Carian Daripada Blog Ini

Ahad, Julai 15, 2012

PERSEDIAAN MENGHADAPI RAMADHAN


Kurang seminggu lagi Ramadhan menghapiri kita. Suka atau tidak kenyataannya harus ditempuhi walau persediaan tidak sepenuhnya lagi dilakukan. Hadirnya Ramadhan bukan seperti hadirnya bulan-bulan lain yang sebelas selainnya. Hadirnya membawa 1001 rahmat buat seisi alam khususnya umat Islam. 

Bagi yang meratapi pemergiannya pada musim lalu, ini merupakan saat-saat yang ditunggu. Bagai merindu kekasih hati, begitulah gayanya tatkala Ramadhan menjelma. Pelbagai persiapan dilakukan demi menyambutnya. Mengharapkan juga tiada kecacat-celaan wujud sepanjang Ramadhan melewati 30 hari bersama golongan yang menyintainya. 

Namun bagi yang tidak memikirkan kehadiran Ramadhan, boleh jadi sehari sebelum datangnya akan datang agaknya masih tidak disedari. Mungkin juga pemergiannya pada musim lalu memang dilepaskan penuh dengan rasa gembira. seolah-olah terlepas daripada satu penyeksaan jiwa raga. Apakah mereka tidak mengetahui betapa istimewanya Ramadhan berbanding Syawal yang sering kali dipersiapkan sebaik-baiknya? 

Apa yang penting sekarang ini biarlah yang berlalu itu ditinggalkan. Tanpa menoleh ke belakang kali ini tetapkan niat dan azam untuk menyambutnya sebaik mungkin. Jika dahulu wujud keralatan dalam mengisi kehadirannya, untuk yang akan datang ini perbaiki semula apa-apa yang boleh dikatakan sebagai cara untuk membuatkan kehadiran Ramadhan itu dipenuhi dengan segala kebaikan. 

Dengan itu bagi memastikan ianya berjalan dengan baik, persediaan harus dilakukan. 

1. Sematkan niat yang betul sebagai azam untuk memenuhi Ramadhan dengan perkara yang dituntut dalam syariat. Kadang kala wujud dalam kalangan seseorang yang mempunyai niat yang kurang betul tatkala datangnya Ramadhan. Tatkala orang lain berniat dengan azam hendak melipatgandakan ibadah, ada pula yang berniat dengan azam untuk melipatgandakan keuntungan dunia. Jadi, pastikan niat sentiasa betul dan diperbetulkan sebagai syarat setiap amal dan ibadah dilakukan diterima oleh Allah.

2. Persediaan ilmu untuk memastikan kehadiran Ramadhan tidak disia-siakan. Ramai yang ada usaha untuk mendapatkan pelbagai keistimewaannya, namun selalunya gagal bilamana kekurangan ilmu membatasi diri untuk melipatgandakan pahalanya. Tidak ada ertinya melakukan sesuatu atas nama ibadah tanpa ilmu sedangkan yang penting kefahaman atas sesuatu itu yang lebih utama. Satu kenyataan mudah, solat dua rakaat lebih memadai daripada 20 rakaat jika ia disertakan dengan hati yang penuh taqwa berbanding mereka yang melakukannya tanpa kehadiran hati yang teguh kepada Allah.

3. Wujudkan persekitaran yang sesuai bagi memastikan strategi bagi merebut peluang yang ada pada kehadiran Ramadhan dapat dipenuhi. Persekitaran itu seharusnya membantu diri bagi memastikan amalan yang dilakukan itu tidak sia-sia. Keadaan ini lebih kepada persiapan mental di mana kadang-kala niat telah disemat namun hati seringkali goyah dan lemah dengan persekitaran seperti di tempat kerja, di rumah dan di mana saja seseorang itu pergi. Untuk itu jika diri tidak berkemanpuan untuk menangani diri dari dipengaruhi persekitaran, maka elakkanlah diri dari persekitaran yang membuatkan iman dan keyakinan diri sedikit demi sedikit punah.

4. Kesihatan fizikal juga harus diambil perhatian bagi memastikan kelancaran dalam mendatangi Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Jika ditakdirkan kesihatan terjejas dalam pada bersungguh-sungguh memenuhi Ramadhan dengan amal kebajikan, anggap saja ia sebagai kafarah dari Tuhan. Tatkala itu tidak perlu timbul penyesalan jika tahap kesihatan itu sedikit sebanyak menganggu gugat diri untuk melakukan ibadah dengan sempurna. Tetapi syaratnya dari sekarang ini jagalah kesihatan diri dengan mengambil langkah-langkah penjagaan yang sesuai kerana peluang berada di Ramadhan bukan mudah untuk dimiliki.

5. Dari aspek kewangan juga harus dititik beratkan untuk dibuat persediaan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan. Walaupun itu bukanlah satu kemestian namun dengan kewangan ia dapat membantu dalam mendapatkan ganjaran yang berlipat kali ganda. Oleh kerana semasa Ramadhan inilah setiap amalan digandakan pahalanya, maka apapun cara yang boleh dilakukan untuk merebutnya harusnya diusahakan. Dengan kewangan bantuan boleh disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan. Sekali tangan menghulur, berkali-kali pahala terkumpul. Sekali dengan huluran itu dapat menggembirakan hati orang lain, berkali ganda kebaikan diperolehi walaupun pemberian itu tidak seberapa namun nilaiannya tidak boleh diukur dengan mata kasar. 

Jadi, apa lagi yang ditunggu? Masih banyak lagi cara bagi membuat persediaan untuk menghadapi Ramadhan yang di dalamnya terdapat satu malam yang kebaikannya mengatasi 1000 bulan. Tepuk dada, tanya iman bagi mengenalpasti bentuk persediaan yang boleh dilakukan kerana lain individu, lain cara persediaannya walaupun matalamat akhirnya adalah sama.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1433 HIJRAH.  



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.: Search Anything Here :.