Carian Daripada Blog Ini

Rabu, Disember 01, 2010

TAULADAN SAINTIS BERJAYA



JADIKAN SAINTIS YANG BERJAYA SEBAGAI TAULADAN

Kerana kita adalah hamba dan khalifah Tuhan, dan sains itu juga hak Tuhan, maka untuk menjadi saintis yang berjaya, manusia mesti mengambil kayu ukur orang-orang yang Tuhan telah pilih menjadi saintis yang berjaya. Saintis terulung selama dunia ini ada tentulah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW, dengan sains rohaniahnya telah `memalaikatkan' manusia tetapi saintis sekarang kebanyakannya telah `menghaiwankan' manusia. Saintis Islam atau ulil albab, mesti mengintegrasikan sains dengan rasa bertuhan.

Dalam Al Quran Allah SWT berfirman:
Terjemahannya: "(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi..." (Ali Imran: 191)

Dalam ayat ini, Allah menyuruh manusia mengingati Allah dahulu di waktu berdiri, duduk bahkan berbaring. Setelah itu barulah disuruh berfikir dan mengkaji. Dengan kata lain, ahli sains akan selamat dan menyelamatkan jika dia mulakan dengan menanam rasa bertuhan dan rasa kehambaan, baru setelah itu berfikir dan mengkaji. Kalau tidak, hasil kajian itulah yang akan menjadi tuhannya dan ia akan rosak dan merosakkan.

Lihatlah bagaimana Rasul datang memberi contoh kepada manusia, iaitu diawali dengan menajamkan roh para Sahabat, ertinya mendidik para Sahabat hingga memiliki sifat taqwa. Dalam Al Quran Allah berfirman yang maksudnya:
Terjemahannya: "Takutilah Allah, nanti Allah akan ajar kamu." (Al-Baqarah: 282)

Jadi menajamkan roh adalah dengan bertaqwa. Bila roh tajam atau mempunyai sifat taqwa maka ia akan dapat mencerahkan akal. Roh kuat, akal pun kuat. Tapi jika bermula dari akal, maka boleh jadi roh akan bertambah buta. Kalau dari akal semata-mata, mungkin cerdik tapi dia akan tersesat. Jadi mesti bermula dari roh, sebab itu tidak akan sesat. Roh yang akan mengawal.

Buktinya Allah datangkan Rasulullah pada bangsa yang tidak maju dan tidak bertamadun. Kalaulah Rasulullah SAW datang pada bangsa Rom dan Parsi, nanti orang akan mengatakan Rasulullah tidak mampu mencerdaskan manusia sebab dia turun pada kaum yang sudah maju. Orang akan mengatakan Rasulullah hanya mampu memperkenalkan Tuhan tapi tidak mampu membuat pembangunan dan kemajuan.

Rasulullah SAW diturunkan bukan saja pada bangsa yang terkebelakang bahkan tulis baca pun mereka tidak tahu. Tapi dengan datangnya Rasulullah SAW mereka bukan saja menjadi bangsa yang akhlaknya luar biasa, tapi akalnya terbuka, lahir bermacam-macam ilmu.

Itulah hasil menajamkan roh. Di samping manusia berakhlak tinggi, kemajuan pun tinggi. Kalau hanya pandai, tapi roh tidak dibangunkan maka akan seperti haiwan atau syaitan. Kepandaian disalahgunakan, seperti orang jahat dapat senjata.

Nabi Sulaiman ketika melihat ahli sainsnya berjaya memindahkan istana Ratu Balqis dalam sekelip mata, ia bertanya pada dirinya, "Ya Allah adakah aku syukur atau kufur atas nikmat-Mu ini? "

Itu seorang nabi yang tidak ada dosa, begitu cemasnya mendapatkan suatu anugerah dari Tuhan. Apalagi manusia biasa seperti kita, setiap kali mendapatkan sesuatu yang baru dari Tuhan, patutnya lebih cemas lagi dari itu. Contoh saintis lain yang dapat dijadikan teladan adalah Imam Ghazali dan Mimar Sinan.

Mimar Sinan dari Turki itu adalah juga seorang wali. Berbagai bangunan dan masjid yang dibinanya lebih dari 500 tahun yang lalu sangat menunjukkan betapa hebatnya Kuasa Tuhan yang dapat memberikan ilmu-ilmu yang luar biasa pada orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan. Ketika berlaku gempa bumi di Turki pada tahun 2000, puluhan ribu orang mati, ratusan bangunan runtuh, tapi semua bangunan dan masjid yang dibangunkan oleh Mimar Sinan masih tetap teguh berdiri. Dalam pembangunan masjid tersebut Tuhan ilhamkan berbagai aplikasi teknologi seperti aerothermodynamics, civil, acoustic dan chemical engineering, di mana formula dan rumusan matematiknya itu baru ditemui oleh para saintis pada abad ke-20 ini.

Jadi kita sedih bilamana melihat orang Islam memuja saintis Barat padahal mereka hanya menemukan formulanya saja dan walaupun sudah dapat formulanya, belum ada saintis Barat yang dapat membuat bangunan dengan arkitektur seperti yang telah dibuat oleh Mimar Sinan.

Bila manusia tidak faham kedudukan sains, maka ia sering memandang hebat kepada para saintis yang membuat kajian hingga menemukan sesuatu. Sedangkan para saintis itu tidak merasa kehebatan Tuhan. Padahal apalah istimewanya. Para saintis mengkaji dan menemukan sesuatu atau benda yang memang sudah ada dan wujud. Sebab bendanya sudah wujud, seolah-olah dia mencari dan menemukan sebuah barang yang hilang, apalah hebatnya. Adakah para saintis mengadakan makhluk yang tadinya tidak wujud?

Misalnya kita kumpulkan ahli sains sedunia untuk membuat katak, tapi bukan dari benih katak atau bahan-bahan yang sudah ada. Yang tadinya benda itu tidak ada, kemudian mampu diwujudkan, misalnya membuat sebiji pasir. Nyatalah bahawa mereka selama ini mereka hanya menemukan tapi kemudian bangga dengan penemuannya itu dan lupa dengan Tuhan. Mampu membuat robot, tapi kemudian lupa bahan-bahan robot itu berasal dari mana. Kalau dia boleh buat bahan itu, baru boleh dikatakan hebat.

Sepatutnya semakin banyak penemuan-penemuan yang Tuhan berikan, manusia semakin bertambah rasa bertuhan dan rasa kehambaannya. Seterusnya juga semakin tersungkur di hadapan Tuhan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.