Carian Daripada Blog Ini

Selasa, November 30, 2010

RAWATAN & PERKHIDMATAN DI HOSPITAL SWASTA: SEBAB & ALASAN

Gara-gara caj hospital swasta yang tinggi, ia secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pemegang kad kredit yang berhutang sehingga melepasi had kemampuan diri sendiri. Jika sebelum ini punca yang dilihat adalah disebabkan gaya hidup boros dalam berbelanja, tapi kini ia tidak lagi berada di kedudukan tertinggi. Perbelanjaan perkhidmatan di hospital sememangnya dilihat satu keperluan asas bagi manusia namun soalnya bagaimana dan ke mana perbelanjaan hospital itu digunakan.

Dengan pendedahan itu kemudiannya telah membuka mata sesetengah pihak sehingga akhirnya terbongkar beberapa insiden yang membabitkan pembayaran oleh pelanggan hospital swasta di mana caj yang dikenakan terlalu tinggi. Ada sesetengah keadaan kos sebenar itu kelihatan jauh berbeza daripada jumlah yang dikenakan. Daripada situasi itu dapat disimpulkan hospital swasta memang mengenakan jumlah kos rawatan dan perkhidmatannya yang tinggi kepada pelanggannya selama ini.

Dari perkaitan antara perbelanjaan kos rawatan di hospital swasta dan caj yang dikenakannya kepada pelanggan sehingga menyebabkan bebanan belanjawan kepada pemegang kad kredit dapat dilihat daripada beberapa aspek. Antaranya adalah dari segi sebab dan alasan mengapa pelanggan mendapatkan rawatan di hospital swasta walaupun menyedari hakikat kos yang terpaksa ditanggung agak tinggi.

Rata-rata mengandaikan perkhidmatan yang terdapat di hospital swasta sungguh hebat hingga ada yang mengiktirafnya bertaraf 3, 4, 5 bintang dan sebagainya. Ia termasuklah kecanggihan peralatan yang digunakan selain prosuder khidmat profesyenal daripada doctor yang merawat. Antara lain layanan kakitangan hospital terutamanya jururawat di wad contohnya turut diambil kira dalam caj perkhidmatan. Pada yang inginkan keselesaan serba-serbi, inilah tempatnya.

Ada juga yang menganggap mendapatkan khidmat kesihatan di hospital swasta seolah-olah menunjukkan status social seseorang. Dalam pada masyarakat yang sebahagian besarnya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, ada juga segelintirnya sanggup berhabis semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta walaupun menyedari perkhidmatan yang sama turut boleh didapati di hospital kerajaan. Walaupun tidak dapat dilihat sejauhmana andaian ini benar-benar berlaku, tetapi ia dapat dilihat apabila terdapat golongan yang berpendapatan sederhana mendapatkan rawatan sedangkan untuk jangka masa panjang sebenarnya belum tentu mereka terus-menerus berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di sana.

Pada yang menjadi kakitangan dalam mana-mana syarikat, biasanya kos rawatan untuk pekerja ditanggung oleh syarikat di mana adanya klinik dan hospital swasta yang menjadi panel kepada syarikat itu. Oleh sebab itu sebagai kakitangan mereka berhak mendapatkan perkhidmatan apabila memerlukan rawatan.  Ini merupakan bonus kepada mereka walaupun terdapat di kalangan pekerja tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di sana. Apatahlagi terdapat sesetengah syarikat yang besar dan kukuh turut menanggung kos ramatan untuk seisi keluarga. ini memberi faedah yang besar kepada kakitangan selain menunjukkan keperihatinan pihak majikan terhadap anak buah yang telah berkhidmat di bawahnya. Dengan adanya keistimewaan Ini menyebabkan ramai orang yang berminat untuk bekerja di syarikat berkenaan.

Ada juga disesetengah keadaan pesakit dirujuk kepada pakar yang tidak berkhidmat di hospital kerajaan. Ini menyebabkan pesakit berkenaan harus mendapatkan rawatan di hospital swasta di mana doktor pakar yang dicadangkan itu berada. Bagi situasi ini biasanya pesakit memang mempercayai perkhidmatan yang diberikan oleh hospital kerajaan, namun terpaksa dirujuk ke hospital swasta bagi memastikan mereka dapat dirawat sehingga pulih.

Daripada sebab dan alasan yang disenaraikan mungkin terdapat lagi sebab yang menyebabkan seseorang itu mendapatkan rawatan di hospital swasta. Tiada sesiapa pun sebenarnya boleh menegah seseorang untuk menerima rawatannya di sana asalkan mereka punya kemapuan dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan dan perkhidmatan di hospital swasta.

Jangan pula nanti ada rungutan dan ketidakpuasan hati terhadap kos yang ditanggung sedangkan sebenarnya mereka telah menyedarti caj yang dikenakan semamangnya tinggi jika dibandingkan dengan perkhidmatan di hospital kerajaan yang sudah setaraf dari sudut perkhidmatan serta jauh lebih murah seperti mana yang diketahui masyarakat.

Jadi, berbaloikah berhutang demi sebuah keselesaan dalam mendapatkan rawatan dihopital swasta? Tepuk dada, seluk poket seluar.

Ahad, November 28, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU




Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha Allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan Ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Melangkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu
Moga kekal hingga ke syurga

Khamis, November 25, 2010

MALAYSIA NEGARAKU



Baru-baru ini Kementerian pelajaran Malaysia memutuskan untuk mewajibkan subjek sejarah diajarkan di sekolah rendah untuk sesi persekolahan akan datang. Walaupun tidak mengkhusus kepada nama subjek - Sejarah - namun tema sejarah didedahkan kepada murid sesuai dengan tahap pengetahuan dan pengalaman murid dari perkara-perkara yang asas mengenai Malaysia. Untuk tujuan itu subjek ‘Malaysia Negaraku’ telah diperkenalkan dengan dirintis oleh murid tahun 1 tahun 2011 melalui penggubalan sukatan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Dengan obejektif membina jatidiri dan menyemai semangat patriotism dikalangan warga Malaysia, subjek ini begitu relevan untuk dipelajari murid seawal dari sekolah rendah. Dalam keunikan Malaysia yang mempunyai warga yang berbilang kaum, bangsa dan agama tentu saja memerlukan kaedah yang baik dan sesuai untuk menerapkan pengetahuan berkaitan dengan sejarah dan fakta. Ia demi memastikan adanya penyatuan hati dan perpaduan jiwa atas nama satu Negara tanpa mengira warna kulit dan tutur bahasa pada mana-mana individu di luar batas kasta-kasta bermasyarakat.

Salah satu pengetahui yang perlu diterapkan dalam jiwa masyarakat, khususnya murid di sekolah rendah adalah mengenai asal usul pembentukan Malaysia. Pengorbanan pejuang bangsa dan tanah air perlu didedahkan dengan tidak melupakan peranan imigran lain yang datang ke Tanah Melayu  dengan membantu dalam memastikan negara ini terus aman dengan matlamat ke arah memerdekakakan negara. Dengan cara ini secara langsung ia dapat menerapkan unsur-unsur patriotism dalam jiwa murid.

Pendedahan fakta-fakta berkaitan dengan Malaysia  yang asas amat sesuai diketahui murid melalui penerangan dan penjelasan guru bagi menyemai rasa menghormati dan menyayangi negaranya. Selaku seorang warganegara tentu sahaja perkara seperti nama Perdana Menteri dan YDP Agung Malaysia, nama-nama negeri di Malaysia, nama bandar-bandar utama, bunga dan lagu rasmi kebangsaan, kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan sebagainya perlu diketahui. Amat malang andai perkara asas sebegini tidak diketahui oleh rakyat sedangkan dalam masa yang sama mengakui sebagai Malaysia adalah tanah tumpah darahnya!

Bagaimana mahu cintakan sesuatu kalau tidak mengenalinya? Jadi memang wajar subjek ini diketengahkan kepada murid disamping memastikan ilmu dan nilai-nilai yang diterapkan itu terserap kekal di minda dan hati murid supaya jiwa mereka sentiasa subur dalam mendokong Malaysia untuk terus kekal aman dan sejahtera.

Sabtu, November 13, 2010

TIPS KURANGKAN STRESS

Tips Mengurangkan Stress (Motivasi Diri)


Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.


Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan hidup. Antaranya ialah :


1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.


2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.


3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.



4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.


5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan- Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.


6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.


7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.


8.) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.


9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.


10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya..

Selasa, November 02, 2010

GUNAKAN AKAL & IKUT GERAK HATI

Gunakan Akal & Ikut Gerak Hati
(Dipetik daripada hasil perbincangan dalam forum mesra.net. Disusun oleh Che Ahmad)

Manusia hanya menggunakan 15% daripada akalnya dan 85% daripada hatinya dalam mencari rumusan atau jawapan, cuma, bagaimana Akal dan Hati itu berfungsi ianya bergantung kepada manusia itu sendiri. Adakah kita dalam keadaan tenang ketika mencari jawapan ataupun dalam keadaan resah dan gelisah menanti jawapan yang tidak pasti? Adakah si dia insan yang menjadi pilihan hati itu jodoh kita?

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.

Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1) Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.

Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2) Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.

Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3) Terima kita seadanya Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.

Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.

Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4) Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.

Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.

Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5) Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.

Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6) Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.

Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.

Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7) Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.

Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, 'lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.
Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8) Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.

Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.

Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita.
Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9) Kata hati Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.

Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.

Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10) Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui 
mimpi.

Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.

Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

NOTA: Berkenaan mimpi petunjuk – “Saya tak jumpa mana-mana hadis yang menyebut bahawa petunjuk dari istikharah akan didapati melalui mimpi. Yang disebut oleh hadith ialah melalui gerak hati. Hadith tersebut menyebut, setelah istikharah, ambillah apa yang pertama digerakkan oleh hati selepas istikharah itu. Kalau tak ada gerak hati, ulangi istikharah, dan serahkan keputusan sepenuhnya kepada Allah. Jangan pula kita ada preference dalam hati waktu melakukan istikharah, kerana hasilnya mungkin apa yang kita inginkan, bukan petunjuk dari Allah.” (rahim11).

MANA MILIK KITA..?


Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

 
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya


Kita Allah punya
  Bumi langit ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya


Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada


Mengapa kita sombong
Memiliki Tuhan punya
Mengapa tidak malu
Kepada Tuhan yang empunya


Patut bersyukur kepada Tuhan
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Tuhan
Kerana milik Dia punya


Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Tuhan tidak beri
Kita tidak punya apa-apa



Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Tuhan punya


Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Tuhan
Bukan mengungkit jasa


Gunakanlah nikmat Tuhan itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.