kisah nabi patut sentiasa dikongsi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.