Isu
Tingakatan Enam telah beberapa kali menjadi salah satu daripada isu yang wujud dalam arena pendidikan
di media. Mendengar ucapan TPM di Buletin TV3 tadi terasa betapa Tingakatan
Enam dalam keadaan parah sampai mahu diberi penjenamaan semula. Jika tidak
silap penjenamaan Tingkatan Enam telah beberapa kali berlaku. Sekarang ini
Tingkatan Enam turut disebut sebagai kelas Pra-Universiti atau dikenali dalam
kalangan guru dan pelajar sebagai Pra-U. Tapi situasi yang dilihat seolah-olah kelas
Pra-U berkenaan menjadi ‘Perayu’ pula gara-gara tidak ada sambutan menggalakkan
daripada pelajar untuk meneruskan pengajian selepas SPM ke Tingkatan Enam.
Umumnya,
TIngakatan Enam merupakan laluan kepada lepasan SPM untuk menyambung pelajaran.
Rata-ratanya, mereka yang gagal mendapat tempat ke IPTA akan beralih ke laluan
ini. Mereka bukanlah mempunyai keputusan yang kurang baik, malah ramai juga
yang memperolehi keputusan yang cemerlang tidak ditawarkan juga di mana-mana
tempat di IPTA sehingga ramai yang kecewa. Namun dalam masa sama ramai juga
dalam kalangan mereka yang tega memilih IPTS yang memerlukan kos dan
perbelanjaan pengajian yang tinggi. Sedangkan pada masa yang sama laluan tanpa
kos yang mahal boleh sahaja diambil menerusi pembelajaran di Tingkatan Enam di
sekolah-sekolah yang menawarkannya.
Beberapa
faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada penolakan ramai pelajar untuk ke Tingkatan
Enam. Antaranya disebabkan Tingkatan Enam dilihat tidak mesra dan secocok
dengan jiwa mereka yang menganggap dirinya telah dewasa. Berada di bawah satu
bumbung dengan pelajar-pelajar lain yang berumur antara 13 hingga 17 tahun
dirasakan sesuatu yang tidak setaraf dengan mereka. Antara lain, pembelajaran
di sekolah menerusi kelas Tingkatan Enam seolah-olah mengongkong jiwa mereka
seperti peraturan berpakaian dan ketetapan masa persekolahan yang ditetapkan. Lebih-lebih
lagi wujud andaian tiada kebebasan untuk mereka yang berada di Tingkatan Enam
apabila mereka tertakluk dengan pelbagai peraturan dan masih dipantau oleh guru
disiplin pula terutamanya dalam aspek berpakaian.
Semua
faktor di atas wujud apabila penilaian dibuat berdasarkan perbandingan antara
sekolah dan institusi pengajian tinggi. Oleh yang demikian mereka lebih suka
memilih untuk belajar di mana-mana IPTS asalkan tidak berada di bangku persekolahan.
Ini disebabkan apa suasana pembelajaran dan kehidupan sebagai pelajar isntitusi
pengajian tinggi tidak dirasai jka berada di kelas di Tingkatan Enam.
Namun,
ramai yang kurang memahami apakah keperluan kelas Tingkatan Enam diwujudkan. Sejak
lama dahulu kelas ini wujud bagi membantu pelajar-pelajar melangkah ke alam universiti
bagi program ijazah sarjana muda. Pembelajaran selama setahun setengah dlihat
memendekkan masa berbanding mereka yang menyambung diploma selama tiga tahun di
IPT. Namun bagi kalangan pelajar di IPTA, ia tidak menjadi masalah apabila
membabitkan soal kewangan.
Dapat
dilihat perbezaan, bagi mereka yang mengambil STPM semasa di Tingkatan Enam,
mereka akan menjejak kaki ke univerisiti untuk program ijazah sarjana muda pada
umur 20 tahun. Sementara mereka yang mendapatkan diploma sebelum itu akan
berada di universiti pada umur 21 tahun. Untuk yang seterusnya, bergantung
kepada tempoh pengajian mereka untuk mendapatkan ijazah berdasarkan jurusan
pengajian yang dipilih.
Apapun,
usaha kerajaan untuk menaikkan taraf Tingkatan Enam merupakan usaha yang murni.
Tetapi keadaan itu belum menjamin untuk menarik hati pelajar yang gagal ke IPTA
untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Bagaimanapun, antara Tingkatan
Enam dan program diploma IPTS, masing-masing ada pro dan kontranya. Apa yang
jelas, usaha kerajaan ini dibuat bagi membantu rakyat dari aspek kewangan dan
juga kualiti pembelajaran menerusi kelas Tingkatan Enam walaupun masih tidak
popular dalam kalangan pelajar. Bagi bangsa bukan bumiputera, mereka telah
menyedari akan peluang ini yang cerah sebagai laluan cepat ke IPTA bagi program
ijazah sarjana muda. Hanya kalangan bumiputera masih tidak sedar dan memandang
sebelah mata sedangkan semua usaha kerajaan ini merupakan sesuatu yang terbaik
buat mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan