Carian Daripada Blog Ini

Sabtu, Februari 04, 2012

TANDA CINTAI RASULULLAH BUKAN SEKADAR MELAFAZ KATA CINTA


Tatkala kita mencintai seseorang kita akan mudah melafazkan rasa cinta, kasih dan sayang kita kepadanya. Biasanya juga kerana cinta, kita sanggup lakukan apa sahaja untuknya demi memenangi hati dan mendapat respon daripadanya. bila sudah mencintanya bermakna kita sememangnya telah mengenalinya.

Begitu juga apabila kita katakan bahawa kita sangat menyintai Rasulullah s.a.w. namun sejauh manakah kita mengenali diri baginda sebagai seorang public figure ditengah-tengah masyarakat dan ummat? Tidak ada maknanya jika kita menyebut cintakan baginda namun dalam masa yang sama kita kurang mengenali diri dan sifat baginda. Tanda sayang kita kepada baginda juga tidak sekadar lafaz sayang dan cinta dari mulut seperti kita ucapkan kepada orang-orang tersayang di sekeliling kita. Oleh kerana Rasulullah merupakan seorang yang amat istimewa apatahlagi seorang manusia agung yang membawa ajaran Islam kepada kita, terdapat perkara-perkara yang boleh menunjukkan cara kita menyintai baginda. Perkara-perkara itu adalah:

1.     Mencontohi dan mengamalkan sunnah baginda.

Apabila kita cintakan seseorang, kita akan mengikut cara dan gaya yang dilakukannya. Mungkin dari aspek berpakaian, permakanan dan perbuatan seharian. Namun tanda cintakan Rasulullah, kita juga boleh melakukan apa yang baginda buat selama hidupnya. Pelbagai perkara dapat kita contohi melalui amalan sunnahnya. contoh mudah dalam berpakaian, bersiwak dan juga akhlak baginda yang terpuji.
2.     Banyak mengingati dan menyebut namanya.
Tanda cintakan Rasulullah, kita akan sentiasa mengingati baginda, tidak kira masa dan keadaan. Dalam apa keadan sekalipun cuba kaitkannya dengan baginda. Contohnya mungkin semasa kita makan, kita ingat, bagaimana baginda makan. Malah, menyebut namanya juga satu tanda kita mencintai baginda. Jika ada seseorang yang kita cintai, mudah sahaja bibir menyebutnya berulang-ulang. Maka, boleh sahaja kita sentiasa menyebut nama baginda tanda kita mengingatinya. Bahkan semasa ulangtahun kelahirannya boleh kita tunjukkan rasa cinta dengan meraikannya melalui aktiviti dan program yang dapat meningkatkan kecintaan kita kepada baginda.
3.     Melafazkan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w.
Tanda sayang kita kepada Rasulullah dapt ditunjukkan melalui lafaz selawat kita ke atas baginda dan keluarga serta sahabat-sahabatnya. Allah sendiri juga berselawat ke atas baginda tanda kasihnya kepada utusannya, lalu apakah kita tidak mampu untuk melafazkannya? Banyak kelebihan yang Allah anugerahkan kepada kita apabila kita berselawat kea atas baginda. Dengan berselawat moga-moga kecintaan yang kita tunjukkan seperti ini dapat menjadi tiket kepada kita bagi memperolehi syafaat baginda di akhirat kelak.
4.   Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada baginda.
Menyayangi seseorang membuatkan kita mudah menyatakan kebaikan yang ada pada dirinya. Namun jangan lupa, dalam diri Rasulullah sendiri terdapat contoh tauladan yang boleh menjadi ikutan. Bahkan akhlak baginda adalah seperti al-Quran dan salah satu pengutusannya adalah untuk memperbaiki akhlak manusia. Selain kita mengikutinya, oleh boleh juga kita memperkatakan tentang kebaikan yang ada pada baginda. Ceritakanlah kelebihan, sifat dan perlikau baginda kepada orang lain. Disamping orang akan lebih mengenalinya, ia juga menjadi tanda kita mengasihinya.
5.     Bersopan santun dan beradab dengan Rasulullah.
Jika kita menyayangi ibu bapa dan berakhlak dengan mereka sebagai anak, kita juga perlu menunjukkan akhlak yang mulia dan beradab dengan Rasulullah. Bagaimana caranya? antaranya, jangan sesekali berdusta atas namanya. tatkala bercakap, katakan yang benar, terutama bila mana mengaitakkannya dengan baginda. Kita juga perlu menjaga perilaku kita sebagai umatnya. Jika baginda mengajarkan kita supaya sentiasa berakhlak mulia, kita kene contihinya. Mengaku sebagai umatnya, tapi tidak mahu mengikuti ajarannya. Adakah beradab namanya? Seperti mana di dalam kelas, guru mengajar namun kita tidak mahu mengikut arahannya, adakah itu tanda kita berada atau biadap dengan guru kita?
6.     Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw.
Dalam percintaan kita dengan seseorang hati kita sentiasa resah gelisah tatkala tidak bertemu dengannya. Itu adalah lumrah hati yang tidak perlu dinafikan. Begitu juga andai kita akui kita sangat cintakan baginda, tidakkah ada rasa keinginan untuk bertemu dengannya? Tanamkanlah rasa rindu kepada baginda dan bercita-cita menemuinya. Walaupun hamper mustahil untuk bertemu di dunia, tetapi di akhirat mungkin boleh menjadi kenyataan. Kalau tiada perasaan sebegini terhadao baginda, apalah maknanya kita menyinta tetapi tidak mahu berjumpa.
7.     Menyampaikan Nasihat untuk beriman kepada Allah, kitab-Nya dan Rasulullah-Nya.
Wasiat Rasulullah kepada umatnya agar berpegang dengan al-Quran dan al-hadith menunjukkan baginda sangat-sangat kasihkan umat yang ditinggalkannya. Oleh itu selain berpegang dan mengamalkan apa yang ada padanya, kita juga hendaklah menyampaikan nasihat kepada orang lain terutamanya dari apa yang datang daripada Allah dan baginda. Baginda juga pernah berpesan agar menyampaikan sesuatu daripadanya walaupun hanya sepotong ayat. Selain menerapkan rasa cinta, ia juga menjadi cara untuk kita menyebarkan ilmu pengetahuan yang datang dari ajaran baginda.
8.     Mempelajari al-Quran dan mengamalkannya.
Rasulullah dari awal-awal telah berpesan di hujung kehidupannya agar berpegang dengan al-quran dan as-sunnah yang ditinggalkannya. Tetapi, untuk memahami serta mengamalkannya perlu ada ilmu. Oleh itu sahutlah saranan Rasulullah untuk kita mempelajari al-quran bukan sekadar pada bacaan dan hokum tajwid, tetapi menyingkap segala hikmah dan pengajaran dari apa yang terkandung di dalamnya. Mempelajari ilmu juga menjadi saranan dan galakan Rasulullah kepada kita agar setiap muslim menuntut ilmu. Bila mana mempunyai ilmu maka mudahlah untuk kita memahami dan mengamalkannya sebagai landasa untuk kita lebih menunjukkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah-Nya.
9.     Mencintai orang yang Rasulullah saw cintai.
Apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut terpengaruh untuk menyintai dan menyukai orang yang disukainya. Begitu juga dengan Rasulullah. Kita perlu menyintai orang dan golongan yang baginda cintai sebagai tanda sokongan kita kepadanya. Antara golongan yang baginda sukai adalah golongan yang mengamalkan sunnahnya dalam kehidupan. Begitu juga kepada mereka yang menuntut ilmu, Rasulullah sangat sukakan mereka kerana dengan ilmu umatnya akan lebih cemerlang di dunia seterusnya gemilang di akhirat dan dala masa yangs ama terbilang di kalangan masyarakat. Cintailah golongan seperti ini tanda kita menyintai Rasulullah.
10.  Membenci orang yang Rasulullah s.a.w benci.
Rasulullah juga mempunyai perasaan benci kepada orang lain, namun bukan pada sebarangan orang. Walaupun dakwah baginda sentiasa mendapat tentangan daripada kaumnya, baginda tidak sesekali mudah menunjukkan rasa benci kepada mereka. Malah baginda sentiasa berdoa agar hati mereka mudah menerima Islam. Namun golongan yang sentiasa memusuhi Rasulullah dengan melakukan khianat, tidak mencotohi akhlaknya atau menghalang Islam dari tersebar, tentu sahaja merupakan golongan yang sangat baginda benci. Pernah juga Rasulullah sabdakan, orang yang baginda benci adalah orang yang berbangga dan takbur dengan dirinya kerana ia akan merosakkan hati dan amalan yang dilakukannya. Jadi, bagi kita yang mencintai Rasulullah, sama-sama membenci golongan seperti ini. moga-moga kita dijauhi daripada perlakuan yang sebegini dan lebih hampir kepada Allah dan Rasulullah.

Banyak contoh yang dapat kita teladani dari kalangan individu dan umat Islam yang sangat mencintai baginda. Salah satunya kisah tentang seorang sahabat yang bernama Tsauban, yang juga salah seorang pembantunya bilamana sudah beberapa hari tidak bertemu dengan baginda.

Ketika dia nampak Rasulullah s.a.w datang, maka Tsauban pun berkata: “Saya rindu kepadamu, wahai Rasulullah.”

Kemudian Tsauban menangis, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: “Apakah hanya ini engkau menangis?”

Tsauban mengatakan: “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi saya teringat tempat engkau di syurga sedangkan saya membayangkan tempat saya amatlah mengerikan.”

Maka Rasulullah s.a.w berkata: “Wahai Tsauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.”

Begitulah hebatnya sahabat Rasulullah s.a.w yang jelas mempunyai rasa cinta mereka terhadap Nabi SAW sangat tinggi. Bagaimana dengan keadaan kita sekarang? Bagaimana dengan segala pesanannya yang diberikan kepada kita, sudahkah al-Quran dan al-Sunnahnya menjadi panduan dan pedoman dalam kehidupan kita? Atau rasa cinta kita hanya ditunjukkan dari lafaz ungkapan cinta semata-mata?

اللهم صلي علي سيدنا محمد وعلى آل محمد

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.